Tag Archive: MTQ Negeri Sabah


Sekali lagi saya mendapat pengalaman berharga apabila diundang hadir dan mengisi slot ‘Tilawah Interaktif’ di Sabah FM sempena Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sabah yang diadakan pada 17 dan 18 Mei. Kalau tidak salah ini ¬†pengalaman kali ketiga untuk tilawah interaktif selepas 2011 dan 2010. Tahun 2010 adalah sempena MTQ Kebangsaan yang diadakan di Kota Kinabalu.

Kalau mengikut perbincangan asal, Sabah FM menyediakan 10 malam berturut-turut untuk mengadakan program tilawah interaktif ini dengan tempoh masa 30 minit setiap kali ke udara. Tiga malam pertama dibimbing oleh Ybhg Datuk Haji Mokhtar Rapok dan saya pula sepatutnya mengendalikan hanya 3 malam kedua dan baki seterusnya dikendalikan oleh Ustaz Zulfauzi Ag Besar.

Walaubagaimanapun, setelah 3 malam giliran saya selesai, saya terpaksa menyambung lagi pada malam ke-7 dan ke-9 dan mengabaikan malam ke-8 dan malam ke-10. Rupanya malam ke-8 itu ada siaran langsung bola sepak dari Stadium Likas sementara malam terakhir adalah malam ini sudah bermula MTQ peringkat negeri walaupun tiada siaran langsung melalui Sabah FM.

Tentang kaedah program tilawah interaktif ini, ia dimulakan dengan saya membaca beberapa ayat al-Quran yang kemudiannya saya huraikan secara ringkas makna dan kesimpulannya, kemudian kami akan bermula menerima panggilan daripada pendengar. Setelah pemanggil selesai memperdengarkan bacaannya, barulah saya mengulas kesilapan-kesilapan yang berlaku sekiranya ada.

Dengan sokongan yang baik daripada para pemanggil, saya mengharapkan pihak bertanggungjawab iaitu JHEAINS dan Sabah FM akan memikirkan rancangan ini dapat diteruskan secara mingguan walaupun diluar musim Majlis Tilawah al-Quran. Ketika berada di konti atau di studio, saya melihat lampu telefon kerapkali berkelip untuk para pemanggil menghubungi studio walaupun ketika itu program baru bermula, sedang iklan atau program baru berakhir.

Harap-harap program ini boleh bermula apabila konti Sabah FM berpindah sepenuhnya ke kompleks bersepadu mereka di Jalan Lintas Kepayan.

FFoto lama RTM Sabah..

Pagi ini dijadualkan Mesyuarat JK Pelaksana MTQ Peringkat Negeri Sabah.

Dalam pembahagian tugas sebelum ini, saya diamanahkan membuat kertas konsep bagi MTQ berkenaan. Antara perkara yang perlu diambil berat dalam MTQ ialah berkenaan beberapa peraturan berikut :

Peringkat Saringan Akhir

1. Saringan Akhir MTQ ke Peringkat Negeri akan diadakan ke atas semua johan Qari dan Qariah di Peringkat Daerah dan Kementerian yang melepasi 70 peratus markah.

2. Saringan Akhir ini diadakan bagi memilih empat Qari dan empat Qariah untuk bertanding ke Peringkat Negeri.

3. Semua Johan Qari dan Qariah Peringkat Daerah dan Kementerian yang layak diminta hadir ke Saringan Akhir ini.

4. Saringan Akhir ini mestilah berakhir 2 minggu sebelum MTQ Peringkat Negeri.

Peringkat Daerah

1. MTQ Peringkat Daerah diadakan untuk memilih Johan Qari dan Qariah Daerah.

2. Hanya Johan Qari dan Qariah MTQ Peringkat Daerah yang melepasi 70 peratus markah layak meneruskan persaingan ke Peringkat Saringan Akhir.

3. Pelaksanaan MTQ di Peringkat Daerah, diserahkan kepada budi bicara dan kebijaksanaan Ahli Jawatankuasa di Peringkat Daerah masing-masing. Sebaik-baiknya didahului dengan pelaksanaan di Peringkat Zon atau Kampung.

4. MTQ Peringkat Daerah mestilah berakhir 2 minggu sebelum Peringkat Saringan Akhir.

5. MTQ Peringkat Bahagian ditiadakan.

Peringkat Kementerian Negeri & Jabatan Persekutuan Sabah

1. MTQ Peringkat Kementerian diadakan untuk memilih Johan Qari dan Qariah Peringkat Kementerian.

2. Johan Qari dan Qariah MTQ Peringkat Kementerian Negeri yang melepasi 70 peratus markah layak meneruskan persaingan ke Peringkat Saringan Akhir.

3. Johan dan Naib Johan Qari dan Qariah MTQ Peringkat Jabatan Persekutuan yang melepasi 70 peratus markah layak meneruskan persaingan ke Peringkat Saringan Akhir.

4. Pelaksanaan MTQ di Peringkat Kementerian Negeri, diserahkan kepada budi bicara dan kebijaksanaan Ahli Jawatankuasa di peringkat kementerian masing-masing. Sebaik-baiknya didahului dengan pelaksanaan di Peringkat Jabatan dan kemudian Peringkat Kementerian.

5. Pelaksanaan MTQ di Peringkat Jabatan Persekutuan, diserahkan kepada budi bicara dan kebijaksanaan Ahli Jawatankuasa di peringkat jabatan persekutuan. Sebaik-baiknya didahului dengan pelaksanaan di Peringkat Jabatan masing-masing dan kemudian di Peringkat Jabatan Persekutuan.

5. MTQ Peringkat Kementerian mestilah berakhir 2 minggu sebelum ke Peringkat Saringan Akhir.

6. MTQ Peringkat Akhir Perkhidmatan Awam ditiadakan.

Selain itu, JAKIM turut mensyaratkan MTQ mulai tahun ini, setiap peserta turut diundi 2 lagu tarannum wajib. Dalam MTQ biasanya dalam tempoh 10 minit, qari dan qariah membawakan 4 tarannum bil Quran. Jadi dua daripadanya adalah tarannum yang diundi.

Insya Allah MTQ Peringkat Negeri tahun ini akan diadakan di Sandakan. Tarikhnya belum dimuktamadkan tetapi dijangka dalam hujung bulan April 2010.

%d bloggers like this: