Tag Archive: Nabalu


Ustaz Khairul Anuar Yusob

Kami serombongan mengambil kesempatan dalam program di kaki Gunung Kinabalu, untuk singgah di rumah seorang sahabat, Ustaz Khairul Anwar Mohd Yusob, orang Kulim Kedah yang bermastautin di belakang Pekan Nabalu. Oleh kerana ada beberapa sahabat yang bernama Khairul Anwar, jadi Ustaz Khairul Anwar ini biasa kami namakan Ustaz Khairul Nabalu.

Pekan Nabalu adalah sebuah pekan kecil yang wajib dilalui sama ada pergi atau balik untuk ke Kota Kinabalu dari arah Ranau dan sebaliknya. Di belakang pekan ini, terdapat sebuah sekolah bernama SK Dallas di bawah naungan daerah Kota Belud, dengan pemandangan hijau yang indah dan memukau serta cuaca yang nyaman – di sinilah sebuah keluarga pendakwah tinggal bertugas untuk masyarakat.

Ustaz Khairul dan isterinya sudah lapan-sembilan tahun tinggal di sini sejak tahun 2005. Isterinya mengajar di SK Dallas ini sementara Ustaz Khairul bertugas di SK Kaung Kota Belud sekitar 10-15 minit perjalanan dari rumah. Ustaz Khairul yang berkelulusan Sarjana Muda Usuluddin ini, bertugas di SK Kaung yang hanya mempunyai 88 orang murid dan daripadanya 26 orang beragama Islam.

Menarik Pekan Nabalu ini menemukan tiga sempadan daerah – Tuaran, Kota Belud dan Ranau.Di SK Dallas ini, muridnya sekitar 100 orang dan hanya 12 orang murid muslim termasuk anak-anak Ustaz Khairul. Tidak ramai keluarga muslim di kawasan Pekan Nabalu ini, hanya sekitar 3-4 keluarga sahaja.

Bahkan tiada masjid pun di sekitarnya. Hanya ada dua buah surau di Pekan Nabalu untuk kemudahan pelancong yang singgah dan di Kampung Bongol juga yang tidak jauh dari situ. Untuk solat jumaat, Ustaz Khairul yang pernah mengaji di Universiti al-Azhar Shibin el-Kom Mesir ini, perlu ke Masjid Pekan Kundasang sejauh 16km dengan memakan masa perjalanan sekitar  20-30 minit.

Di persekitaran rumah guru ini, terdapat tujuh buah rumah dan empat daripadanya dihuni oleh keluarga muslim. Namun begitu, Ustaz Khairul bermuamalah dengan kesemua penduduk di sini, menyebabkan kehadirannya disenangi. Tambahan lagi Ustaz Khairul dikenali dikalangan kami sebagai seorang yang ramah dan handal memasak, jadi beliau ada satu nilai tambah untuk rakan-rakan di sana berkawan baik dengannya..

Dari riak pergaulan kami beberapa kali, jelas Ustaz Khairul dan keluarganya gembira tinggal di sini.

ROTI CANAI USTAZ KHAIRUL


Masih cerita jaulah di Ranau.

Letih perjalanan dan mengisi program seharian di beberapa lokasi di daerah ini terubat sedikit apabila perjalanan pulang kami singgah di rumah Ustaz Khairul Anwar Md Yusob di belakang Pekan Nabalu. Ini kunjungan kali kedua selepas Mei tahun lalu.

Memang hajat untuk berehat sebentar menghilangkan lelah badan dan suara yang banyak bercakap sepanjang hari. Tambahan pula saya juga memandu kerana Arshad yang menjadi teman perjalanan baru berumur 16  tahun.

Ustaz Khairul Anwar sekeluarga memilih untuk menetap di sini sejak 6 tahun lalu, dalam kelompok komuniti bukan Islam. Itu yang saya kagumi beliau. Masjid terhampir untuk solat jumaat ialah Masjid Pekan Kundasang, 30km dari rumahnya.

Masuk jalan menuju rumahnya khususnya pada waktu malam memang agak sunyi. Kalau kali pertama dahulu, saya datang menyertai rombongan kawan-kawan, kali ini pula saya memandu sendiri. Perasaan seram pun ada juga kerana melalui kawasan hutan walaupun tidak sampai 10 minit.

Langkah kanan kami tiba kerana Ustaz Khairul Anwar sedang sibuk menyediakan roti canai untuk dijual di sekolahnya – SK Kaung Kota Belud. Pagi keesokan katanya, ada program bestari solat bersama pelajar sekolah. Roti canai yang dibikinnya sendiri laku di sekolah dengan harga yang murah.

Alhamdulillah, kebetulan belum makan malam. Roti canai Ustaz Khairul memang kena dengan selera kami. Setengah jam di rumahnya, kami meminta diri kembali ke Kota Kinabalu. Jam 11.30 malam, saya tiba di rumah dengan sepenuh kereta berbau durian yang dibawa dari Kampung Luanti.

RANCANGAN YANG TIDAK MENJADI

IMG_6701

Ketika berprogram ke Ranau semalam, saya ada beberapa rancangan lain selepas itu. Sekurang-kurangnya adalah program lain selain ceramah di sekolah.

Saya berhasrat bertemu seorang ustaz @ pendakwah yang telah lama bergiat dalam dunia dakwah ini. Namanya Ustaz Hassan yang berasal dari Kelantan.

Dahulu beliau berkhidmat di Kota Belud dan kemudian beralih ke Ranau. Sudah puluhan tahun beliau di bumi Sabah ini. Hasrat bertemu tidak kesampaian kerana beliau balik bercuti ke Kelantan.

Berehat di Masjid Jamek Kundasang, saya juga berhasrat bertemu keluarga imam masjid di sana. Anak-anak beliau adalah rakan-rakan kami ketika di Mesir.

Ust Suzairy, Ust Fadly dan Ust Nizam, Ustazah Khairunnisa. Nisa pula berkahwin dengan rakan serumah saya di Kaherah Ust Hj Azlan Bakri, orang Lumadan.

Ust Suzairy dan Ust Fadly ketika saya datang ke masjid mereka sedang berprogram di Pusat Latihan Islam (PLI) Kundasang. Ust Azlan pula menyampaikan ceramah di Kem Bina Negara BTN tidak jauh dari rumah mereka.

Nizam pula berada di Kedah dengan isteri yang baru dinikahi. Nisa tengah menunggu detik untuk melahirkan anak ketiga mereka.

Dalam perjalanan pulang, saya teringin singgah di rumah seorang sahabat, Ust Md Khairul Anwar di Nabalu. Ustaz dari Kedah yang bertahan bertugas di kawasan majoriti bukan Islam bersama isteri dan anak-anaknya.

Beliau juga berada di luar kawasan dan hanya balik ke rumah jam 5 petang. Mudah-mudahan lain kali bertemu pula.

UST MD KHAIRUL ANWAR MD YUSOB

IMG_2199Dalam perjalanan pulang dari Kundasang, rombongan kami singgah di rumah Ust Md Khairul Anwar di Nabalu. Menariknya tempat ini menjadi sempadan dan hujung kepada 3 daerah, iaitu Tamparuli, Kota Belud dan Ranau.

Ust Md Khairul berasal dari Kulim Kedah. Sudah 5 tahun bertugas di SK Kaung, Kota Belud. Dahulunya beliau mengaji di Maktab Mahmud dan kemudian ke Shibin El Kom, Mesir menyambung di Universiti al-Azhar dalam kuliah Usuluddin – Tafsir sehingga 1998.

IMG_2196Di Nabalu, beliau tinggal di rumah guru SK Dallas, sekolah tempat isteri beliau Ustazah Rafidah Salleh bertugas. Jarak dari rumah di SK Dallas ke SK Kaung cuma 9km.

Ustazah Rafidah sebelum ini juga mengaji di Universiti al-Azhar, Mansoura dan tamat pada tahun 2000.

Bagi kami, Ust Khairul sekeluarga ada ruang dan boleh memilih untuk tinggal di Tamparuli, atau di Pekan Kundasang di mana umat Islam lebih ramai.

Tetapi beliau teguh untuk berada di kawasan ini yang majoriti penduduk Islamnya sangat sedikit.

Di kawasan ini, masjid dan surau memang tiada langsung. Pada hari jumaat, Ust Khairul terpaksa solat jumaat di Masjid Pekan Kundasang, kira-kira 30km.

Alangkah eloknya, jika kerajaan memikirkan untuk mendirikan sekurang-kurangnya sebuah surau khususnya di Pekan Nabalu, untuk kemudahan penduduk dan musafir beragama Islam. Pekan Nabalu ini adalah jalan utama menghubungkan Kota Kinabalu menuju Ranau, Sandakan dan Tawau.

IMG_2190Di SK Kaung, tempat beliau bertugas ada 30 pelajar muslim daripada 108 jumlah pelajar keseluruhan. Sementara di SK Dallas tempat isterinya bertugas, cuma ada 10 pelajar muslim daripada 86 pelajar.

Itu pun termasuk anak sulung mereka Khalidah Khairinah yang berada di tahun 1.

Selain Khalidah, pasangan Ust Khairul dan Ustazah Rafidah punya 2 lagi anak iaitu Abdullah Syatibi (4 tahun) dan Raihan Athirah (2 tahun).

Melihat raut wajah dan ceritanya, saya yakin Ust Khairul boleh meredah cabaran hidup bersama penduduk kampung yang rata-rata bukan Islam. Inilah ruangnya untuk memperlihatkan keindahan Islam kepada mereka.

Dalam masa yang sama, beliau boleh mengukuhkan kefahaman penduduk Islam yang beberapa kerat itu terhadap agama yang suci ini. Semoga beliau sekeluarga terus tabah.

%d bloggers like this: