Tag Archive: Murtad


MOHAMMAD DJ

Sejak setengah tahun lalu, saya mengenali seorang anak muda berumur sekitar 20an bernama Mohammad DJ.

Saya pernah mengajaknya ke dalam satu program ziarah ke pedalaman, menghulur bantuan ke rumah orang miskin beberapa bulan lalu.

DJ adalah anak kepada sepasang suami isteri yang sudah berpisah sejak ia kecil. Ibunya adalah saudara baru manakala bapanya muslim asal.

Ketika umur Mohammad DJ baru beberapa tahun, kedua orang tuanya bercerai. Lebih malang, ibunya kembali ke agama asal – murtad. Setelah bercerai, Mohammad DJ dijaga oleh ibunya sehingga kini.

Mohammad DJ walaupun bernama Mohammad sehingga kini bukan beragama Islam.

***

Kisah benar ini adalah salah satu daripada kes yang banyak berlaku setelah perceraian, apatah lagi melibatkan pasangan muallaf. Ada banyak faktor luar dan dalam yang mempengaruhi peristiwa ini berlaku.

Kejahilan dan ketidakprihatinan masyarakat, kelesuan para guru agama, kelemahan undang-undang, semuanya ada saham.

Kepada para ustaz-ustazah, tolong bantu memberikan kefahaman Islam yang betul kepada masyarakat di mana kita berada. Kepada masyarakat sekeliling, akhlak yang  mulia adalah dakwah yang terbaik.

Catatan : Lapangan Terbang Tawau.

PERMOHONAN LINDA YONG DITOLAK

IMG_9475

Mahkamah Tinggi Syariah Kota Kinabalu semalam menolak permohonan Yong Ea Toh @ Linda Yong @ Nor Azlinda Yong, 45 tahun agar mahkamah mengisytiharkan beliau bukan beragama Islam.

Dalam keputusan penghakimannya, Hakim Yang Arif Ahmad Lakin menjelaskan bahawa pemohon masih lagi beragama Islam kerana mahkamah mendapati pemohon telah memeluk Islam secara sah pada 27 Jun 2008.

Hakim memberitahu, pengislaman seseorang dikira sah apabila memenuhi 3 kriteria iaitu lafaz dalam bahasa Arab, tiada unsur paksaan dan memahami makna syahadah.

Mahkamah katanya tidak bersetuju dengan alasan-alasan pemohon dan bersetuju dengan hujahan bantahan daripada pihak responden iaitu Pendaftar Muallaf  Negeri Sabah Tuan Hj Khamis Jamil.

Linda Yong dalam permohonannya melalui peguam Hamid Ismail berhujah bahawa dia diperdaya oleh seorang lelaki untuk memeluk Islam. Linda juga mendakwa dia tidak dibimbing untuk mendalami agama Islam.

Ketika membacakan keputusannya, Hakim Ahmad Lakin juga menjelaskan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai kuasa untuk mendengar kes-kes murtad, pengesahan keluar Islam dan bukan Islam atau seumpamanya.

Walaupun menolak permohonan Linda Yong, hakim memberi kebenaran kepadanya untuk memfailkan permohonan baru.

…………

Ini pengalaman pertama saya masuk mahkamah syariah dan membuat laporan berkenaan keputusan mahkamah syariah. Mungkin ada kesilapan atau kekurangan fakta dalam laporan ini atau tersilap dalam menentukan keutamaan laporan.

Mungkin Tuan ‘Erakita’ boleh bantu.

Kira-kira 20 orang pegawai JHEAINS hadir dalam ruang mahkamah semalam bagi mendengar keputusan hakim yang bermula pada jam 3.20 petang dan berakhir kira-kira 20 minit kemudian. 

ANGKARA INTERNET

Remaja murtad lari dari rumah selepas akrab dengan mubaligh di Facebook

Sumber : http://www.bharian.com.my/

IA sepatutnya cuma satu kes perselisihan biasa keluarga yang boleh berlaku di mana-mana pun, antara anak remaja yang memberontak dengan ibu bapa yang sekadar menjalankan tanggungjawab mereka.

Malangnya, gara-gara campur tangan pihak ketiga yang bermula menerusi internet, pertikaian itu berlanjutan dari rumah ke mahkamah, daripada seorang Islam menjadi murtad.

Inilah nasib pasangan suami isteri Sri Lanka yang menetap di Amerika Syarikat, Mohamed Bary dan Aysha Risana, selepas anak kesayangan, Fathima atau turut dikenali Rifqa, 17, memeluk Kristian dan lari dari rumah.

Dalam insiden Julai lalu, Rifqa Mohamed Bary, meninggalkan keluarganya di Ohio dan ke Orlando selepas perkenalan singkat dengan sekumpulan mubaligh Kristian, Global Rovolution Church di Orlando pimpinan paderi, Blake Lorenz dan isterinya, Beverly, di laman sembang popular, Facebook.

Rifqa kini tinggal di rumah keluarga angkat beragama Kristian itu sementara menunggu kes mahkamah berhubung nasib dirinya, selesai.

Belum pun air mata Mohamed Bary dan Aysha Risana kering selain cercaan sebagai ibu bapa zalim, kini mereka berdepan perebutan hak penjagaan Rifqa selaku waris yang sah, dengan kumpulan mubaligh berkenaan.

Dalam sekelip mata, kontroversi yang menjadi tumpuan media antarabangsa, bualan di alam siber selain mencetuskan perbalahan agama antara kumpulan Islam yang menyifatkan insiden itu masalah keluarga yang dimanipulasi pihak tertentu, manakala pertubuhan Kristian menganggapnya isu kebebasan beragama dan bukti betapa ‘perang suci’ Kristian-Islam semakin ketara.

Tidak ramai menyedari, di sebalik tuduhan dilemparkan, hakikatnya keadaan masih terkawal kerana toleransi masyarakat Islam Amerika yang tidak mudah melatah dengan kejadian itu.

Bayangkan keadaan yang pasti lebih buruk jika Rifqa adalah remaja Kristian yang melarikan diri ke rumah pendakwah Islam yang mungkin disusuli tunjuk perasaan serta tuduhan jenayah culik.

Apa dikesali, kejadian itu bukan lagi bertumpu kepada keluarga yang kehilangan anak serta kesalahan jenayah pasangan mubaligh menyembunyikan gadis bawah umur selama tiga minggu, tetapi cubaan jahat pihak tertentu menonjolkan Mohamed Bary dan Aysha sebagai ibu bapa kejam yang mahu membunuh Rifqa atas alasan ‘pembunuhan bermaruah,’ biarpun seperti kenyataan polis Columbus, Ohio, menyatakan tiada bukti bagi menyokong dakwaan itu.

Malah jika dilihat, ada dua versi berbeza mengenai kemelut diri Rifqa ini iaitu beliau murtad selepas berkawan baik dengan pasangan mubaligh Global Revolution Church yang ditemui di Facebook, manakala versi lain pula mendakwa Rifqa murtad lebih setahun lalu selepas berkawan rapat dengan anggota kumpulan gereja itu di sekolahnya.

Namun dalam kebanyakan laporan, termasuk kecaman media tempatan yang mempertikaikan peranan mubaligh itu yang menyebabkan Rifqa murtad dan lari dari rumahnya.

Jika tidak, mana mungkin remaja yang biarpun berusia 17 tahun tetapi bentuk tubuhnya yang kecil menyamai gadis 13 tahun memperoleh tiket bas yang membawanya ke rumah Blake.

Hanya selepas tiga minggu, barulah Blake memaklumkan keluarga Rifqa mengenai kehadiran remaja itu di rumah mereka.

Belum pun reda kejutan itu, ibu bapa Rifqa hanya mampu beristighfar melihat kemunculan anak gadis mereka di internet yang dalam dakapan Blake, menangis dan mendakwa diugut bunuh oleh ibu bapanya yang marah dengan tindakannya mendekati Kristian.

“Ayah mahu membunuh saya atau mungkin menghantar saya pulang ke Sri Lanka, ke rumah khas untuk orang murtad seperti saya,” katanya berulang kali, seolah-olah melontarkan skrip atau dialog disediakan pihak ketiga.

Rifqa mendakwa dirinya bakal menjadi mangsa ‘pembunuhan bermaruah’ yang dilakukan segelintir masyarakat Muslim di pedalaman Pakistan dan beberapa negara Arab yang lebih mengutamakan adat daripada mematuhi peraturan sebenar Islam.

“Saya sedih melihatnya. Dia bukan seperti Rifqa yang saya kenali. Fikirannya sudah diracuni pihak lain,” kata Mohamed Bary yang menyangkal tuduhan anaknya.

Peguam Mohamed Bary, Craig McCarthy berkata, keluarga Rifqa amat terkejut dengan dakwaan gadis itu kerana hakikatnya baik ibu mahu pun bapanya bukanlah jenis zalim.

Buktinya, Rifqa selama ini bebas melakukan apa saja, termasuk memakai skirt dan menyertai pasukan sorak yang tidak mungkin dilakukan gadis Muslim yang berasal dari keluarga alim.

Timbul persoalan, mungkinkah beliau diajar Global Revolution Church supaya menggambarkan kezaliman Islam dan ibu bapanya?

Tanpa rasa takut Blake secara terang-terang membuat pengakuan kepada wartawan beliau yakin tindakannya itu sebahagian ‘perang suci’ memerangi Islam.

“Ini adalah saat-saat akhir, detik di hujung zaman. Konflik Kristian dan Islam ini akan terus berleluasa. Konflik antara yang baik dan syaitan ini akan semakin ketara,” kata Blake, seperti dilaporkan media.

%d bloggers like this: