Tag Archive: MTQQ Sabah


KENANGAN

Sikit lagi

Secara rasminya, saya sudah melapor diri ke tempat bertugas yang baru pada 1 November 2011 tempohari, namun seperti kebiasaan orang yang berpindah tempat bertugas, saya masih hadir ke tempat lama di Bahagian Penyelidikan & Informasi (BPI) JHEAINS menyiapkan tugasan-tugasan berbaki dan mengemas barang-barang peribadi untuk diangkut sedikit demi sedikit.

Setelah dimaklumkan pertukaran saya secara hitam putih, saya mula berkemas sedikit demi sedikit. Dua minggu hari bekerja, saya angkat sedikit demi sedikit pada waktu petang. Sebenarnya barang peribadi tidaklah terlalu banyak, jadi tidak  sukar untuk membawa beransur-ansur ketika pulang petang. Sehingga ada teman sepejabat terkejut bilik hampir lengang pada petang jumaat lepas.

Saya melapor diri ke bahagian ini pada 29 Februari 2008 dalam suasana kempen pilihanraya, kira-kira seminggu sebelum hari pengundian pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac 2008 setelah setahun empat bulan di Istana Negeri. Alhamdulillah,  di BPI ini saya mendapat teman-teman sepejabat yang sangat mengerti terutamanya ketua kami Ustaz Musally Moksin yang sempoi orangnya.

Lucu juga mengingatkan saya pernah buat kecoh dan dianggap menyusahkan pentadbiran kerana isu teks khutbah yang didakwa menyinggung perasaan orang tertentu daripada kalangan al-mala’. Teks khutbah jumaat yang saya tulis untuk jabatan kemudian ditarik balik walaupun sudah dibaca ramai khatib seluruh Sabah. Saya kemudiannya di’gam’ daripada menulis khutbah untuk jabatan. Itulah antara asbab saya kemudiannya menulis blog yang sedang saudara saudari tatap sekarang ini.

Tidak mengapalah kerana itu saya anggap sebagai asam garam kehidupan dan pahit manis perjuangan (walaupun itu hanya kecil sahaja). Ada lagi beberapa kali, tetapi saya abaikan saja, sehingga dipanggil dan ditemui oleh teman SB. Dalam soal kerja, saya amat mengakui kelemahan saya dalam soal penyelidikan kerana saya tidak dilatih untuk itu. Antara yang diingati ialah membaca beberapa buah buku yang disyaki mengandungi fakta-fakta agama yang menyeleweng, walaupun saya bukan pakar usuluddin, syariah atau tasawuf.

Kunjungan ke beberapa lokasi ajaran yang didakwa pengadu mengadakan ajaran sesat atau salah, antaranya ke Tuaran, Papar, Kota Marudu, Semporna, bahkan ke sekitar Kota Kinabalu juga dan lain-lain. Ada juga individu tertuduh melibatkan teman-teman yang dikenali, yang rasanya melibatkan emosi persahabatan dan sudah tentu lebih sukar menyelesaikannya.

Saya turut menyertai beberapa operasi bersama KDN, KPDN&HEP dan agensi lain untuk meninjau buku-buku terlarang serta bersama Unit Halal (disebut sebagai urus setia Makanan Gunaan Islam -MGI) membuat operasi bersama ke restoran dan kilang-kilang memproses makanan. Ketika musim Majlis Tilawah al-Quran (MTQ) daerah-daerah dan perkhidmatan awam, saya agak sibuk mengatur hakim-hakim tilawah untuk diagihkan bertugas di lokasi yang ditetapkan. Di sini juga saya diberi peluang menulis sebuah buku kecil bertajuk ‘Tazkirah, Peringatan Buat Diri Yang Lemah’, dan dicetak 3 ribu naskhah untuk edaran kepada masyarakat.

Saya kira itu semua sebagai pengalaman manis dalam berkhidmat sebagai penjawat awam. Tugasan-tugasan seperti itu, saya amat hargai dan saya amat berterima kasih kepada semua pihak, daripada Ybhg Datuk Pengarah sehinggalah kepada teman-teman sepejabat di BPI. Insya Allah ia menjadi kenangan terindah dan tidak akan saya lupakan. Kepercayaan pentadbiran khususnya Datuk Pengarah dan Timbalan Pengarah (HEI) dengan perpindahan saya ke tempat baru beserta nasihat-nasihat berharga mereka juga tetap hargai.

Justeru, saya menganggap bertugas di Maahad Tahfiz al-Quran wal Qiraat Negeri Sabah bermula semalam (14 November 2011) sebagai peluang untuk mendidik dan berkongsi ilmu bersama bakal para huffaz al-Quran. Dalam mesyuarat akademik tempohari, saya ada menyuarakan hasrat saya membantu mengemaskan hafazan mereka sama ada daripada segi hafazan baru (tasmik) atau memelihara hafazan sedia ada (muraja’ah atau i’adah atau mengulang).

Saya katakan, kebiasaannya pelajar diawasi oleh para pensyarah dalam soal tasmik (memperdengarkan hafazan yang baru), tetapi agak terabai dalam soal mempertahankan hafazan yang lama, dan itu juga menjadi keutamaan saya. Saya diamanahkan menjadi guru tasmik al-Quran kepada 9 siswa siswi semester dua – semester dua ini ada 15 orang semuanya, guru tasmik dua orang. Saya juga mulai petang tadi mengadakan kelas mengulang al-Quran secara beramai-ramai dengan teknik yang saya rasa boleh diikuti oleh mereka, berdasarkan apa yang kami alami semasa bergelar siswa ketika di bawah didikan Datuk Haji Asmali Bachi dahulu.

Semoga Allah SWT membantu saya, dan saya pohon doa para pembaca agar saya dapat bertahan di sini, kerana saya sangat gembira di sini. Pagi petang saya boleh mendengar al-Quran bersama mereka sekurang-kurangnya satu-dua juzu sehari, dan antara lagi yang menyukakan ialah saya dapat menyertai solat berjamaah bersama mereka di surau yang terletak dalam satu blok yang sama dengan pejabat kami, dan hanya beberapa langkah di hadapan bilik-bilik kuliah kami. Inilah nikmat yang tidak patut saya dustakan.

NAIK TARAF

Sumber : JHEAINS

Ma’ahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Akan Dinaikkan Taraf Jadi Institut Al-Quran

Oleh: Ahmad Haji Yassin

Kundasang – Ma’ahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Negeri Sabah yang terletak di Kepayan dekat sini akan dinaikkan taraf sebagai Institut Al-Quran yang dijangka bermula tahun ini, kata Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Haji Amri A Suratman. Menurut Datuk Haji Amri, bermula tahun ini juga peperiksaan akhir bagi peringkat Diploma akan diadakan di Ma’ahad Tahfiz Al-Quran & Wal Qiraat , Kota Kinabalu. Datuk Haji Amri menyatakan ini semasa berucap pada majlis penutupan penangguhan kursus lanjutan Tahsin Al-Quran siri ke-II di sini.

Seramai 12 orang peserta qari dan qariah yang dipilih oleh Bahagian Pendidikan JHEAINS mengikuti kursus lima hari itu bermula dari 6 hingga 11 Mac 2011, dibawah bimbingan Hajah Syarifah Khasif Fadzillah binti Syed Mohd Badiuzzaman, yang merupakan Johan Tilawah Al-Quran peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa 2008.

Menurut Pengarah JHEAINS, dengan penaikan taraf Ma’ahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Negeri Sabah kepada Institut Al-Quran, akan menjadikannya setaraf dengan pengajian Al-Quran dengan negeri-negeri lain bagi melahirkan pelajar yang mendapat lulusan Sarjana dalam bidang Al-Quran. Pada masa ini, Ma’ahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat hanya mengeluarkan lulusan Diploma dan peringkat Sijil sahaja.

Mengenai kursus lanjutan ini, beliau melihat sudah ada peningkatan yang ketara dalam pembacaan Al-Quran, terutamanya dalam bahagian Tajwid dan Tarannum.

“Bagaimanapun beliau menasihatkan para qari dan qariah supaya terus berusaha meningkatkan mutu bacaan mereka kerana ini penting dalam pemilihan qari dan qariah peringkat negeri yang akan diadakan pada bulan April tahun ini”, jelasnya.

Sementara itu, pembimbing kursus Tahsin Al-Quran, Hajah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Baduizzaman berkata, beliau yakin para qari dan qariah yang mengikuti kursus yang diamanahkan ini mempunyai peluang yang baik dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri yang akan datang jika mereka berusaha bersungguh-sungguh.

No Akaun Maybank : 110 144 258 219

Namanya Md Fazri Ansun, 21 tahun berasal dari Kg Lohan Ranau. Fazri adalah tamatan Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Sabah tahun 2010 dengan memperolehi diploma tahfiz JAKIM yang baru lalu.

Bapa Fazri, Ansun @ Jahasin Yandarang, 70 tahun adalah pesara pekebun sekolah dan petani kampung. Beliau kini terlantar sakit di rumah, menderita penyakit buah pinggang. Sementara ibunya, Saimah Salimbot, 66 tahun seorang suri rumah sepenuh masa.

Fazri adalah anak bungsu dari 12 adik beradik ( 8 lelaki dan 4 perempuan). Hanya tiga daripada abang-abangnya bekerja sebagai kakitangan awam sementara yang lain bekerja sendiri seperti pengawal keselamatan, petani kampung dan suri rumah.

Teruskan membaca

Dua peserta Sabah, Nazran (kiri- wakil 1-10 juzu’) dan Khairul Razikin (kanan sekali – ketiga kategori 1-20 juzu’) bergambar kenangan bersama Ust Hj Khairul Anwar Mohammad yang juga hakim munabbih.

Ahmad Mujahid johan Pertandingan Menghafaz al-Quran Kebangsaan

MELAKA 25 April – Peserta Wilayah Persekutuan, Ahmad Mujahid Salleh Sani muncul johan Pertandingan Menghafaz al-Quran Ke-31 Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini yang berakhir hari ini.

Peserta kategori lelaki bagi juzuk 1-30 itu memperoleh markah 97.88 peratus yang membolehkan beliau membawa pulang hadiah berupa pakej menunaikan haji, wang tunai RM10,000, piala iringan dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Tempat kedua kategori lelaki juzuk 1-30 dirangkul peserta Kelantan, Muhammad Hariz Syazwan Mohd. Ariffin dengan markah 97.85 peratus, manakala tempat ketiga dimenangi Mohd. Labib Mohamad Anuar dengan markah 94.93 peratus.

Bagi kategori wanita juzuk 1-30, Siti Nadhira Mohd. Shafie dari Selangor muncul sebagai johan dengan kutipan markah 97.33 peratus dan beliau juga menang anugerah Peserta Wanita Terbaik.

Tempat kedua disandang oleh Mazian Abu Bakar dari Wilayah Persekutuan dengan markah 94.83 peratus dan tempat ketiga dimenangi oleh Siti Farhana Zainudin dari Melaka dengan markah 86.75 peratus.

Kategori lelaki juzuk 1-20 pula dimenangi oleh Mohd. Iqram Niyaz Ahmad (Kelantan), tempat kedua Mohamad Fida’iy Zainal Abidin (Kedah) dan tempat ketiga Muhamad Khairul Razikin Abdul Razak (Sabah).

Pemenang wanita bagi kategori yang sama disandang peserta dari Selangor, Farah Nabilah Amindin diikuti peserta dari Johor, Khairunnisah Zaini dan peserta dari Melaka, Nur Amalina Azharuddin di tempat ketiga.

Pemenang tempat pertama kategori itu menerima hadiah wang tunai RM6,000, piala iringan dan sijil selain memenangi pakej menunaikan umrah.

Peserta Terengganu, Ahmad Tirmizi Ali muncul johan kategori lelaki bagi juzuk 1-10 dan beliau juga diumum sebagai Peserta Lelaki Terbaik pertandingan manakala tempat kedua disandang peserta tuan rumah, Muhammad Haikal Mohd. Aris dan tempat ketiga, Muhammad Naazir Sheikh Alaudeen dari Selangor.

Pemenang kategori wanita bagi juzuk 1-10 disandang peserta Wilayah Persekutuan, Farihah Zulkifli diikuti Siti Hajar Nabilah Mohd. Darha dari Selangor di tempat kedua dan tempat ketiga, Zainab Sapiuddin dari Sabah.

Ahmad Tirmizi dan Farihah membawa pulang wang tunai RM4,000, piala iringan dan sijil penyertaan.

Sebanyak 40 peserta lelaki dan 33 peserta wanita menyertai pertandingan yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Tahap Pertama (juzuk satu hingga 10), Tahap Kedua (juzuk satu hingga 20) dan Tahap Ketiga (juzuk satu hingga 30).

***

Ulasan saya

Alhamdulillah, kebangkitan sudah bermula.

Dalam rekod, (Datuk) Hj Asmali Bachi pernah mendapat tempat ketiga dalam majlis yang sama pada tahun 80an. Cuma saya kurang maklum kategori yang disertainya ketika itu. Beliaulah satu-satunya peserta Sabah dalam majlis menghafaz yang mendapat tempat yang baik.

Setelah hampir 30 tahun, barulah kini ada pelapis yang baru dan meningkat naik.  Khairul Razikin berasal dari Papar adalah pelajar Darul Quran.

Namun secara peribadi saya dan beberapa rakan masih ada sedikit kecewa kerana tiada peserta Sabah dari Maahad Tahfiz al-Quran Negeri yang menyertai majlis menghafaz ini sejak peringkat negeri lagi.

Mudah-mudahan kejayaan Md Khairul dan Zainab ini membuka mata semua pihak (khususnya maahad dan JHEAINS)agar kita mengambil berat hal majlis menghafaz baik di peringkat negeri dan seterusnya kebangsaan yang selama ini boleh dikatakan kurang diambil perhatian.

KEPUTUSAN PENUH

Kategori 1-10 Juz (Lelaki)

1- Ahmad Tirmizi bin Haji Ali (Terengganu) : 99.19%

2- Muhammad Haikal bin Mohd Haris (Melaka) : 97.58%

3- Muhammad Naazir bin Sheik Alaudeen (Selangor) : 96.42%

Kategori 1-10 Juz (Perempuan)

1- Farihah binti Zulkifli (Wilayah Persekutuan) : 96.04%

2- Siti Hajar Nabilah binti Mohd Darha (Selangor) : 95.22%

3- Zainab binti Sapiuddin (Sabah) : 94.80%

Kategori 1-20 Juz (Lelaki)

1- Mohamad Iqram bin Niyaz Ahmad (Kelantan) : 97.80%

2- Mohd Fida’iy bin Zainal Abidin (Kedah) : 95.70%

3- Muhamad Khairul Razikin bin Abdul Razak (Sabah) : 95.08%

Kategori 1-20 Juz (Perempuan)

1- Farah Nabilah binti Aminudin (Selangor) : 95.75%

2- Khairunnisa binti Zaini (Johor) : 94.63%

3- Nur Amalina binti Azharuddin (Melaka) : 91.80%

Kategori 1-30 Juz (Lelaki)

1- Ahmad Mujahid bin Salleh Sani (Wilayah Persekutuan) : 97.88%

2- Muhammad Hariz Syazwan bin Mohd Arifin (Kelantan) : 97.85%

3- Muhammad Labib bin Mohamad Anuar (Selangor) : 94.93%

Kategori 1-30 Juz (Perempuan)

1- Siti Nadhira binti Mohd Shafie (Selangor) : 97.33%

2- Mazian binti Abu Bakar (Wilayah Persekutuan) : 94.83%

3- Siti Farhana binti Zainudin (Melaka) : 86.75%

***

HUFFAZ DIBERI PENGITIRAFAN

MELAKA 25 April – Kerajaan akan memberi pengiktirafan akademik kepada semua huffaz di negara ini tanpa mengira di mana mereka menyelesaikan syahadah tahfiz mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata satu mekanisme sedang disusun bagi membolehkan pengiktirafan itu dapat membantu huffaz sama ada bagi tujuan menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi atau bagi membina kerjaya mereka.

“InsyaAllah, strategi jangka pendek yang kita persetujui ialah menubuhkan Dewan Huffaz Kebangsaan yang akan direalisasikan dalam tahun ini juga,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada penutupan Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-31 di sini, malam ini.

Jamil Khir berkata para huffaz sebagai orang yang mendalami ilmu al-Quran dan amat dekat dengan ayat-ayatnya, wajar menjadi ejen pengubah masyarakat yang perlu dikembalikan kepada fitrah manusia sebenar.

“Kita tidak boleh lagi “berpeluk tubuh, bersilang kaki” dalam menyaksikan kemunduran akhlak yang menular dalam masyarakat.

“Persediaan dan persiapan dari sudut fizikal dan mental perlu diperkukuh pada setiap masa untuk melaksanakan kewajipan berdakwah yang diamanahkan ke atas bahu setiap umat Islam,” katanya.

Beliau berkata gabungan peranan golongan profesional dan intelek al-Quran sangat diperlukan bagi mencapai kejayaan yang seimbang dalam pembinaan ummah yang bertamadun. – BERNAMA

Gambar-gambar diambil dari Facebook Muhammad Khairul Razikin atas izin beliau. Terima kasih.

Khamis lalu, saya diundang ke Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Sabah di Kepayan.

Majlis Menghafaz al-Quran Negeri Sabah diadakan bagi memilih wakil ke peringkat kebangsaan. Seperti tahun lalu, saya diamanahkan sebagai hakim munabbih.

Ini kali kedua majlis seumpama diadakan. Pada zaman 80an dan 90an, ketika Sabah belum ada institusi maahadnya sendiri, maka pelajar Sabah yang berada di Institut Pengajian Tahfiz al-Quran Kuala Lumpur akan menjadi wakilnya.

Bahkan saya ketahui oleh kerana Sabah sering tidak menghantar peserta kerana ketiadaan calon, terdapat pelajar tahfiz dari negeri-negeri Semenanjung menawarkan diri sebagai peserta Sabah.

Biasanya mereka menulis surat kepada pihak berkuasa agama di Sabah untuk meminta izin menjadi wakil tahfiz.

Sejak Sabah mempunyai institusi tahfiznya sendiri pada 1995, wakil ke Majlis Menghafaz dipilih daripada kalangan pelajarnya. Ketika itu tiada pertandingan atau sebarang majlis diadakan.

Hanya pelajar yang mempunyai prestasi baik dalam subjek hafazan al-Quran akan dihantar. Saya sendiri pernah menjadi wakil Sabah sebanyak dua kali. Tahun 1995 di Pusat Islam Kuala Lumpur dan tahun 1997 di Kuching Sarawak.

Kini untuk memperbaiki kualiti wakil Sabah yang dihantar ke peringkat kebangsaan, diadakan pemilihan. Sebenarnya menurut pemerhatian peribadi saya, prestasi wakil Sabah semakin baik.

Menurut format baru, terdapat 3 kategori. Kategori 1-10 juzu’, 1-20 juzu’ dan 1-30 juzu’. Untuk kategori pertama (1-10 juzu’) terdapat soalan tarannum; sementara kategori ketiga (1-30 juzu’) ada soalan tafsir al-Quran.

Majlis ini mencari 6 wakil. Dua wakil terbaik bagi setiap kategori, lelaki dan perempuan. Namun penganjur menghadapi kekurangan peserta.

Dalam majlis semalam, ada beberapa peserta yang dianggap menonjol. Mohd Khairul Razikin Abd Razak yang menyertai kategori 1-20 juzu mendapat markah tertinggi dan paling menonjol. Bagi kategori 1-10, Zainab Sapiuddin diangkat sebagai pemenang perempuan.

Peserta lain dianggap tidak menepati prestasi yang dikehendaki oleh para hakim. Barangkali perlu juga ditegur kerana tuan rumah sendiri iaitu Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah tidak menghantar peserta dalam majlis kali ini. Ia sesuatu yang mengecewakan.

Lapan peserta yang hadir adalah pelajar dari Darul Quran Kuala Kubu Bharu Selangor, Maahad Tahfiz as-Syatibiyah Kota Kinabalu dan Maahad Tahfiz Tg Aru Kota Kinabalu.

Mohd Khairul Razikin.. memang sudah rezeki dia..

Catatan 1

Malam jumaat saya ke rumah seorang sahabat lama. Ada kenduri dan solat hajat untuk kedua orang tuanya yang sedang menunaikan fardhu haji di Makkah.

Saya tiba ketika waktu isyak baru menjelang. Itulah waktu yang dijanjikan tuan rumah. Di luar rumah baru beberapa orang hadir. Sajadah dibentang kerana jadualnya kami isyak berjamaah, solat hajat, baca yasin dan doa.

Kepada tuan rumah saya pinta orang di luar dijemput masuk untuk solat. Seorang demi seorang mengelak dan memberi alasan. Saya kurang selesa keadaan itu. Saya menjenguk keluar :

“Jom sembahyang sama-sama”.  “Duluan la ustat. Silakan..”

“Ada yang hadas besarkah?” Saya menyergah.

“Tiada ustat. Silalah ustat, kami ambil wudhu dulu..”

“Oh.. ambil wudhu di dalam rumah”. Saya memotong pergerakan mereka yang mula mau melarikan diri.

Dua daripada tiga orang terpaksa masuk dengan berat hati.

“Kita datang rumah orang, jangan mau makan nasi tuan rumah saja.. hajat tuan rumah sembahyang sama-sama, baca doa nda mau..

Kami solat isyak berempat dan kemudian solat hajat bertujuh. Sedih juga. Kiri kanan blok rumah orang Islam, tiada yang datang. Entah-entah tuan rumah tak jemput (?) 🙂

Catatan 2

Ketika hendak memulakan baca yasin, tuan rumah berengsot ke tepi. Dia mencari sesuatu. Ruang rumah mula dipenuhi bau asap. Rupanya tuan rumah memasang kemenyan & setanggi.

Adat ini sudah lama ditinggal orang. Saya ingatkan ia sudah selesai rupanya ada lagi. Kata Ust Ismail Kamus, pasang kemenyan sebenarnya panggil jin datang kerana jin makan asap.

Ust Muchlish kata, kalau di hadapannya dinyalakan kemenyan, dia akan cepat-cepat menamatkan tahlilnya. Lemas dengan bau asap. Tuan rumah pula letakkan kipas berdiri betul-betul di hadapannya. Habis asap terbang ke arahnya.

Saya bagi isyarat tuan rumah agar buang dan matikan. Mujur dia menurut tanpa banyak soal.

Catatan 3

Saya beramah mesra dengan adik-adik dari Maahad Tahfiz yang diundang hadir bersama. Saya ceritakan serba sedikit sejarah maahad tahfiz dan pengalaman kami.

Di kalangan mereka ada yang saya ketahui lemah dalam hafazan mereka. Dari sembang itu, sebenarnya jalan dan ruang untuk perbaiki diri sentiasa ada.

Setiap seorang saya tanya kedudukan juzu yang mereka sedang hafaz sekarang. Ada yang berada di atas landasan dan ada yang tercicir di belakang.

Saya tanya kenapa tertinggal, jawabnya : “Malas ustaz”

Maahad Tahfiz adalah institusi pendidikan di bawah JHEAINS yang tertinggi setakat ini. Ia begitu dibanggakan oleh pegawai-pegawai, bahkan para menteri sering memasukkan ucapan mereka tentang kewujudan maahad tahfiz di Sabah.

Di Sabah, orang bertitle ‘hafiz’ tidak ramai. Mungkin belum mencecah 100 orang pun. Jadi keluarannya mudah dikenali.

Oleh kerana penuntutnya tidak ramai, pelajarnya sudah tentu terpilih. Ibu bapa tambah bersyukur dan bangga dengan keterpilihan anak mereka di institusi ini. Mereka bercerita ke sana sini : “Anak aku belajar hafiz Quran!”

Saya katakan, ketika kamu mula malas-malas untuk belajar, cuba ingat muka ibu dan wajah bapa. Cukuplah. Ketika dia seronok bercerita anaknya bakal jadi hafiz, kita di dalam buat hal sendiri.

Sanggupkah melukakan hati mereka?

MAU KE SANA LAGI!

IMG_8987

Ini poster gambar Masjid al-Azhar, Kota Kaherah.

Gambar ini saya pandang hari-hari lantaran saya tampal di pintu hadapan bilik di rumah. Poster ini kalau tidak salah dahulunya saya beli di Mansoura dan saya tampal di rumah kami yang terletak di Awwal Dirasat, Mansoura.

Dulu saya mengaji di Maahad Qiraat al-Azhar Shoubra. Jadi kawasan Jami’ah al-Azhar dan masjidnya jarang dikunjungi, kerana ia bukan laluan kami.

Rakan-rakan sekuliah Sabahan saya ketika itu ialah Ust Hj Zamrul Md Asli (Ranau), Ust Hj Yakob Hj Jilun (Beaufort), Ust Farhan Abdullah (Kota Belud) dan Ust Rahim Yahya Abd Rahman (Bongawan).

Selepas kami, hadir pula Ust Hj Kamaronnizam Mat Isa (Ranau / Kedah) dan Ust Hj Ibrahim Kisab (Kota Belud).

Apabila balik ke tanahair poster itu saya bawa pulang bersama dan saya tampal di pintu bilik kami pula. Itu lambang kasih dan ingatan kepada al-Azhar yang tidak pernah padam.

Balik dari sana, saya berkhidmat di Maahad Tahfiz al-Quran dengan elaun dibayar oleh maahad (bukan staf kerajaan negeri). Tidak lama di sana saya beralih pula ke Masjid Negeri.

Di Masjid Negeri juga mulanya berkhidmat sebagai staf masjid, tetapi kemudiannya diambil sebagai penjawat awam, kakitangan kerajaan negeri dan masih ditetapkan di Masjid Negeri.

Walaupun sudah beberapa tahun meninggalkan kerjaya pensyarah di MTQQ, hubungan dengan pelajar-pelajar saya masih berlaku. Ada yang sudah berkahwin dan beranak pinak pun.

Sesuatu yang membuatkan saya teruja apabila ada di kalangan mereka yang menyambung pelajaran ke Mesir. Melihat itu berlaku, saya bersyukur kepada Allah.

Teringat kawan-kawan sepengajian, rakan-rakan Sabahan, sahabat-sahabat Bait Muslim, para masyaikh yang murah dengan ilmu dan ramai lagi. Nostalgia yang masih hangat lagi rasanya.

Pantasnya masa berlalu, kini mereka yang satu masa dahulu sempat dididik dengan ilmu menghafaz al-Quran, talaqqi dan tasmik, mengajar tafsir, sirah, rasm dan fawasil; kini sebilangan mereka sudah berada di sana, dan ada yang sudah kembali ke tanahair.

Seolah saya berkata : Aku sudah ada anak murid yang sampai ke Mesir! Padahal saya belum tua pun (jika dibanding orang lebih tua).

Yang sudah kembali Nurasnah Md Yasin dan Intan Farhana Numan (blognya di sini), sementara yang masih di sana Suhaidi dan Hafidz, yang baru sampai Siti Norafidah dan bakal pergi Maslinah pada minggu hadapan.

Kesemuanya dari Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Sabah yang bermula sejarah pengajiannya pada 1995.

Tambah meruntun perasaan, melihat blog adik-adik di Mesir, hidup di perantauan sebagai pencari ilmu buat bekalan sebelum kembali ke kampung halaman.

Saya baca blog Penduga Arus Elmandari – abang kepada Maslinah; blog Sobahi Cairo  Md Syauqi anak Ust Hj Arshad UiTM Sepanggar yang juga junior di SMAI TPHR; blog at-Tamaue  Ahmad Taufik  – anak Ust Ag Laiman Hj Ikin; blog Sang Arjuna Md Hafidz  – yang pernah mengaji dengan saya di MTQQ.

Ada juga beberapa orang yang tidak saya kenali tetapi semakin kerap saya belayar di blog mereka. Si Mawar Kuning @ Wardatul Asfar Azlinah Abdul Gani dan Kartiesya Kartina Haplan. Kedua-duanya anak Sabah.

Ada juga seorang akhawat bernama Fatin Azmin di Maahad al-Fatayat al-Imam Malik (Maahad Qiraat) Mansoura yang kerap saya layari sehari dua ini di sini. 

Catatan-catatan mereka membuatkan saya ingin kembali untuk berziarah di sana. Insya Allah ada kelapangan rezeki dan umur yang panjang, saya berhajat ke sana lagi.

Cuma pesan saya agar mereka menulislah betul-betul. Betul-betul. Blog orang azhariy di Mesir akan dibaca orang. Berilah mereka informasi yang tepat dan berguna. Paling penting, tulisan itu biar berpahala.

Amir dan Syauqi, tolong ingatkan mereka.

………..

Terima kasih SMS ucapan selamat hari raya :

Ust Hj Ag Omar Pg Ghana (Pengetua SMAI TPHR), Ust Makhadzir Abdan (Johor / Ahli Lajnah Tashih al-Quran), Cikgu Khairani Danial @ Ben (SPA JPN Sabah), Ust Kamal Sindong (PPTA JHEAINS Pitas).

Tuan Hj Farid Abdullah @ Peter Govind (Taman Austral), Tuan Hj Ambran Sulot (Taman Kepayan), Hapsah (SMK Lohan), Supardi Abd Rahman (Taman Limauan / Palace Hotel), Ust Abd Salim Karim (Kg Takis Papar), Md Shuaib Kassim (JHEAINS KK).

SITI NORAFIDAH GHULAM RASUL

IMG_9114

Petang semalam, saya bergegas bersama isteri dan anak sulung, Nuha juga Ustazah Marinah ke LTAKK, menghantar dan mengucap selamat jalan kepada Fidah.

Dia pelajar saya, sahabat isteri saya dan guru anak saya yang berangkat ke bumi Mesir, tepatnya ke Maahad Qiraat al-Azhar Mansoura, untuk tempoh 3 tahun. Insya Allah.

Siti Norafidah adalah pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah yang berakhir pada 2006/07 kalau tidak salah. Tempoh sebelum itu saya bertugas di sana dan pernah menjadi guru tasmik al-Quran mereka seketika.

Sepanjang mengajarnya di MTQQ, umumnya prestasi Fidah adalah baik. Sesekali hafalannya melonjak 2-3 helai sekali tasmik, dan sesekali pula jatuh merudum, terdiam tiada stok langsung.

Tetapi itulah rencah orang menghafaz al-Quran.

Daripada situ, saya pernah merasakan Fidah ada potensi yang baik dalam al-Quran. Sehingga kini pun, dia masih merujuk, mengadu masalah serta sering bertanya kaedah mengulang al-Quran yang paling baik.

Sejak tahun lalu, Fidah mengajar di Pusat Pendidikan Islam (PPI) an-Nur, Taman Austral. Sejak itu pula dia bersahabat baik dengan Ummu Nuha kerana sama-sama mengajar di sana.

Tahun ini, Nuha masuk darjah 1 di sana. Dia ada juga bergurukan Fidah dalam beberapa subjek.

Fidah adalah anak ke-7 daripada 12 beradik dan dua ibu. Fidah pula daripada emak yang kedua. Di LTAKK petang semalam, bapa serta kedua-dua ibunya hadir bersama keluarga besarnya.

Katanya, dalam keluarganya dialah setakat ini satu-satunya yang berpeluang belajar ke luar negeri.

Dalam sembang singkat kami, Fidah mengucapkan penghargaan kepada para penyumbang, dan katanya Allah lebih berhak membalasnya. Dia juga memohon doa semua termasuk jamaah Surau Austral dan para murid di sana agar mendoakan kejayaannya.

Fidah juga memohon berbanyak kemaafan dan menitipkan salam kepada pengurusan PPI khususnya Tuan Hj Rahimin, Ust Zulhazmi serta guru-guru di sana.

Saat ini, mungkin Fidah sudah berehat di kediaman barunya di Mansoura, atau masih di Kota Kaherah.

Saya agak sentimental, Fidah adalah pelajar keempat saya yang menyambung pengajian di Mesir. Doa saya dia akan memberikan natijah yang baik seperti yang pelajar saya yang lain juga.

Kepada Fidah berkali saya pesankan, jaga hubungan dengan BKPSM, DMSM, DPMM, bertalaqqi al-Quran semula dengan para masyaikh di sana, sertai usrah dan aktiviti tarbiyyah dalaman, serta bina persahabatan dengan semua pihak.

Ada masalah, berhubunglah dengan kami.

SUNGKAI D POKOK CERRY

 IMG_8151

Semalam diadakan majlis berbuka puasa @ sungkai bersama para guru Pusat Pendidikan Islam (PPI) an-Nur dan warga kerja Siddqi Auto di restoran d pokok cerry dekat Petagas.

Majlis yang dihadiri kira-kira 40 orang termasuk ahli keluarga masing-masing itu bertujuan untuk meraikan dua orang tenaga pengajar yang akan menyambung pelajaran ke Maahad Qiraat al-Azhar, Mansoura Mesir pada akhir bulan ini.

Ustazah Maslinah Md Rosdi berasal dari Kimanis Papar dan Ustazah Norafidah Ghulam Rasul dari Kg Tg Aru KK – kedua-duanya lepasan diploma Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat Negeri Sabah telah menyumbangkan ilmu dan tenaga mereka sekitar 2 tahun bersama PPI an-Nur.

Dalam ucapan ringkasnya, pengerusi PPI an-Nur Tuan Hj Rahimin Mustafa mengharapkan kedua-dua mereka akan mengambil kesempatan untuk mendalami ilmu sebanyak-banyaknya di Mesir seterusnya kembali ke tanahair sebagai graduan yang berjaya dan berkhidmat kepada masyarakat.

Hj Rahimin juga menegaskan keperluan mereka agar terus menyertai program-program tarbiyyah khususnya usrah untuk memantapkan diri mereka dalam gerakan Islam.

Dalam majlis yang sama, pihak PPI an-Nur turut memberikan sedikit sumbangan kepada kedua-dua mereka untuk menampung pembiayaan perjalanan mereka ke bumi para nabi itu.

Bagi pihak semua, blog Abu Nuha Corner mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua mereka atas sumbangan yang diberikan selama berkhidmat di PPI an-Nur, dan selamat berangkat ke ard al-kinanah.

 IMG_8152

IMG_8158

IMG_8161

IMG_8168

IMG_8190

IMG_8192

IMG_8127

Sudah lama saya menanti peluang berceramah di sebuah sekolah agama yang terkenal ini.

Pada zaman persekolahan dahulu, pasukan bola tampar SMAI TPHR sering bertembung dengan pasukan SMKAKK ini. Walaubagaimanapun pertemuan itu biasanya didasari ukhuwah yang tinggi kerana sama-sama berstatus sekolah agama.

Bahkan ketika itu kedua-dua sekolah ini antara kuasa bola tampar terkuat di KK. Pemain-pemainnya juga pernah bergabung mewakili KK menentang sekolah dari daerah lain.

Saya sangat menghormati sekolah ini. Di sinilah abang saya menimba ilmu. Bahkan keluarga kami pernah tinggal di flat guru sekolah ini pada 93-94 kerana bapa bertugas di Jabatan Pelajaran Negeri di Sembulan.

Oleh itu setiap hujung bulan saya balik ke mari dari asrama. Biasa bersolat di surau lama sekolah ini dan makan di kantin sekolah.

Jemputan berceramah yang disampaikan oleh Ust Amir Ba’dul saya terima dengan gembira sekali. Kebetulan sepanjang beberapa hari kebelakangan, saya asyik bertemu dengan pelajar sekolah agama.

Jumaat dan sabtu saya bersama rakan-rakan di SMKA Mohammad Ali Ranau, sementara petang semalam saya di asrama putera SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah, menziarahi blok surau yang terbakar.

Kesempatan di SMKA KK selain diberi peluang mengimamkan solat tarawih, sesi tazkirah juga saya isi dengan memperkenalkan Maahad Tahfiz al-Quran dan mempromosi tentang kepentingan menghafaz al-Quran kepada mereka khususnya pelajar tingkatan 5.

Saya dedahkan juga sedikit petua menghafaz al-Quran kepada adik-adik di sana, kerana mereka juga punya tanggungjawab menghafaz beberapa surah tertentu.

Doa saya SMKA KK akan kembali bangkit sebagaimana zaman kegemilangan mereka. Saya mendengar daripada beberapa orang tentang masalah sekolah yang tidak perlu saya sebutkan di sini. Khabarnya prestasi bahasa arab di dalam peperiksaan besar juga jatuh menjunam.

Turut hadir dalam tazkirah sejam itu ialah Ust Sakaria Samela selaku Pengerusi PIBG sekolah dan Cikgu Hj Samin Ongki sebagai timbalannya, bersama guru-guru di sana.

Alhamdulillah, saya mendapat beberapa sahabat baru juga. Terima kasih Ust Amir, Ust Nik Anwar, Ust Zulkifli dan beberapa ustaz lain.

IMG_8133

IMG_8135

IMG_8136

IMG_8138

IMG_8145

%d bloggers like this: