Minggu lepas saya sempat berziarah ke Muzium Tamadun Islam Sabah. Muzium berkenaan dibuka setiap hari mulai jam 9 pagi hingga 5 petang.

Secara umumnya, mengunjungi muzium berkenaan satu pengalaman yang sangat menarik, khususnya melihat replika-replika pedang-pedang para sahabat Rasulullah SAW, al-Quran cetakan tangan, mengimbau pemerintahan khilafah Islam dan sebagainya.

Cuma ada beberapa perkara yang saya agak janggal dan menjadi persoalan.

Pertama, peraturan melarang mengambil gambar yang sepatutnya dikaji semula. Wallahu a’lam apa kewajarannya. Sebelum ini saya pernah ke Muzium Labuan dan tiada pula larangan mengambil gambar.

Kedua, dalam sudut ajaran sesat di tingkat atas, dimasukkan peristiwa Tragedi Memali sebagai kumpulan ajaran sesat yang kononnya menggunakan azimat di pinggang mereka. Benarkah mereka pernah dikategorikan sebagai kumpulan ajaran sesat?

Ketiga, dimasukkan juga ajaran Mandur Syariff sebagai sesat. Memang Mandur Syariff bukan seorang ustaz tetapi peranan dan jasanya mengislamkan ramai orang Islam di sebelah Pantai Barat Sabah khususnya di Ranau adalah satu fakta yang tidak dapat dinafikan.

Mandur Syariff yang berasal dari Jawa bekerja sebagai mandur di estet Kg Lobou Menggatal, berdakwah sehingga ke Ranau. Saya kira saudara wartawan Abd Naddin yang juga Ketua Penerangan Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Cawangan Sabah banyak maklumatnya.

Saya cadangkan takrif sesat itu dihuraikan lebih lanjut. Adakah sesat sehingga terkeluar daripada Islam ataupun hanya tersilap sahaja.