Tag Archive: MTQ Sabah 2011


Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sabah bagi tahun 1432H / 2011M berakhir sudah malam tadi. Setelah dua tahun MTQ Negeri berada di luar ibu negeri (2009 di Tawau dan tahun 2010 di Sandakan), maka tuan rumah kembali ke Kota Kinabalu setelah dikhabarkan tiada daerah yang menawarkan diri sebagai tuan rumah kali ini.

Dewan Saadah Wisma MUIS sudah mulai penuh sekitar jam 7.30 malam dengan kehadiran umat Islam dan tetamu terpaksa bersesak di laluan masuk. Namun pihak penganjur ada menyediakan layar di ruang lobi untuk mereka sama-sama menyaksikan MTQ kali ini. Saya sempat menyapa beberapa peminat MTQ yang datang dari Sipitang, Beaufort, Keningau, Kota Marudu, Ranau dan lain-lain.

Saya berpendapat, hasil daripada pendengaran sendiri, mutu bacaan qari qariah seramai 8 orang tahun ini agak merosot terutama bahagian qariah. Telahan ini saya buat apatah lagi memandangkan pihak pengacara tidak mengumumkan markah yang diperolehi oleh peserta. Masih kedapatan kesalahan besar seperti tersalah baris, membaca secara mad asli pada yang tidak sepatutnya, waqaf ibtida’ yang kurang sesuai, suara yang kasar, serak dan tidak manis, serta lari daripada tarannum yang diarahkan.

Tahniah buat Sdr Razman Asmat dari Kinabatangan dan Hajah Siti Hatijah Haji Marzuki wakil Lahad Datu yang diangkat sebagai johan qari dan qariah kali ini. Saya kira, program-program mencungkil bakat tilawah al-Quran mesti digembleng secara bersungguh-sungguh oleh semua pihak bermula daripada kecil sehinggalah dewasa. Tahniah juga buat semua AJK Induk dan AJK Pelaksana serta urus setia yang bertungkus lumus. Mudah-mudahan ada baiknya untuk kita semua.

%d bloggers like this: