Tag Archive: MTQ Kebangsaan Kali 53


Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) diumum sebagai johan Ekspo Pameran sempena Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali ke-53 baru-baru ini.

Tempat kedua dan ketiga ialah Pejabat Pilihanraya Negeri Sabah dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sabah. Kesemua mereka mendapat plak, sijil penghargaan dan hamper.

Sempena MTQ Kebangsaan ini, Ekspo Pameran diadakan di tingkat 1 Wisma MUIS sepanjang 9 pagi hingga 10 malam setiap hari sepanjang MTQ. Menurut JAKIM Sabah yang menjadi urusetia ekspo berkenaan, terdapat 64 peserta ekspo pameran terlibat dan hanya separuh menyertai  penilaian pameran.

Pihak urusetia ekspo juga mencatatkan lebih 10 ribu pengunjung direkodkan sepanjang lima hari pameran berkenaan. Dalam tempoh berkenaan juga diadakan hadiah-hadiah pengunjung bertuah. Hadiah utama pengunjung bertuah menerima tiket penerbangan ke Kuala Lumpur bagi menyaksikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa hujung bulan ini.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Datuk Haji Sukarti Wakiman dalam majlis ringkas di tingkat 1 Wisma MUIS pada jam 7.00 malam sebelum penutupan rasmi MTQ Kebangsaan. Turut hadir ialah isteri beliau, Pengarah JHEAINS Datuk Haji Amri A Suratman, Pengarah JAKIM Sabah Ustaz Aziz Muhammad dan ketua-ketua jabatan yang terlibat.



1) Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-53 berlangsung di Dewan Sa’adah Wisma MUIS Kota Kinabalu Sabah pada 29 Jun hingga 3 Julai 2010.

2) Pembukaan rasmi MTQ Kebangsaan dilancarkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak sementara penutupan disempurnakan oleh TYT Yang Di Pertua Negeri Sabah Tun Ahmadshah Abdullah.

3) Seramai 28 peserta mengambil bahagian dalam MTQ Kebangsaan kali ini, iaitu 15 qari dan 13 qariah termasuk johan menunggu qari. Kelantan hanya menghantar peserta qari sahaja.

4) Johan qari dan qariah menerima RM15 ribu, piala pusingan dan piala iringan. Naib johan RM7 ribu dan ketiga RM5 ribu. Keenam-enam mereka turut menerima pakej menunaikan fardhu haji ke Makkah. Peserta saguhati menerima RM2 ribu setiap seorang dan hadiah-hadiah lain daripada kerajaan negeri dan persekutuan.

5) Keputusan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-53 :

Qari

Johan :  Wan Ainuddin Hilmi Abdullah (Wilayah Persekutuan) Markah 82.01%

Naib Johan : Muhammad Anuar Ghazali (Kelantan) Markah : 79.66%

Ketiga : Othman Azumi Ahmad (Kedah) Markah : 79.33%

Qariah

Johan : Nor Azrah Ayub (Johor) Markah 79.34%

Naib Johan : Nor Ruzana Natiah Jaafar (Selangor) Markah : 79.33

Ketiga : Normalina Alias (Wilayah Persekutuan) Markah 77.66%

6) Wan Ainuddin Hilmi, 28, dan Nor Azrah, 32, akan mewakili negara pada Tilawah al-Quran Antarabangsa yang akan berlangsung di Kuala Lumpur bermula 27 Julai hingga 3 Ogos ini.

MELENTUR BULUH


Kalau bukan kerana saya disibukkan sebagai urus setia, saya berhasrat sangat untuk membawa anak-anak menyaksikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan di Dewan Saadah Wisma MUIS. Khususnya kepada anak sulung yang sudah pandai membaca al-Quran, agar dia mendengar bacaan al-Quran yang indah dan merdu di khalayak yang ramai, mudah-mudahan akan meningkatkan semangat dan motivasi buat dirinya sendiri.

Saya agak cemburu dan bersyukur melihat kesedaran ramai ibu bapa yang membawa anak-anak mereka ke majlis berkenaan, melatih anak cintakan majlis yang mulia seperti ini. Walaupun anak itu buat masa ini mungkin tidak mengerti tujuan dan maksud hadir ke sana, kerana hanya semata-mata ikut berjalan dan datang, insya Allah satu hari nanti mereka pasti mengerti.

Tahniah kepada ibu bapa yang bersabar dengan karenah dan ulah anak mereka serta tetap memupuk kesedaran mereka tentang ilmu al-Quran, buat permulaannya tentang kepentingan membaca dan membudayakan bacaan al-Quran.

Teringat pesanan Luqmanul Hakim kepada anaknya : Jika ada majlis yang menyebut nama Allah, hendaklah engkau duduk bersama-sama di dalamnya.

Kalau beginilah hari-hari anak-anak diperdengarkan al-Quran, nescaya mereka akan jatuh cinta kepada al-Quran, minat membaca dan menghafaznya. Sebagaimana ibu bapa hari ini yang semudahnya memperdengarkan lagu kepada anak-anak, mereka juga mudah mengingatinya.

Apa rupanya yang kita ingin anak kita ingati? Pilihlah antara jangan lupa lirik atau jangan lupa al-Quran.


Antara pemandangan yang saya suka melihat ketika MTQ yang berlangsung bahkan dalam mana-mana MTQ ialah apabila melihat tetamu yang hadir bersama-sama menyemak al-Quran masing-masing akan ayat yang dibaca oleh peserta.

Pada malam pertama, tidak ramai audien yang membawa al-Quran setakat yang saya perhatikan. Saya cuba mencari-cari sebenarnya untuk dibawakan contoh kepada masyarakat yang lain supaya tidaklah semata-mata mendengar tetapi turut sama menyemak.

Maklumlah, di layar atau di kaca tv bukan sepanjang masa tv akan memaparkan ayat al-Quran yang sedang dibaca bahkan biasanya berselang ganti dengan memaparkan orang ramai yang hadir.

Ketika malam pertama tempohari, saya ada berbisik kepada abang cameraman yang berada di sudut kiri dewan (kamera panjang tu) agar banyakkan mengambil pemandangan orang yang menyemak al-Quran, mudah-mudahan menjadi contoh kepada yang lain.

Jelas malam kedua bertambah. Malam ketiga bertambah lagi. Malam keempat semakin ramai membawa al-Quran.


JUALAN SEMPENA MTQ


Sempena MTQ ini, ekspo jualan juga diadakan. Lokasinya di ruang legar Wisma MUIS dan di kawasan letak kereta blok b berhadapan dengan Mahkamah Syariah.

Khabarnya puluhan peniaga kecil-kecilan dan sederhana datang ke sini. Beberapa hari kebelakangan saya sempat mencari peluang berjalan seketika.

Mudah-mudahan dengan MTQ ini memberi sedikit rezeki tambahan kepada para peniaga untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Majlis Tilawah al-Quran (MTQ) Kebangsaan Kali Ke-53 di Kota Kinabalu diambil kesempatan oleh JHEAINS untuk melancarkan empat buah buku pelbagai tajuk.

Buku-buku berkenaan ialah ‘Pembentukan Malaysia dan Impaknya Kepada Perkembangan Islam Di Sabah’ oleh Najion Jamil, ‘Wawasan al-Quran Memacu Kecemerlangan Ummah’ oleh Ustaz Haji Mohammad Iyen Atim, ‘Psikologi Dalam al-Quran’ oleh Josnah Ali Amat dan ‘Bala Jangan Dicari’ juga oleh Najion Jamil.

Sebenarnya keseluruhan ada enam buah buku yang dihantar ke Jabatan Cetak Kerajaan untuk diterbitkan sempena MTQ ini, namun hanya empat yang sempat disiapkan.

Buku-buku ini boleh didapati secara percuma di kaunter pameran JHEAINS atau terus ke tingkat 9 Bahagian Penyelidikan & Informasi jika ada stok.

Selain mendengar dan menyaksikan kemerduan qari dan qariah membaca al-Quran di Dewan Sa’adah Wisma MUIS, penganjur juga mengadakan Ekspo Pameran dan Jualan di Wisma MUIS.

Lokasi pameran diadakan di tingkat 1 Wisma MUIS melibatkan 50 buah jabatan dan agensi kerajaan, swasta dan NGO Islam. Sementara jualan diadakan di aras bawah blok A dan di perkarangan letak kereta berhadapan Mahkamah Syariah.

Ekspo Pameran dan Jualan diadakan mulai jam 9 pagi dan berakhir 10 malam setiap hari mulai 29 Jun hingga 3 Julai akan datang. Perasmian ekspo ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Haji Nasir Tun Sakaran, Menteri Di Jabatan Ketua Menteri pada pagi selasa.

Urusetia ekspo melaporkan sehingga kini hampir 4 ribu pengunjung dicatatkan  ke lokasi berkenaan. Menerusi Abu Nuha Corner, kita saksikan beberapa foto menarik ekspo berkenaan. Yang jauh, saksikan di sini, yang hampir datanglah ke Wisma MUIS Kota Kinabalu.



Alhamdulillah, malam ini majlis perasmian Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke 53 berjalan lancar sehingga ke akhir majlis.

Semua yang terlibat khususnya penganjur sama ada JAKIM Pusat atau Kerajaan Negeri Sabah dan tentunya JHEAINS sebagai jabatan terpenting, berasa lega dengan kelicinan majlis.

Sebelah pagi, majlis perasmian Galeri Pameran oleh YB Datuk Haji Nasir Tun Sakaran di Tingkat Satu Wisma MUIS. Kawasan pameran melibatkan penyertaan 50 agensi kerajaan, swasta dan NGO Islam.

Sepanjang siang saya banyak berkurung di pejabat menyiapkan kerja-kerja menerbitkan risalah harian yang kami namakan al-I’lam (Info).

Risalah ini hanya sehelai kertas A4 yang dilipat dua menjadi empat mukasurat. Ia mengandungi beberapa berita bergambar, info menarik berkenaan MTQ dan petikan al-Quran dan Hadith. Setiap hari sebanyak seribu naskhah akan diterbitkan.

Bersama saya adalah Sdr Kaminor (rekabentuk), Ahmad Haji Yasin (wartawan), abang Jamiun dan Ustaz Abdillah (edaran) untuk menyelesaikan risalah ini setiap hari sehingga 3 Julai nanti.

Di Dewan Saadah, orang ramai mula membanjiri dewan selepas maghrib dan penuh sebelum isyak lagi. Memang kami saksikan kekecewaan ramai orang kerana tidak dapat masuk ke dalam dewan.

Walaupun penganjur menyediakan banyak lokasi berasingan di sekitar Wisma MUIS di aras bawah dan tingkat satu, masih ramai juga mencuba untuk masuk ke dalam dewan. Kasihan mendengar keluhan pakcik makcik yang datang dari jauh seperti Keningau, Kota Belud, Sipitang dan lain-lain.

Selain isu dewan yang penuh sesak, turut kedengaran ialah makanan yang tidak cukup. Saya rasa oleh kerana ada lagi empat malam, pihak yang diamanahkan boleh mengikhtiarkan sesuatu untuk  mengatasi masalah ini.

Sebelum qari qariah mengambil giliran, yang menjadi tumpuan ialah persembahan Hadrah Perdana yang mengumpulkan 60 pemain kompang sekitar Kota Kinabalu. Persembahan mereka menarik, meriah serta mendapat tepukan gemuruh audien.

Tiga orang peserta mengambil bahagian malam ini, dua orang qari dan seorang qariah. Qari ialah Ustaz Anuar Hussin (Perak), Hajah Hadijah (Sabah) dan Awangku Omar Asfuaddin Awang Hamdan (Sarawak).




Raptai penuh berlangsung malam tadi. Sementara petang ini berlangsung raptai untuk majlis perasmian. Rakan-rakan yang bertugas sebagai pengiring sibuk menyambut tetamu dari seluruh negara. Yang datang terdiri daripada hakim-hakim, qari qariah, perwakilan kerajaan-kerajaan negeri dan sebagainya.

Kata kawan-kawan, dewan masih belum bersedia walaupun sudah petang begini. Ada kerusi yang sudah ditempah belum sampai. Saya belum lagi menjenguk ke sana kerana tugasan yang belum selesai.

Di kawasan pameran dan jualan, masing-masing agensi kerajaan, swasta, NGO Islam dan para peniaga menyediakan gerai masing-masing.

Pagi tadi, ruang pameran dirasmikan oleh YB Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Datuk Haji Nasir Tun Sakaran. Ada 50 buah gerai pameran dan 30 gerai jualan.

Tengahari tadi semua peserta diundang makan tengahari bersama Perdana Menteri yang baru tiba jam 11.40 di Kota Kinabalu. Selepas asar, para hakim akan bermesyuarat tentang penghakiman MTQ kali ini.

Ada undang-undang baru yang mula dikuatkuasakan tahun ini. Semua qari dan qariah akan mengundi 2 tarannum wajib selain 2 tarannum pilihan sendiri.

Di pejabat kami, Bahagian Penyelidikan & Informasi situasinya macam-macam. Macam kilang kertas pun ada, macam stor pun ada, macam pasar pun ada. Tapi sebabnya sama, iaitu sebagai bukti semuanya bekerja untuk MTQ ini.

Beberapa petugas syarikat datang menghantar puluhan ribu beg untuk kegunaan mengisi makanan kepada audien. Kata Haji Sotimin, setiap malam 7 ribu beg diperlukan.

Buku yang dicetak juga mulai tiba. Tempat meletaknya juga di pejabat kami. Ada enam buku terbitan khas sempena MTQ ini. Namun sehingga petang tadi, baru empat buah buku yang baru siap dicetak oleh Jabatan Cetak Kerajaan. Dua lagi dalam proses dan dijangka dapat diedar kepada awam dalam tempoh MTQ ini juga.

Sejak beberapa minggu lalu, semua petugas dan urusetia diberikan sepasang baju kebangsaan berwarna hijau lengkap dengan sampinnya. Masing-masing kena ukur dan hantar ke kedai jahit menurut selera masing-masing. Semalam, kami diberikan pula baju vest untuk petugas.

Mudah-mudahan kerja baik ini dimudahkan oleh Allah SWT.


LAYAR BESAR


Penganjur menjangkakan ribuan umat Islam akan mula membanjiri Wisma MUIS Kota Kinabalu mulai esok. Perasmian Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-53 akan bermula sekitar 8.00 malam.

Oleh kerana Dewan Saadah di tingkat 2 hanya boleh menampung sekitar 2,500 penonton, maka urusetia mengadakan beberapa skrin besar di aras bawah.

Maka saya cadangkan orang awam datang lebih awal. Paling lambat pun, solat Isyak di Masjid Negeri Sabah dan parkir kereta di perkarangan masjid, berjalan kaki ke dewan.

%d bloggers like this: