Tag Archive: MTQ Kebangsaan 2012


Kredit untuk ikonoto’s channel yang merakam MTQK ini daripada awal hingga ke akhir.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Bergambar kenangan bersama qari Kedah sdr Mohamad Fakhrul Radhi Khamarudin, yang juga ahli nasyid kumpulan UNIC di Lapangan Terbang Senai, Johor.

Sayu pula meninggalkan sahabat-sahabat baru di Johor Bahru setelah selesai menyertai rombongan MTQ Kebangsaan 2012. Pengalaman kali pertama cukup manis, dengan layanan istimewa, pertemuan dengan otai-otai, para ulama’ al-Quran seperti Tan Sri Hassan Azhari, Tan Sri Ismail Muhammad, Datuk Ahmad Faizul, Ustaz Farid Ravi, Dato’ Sallehuddin Omar, serta para qari dan qariah seluruh negara; juga pertemuan dengan rakan-rakan lama sepengajian insya Allah akan dikenang.

Kejayaan qari dan qariah dalam kedudukan tiga terbaik adalah satu pencapaian di luar dugaan kami, sebagaimana telah saya catatkan dalam artikel-artikel sebelum ini. Ia mengundang ucapan tahniah dan penghargaan pelbagai pihak yang tidak putus-putus mengutus sms berisi kegembiraan dan kesyukuran. Ya bagi saya ia bukan setakat nombor. Kedua-dua mereka adalah orang muda – qari berumur 36 tahun dan qariah berumur 20 tahun – yang mudah-mudahan menjadi contoh anak muda di Sabah yang masih dahagakan bimbingan agama ini.

Dari Lapangan Terbang Senai Johor Bahru, penerbangan kami menuju ke KLIA disertai  sebahagian besar peserta, hakim, urus setia MTQ Kebangsaan serta rombongan dan perwakilan negeri-negeri seluruh negara. Di sebelah saya ialah imam besar Masjid Zahir Negeri Kedah Sheikh Roslan Abdul Halim. Di belakang saya pula ialah YB Ustaz Dato’ Nik Amar Abdullah, exco Kelantan yang mewakili kerajaan Kelantan dalam majlis penutupan MTQ Kebangsaan berkenaan. Allahu rabbi tawadhuknya beliau.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) dari KLIA pada petang sabtu kami disambut oleh dua kumpulan anak muda yang menzahirkan sukacita mereka. Kumpulan pertama ialah rakan-rakan sepengajian Faten dari Maahad Tahfiz al-Quran, yang lokasinya hanya bersebelahan dengan Terminal 1 LTAKK ini. Kumpulan kedua ialah wakil-wakil Persatuan Siswazah Sabah (PSS) dan Kelab Remaja Ukhuwah (KRU) sekaligus membuat sedikit liputan dan temuramah kepada Faten dan ibunya untuk diwarwarkan kepada masyarakat. Faten sendiri ialah ahli PSS Kota Marudu.

Bahkan saya dihubungi ketika di KLIA bahawa pemandu JHEAINS bersedia menjemput kami dan menghantar pulang ke rumah masing-masing, namun pelawaan itu saya tolak baik-baik kerana keluarga masing-masing sudah bersedia menyambut di terminal 1. Saya ‘sangkutkan’ di sini temuramah ringkas  berkenaan (di bawah) bagi perkongsian bersama dan menyambut permintaan PSS juga.

FOTO MAKAN-MAKAN

Maklumlah sebagai tetamu rasmi di negeri orang, kami banyak diundang ke majlis-majlis jamuan rasmi oleh pelbagai pihak. Bagi diri saya sendiri pula, tidak semua yang saya sertai. Walaubagaimanapun, alhamdulillah, semua layanan tuan rumah dan menu-menunya sedap belaka.

Teringat ketika jamuan tengahari bersama YB Exco Agama Johor, saya duduk bersebelahan dengan sahabat qari negeri Melaka, seorang pensyarah UiTM berasal dari Kelantan yang sudah 6 tahun bertugas di Melaka. Sebenarnya kami belum pernah bertegur sapa pun sebelum ini. Jadi beliau menyapa terlebih terlebih dahulu : “Abu Nuha Corner?”

Saya tersengih dan mengiyakan. Katanya dia melakukan carian di internet berkenaan MTQ Kebangsaan dan blog saya timbul dalam senarai carian tersebut. Tidak keterlaluan, sebenarnya tidak ramai blogger yang membuat liputan dalam MTQ berkenaan dan MTQ yang lepas melainkan sekadar catatan di fb sahaja. Alhamdulillah bertambahlah senarai sahabat dan pengikut blog ini. Saya rakamkan sebahagian foto-foto untuk kenangan bersama.

Kenangan di Johor memang manis dan menggamit perasaan kami. Bukan semata-mata kedudukan qari dan qariah yang mendapat kedudukan tiga terbaik kali ini, tetapi persahabatan dan bantuan sahabat-sahabat baru di Johor Bahru itulah yang paling kami kenang.

Paling akan kami ingat ialah Ustaz Azhar yang menjadi pengawai perhubungan (LO) bagi negeri Sabah. Tidak ketinggalan pemandu, sdr Jamil yang bersedia ‘mengangkut’ kami siang malam ke mana saja kami berhajat untuk pergi. Tidak cukup itu, setiap daripada kami – qari, qariah dan pengiring seluruh negara – menerima beberapa cenderamata lagi dari tuan rumah Johor.

Ada beberapa lagi catatan yang belum selesai sepanjang permusafiran kami seminggu di Johor Bahru. Insya Allah akan menyusul.

MALAM PENUH KECERIAAN BAGI SABAH

Sebenarnya selepas giliran Ustaz Raffe menyelesaikan giliran tilawahnya pada malam keempat lepas dan sebelum malam penutupan berlangsung, saya cuba  berpada-pada dengan harapan. Ustaz Raffe dan Faten kali pertama mewakili Sabah dalam MTQ Kebangsaan, jadi memadai mereka dapat mempersembahkan tilawah yang terbaik menurut kemampuan dan kudrat mereka.

Jelas saya berpuas hati. Sekiranya ada kelemahan dan kekurangan, ia wajar ditampung dan diperbaiki pada kesempatan pada masa dan tahun mendatang. Faten dan Ustaz Raffe melakukan beberapa kesilapan yang sama iaitu gagal menutup dengan tarannum bayati kerana kehabisan masa. Saya kira ia satu kesilapan normal apatah lagi mereka orang baru di peringkat kebangsaan.

Justeru apabila kedua-dua mereka mendapat tempat dalam MTQ Kebangsaan kali ini, Nur Faten naib johan dengan 79% dalam kategori qariah dan Ustaz Raffe tempat ketiga dengan  86.68% kategori qari, ia suatu bonus dan kejutan kepada kami semua. Bercerita soal qari, memang ‘pertarungan’ agak sengit. Qari  Kelantan memang berada pada kelasnya tersendiri, tetapi qari lain antara yang bagus pada pemerhatian saya seperti qari Perlis, Perak dan Kedah. Qari Kelantan Ustaz Mohd Anuar Ghazali ketika MTQ Kebangsaan di Kota Kinabalu pada tahun 2010 mendapat tempat kedua, dan di sini di atas kertas sebelum MTQ bermula memang diramalkan akan muncul sebagai johannya.

Dari segi qariah pula, ramai bersetuju bahawa banyak bacaan mereka tidak begitu menjadi. Suara serak, ada yang semput beberapa kali. Bahkan bagi saya, bacaan Faten pada malam kedua itu biasa-biasa saja, seperti MTQ Negeri yang pernah dilaluinya sebelum ini. Ybhg Datuk Mokhtar ada menghantar komentar kepada Faten melalui telefon bimbit saya dengan antara lain mengatakan bahawa prestasi di peringkat negeri lebih baik. Hanya faktor rezeki menentukan Faten mendapat kedudukan kedua di peringkat kebangsaan, satu keputusan yang langsung tidak kami jangka. Saya sendiri membuat andaian kedudukan Faten antara tempat ketiga hingga kelima.

MAJLIS

Majlis Penutupan MTQ Kebangsaan kali ini bermula jam 8.45 malam dengan ketibaan Sultan Johor dan kerabatnya. Tetamu khas ialah SS Mufti Brunei Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abd. Aziz bin Juned yang amat saya kagumi. Sebelumnya pada jumaat beliau menyampaikan khutbah yang hebat di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Bagi rombongan Sabah, kelihatan YB Datuk Haji Nasir Tun Sakaran, YB Datuk Haji Arifin Arif, YB Datuk Haji Suhaili Said, SS Datuk Ahmad Alawi Haji Adnan, Datuk Haji Amri Suratman dan lain-lain.

Susun atur kerusi untuk tetamu agak berlainan berbanding tempat lain yang pernah saya hadiri. Bagi yang menonton siaran langsung di tv1 malam berkenaan, ada dua pentas yang saling berhadapan. Pentas astaka tilawah seperti biasa dan di belakang sekali adalah pentas diraja yang berhadapan dengan astaka tilawah. Sementara hadirin lelaki dan perempuan dipisahkan dan duduk saling berhadapan. Bagi lelaki, pentas diraja berada di sebelah kiri dan pentas astaka tilawah di sebelah kanan. Bagi tetamu muslimat, pentas diraja berada di sebelah kanan dan pentas astaka tilawah di sebelah kiri mereka.

Komentar Pengerusi Jamaah Hakim wajar diambil perhatian oleh pencinta tilawah al-Quran bukan sahaja bagi qari dan qariah. Kualiti tajwid menurut beliau amat memberansangkan dengan markah 35 ke atas bagi semua qari dan qariah berbanding 40 markah penuh. Daripada segi tarannum, ada peserta yang gagal menunaikan dan menamatkan lagu dan burdah yang kurang sempurna. Daripada segi fasohah, masih ada kelemahan dalam memahami hukum waqaf dan ibtida’. Daripada segi suara, tabaqat atau tingkatan nada suara masih perlu diperbaiki.

Pengumuman oleh Ketua Pengarah JAKIM selaku pengerusi jamaah hakim sudah tentu dinanti-nantikan. Demikianlah sebagaimana yang sudah kita maklumi. Qari – Ustaz Muhammad Anuar Ghazali, Kelantan (93.66%), Zul-Hasyimi bin Mohamed Yunus, Pahang (87.99%) dan Ustaz Mohamad Raffe bin Ghalil Abbas, Sabah ( 86.68%). Qariah – Hajah Che Aminah binti Che Awang, WP (84.33%), Nur Faten Izzati binti Rablin, Sabah (79%) dan Marzian binti Mohd Deli, Kedah (78.67%). Tahniah juga buat semua peserta lain dari seluruh negara.

ANAK MUDA

Dalam konteks MTQ Kebangsaan baru-baru ini, pandangan kasar saya menyaksikan majoriti qari dan qariah adalah orang muda. Wakil Sabah kedua-duanya misalnya adalah orang muda, dengan Ustaz Raffe baru berumur 36 tahun dan Nur Faten pula 20 tahun. Qari qariah Pulau Pinang juga berumur awal 20an. Bahkan johan qari Ustaz Muhammad Anuar juga berumur lingkungan pertengahan 30an. Wakil Sarawak, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah juga orang-orang muda.

Bahkan dalam MTQ Negeri Sabah juga menyaksikan penyertaan anak-anak muda baik kategori qari dan qariah. Di peringkat negeri, 70-80 peratusnya adalah orang muda. Apa yang mesti dilakukan seterusnya ialah memupuk budaya cintakan al-Quran bermula dengan membaca al-Quran seterusnya menghafaz sehinggalah al-Quran dihayati di dalam kehidupan, kerana demikianlah tujuan al-Quran diturunkan dan tujuan al-Quran dialunkan.

SEJARAH SABAH

Apa yang saya ketahui, (mungkin juga tersilap) dalam penglibatan qari qariah Sabah ke peringkat kebangsaan, ini kali kedua qariah kita mendapat tempat 3 terbaik. Pada awal 80an dahulu, Hajjah Maliah Muda (Allahyarham) pernah dua kali mendapat tempat ketiga. Qari pula, Tuan Haji Abdullah Wahid juga pernah dua kali mendapat tempat yang sama pada tahun 2008 dan 2009. Kini secara serentak Nur Faten dan Ustaz Raffe mendapat tempat serentak pada tahun yang sama. Jadi bagi saya ini adalah pencapaian terbaik setakat ini yang boleh diperbaiki lagi pada tahun-tahun mendatang.

Persamaan keempat-empat mereka ialah adanya kelas-kelas tahsin al-Quran untuk memperbaiki kualiti bacaan al-Quran dikalangan qari dan qariah terpilih. Pada tahun-tahun akhir 70an dan awal 80an, Allahyarham Ustaz Saidin Abdul Rahman qari antarabangsa dari Pulau Pinang telah melatih dan membimbing mereka. Kemudian prestasi Sabah merudum sehinggalah JHEAINS kembali mengadakan kelas seumpama ini bermula sekitar tahun 2005.

NAMA YANG TIDAK DIDENDANG

Insya Allah, nama-nama ini adalah mereka yang pernah membimbing qari qariah Sabah sejak tahun-tahun 2005 hinggalah sekarang. Saya kira faktor curahan ilmu mereka membimbing secara berterusan tidak dapat menafikan akan kebangkitan peserta Sabah dalam Majlis Tilawah al-Quran di peringkat negeri dan kebangsaan sejak tahun-tahun berkenaan. Namun nama mereka tidak atau kurang ‘didendang’. Maka saya sebutkan sebahagian nama yang saya ketahui :

Ybhg Datuk Haji Mokhtar Rapok, Ybhg Datuk Haji Abdul Ghafar Rijim, Tuan Haji Hassan Che Musa, Tuan Haji Daud Che’ Man, Tuan Haji Rahim Ahmad, Hajjah Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman dan lain-lain kendalian JHEAINS. Begitu juga siri-siri kursus anjuran JAKIM dengan pembimbing yang sangat ramai datang ke Sabah bersilih ganti, antaranya Ustaz Nik Jaafar, Datuk Muhammad Hasri, Datuk Ahmad Paizul Ghazali, Ustaz Kadri Abdul Hamid, Datuk Salehuddin Omar dan ramai lagi.

Dalam MTQ Kebangsaan kali ini, bantuan segera Tuan Haji Yahya Daud dari Kelantan sangat kami hargai dan sanjungi. Beliau membantu kedua-dua qari dan qariah Sabah walaupun hanya melalui telefon setelah mereka berdua mendapat surah dan ayat yang ditetapkan pada hari giliran masing-masing.

Malam terakhir sebelum malam penutupan, adalah malam yang melibatkan qari Sabah Ustaz Raffe Ghalil Abbas. Malam yang sama melibatkan qari Wilayah, Kelantan dan tuan rumah Johor. Malam sengit, kata kawan-kawan. Setengah jam sebelum bermula, saya bertemu Ustaz Raffe dan berbincang sebentar kerana kami tidak berkesempatan bertemu muka sejak siang. Kami tinggal berasingan hotel kerana beliau membawa keluarganya sekali.

Perbincangan kami lebih kepada tentang tajwid seperti masalah ghunnah dan lain-lain, dan tentang fasohah khususnya bab waqaf ibtida’. Bab tarannum dan suara, saya tidak usik kerana beliau lebih mahir dan tahu. Saya menyampaikan pesan ramai orang yang berkirim salam kepadanya melalui saya dan mendoakan beliau agar diberikan ketenangan. Antara yang berpesan baik ialah Ybhg SS Mufti Sabah Datuk Haji Ahmad Alawi Haji Adnan dan Datuk Haji Amri Suratman Pengarah JHEAINS dan beberapa individu lain.

Ini debaran kedua bagi saya kerana saya adalah pengiring qari Sabah. Debaran pertama berlalu pada malam kedua apabila Faten naik ke astaka, kerana dia antara pelajar saya juga di Maahad. Sebagaimana yang saya catatkan di facebook, setelah kedua-duanya mempersembahkan bacaan masing-masing, kami mengambil pendekatan merendah diri dan tidak terlalu berharap kerana ini pengalaman pertama buat qari dan qariah tampil di peringkat kebangsaan, bahkan ramai peserta yang berpotensi untuk meraih kejayaan.

Ada kelebihan, dan ada juga kesilapan pada kebanyakan peserta, jadi agak sukar untuk memenuhi jawapan bagi pertanyaan ramai yang menghantar sms : “peserta Sabah ada harapan?” Sekadar saya menjawab : Wallahu a’lam. Harapan rakan-rakan dan ramai pihak cukup tinggi, dan saya sebagai pengiring dan dekat dengan kedua-dua peserta serta bergaul dengan kebanyakan peserta kebangsaan dapat merasai kehangatan MTQ kali ini kerana berada di dalam dewan mendengar semua peserta dan semangat dalam dewan, sudah tentu tidak sama dengan yang berada di rumah.

MTQ Kebangsaan kali ke 55 malam ketiga di Persada Johor ini diteruskan lagi dengan 8 orang peserta, 4 qari dan 4 qariah. Malam ini tiada peserta Sabah. Pengalaman peribadi pertama kali menyertai rombongan Sabah ke sini ialah apabila bertemu ramai sahabat-sahabat lama dan baru, sama ada ketika zaman belajar di Mesir dahulu, rakan dan senior di Shoubra dan lain-lain.

Begitu juga sesetengah kenalan baru seperti perwakilan negeri-negeri lain ada yang pernah ke Sabah juga khususnya ketika Sabah menjadi tuan rumah MTQ Kebangsaan kali ke 53 tahun 2010 dahulu. Alhamdulillah, saya mendengar mereka bercerita tentang kenangan-kenangan manis di Sabah khususnya layanan baik petugas-petugas Sabah kepada mereka terutama pegawai perhubungan (LO) negeri-negeri dan para pemandu yang banyak membantu kesulitan mereka di negeri orang.

Kesempatan duduk bersama para qari-qari negeri di peringkat kebangsaan ini menjadikan saya berpeluang menyelami sedikit sebanyak pengalaman dan ilmu mereka dalam bidang tilawah al-Quran. Lucu juga apabila bercerita sesama mereka, di sebelah kiri Sabah, ke kanan Kelantan, ke kanan lagi Perlis dan seterusnya dengan loghat masing-masing. Mudah-mudahan ukhuwah ini tetap berterusan.

%d bloggers like this: