Tag Archive: Multaqa Ulamak SeMalaysia


multaqa1 multaqa2 multaqa3

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/33970-terus-istiqamah-bersama-kepimpinan-ulamak

USTAZ DATUK AHMAD YAKOB | 21 Februari 2015.

Firman Allah SWT, maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan dengan berkata: “Tuhan kami adalah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang benar, akan turunlah malaikat kepada mereka seraya berkata “Janganlah kamu takut dan janganlah kamu berdukacita, terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. (Surah Fussilat: 30)

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita merafakan kesyukuran yang tidak terhingga kehadrat Allah SWT diatas segala nikmat yang telah dikurniakan kepada kita semua dalam memperjuangkan agama-Nya di atas muka bumi ini. Sempena Multaqa Ulama Se-Malaysia yang di anjurkan oleh Dewan Ulama PAS Pusat pada tahun ini, saya mengajak seluruh hadirin dan hadirat untuk mengingati kembali penglibatan awal kita ke dalam Parti Islam Se-Malaysia PAS. Jadikanlah intima kita dalam PAS adalah semata-mata untuk mardhatillah dan buka selainnya.

Terus Istiqamah Bersama Kepimpinan Ulamak dipilih sebagai tema kepada Multaqa Ulama Se-Malaysia kali ini adalah sebagai menyahut seruan Presiden PAS yang terkandung dalam ucapan dasar beliau Terus Beristiqamah. Tuntutan beristiqamah ini amat bersesuaian dan tepat memandangkan cabaran dan tribulasi perjuangan PAS pada hari ini semakin mencabar dari luar dan dalam. Hanya mereka yang istiqamah mampu menghadapinya dengan tenang. Berapa ramai pejuang terdahulu dalam PAS yang telah meninggalkan kita dan mereka berjuang dengan penuh istiqamah dan kita pada hari ini ditegaskan agar terus beristiqamah diatas dasar perjuangan yang telah ditetapkan.

Baharu 10 hari lepas kita dikejutkan dengan pemergian Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sememangnya kita amat memerlukan beliau dalam mengharungi mehnah perjuangan ini, namun Allah terlebih sayangkan kepada beliau. Kita telah kehilangan sosok pejuang dan murabbi ummah yang agung dalam PAS. Beliau telah istiqamah sehingga ke akhir hayat perjuangan dan Allah telah anugerahkan husnul khatimah yang semua mata menyaksikannya. Sama-sama kita berdoa semoga Allahyarham Tok Guru ditempatkan di Syurga Firdaus yang paling tinggi, insya-Allah.

اللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَدْخِلْهُ الجَنَّةَ يَا رَبَّ العَالَمِيْنَ

Tuntutan beristiqamah ini adalah suatu yang utama dan ia adalah sahutan kepada seruan Nabi SAW setelah kita beriman kepada Allah SWT. Dinyatakan dalam sebuah hadis:
عَنْ سُفْيَانِ بْنِ عَبْدِ اللهِ قال: قُلْتُ یَا رَسُولَ الله قُلْ لِّيْ فِي الإِسْلَامِ قَوْلًا لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا غَيْرَكَ قال : قُلْ آمَنْتُ بِاللهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ
Daripada Sufian ibn Abdullah r.a. beliau berkata: Aku berkata: Wahai Rasulullah, Ajarkan untukku dalam lslam suatu ucapan yang aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain selainmu. Baginda bersabda: Ucapkanlah: Aku beriman kepada Allah. Kemudian hendaklah engkau beristiqamah. (Riwayat Muslim)

Kita wajib beristiqamah bersama Islam serta berpegang kepada dasar yang digariskan dalam perlembagaan PAS. Ianya menggariskan bahawa hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitabullah dan Sunnah Rasul serta Ijma Ulama dan Qiyas. Istiqamah dalam perjuangan ini memberi makna yang jelas bahawa sebarang tindakan kita, sama ada dalam aspek politik, dakwah, tarbiyah; semuanya mestilah dalam panduan hukum yang tertinggi ini.

Perjuangan suci demi mendaulatkan agama Allah adalah sebuah perjuangan yang tidak bermusim dan tidak juga bertepi. Islam meletakkan aqidah sebagai asas utama dalam perjuangan. Bahkan ia merupakan rahsia kekuatan Islam sepanjang zaman. Dengan kata lain, Islam tidak menjadikan isu dan persoalan semasa sebagai landasan utama untuk kita berjuang akan tetapi persoalan aqidah adalah teras dan dasar perjuangan PAS.

Matlamat utama perjuangan Islam adalah untuk meninggikan kalimah Allah iaitu dengan terlaksananya syariat-Nya. Dasar dan pegangan PAS tidak lain adalah memperjuangkan lslam. Dasar ini tidak pernah berubah dari dahulu hinggalah sekarang. PAS yang ditubuhkan pada tahun 1951 ini mempunyai matlamatnya yang telah jelas iaitu:

i. Menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan serta berpegang teguh kepada Al-Quran dan Sunnah.

ii. Bercita-cita melaksanakan hukum Allah di dalam pemerintahan dan seterusnya mendirikan Daulah Islamiah.

Dalam perlembagaan PAS sudah dinyatakan hal ini, iaitu dibawah tajuk Tujuan PAS dalam FASAL 5 ceraian 1 berbunyi: memperjuangkan wujudnya dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana didalamnya nilai-nilai hidup islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

Sementara dalam FASAL 6 ceraian 2 nas yang berbunyi: memperjuangkan islam sebagai akidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara.

Dengan tujuan itulah, kita telah bersepakat untuk menegakkan hukum Allah supaya ia tertegak dalam Negara kita. Apabila Negeri Kelantan ingin melaksanakan Kanun Jenayah Syariah yang telah sekian lama diluluskan di Dewan Undangan Negeri, maka ini adalah agenda utama PAS untuk memberi sokongan yang padu terhadap usaha menegakkan perundangan Allah yang sudah termaktub dalam perlembagaan PAS ini.

Baru-baru ini, rakyat berhadapan dengan keputusan kes liwat yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Penghakiman tersebut tidak berlaku berlandaskan prinsip keterangan undang-undang jenayah Islam. Maka sudah sampai masa rakyat dan Negara kita kembali kepada prinsip perundangan Islam dan kaedah keterangan undang-undang jenayah Islam. Keadaan ini menguatkan lagi betapa pentingnya Kerajaan Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah dan patut disokong oleh semua pihak termasuk rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Tuntutan kita dalam PAS pada hari ini ialah membina kekuatan diperingkat anggota parti dan kita pasti tidak dapat bertahan dalam berhadapan dengan gelombang dan arus yang mencabar sekiranya kesatuan amal dan kesatuan fikrah (wahdatul fikri wa wahdatul amal) tidak wujud di kalangan ahli-ahli peringkat bawahan dan pimpinan yang mengemudi bahtera ini. Oleh yang demikian, perkara ketaatan kepada pimpinan merupakan suatu yang utama untuk diberi perhatian dalam PAS. Dalam soal ketaatan ini Allah telah menyatakan dalam firmanNya:

إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَنْ يَقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, apabila mereka dipanggil kepada Allah dan RasulNya agar Rasul menghukum di antara mereka ialah ucapan, “kami mendengar, dan kami patuh”, dan mereka itulah orang-orang yang beruntung”. (Surah Al-Nur ayat 51)

Sementara dinyatakan dalam sabdaan Nabi SAW:

عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ إِلَّا أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةٍ فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ

Maksudnya: “Dengar dan taat adalah menjadi kewajipan kepada setiap muslim dalam perkara yang dia suka atau tidak, selagi dia tidak disuruh dengan kemaksiatan, jika disuruh ke arah kemaksiatan maka tidak perlu lagi dengar dan taat (Riwayat Muslim)

Hadis ini menekankan ketaatan kepada pemimpin selagimana tidak disuruh melakukan maksiat. Oleh itu keputusan pemimpin dalam situasi dimana pemimpin atau Presiden kita melaksanakan hak prerogatifnya perlulah diterima dan janganlah mudah menyalahkan Presiden sekiranya seseorang individu itu tidak berpuashati. Kita dibolehkan berbeza pendapat dalam perkara furu (cabang), tetapi selepas sesuatu keputusan dibuat, maka tiada pilihan lagi kecuali taat dan patuh kepada keputusan tersebut, walaupun mungkin bertentangan dengan pendapat sendiri.

Ketokohan YB Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS dalam hubungan luar dan rangkaian kerja gerakan Islam sehingga dilantik sebagai Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia patutlah menjadi contoh. Taraf Tuan Guru Presiden adalah taraf Ustaz Mursyid yang tertinggi dari sudut Hiraki Harakah Islamiyah yang sukar dijumpai dimana-mana. Kepimpinan Dewan Ulama PAS khususnya dari kalangan ulama pelapis perlulah berjiwa besar untuk menjadi penerus kepada kecemerlangan rangkaian yang telah dibentuk oleh YB Tuan Guru Presiden ini.

Akibat tidak taat kepada keputusan pimpinan tertinggi bermakna seseorang itu telah menempah dosa kerana telah melanggar baiah yang telah diikat antara dirinya dan Allah SWT. Ia juga dikira sebagai pengkhianatan kepada parti. Soal ketaatan ini bukan untuk memperbodohkan ahli bawahan dan mendewakan pimpinan. Jika dinilai dari sudut keputusan ketua dan pimpinan parti Islam, maka setiap keputusan itu sebenarnya bukanlah satu keputusan yang keluar mengikut hawa nafsu tetapi ia mempunyai fiqahnya yang tersendiri. Ini bersandarkan dalil-dalil syarie untuk menjaga survival parti dan dasar serta hala tuju parti daripada kerosakan dan kemusnahan yang bakal menimpa sekiranya masing-masing merasakan dirinya paling bijak dan mahu membuat keputusan sendiri sesuka hati. Oleh yang demikian, soal ketaatan bukanlah soal yang remeh kerana ia adalah perkara yang bersifat معلوم من الدين بالضرورة

Sabda Rasulullah SAW dalam hal ini:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya dilantik Pemimpin itu adalah untuk diikuti. (Riwayat Bukhari)

Merujuk kepada apa yang berlaku mutakhir ini, PAS sebagai parti politik dalam masa yang sama sebagai harakah islamiyah, mendokong konsep السمع والطاعة dengar dan patuh kepada kepimpinan tertinggi parti iaitu Majlis Syura Ulamak (MSU) dan Presiden parti. Ia merupakan persoalan asas dan adab yang tertinggi dalam PAS yang wajib difahami dan di amalkan oleh semua anggota parti. Selain itu dengan adanya Majlis Syura Ulamak, ia memandu perjalanan parti kita agar tidak tersasar dijalanan. Majlis Syura Ulamak diberi kuasa pemutus dalam perkara ijtihadi dan ia adalah badan tertinggi parti serta keputusannya adalah wajib diikuti. Hal ini kerana MSU adalah penghurai kepada dasar PAS yang empat iaitu Quran, Sunnah, Ijma dan Qias.

Maka, perjuangan yang dibawa berlawanan dengan MSU tersebut, dasar tidak puas hati dan tidak mematuhi kepimpinan akan melenyapkan matlamat asal kita. Di sini, kita mesti beristiqamah dengan segala arahan yang dikeluarkan oleh PAS Pusat dan juga Majlis Syura Ulamak (MSU) serta penegasan daripada Presiden PAS sendiri. Sebarang pelanggaran arahan MSU dan keputusan Presiden adalah satu kesalahan mandatori dalam undang undang PAS walau apa jua alasan dan sebab yang diberikan serta jawatan yang disandang.

Merujuk kepada NGO Pasma yang secara terang-terangan masih bergiat aktif sedangkan MSU termasuklah Presiden PAS sendiri telah mengeluarkan arahan kepada mana-mana ahli PAS agar tidak terlibat dengan NGO ini, jelas ia adalah satu usaha untuk merosakkan PAS dan menghancurkannya dari dalam serta memecah-belahkan PAS. Ini dapat disaksikan apabila banyaknya kenyataan-kenyataan ahli Pasma jelas menyerang dan melanggar dasar PAS bahkan yang lebih teruk lagi mereka mengeluarkan kata-kata menghina ulama dan Presiden PAS sendiri.

Hari ini, berlaku serangan terhadap Kerajaan Negeri Kelantan yang ingin melaksanakan Kanun Jenayah Syariah apabila saya dengan tegas menyatakan bahawa insya-Allah Kerajaan Negeri akan membuat pelaksanaan undang-undang islam ini pada 2015. Nada yang dimainkan oleh golongan yang tidak berpuas hati ini sama seperti nada juhala Umno dan orang bukan islam yang menentang pelaksanaan hudud. Ini tidak lain hanya kerana pemikiran liberal yang merosakkan akidah semakin menular di kalangan ahli PAS yang menyokong Pasma dan mereka sanggup memberikan wala mereka kepada pemimpin parti lain tetapi tidak kepada Presiden PAS.

Keputusan Majlis Syura Ulama dan Presiden agar ahli-ahli PAS menjauhi Pasma dan tidak terlibat dengan segala aktiviti mereka mempunyai banyak asas. Antaranya ialah wujud aliran pemikiran songsang dalam individu-individu yang terlibat dengan Pasma yang bersetuju dengan ajaran liberalisme atau Islam liberal. Ini sebenarnya telah wujud apabila suara-suara untuk mengetepikan pelaksanaan syariat Islam demi mencapai kemenangan dalam pilihanraya menjadi inti ucapan mereka. Aliran pemikiran tajaan barat ini dilihat bertapak dalam PAS yang membuatkan sebilangan anggota PAS telah tersasar matlamat sebenar perjuangan Islam iaitu mendaulatkan syariat Allah SWT.

Golongan ini mencari kemenangan bukan dengan mengikuti manhaj yang diredhai Allah berdasarkan kaedah-kaedah syariah tetapi lebih kepada mengutamakan matlamat walaupun caranya berlawanan dengan Panduan Al-Quran dan Hadis. Dengan cara ini mereka berharap memperolehi kekuatan dan kemuliaan, padahal kekuatan dan kemuliaan tersebut hanyalah milik Allah SWT dengan melaksanakan manhaj Islam yang asli. Malah tidak berlebihan jika dikatakan bahawa aliran Islam liberal sebenarnya ingin mencipta manhaj tersendiri, lalu menumpang sekaki di atas perjuangan agama Islam demi mencari kekuatan dan kedudukan. Diharap ahli-ahli PAS walaupun seorang tidak terlibat dengan anutan sesat yang merosakkan ini.

Bagi memastikan anasir-anasir perosak ini tidak lagi mengambil kesempatan daripada perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS, Dewan Ulama PAS Pusat menggesa kepada pihak Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat melalui Jawatankuasa Disiplin agar mengambil tindakan disiplin ke atas mana-mana pemimpin dan ahli PAS yang terlibat dengan Pasma.

Baru-baru ini kita turut dikejutkan dengan satu isu berkaitan akuan berkanun yang mendakwa terdapatnya gerakan dalaman untuk menjatuhkan Presiden yang terdiri daripada kalangan pemimpin PAS Pusat serta ahli kumpulannya yang berada di dalam sebuah kumpulan yang menggunakan Whatsapp sebagai medium komunikasi mereka. Merujuk kepada akuan berkanun tersebut terdapat gerakan yang cuba menjatuhkan Presiden dengan cara yang tidak syarei.

Sekiranya benar dakwaan tersebut, pihak Dewan Ulama PAS meminta kepada pihak yang membuat dakwaan supaya membuat laporan disiplin bagi memastikan isu tersebut tidak berlarutan dan berpanjangan supaya satu siasatan dalaman boleh dilakukan. Sekiranya tiada laporan disiplin dibuat, ia akan mengundang budaya tuduh-menuduh yang tidak berkesudahan.

Setelah laporan disiplin dibuat, pihak Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat agar menyegerakan siasatan di bawah Jawatankuasa Disiplin ataupun ditubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang bukan dianggotai oleh AJK PAS Pusat untuk menyiasat berkenaan laporan dakwaan tersebut sama ada benar atau sebaliknya. Pihak kami memandang serius terhadap dakwaan tersebut kerana ia melibatkan persoalan wala dan akhlak yang boleh merosakkan imej parti yang berasaskan Islam.

Antara aspek yang diberi tumpuan oleh PAS setelah perkara tarbiyah, dakwah ialah aspek politik ataupun pemerintahan. Dalam aspek ini, ianya memerlukan seni dan juga strategi yang menatijahkan matlamat yang baik demi kebaikan seluruh masyarakat. Namun, di sebalik strategi yang diatur, ianya tidak boleh melanggar perkara yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. Sepertimana yang dipetik daripada kata Imam Syafie Rahimahullah:

لَا سِيَاسَةَ اِلَّا مَا وَافَقَ الشَّرْعُ

Maksudnya: “Tidak boleh lakukan gerak kerja politik itu melainkan apa yang menepati syarak”.

Justeru, setiap perencanaan politik yang dilakukan perlu mengikut garis panduan syarak yang ditetapkan. Sekiranya strategi tersebut bercanggah dengan syara, maka perkara tersebut perlu ditolak walaupun memberi kebaikan kepada parti dan masa depan PAS.

Pendekatan Tahaluf Siyasi yang direncanakan oleh kepimpinan politik mutakhir ini merupakan strategi yang diharuskan sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. Namun, pendekatan ini bukanlah merupakan sebuah matlamat asas yang mesti dicapai, akan tetapi sebagai satu strategi dan wasilah sahaja supaya Islam dapat ditegakkan. Dalam meneliti konsep tahaluf islam ini, Allah membenarkan pihak islam untuk meleraikan tahaluf yang telah dirosakkan oleh pihak rakan tahaluf lain. Ini disebabkan pengkhianatan dalam tahaluf adalah jalan kepada kemusnahan kekuatan tahaluf dan tiada lagi manfaat kepada tahaluf itu. Hal ini adalah bersandarkan kepada ayat:

وإِمَّا تَخَافَنَّ مِنْ قَوْمٍ خِيَانَةً فَانْبِذْ إِلَيْهِمْ عَلَىٰ سَوَاءٍ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْخَائِنِينَ

Maksudnya: “Dan jika engkau mengetahui adanya perbuatan khianat dari sesuatu kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu) maka campakkanlah (perjanjian itu) kepada mereka dengan cara terus terang dan adil. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang khianat. (Surah Al-Anfal: 58 )

Kalimah Fanbiz ilaihim adalah kenyataan arahan yang membawa erti tinggalkan perjanjian yang dipersetujui. Pada hari ini PAS telah memutuskan tetap bersama dengan tahaluf siyasi dengan rakan-rakan dari kompenan parti lain, jadi kita mesti meneruskan keputusan ini.

Namun janganlah ada pihak yang menyelar tindakan Dewan Ulama PAS Pusat yang mengadakan perbincangan tentang tahaluf serta membuat kajian baru ke atasnya. Pembatalan tidak berlaku dengan kajian ini, dan kajian ini dibuat boleh jadi terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa untuk mencantik dan melengkapkan lagi tahaluf kita. Dalam hal ini persoalan ukhuwwah dan lapang dada amat perlu dititik beratkan oleh semua kompenan Pakatan Rakyat. Perlu diingat oleh ahli PAS, dikala kita bertahaluf jangan sampai ada berlaku wala kepada rakan tahaluf, kita bekerjasama untuk mencapai tujuan yang disepakati tanpa mengenepikan dasar PAS. Jangan sampai berlaku prinsip-prinsip islam dibiarkan tidak dipertahankan demi menjaga tahaluf siyaasi. Dewan Ulama PAS Pusat selaku Dewan yang berperanan sebagai penasihat kepada perjalanan parti akan sentiasa memantau perkara ini dan memberi nasihat daripada semasa ke semasa.

Perlu diingat juga bahawa kemenangan dalam perjuangan adalah satu perkara yang sentiasa menjadi halatuju dalam setiap perjuangan parti. Tidak kira perjuangan itu benar atau batil, pejuang itu muslim atau tidak, masing-masing meletakkan harapan untuk mencapai kemenangan dengan berusaha untuk mengatasi yang lain.

Islam mempunyai pandangannya yang tersendiri tentang kemenangan, berbeza dengan konsep kemenangan dalam agama atau ideologi serta fahaman lain. Di dalam al-Quran, Allah SWT menggunakan beberapa istilah kemenangan iaitu al-falah, al- fawz, al-nasr dan al-fath. Masing-masing mempunyai pengertian yang berbeza. Kemenangan di akhirat adalah kemenangan yang sebenar. Walaupun pejuang-pejuang Islam itu kalah atau gugur di medan peperangan, namun pada hakikatnya mereka telah beroleh kemenangan. Kemenangan inilah yang menjadi matlamat sebenar di dalam perjuangan Islam.

Setiap pejuang Islam dalam PAS perlu menyakini bahawa kemenangan adalah kurniaan Allah dan bergantung kepada izin dan kehendak Allah. Bila-bila masa Allah boleh mengurniakan kemenangan atau menarik nikmat itu dan memberikan kekuasaan kepada golongan lain. Justeru, para pejuang Islam perlu mengambil berat hakikat ini agar kemenangan Islam itu dibina atas dasar kefahaman dan penghayatan Islam dalam mengisi kemenangan. Maka jangan ada dikalangan anggota parti yang mahu kemenangan segera atau hanya yakin kemenangan dicapai dengan ramai bilangan ahli dan dengan perancangan jentera kita yang hebat. Kemenangan adalah hak Allah maka dengan laksana hak Allah baharu kemenangan diperolehi.

Alhamdulillah, PAS telah membuktikan ketabahannya dalam menghadapi apa juga cabaran dan rintangan. PAS telah mentarbiyah ahli dan penyokongnya supaya mengutamakan kepentingan parti daripada yang lain-lain serta terus beristiqamah, berakhlak mulia dan sentiasa mencerminkan syakhsiyah lslam. PAS mestilah tetap dengan identitinya disamping berkewajipan pula menyatu dan meningkatkan lagi penyatuan hati di kalangan ahli dan penyokong-penyokongnya. Dengan kesepaduan sokongan daripada ahli-ahli dan penyokong, PAS bukan sahaja mampu menghadapi lawan dengan mudah, malah boleh mengalahkan mereka.

Sebagai parti yang mempunyai sikap dan prinsip tersendiri, perjuangan PAS tidak mungkin boleh dijual beli. Atas sebab-sebab itu, maka PAS tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak sekiranya ia boleh menjejaskan dasar dan identiti PAS. Harapan kita, agar semua ahli PAS bermula daripada pimpinan tertinggi sehinggalah kepada akar umbi terus bekerja mengikut apa yang telah diputuskan oleh pimpinan tertinggi dan jangan istijal untuk menang serta suka mengguna pemikiran tersendiri apatah lagi bekerja dengan sikap keindividuan. Bersabarlah dengan sesuatu keputusan yang telah diputuskan khususnya dalam situasi masa kini, semuanya menguji kesabaran kita, perkara-perkara sebegini amat perlu kita tekankan dalam parti demi meraih keredaan Allah.

Firman Allah SWT, maksudnya: Dan bersabarlah kerana tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah. Janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (Surah Al-Nahl: 127-128)

HARAKAHDAILY 21/2/2015

mus

1. Individu yang faqih memahami al-Quran dan al-Sunnah mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi Allah dengan syarat disertai dengan taqwa sebagaimana sabit dalam al-Quran dan al-Hadis. Nabi bersabda :

ُ مَنْ يُرِدْ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ

Sesiapa yang Allah mahukan untuk dirinya satu kebaikan maka Allah bagi kefaqihan (kefahaman mendalam) dalam agama. Hadis Bukhari.

2. Menjelaskan kedudukan dan kelebihan ulamak secara umum sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam hadis tidak bererti mensucikan individu yang alim daripada kelemahan dan kesilapan.

3. Ulamak bukan jenama eksklusif milik golongan atau institusi tertentu seperti Majlis Syura Ulamak, Dewan Ulamak, Persatuan-persatuan Ulamak, Majlis-majlis Ulamak dan seumpamanya tetapi ia adalah sifat yang boleh dimiliki oleh sesiapa yang menguasai disiplin ilmu wahyu yang baik dengan kemampuan bahasa arab yang mantap dan mampu merujuk kepada al-Quran dan al-Hadis meskipun dia seorang peniaga, petani, kerani, ahli politik, doktor, jurutera dan sebagainya.

4. Mencadangkan Presiden dan Timbalan di kalangan “ulamak yang faqih dan memahami realiti semasa” adalah cadangan berasaskan merit dan kelayakan untuk diberi keutamaan (afdhal/lebih baik) untuk menjadi pemimpin iaitu ilmu agama di samping sifat kepimpinan yang lain seperti beriman, bertaqwa, bijak dan amanah.

5 . Cadangan tersebut tidak menafikan kelayakan untuk memimpin bagi individu-individu yang mempunyai sifat-sifat pemimpin seperti beriman, bertaqwa, bijak dan amanah namun memiliki kekurangan pada keilmuan dan kefaqihan agamanya.

6. Cadangan tersebut juga tidak menghalang mana-mana individu yang mempunyai sifat kepimpinan seperti beriman, bertaqwa, bijak dan amanah tetapi masih kekurangan pada keilmuan dan kefaqihan agamanya, meskipun latar belakang pekerjaannya pelbagai tetapi masih tetap berkelayakan untuk menjadi pemimpin di semua peringkat parti sama ada cawangan, kawasan mahupun pusat. Dan itulah yang telah berlaku selama berdekad dalam PAS sejak awal penubuhannya.

7. Cadangan ilmu dan faqih agama sebagai merit kelayakan pemimpin utama gerakan Islam bukanlah cadangan yang undur ke belakang sebagaimana dakwaan setengah pihak kerana ia selari dgn Islam sebagaimana yang telah dicontohkan oleh para rasul dan khulafa rashidin. Kegemilangan mereka menjadi teladan kepada kita dalam mengemudi gerakan Islam pada masa kini. Merit ini perlu turut digabungkan dengan sifat quwwah dan amanah yang menjadi sebahagian kriteria umum kepada sesebuah kepimpinan. Malah menentang cadangan tersebut adalah langkah mundur meninggalkan Islam yg menjadi asas rujukan gerakan Islam.

8. Gerakan Islam bermatlamat memandu manusia kepada Islam dan mendapatkan kuasa untuk memerintah dengan Islam. Usaha gerakan Islam ialah membentuk kerajaan yang berfungsi

 إقامة الدين وسياسة الدنيا به

“Menegakkan agama dan mentadbir bumi dengan agama”

Justeru selayaknya dan sewajarnya keilmuan dan kefaqihan mendalam tentang Islam menjadi pra syarat dan merit tambahan untuk menjadi pemimpin utama gerakan Islam. Sebagaimana organisasi perubatan selayak dan sebaiknya dipimpin oleh mereka yang paling berkepakaran tentang perubatan tanpa menafikan kelayakan orang-orang yang juga berada di bidang perubatan.

9. Seorang individu yang alim tetapi tidak memiliki sifat-sifat kepimpinan yang lain seperti beriman, bertaqwa, bijak dan amanah sewajarnya tidak diberikan amanah kepimpinan.

10. Serangan berbentuk cemuhan dan tohmahan terhadap resolusi Multaqa Ulamak Se-Malaysia ini dibimbangi hanya berasaskan emosi dan bukannya berasaskan ilmu. Ahli-ahli PAS tidak sewajarnya terikut-ikut dengan segelintir penulis maya yang berbahasa kotor, jijik dan sinis. Nabi SAW bersabda :

 لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلا اللَّعَّانِ وَلا الْفَاحِشِ وَلا الْبَذِيءِ “

Bukanlah mukmin itu seorang yang terlalu suka mengecam dan membuat tohmahan, tidak juga yang terlalu suka melaknat, tidak juga berbahasa lucah dan tidak juga berbahasa kotor dan jijik. (Hadis riwayat Ahmad dan Hakim )

11 . Sikap memperbodohkan pandangan dan resolusi multaqa yang dibuat secara jamaei oleh ulamak bukanlah sebahagian daripada akhlak Islam kerana ia gambaran keegoan dan keangkuhan pandangan. Jauh sekali menjadi akhlak kepada pendokong gerakan Islam. Dibimbangi akan termasuk dalam kategori peringatan Nabi saw :

أَخْوَفُ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ ثَلاثُ مُهْلِكَاتٍ : شُحٌّ مُطَاعٌ ، وَهَوًى مُتَّبَعٌ ، وَإِعْجَابُ كُلِّ ذِي رَأْيٍ بِرَأْيِهِ “

Yang paling saya bimbang terhadap kamu tiga perkara yang membinasakan; kebakhilan yang ditaati, nafsu yang diikuti dan kekaguman setiap individu yang memberikan pandangan dengan pandangannya. (Riwayat al- Bazzar dan al-Asbahani)

12. Tidak ada sebab untuk ahli-ahli gerakan Islam yang tidak mempunyai ilmu mendalam tentang Islam terasa dipinggirkan daripada kepimpinan gerakan Islam sekiranya mereka memahami fungsi dan matlamat perjuangan gerakan Islam. Ia sepatutnya menjadi cabaran kepada setiap ahli-ahli gerakan Islam untuk berusaha menambahkan ilmu tentang Islam untuk melayakkan mereka juga mempunyai merit tambahan sebagai pemimpin gerakan Islam sementelah lagi mendalami Islam itu sememangnya tuntutan Islam dan tuntutan perjuangan. Malah setiap ahli PAS boleh berperanan dan menyumbang untuk kemajuan dakwah dan perjuangan PAS dengan pelbagai cara berdasarkan kelebihan yang dimiliki oleh setiap orang kerana nilaian di sisi Allah pada kerja dan amal.

{وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ} [التوبة:105]

Dan katakanlah oleh kamu semua; bekerjalah pasti nanti Allah melihat kerja kamu dan juga ia dilihat oleh Rasul-Nya dan orang2 beriman”

13. Perjawatan dalam gerakan Islam adalah amanah dan tanggungjawab membawa Islam dan bukannya kemuliaan yang menjadi rebutan individu yang menganggotainya. Resolusi Multaqa mencadangkan merit kelayakan memikul amanah dan tanggungjawab bagi menjadi pertimbangan ahli dalam memilih pemimpin yang menggalas amanah.

14. Apatah lagi resolusi hanya menegaskan syarat tambahan itu khususnya untuk perjawatan Presiden dan Timbalan dan sebahagian Naib Presiden yang merupakan pengemudi utama gerakan Islam. Ia tidak merujuk kepada perjawatan-perjawatan lain.

15. Tidakkah selama ini sejak awal penubuhan PAS, kuliah ilmu Islam dalam pelbagai bentuk merupakan sebahagian daripada agenda utama Parti Islam Semalaysia PAS. Dengan penyebaran ilmu inilah masyarakat semakin meninggalkan kejahilan dan jahiliyyah pemerintah BN dan UMNO harini. Maka selayaknya kefahaman agama menjadi nilaian dalam menentukan kepimpinan oleh ahli-ahli PAS. Atau adakah kerana leka berpolitik semata-mata menyebabkan ahli-ahli PAS tidak lagi melihat kefahaman agama mendalam sebagai suatu yang mendasar dan paksi dalam perjuangan serta nilai tambah kepimpinanan?

16. Cadangan Presiden dan Timbalan di kalangan “ulamak yang memahami dan faqih tentang Islam dan realiti semasa” bukanlah satu bentuk “meminta jawatan” sebagaimana dakwaan sebahagian pihak. Ia adalah penegasan prinsip dan kaedah penilaian kepimpinan. Multaqa Ulamak mencadangkan sebagai satu kewajipan orang berilmu untuk menyatakan pandangan Islam dalam kepimpinan. Jika para alim ulamak tidak menyatakannya, siapakah lagi yang diharapkan untuk menjelaskan prinsip tersebut. Malah ulamak tidak perlu malu untuk bertindak sedemikian bahkan malu menyatakan kebenaran adalah usikan syaitan supaya ulamak menyembunyikan kebenaran.

17 . Jawatan dalam Islam tidak boleh diminta atau dituntut oleh individu Islam sebagaimana seseorang individu meminta dirinya dipilih menjadi Presiden dan Timbalan. Inilah penegasan hadis-hadis Nabi SAW. Resolusi Multaqa adalah resolusi jamaei secara beramai-ramai oleh ulamak untuk menegaskan nilai tambah syarat kepimpinan iaitu “faqih” dan bukannya perlakuan meminta jawatan oleh individu untuk dirinya sendiri secara individu. Kekeliruan memahami hukum “meminta jawatan” ini perlu dirungkai supaya tidak berlaku kekeliruan hukum lalu menempelak ulamak kononnya meminta jawatan.

18. DUPP sangat yakin dengan perjalanan panjang PAS yang berusia 62 tahun, ia memiliki sangat ramai ahli-ahli yang mempunyai nilai tambah kepimpinan yang “faqih” tentang Islam dan realiti semasa meskipun ia belum dikedepankan lagi kepada ahli untuk alternatif pilihan dalam muktamar pemilihan.

19 . DUPP menegaskan bahawa resolusi Multaqa agar Presiden dan Timbalan sewajarnya daripada kalangan ulamak (orang-orang berilmu) yang faqih tentang Islam (memahami dengan mendalam al-Quran dan al-Sunnah) dan realiti semasa (seperti isu politik semasa) adalah resolusi yang selaras dengan saranan Islam. Ia dilontarkan kepada seluruh ahli-ahli PAS untuk bahan penilaian atas kesedaran bahawa perlembagaan PAS tidak meletakkan syarat tersebut sebagai syarat wajib maka ia terbuka untuk menjadi syarat nilai tambah kepada kelayakan berasaskan Islam.

20. Merit kefahaman agama mendalam sebagai kelayakan terbaik menjadi pemimpin sangat penting dan mendasar. Nabi saw bersabda :

 إِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِذَا أُسْنِدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ

Apabila amanah dipersiakan maka tunggulah kiamat. Sahabat bertanya; bagaimana amanah dipersiakan? Baginda menegaskan “apabila sesuatu urusan disandarkan kepada bukan ahlinya (tidak berkelayakan) maka tunggulah kiamat” Hadis Bukhari

YB Ustaz Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat

Sumber : http://www.pas.org.my/v2/index.php/artikel/presiden-pas/1928-pas-berjaya-damaikan-antara-kaum-tua-dan-muda

ALOR SETAR: Sepanjang perjalanan PAS dapat memelihara bahtera perjuangan tanpa bocor dan tenggelam sama ada cabaran dalam bahtera atau cabaran luar iaitu ombak dan gelombang. Menurut Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ketika PAS ditubuhkan berlaku pertembungan antara kaum tua dan muda.

“Kaum muda membawa pemikiran tajdid yang berhadapan dengan penjajah. Ada yang melampau dan ada yang mempermudah-mudahkan. Tapi PAS berjaya mendamaikan antara dua pihak,” ujar beliau ketika menyampaikan ucapan penutup pada Multaqa Ulamak Se-Malaysia anjuran Dewan Ulamak PAS Pusat di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut semalam.

Berikut ialah petikan ucapan penutup Tuan Guru Abdul Hadi pada Multaqa Ulamak Se-Malaysia.

“Dan Kami jadikan di kalangan mereka pemimpin-pemimpin yang mengambil petunjuk berdasarkan perintah Kami tatkala mereka terus bersabar.”

1. Kita bersyukur menjadi salah seorang pejuang dalam Parti Islam Se-Malaysia PAS yang merupakan mata rantai gerakan Islam yang tidak berakhir hanya dengan wafatnya Nabi s.a.w.

2. Allah gantikan tugas menyambung risalah nabi-nabi dengan gerakan Islam yang disebut sebgai “taifah” dalam hadis. Kumpulan ini menyambung tugas mendaulatkan pemerintahan Islam.

3. Walau tak ada negara Islam berdaulat namun kumpulan Islam tetap muncul kerana cahaya Islam dijanjikan oleh Allah tidak akan padam.

4. Mungkin ada yang tak sedar kalau tidak dibaca sejarah Islam. Alam Melayu adalah negeri awal dijajah di kala negara-negara Arab masih lagi di bawah kuasa khilafah Uthmaniyah dan belum dijajah.

5. Maka ulama Melayu bangkit menentang penjajahan dengan menubuhkan Syarikat Islam 1908. Berkembang cawangan di seluruh Tanah Melayu.

6. Mereka bangkit menentang sekularisma yang memberikan kuasa agama kepada raja manakala kuasa pemerintahan lain kepada penjajah hingga meranapkan kefahaman Islam.

7. Kumpulan Islam menubuhkan pondok dan institusi pendidikan serta mengadakan kuliah di masjid surau mempertahankan Islam.

8. PAS adalah mata rantai gerakan Islam ini. Malah kita lebih awal berhadapan dengan demonstrasi di kala saudara-saudara kita di Asia Barat belum berhadapan dengannya.

9. Ulama mempunyai peranan lebih besar berbanding golongan lain dalam memimpin tanggungjawab ini.

10. Perkataan ‘ulil amri dalam al-Quran disebut dalam kitab tafsir merujuk kepada ulama dan pemerintah dengan maksudnya kedua-duanya mesti ditaati.

11. Ulama adalah uli amri kepada rakyat. Ini disebut dalam kitab-kitab tafsir. Kedudukan ulama ini jangan dilupakan.

12. Perlembagaan PAS adalah al-Quran, hadis, ijmak, qiyas dengan aqidah ahli sunnah. Tiada yang boleh menjaga dasar ini melainkan ulama.

13. Sepanjang perjalanan PAS dapat memelihara bahtera perjuangan tanpa bocor dan tenggelam sama ada cabaran dalam bahtera atau cabaran luar iaitu ombak dan gelombang.

14. Ketika ditubuhkan berlaku pertembungan antara kaum tua dan muda. Kaum muda membawa pemikiran tajdid yang berhadapan dengan penjajah. Ada yang melampau dan ada yang mempermudah-mudahkan. Tapi PAS berjaya mendamaikan antara dua pihak.

15. Fiqh awlawiyyat mesti ditekuni oleh ulama.

16. Ada golongan melampau yang nak laksana Islam serta merta. Ada pula yg meringan-ringankannya hingga tak boleh bercakap tentang hudud dan qisas. Di sinilah ulama berperanan menjadikan PAS istiqamah dengan perjuangan menegakkan Islam.

17. Kita berhadapan cabaran luar yang tak benarkan Islam berkuasa.

18. Barat bimbang dengan perubahan rakyat di Turki dan Mesir

19. BN tahu teras politik ialah Melayu Islam. Mereka tak pedulikan MCA dan MIC Cina dan India kerana bagi mereka teras politik adalah Melayu.

20. Roadmap kita ialah dapat 40 kerusi tapi hanya dapat 21 kerusi. Tapi mendapat pertambahan kerusi di peringkat negeri.

21. Saya harap multaqa ini menjadi muzakarah penting yang tidak habis di sini sahaja tapi dengan melaksanakannya di seluruh pelosok tanah air.

22. Allah tidak bertanya tentang kemenangan tetapi apa yang kita amalkan untuk mendapatkan kemenangan.

%d bloggers like this: