Tag Archive: MSO


ULASAN MUKTAMAR KALI KE-58

muktamar5

Tajuk asal : MUKTAMAR BERSEMANGAT, MENYERLAH KEHEBATAN ABDUL HADI

Sumber : http://msomelayu.blogspot.com/

Muktamar tahunan Pas kali ke 58 yang berlangsung di Pusat Tarbiyah Islamiyah (Putik) di Kelantan selama tiga hari telah pun melabuhkan tirai lewat petang ini dengan sempurna seadanya. Selama empat hari tiga malam ahli, penyokong Pas dan pemerhati berkampung di Kota Bharu Kelantan. Muktamar bermula dengan sidang dari ketiga-tiga dewan yang merupakan sayap kepada Pas, Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat pada 14 November hingga 15 Novermber.

Muktamar penuh bermula pada 16 November dengan dihadiri hampir 2,000 perwakilan dan 4,000 para pemerhati dari seluruh negara. Turut sama hadir dimajlis perasmian ialah Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Naib Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Geok dan lain-lain jemputan kenamaan termasuk wakil gerakan Islam dunia.

Menambahkan kemeriahan dan ‘kesumringahan’  muktamar itu juga ialah himpunan rakyat yang diadakan pada sebelah malam 16 November bertempat di stadium Sultan Mohamad Ke IV. Kehadiran lebih 40,000 dengan menampilkan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat termasuk Anwar Ibrahim memberi petanda sihat yang Pas dan Pakatan Rakyat kian mendapat sambutan.

Saya tidak hadir ke muktamar kali ini dan mengikuti menerusi internet dari jauh. Sebab saya tidak hadir kerana muktamar itu diadakan di Putik. Ramai menduga muktamar kali menjadi perhatian umum memandangkan ia adalah muktamar terakhir sebelum pilihan raya umum yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Orang ramai khasnya dari kalangan ahli dan pendokong Pas dan Pakatan Rakyat mahu menyaksikan apakah aura yang ada dalam muktamar berkenaan. Pihak musuh pula menanti untuk mengkritik muktamar itu seboleh-bolehnya. Sekiranya muktamar itu lembab dan kurang bermaya maka ia akan digunakan untuk memperlecehkan Pas. Ia akan dijadikan isu kononnya orang Melayu sudah ‘minggat’ dari Pas. Ada seorang kawan saya yang sinis dan sudah terpesong akidah dengan Pas memberi gambar muktamar Pas kali ini kurang bermaya?

Entah dari sudut mana diperhatikannya. Kalau perhatian itu untuk memberi muka dan satu laporan buat Umno Kelantan, ternyata ia adalah satu kesilapan. Mungkin apa yang saya hendak sebut ini perkara kecil saja, tetapi ia adalah hakikat. Tanpa sesiapa sedar muktamar itu juga turut diperhati oleh dua rakan saya bergelar sastera dan penyair hebat di Kelantan. Sebelum ini mereka tidak pernah menjejak kaki ke halaman Pas. Manakala dari segi realiti sebenarnya pemandangan kawan saya itu (yang mengatakan muktamar kali ini kurang bermaya) sudah kabur akibat mungkin dibaham kencing manis tekanan gula dalam darahnya sampai 25 mmol/L ke atas.

Sesuatu yang dicari dan mahu disaksikan dari muktamar itu, ialah sejauh mana kesediaan ahli Pas dalam menghadapi pilihan raya nanti. Mahu melihat sehebat manakah ahli dan penyokong Pas menitiskan peluh untuk memastikan UBN gugur. Justeru ianya mengharap pandangan dan juga idea-idea yang dilontar untuk diguna pakai oleh semua pihak dalam pilihan raya nanti.

Bagaimana pun berlainan pula dengan pihak musuh, mereka menanti muktamar itu dengan harapan dapat mencuri sesuatu isu bagi mengocak Pas dan meretakkan kepaduan Pakatan Rakyat. Ada beberapa isu yang diharap dibahas di dalam muktamar itu kemudian akan dikutip menjadi isu sampah, seperti kenyataan Nurul Izzah mengenai kebebasan beragama, isu hudud, isu pemecatan Hasan Akidah dan kenyataan-kenyataan ‘sumbang berduit’ oleh bekas timbalan presiden Pas.

Namun isu-isu itu nampaknya tidak terjamah dan terhidu oleh perwakilan muktamar. Tidak ada seorang pun daripada hampir 2,000 yang menjadi perwakilan simpati kepada Hasan Akidah dan juga bekas timbalan presiden Pas. Nampaknya para muktamrin tidak termakan hasutan dan terkena ‘lesetan cenua pangan.’

Alhamdulilah nampak para perwakilan muktamar khasnya mereka yang mengambil bahagian dalam perbahasan semuanya matang, dan dapat menghidu apa yang diingini oleh musuh. Perwakilan nampaknya membuat home work dan dapat membaca mesej presiden. Perwakilan lebih merasakan persediaan untuk menghadapi pilihan raya dengan tidak menimbulkan soal-soal furu’ lebih penting dari membincang isu untuk menumbangkan kerajaan UBN yang merupakan isu pokok.

Di sidang muktamar baik dari ketiga dewan dan sidang muktamar penuh tidak ada apa yang menjadi kontroversi dan dapat dicuri oleh pihak musuh khasnya media PB. Semuanya berjalan dengan lendik dan nampak para perwakilan waspada.

Sidang dewan Pemuda yang sangat-sangat diharapkan dapat memberi sesuatu cetusan untuk meretakkan hubungn dengan Pakatan ternyata tidak menjadi.  Ada pihak tertentu dan media tertentu mengharapkan sesuatu kejutan berlaku dalam sidang dewan pemuda. Namun malang harapan itu tidak menjadi kenyataan. Bayangan mereka sebelum muktamar menjadi jauh panggang dari api.

Semua isu-isu yang dibahas atau diperkatakan di dalam pemuda adalah isu yang bersifat untuk memperbaiki dan memperkuatkan dewan berkenaan dan juga Pas keseluruhannya. Begitu juga dengan sidang dewan muslimat. Muslimat juga berhati-hati dalam melontarkan idea dan juga mengkritik pihak lawan. Muslimat tidak mudah ‘dicokek’ pinggang dan latah dengan mengeluarkan kata-kata penuh emosi yang boleh memberi bahan kepada media. Syabas dan tahniah untuk kedua sidang berkenaan kerana dapat mengharmonikan sidang dan memanfaatkan sidang selama sehari itu demi kepentingan parti.

Kalau pun boleh dianggap kontroversi sedikit ialah dalam sidang dewan ulamak menyentuh hudud. Namun kalau difahami betul-betul apa ditegaskan ketua dewan ulamak Harun Taib mengenai hudud ialah satu kewajiban. Sentuhan itu masih relevan. Satu pengesahan bahawa Pas masih belum melencung atau tergelecah ril seperti tanggapan orang-orang yang kecewa kini berada di luar pagar  Pas.

Namun dalam masa sama dewan ulamak mengendorsekan bahawa Pas masih bersih dan masih sihat. Pas masih Pas seperti mana termaktub dalam perlembagaan dan tidak berubah. Dewan ulamak membuka mata mereka yang termasuk habuk yang nampak Pas sudah menyeleweng setelah mereka mulai merasai enak makan di hotel lima bintang dan tahu mengandar duit dari komisyen 3% daripada kontrek diluluskan semasa mereka berkedudukan dalam kerajaan Pakatan Rakyat.

Begitu juga dengan sidang dalam muktamar penuh selama tihga hari bermula 16 hingga 18 November. Tidak ada perwakilan yang degil atau pun menimbulkan apa-apa keributan. Nampaknya semua perwakilan sporting memahami mesej dan juga semangat muktamar kali ini. Boleh dikatakan kesemua pembahas memahami dan menjaga tata adab masing-masing. Apakah ini wujud selepas tiadanya beberapa pengacau dalam Pas yang bersifat parasit sebelum ini? Mungkin!

Adapun kritikan kecil atau isu mengenai golongan profesional dibangkit kononnya cuba hendak mengubah dasar dan prinsip Pas, itu hanya imiginasi atau naluri pembahas yang mungkin termakan ‘tea tarik’ golongan oportunis. Ia bersifat peringatan dari pembahas itu mungkin kerana belum sedar hakikat yang berlaku di dalam Pas kini. Mungkin pembahas itu masih merasakan dia berdiri dalam muktamar semasa dua atau tiga tahun lepas atau pun obses yang dia lebih Islamik?

Namun isu masih wujud konon golongan profesional itu, dijelaskan dengan tuntas oleh timbalan presiden Mohamad Sabu dan ketiga-tiga Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar dan Husam Musa. Penjelasan itu diterima baik apabila tidak ada lagi ungkitan selepas itu.

Saya merumuskan, muktamar Pas kali ke-58 ini adalah muktamar terbaik dan penuh bermutu yang jarang dapat disaksikan sebelum ini. Misalnya kemunculan empat muslimat yang menmgambil bahagian dalam perbahasan, Siti Zailah Yusuf, Aiman Athirah Al Jundi, Cikgu Mala dan wakil dari Temerloh menyerlahkan akan kehebatan dan kepetahan mulimat Pas. Bukan saja daya cakap, tetapi daya fikir mereka juga hebat, bersemangat dan penuh komitmen.

Entah mengapa tatkala mendengar keempat  muslimat itu berbahas tiba-tiba ingatan saya melayang kepada arwah Dr Lo’ Lo’ Ghazali yang telah pergi meninggalkan kita semua. Tercetus dihati saya apakah mereka adalah pokok-pokok yang dibajai oleh Dr Lo’ Lo’ sebelum ini? Al Fatihah untuk serikadi dan mujahidah Pas yang hilang dimata namun masih kejap dihati, Allahyarham Dr Lo’ Lo’.

Bila berbicara mengenai muktamar kali ini pujian tertinggi tentulah untuk presiden Pas, Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Entah kenapa kali ini kehebatan Abdul Hadi terserlah. Paling menonjol ialah isi ucapannya yang padat dan bernas. Seperti saya katakan sebelum ini, isi ucapan Abdul Hadi kali ini sangat berilmu dan sekaligus menjadi matan-matan yang akan menjelaskan sikap, pendirian dan iltizam Pas untuk menang dalam pilihan raya.

Pandangan yang dilontarkan berlandaskan sejarah, sirah, al-Qur’an al -Hadith. Bukan tidak pernah digunakan sumber-sumber itu sebelum ini, tetapi kali ini ia mempunyai jiwa dan roh yang berpadu apabila ia dikombinasikan dengan penyampaian yang menarik. Ikhlas saya katakan ucapan Abdul Hadi kali ini menjadikan saya ralik, terhibur dan menjadi penyuntik azam yang tinggi.

Kali ini saya tidak mengatuk dan tidak merasakan ucapannya seperti khutbah di masjid. Ia adalah ucapan penuh bersemangat dan bertanggungjawab laksana di medan perang yang mana pendenarnya sedang siap dengan segala macam senjata untuk meraduk musuh, hanya menunggu peliut perang dari presiden itu saja. Saya tertanya-tanya dari manakah Abdul Hadi memperolehi kelebihan sebegitu kali ini?

Beliau yang sebelum ini agak kaku dan kekok untuk berdepan dengan media massa yang meminta ulasan dan jawaban sponton, nampaknya menjadi sangat yakin dan bersedia. Tenguk jawaban beliau berhubung cadangan agar beliau dilantik menjadi Perdana Menteri. Kesudiannya hanya sanggup menjadi khadam adalah jawaban yang tepat dalam situasi sebegitu. Kemudian jawaban dan huraian lanjut ke atas pertanyaan itu disimpul dengan ‘kemah kemen’ semasa ucapan penangguhan yang berbunyi; “cita-cita saya ialah mahu lihat Islam menang, lepas itu kalau saya mati pun tidak apa.”

Itulah luahan rasa dari sanubari seorang bernama Tok Guru yang dimesrai dengan panggilan Ayah Chik di kalangan orang kuatnya. Kebendaan bukan cita-cita, pangkat bukan menjadi buruan, tetapi keredhaan Allah s.w.t. dan kejayaan Islam yang ditagih dan harapkan. Apa yang ditunjukkan Abdul Hadi sepanjang muktamar ini adalah satu keistimewaan dan keluarbiasaan yang beliau perolehi. Apakah semua kelebihan itu dipancu oleh sebuah keyakinan (kasyafah) yang Islam akan menang sedikit masa nanti? [wm.kl.7:27 pm 18/11/12]

muktamar3

muktamar2

muktamar1muktamar4muktamar6

Foto-foto dari facebook Abah Anas

Saya tidak menyangka bahawa suatu hari saya bertemu dengannya di sebuah lif bangunan di ibu kota. Kalau tidak salah pada awal tahun 2008. Saya mendiamkan diri saat beliau dan kawan-kawannya bercerita dengan satu perhimpunan aman yang saya lupa lokasi dan tujuannya. Kali kedua, saya dibawa oleh seorang kenalan ke satu lokasi dalam Parlimen Titiwangsa bagi pelancaran satu program di sana dan saya melihat beliau sekali lagi.

Benar saat saya pertama kali mendengar nama beliau, terasa ganjil dan aneh bunyinya. Tapi pepatah arab ada mengatakan, sesuatu yang ganjil akan mudah dikenal orang. Jadi namanya mudah saya ingat. Sebagaimana maklum namanya terus harum dengan kerja-kerja dakwah, siyasah dan harakah islamiyyah baik sebelum dan selepas beliau diisytiharkan sebagai penyandang Ahli Parlimen Titiwangsa, di tengah-tengah jantung Kuala Lumpur pada 8 Mac 2008.

Takdirnya, empat hari kemudian isteri saya selamat melahirkan anak kami yang keempat. Baru empat hari selepas pengundian PRU-12, cerita-cerita hangat tsunami politik menyaksikan kuasa politik berubah di beberapa negeri dan kemunculan tokoh-tokoh baru di persada parlimen Malaysia khususnya dari Pakatan Rakyat. Antara nama yang muncul dan meniti ialah YB Dr Lo’lo Ghazali sendiri.

Keluarga di kampung memberi cadangan nama bermacam-macam termasuk mencadangkan nama tokoh-tokoh politik PAS dan Pakatan Rakyat walaupun empunya cadangan itu adalah  ahli UMNO. Akhirnya kami menimbangkan cadangan-cadangan keluarga dan rakan-rakan, memberi nama anak keempat dengan nama Lu’lu’ Badriyyah, sempena dengan Ahli Parlimen Titiwangsa itu dan parti bulan yang kami dukung. Lo’lo’ dan Lu’lu’ berbeza huruf tetapi punya maksud yang sama.

Sampai masanya, saya akan bercerita dengannya asbab saya menamakannya dengan kalimat sedemikian rupa. Mudah-mudahan kegigihan dan semangatnya dapat dicontohi oleh kita semua.

************************************

Tajuk Asal : Dr Lo’ Lo’: Mutiara Yang Tidak Akan Hilang Sinarnya

Sumber : http://msomelayu.blogspot.com/

Dr LO’ LO’ binti Mohd Ghazali adalah satu nama besar dalam Pas. Meskipun kedudukannya dalam parti Islam itu khususnya dalam Dewan Muslimat bukan ditempat teratas, tetapi dewan itu seakan sinonim dengan namanya, Dr Lo’ Lo’. Nama ini mula disebut dalam Pas sekitar tahun 90-an dan mulai mewangi pada awal akhir tahun 90-an. Kelopak perjuangannya mula berkembang dan disedari tatkala meletusnya era reformasi.

Era reformasi menerjahkan namanya ke tengah-tengah gelanggang. Era ini menguji kekuatan mental dan ketabahan feminis beliau sebagai seorang pejuang. Orangnya bertubuh kecil molek, berwarna putih kuning menjadi sekuntum bunga di dalam Pas. Kelihatan manja tetapi tegas. Ia menjadi daya tarikan, istimewa kepada anak-anak muda terutamanya kaum wanita. Kelulusannya sebagai seorang doktor perubatan (profesional) telah memberi rangsangan kepada anak-anak muda lain untuk menuruti jejak langkahnya menyimbah peluh di padang perjuangan.

Kesungguhnya beliau berjuang dalam Pas, menjadi aktivis muslimat Pas yang gigih, tekun dan membawa Pas keluar dari kepompong muslimat pingitan sebelum ini ke jalan baru tidak boleh dialpakan. Beliau telah merintis membuka ruang lebih luas dalam Pas untuk kaum hawa mengibarkan panji Islam, duduk tinggi atau memberi pengorbanan sama besar dengan lelaki bersama rakan-rakan lain, Dr Siti Mariah Mahmud, Siti Zailah Yusuf dan lain-lain.

Sepanjang hayatnya beliau mendominasi dalam bidang kebajikan terutamanya dalam aspek kesihatan sesuai dengan kelulusannya sebagai seorang doktor perubatan. Jika tidak silap saya Dr Lo’ Lo’ juga pernah ikut sama memberi bantuan kemanusiaan, rawatan dan perubatan dalam tragedi gempa bumi di Yogjakarta tahun 2006.

Pada pilihan raya umum ke-11 (2004) beliau diberikan tanggungjawab oleh Pas bertanding di Parlimen Bukit Gantang, Perak tetapi tewas. Ketewasan itu tidak sedikit pun melemahkan semangatnya. Malahan kekalahan kali pertama itu menjadi perangsang untuk beliau terus mengorak langkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Kekalahan dan pengalaman pertama itu mengajar beliau erti perjuangan menerusi berpilihan raya.

Siapa percaya pada tahun 2008, beliau seorang wanita yang lemah lembut boleh menang di sebuah kerusi bandaraya yang mempunyai berbagai lapisan masyarakat. Dr Lo’ Lo’ mengalahkan calon BN, Jamaluddin Aziz di kerusi Titiwangsa dengan majoriti 1,972. Kemenangan itu meletakkan namanya sebagai ahli Parlimen wanita pertama daripada Pas yang menang untuk mana-mana kerusi dalam Wilayah Persekutuan. Satu sejarah.

Nama yang sememangnya sudah bercahaya kerana Lo’ Lo’ itu sendiri bermaksud mutiara atau permata cepat mengharumkan Dr Lo’ Lo’. Kerajinannya mengambil bahagian dalam perbahasan di Parlimen menjadikan beliau popular dan disanjungi kawan dan lawan kerana komitmennya kepada tanggungjawab dan amanah. Isu-isu yang diambil bahagian ialah mengenai hak wanita dan juga isu-isu mengenai kepentingan Islam dan kebajikan insan.

Sebagai wakil rakyat wanita beliau tidak terelak terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah politik yang dilakukan lelaki. Lo’ Lo’ tidak dikecualikan atas persoalan gender. Kawasan Titiwangsa adalah pernah dimiliki oleh Sulaiman Mohamad, seorang politician Melayu yang dikenali sebagai samseng kampung dusun. Walaupun Sulaiman tidak lagi menjadi penghulu di situ namun Dr Lo’ Lo’ tetap menghadapi cabaran dan sindiran yang diwarisi dari Sulaiman yang diteruskan oleh penguasa Umno seterusnya.

Sekali lagi serangan dan kritikan terhadapnya selaku wakil rakyat oleh Umno tidak menjadi kudis gatal. Kemunculan Menteri Wilayah Baru Raja Nong Chik yang beriya untuk merampas Kampung Baru yang perlahan-lahan telah bertukar menjadi kubu untuk Pakatan Rakyat dan cuba merombak sokongan kepada Dr Lo’ Lo’ merupakan cabaran terhebat buatnya. Dr Lo’ Lo’ pernah dipersendakan oleh Raja Nong Chik kerana beliau seorang perempuan. Kalau tidak silap Dr Lo’ Lo’ pernah meminta Nong Chik meminta maaf kepadanya atas satu perbuatan Nong Chik yang kurang tamadun.

Keberaniannnya juga terserlah. Beliau mencabar untuk bersekemuka dengan sesiapa saja demi kebenaran dan keadilan untuk rakyat. Dalam berdepan dengan isu rampasan Kampung Baru beliau ke hadapan. Perjuanganya menjaga hak warisan orang Melayu Kampung Baru diperjuangkan sampai ke denyut-denyut nafas terakhir. Dalam keadaan beliau sudah sakit di mana seharus rakyat dilupakan namun beliau masih membela dan mempertahankan hak rakyat Kampung Baru. Beliau tidak rela Umno menzalimi penduduk Kampung Baru.

Penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (RUU PPKB) pada sidang Parlimen Mac lalu sesuatu yang menggembirakan beliau. Penangguhan itu sedikit sebanyak adalah kerana kelancangan beliau menentang agenda berstrategi Umno itu. Dr Lo’ Lo’ tidak habis-habis memberi peringatan agar agenda untuk membangunkan Kampung Baru biarlah dilakukan secara adil dan hak orang Melayu di situ terbela selamanya.

Ternyata iltizam beliau kepada tanggungjawab dan amanah parti itu tidak pernah diabaikan. Walaupun beliau tidak dapat menyuarakan kepada Parlimen kerana dihalang kanser namun beliau tidak berputus asa. Jalan lain dicari bagi menyampaikan isi hatinya. Rakan-rakan seperjuangnya senantiasa membantu dan mewakili beliau bagi menyampai apakah yang tersekang di dadanya. Ahli Parlimen Kubang Kerian, Sallahuddin Ayub pernah diwakilkan untuk menyampaikan ucapannya di Parlimen.

Meneliti dan mengimbau sejarah perjuangan dan keulitan serikandi ini, benarlah apa yang diungkapkan oleh Mursyidul Am Nik Abdul Aziz Nik Mat. Katanya; Dr Lo’ Lo’ adalah seorang mujahidah yang istiqamah di dalam perjuangan. Mengapa tidak seperti dikatakan tadi beliau tidak mudah berputus asa dan berwalang durjana demi memastikan perjuangan partinya tegak di atas muka bumi ini. Selain itu beliau juga seorang yang rajin, ada masanya melebihi pejuang lelaki sendiri.

Saya ada secebis pengalaman dalam hal ini, melihat sendiri bagaimana rajin dan seriusnya beliau dalam perjuangan pada berkempen pilihan raya kecil bagi memastikan calon Pakatan Rakyat. Semasa berlangsungnya pilihan raya kecil Permatang Pauh yang melibatkan pertandingan Anwar Ibrahim, Dr Lo’ Lo’ adalah seorang tenaga kempen utama. Bagi memastikan kemenangan Anwar beliau telah turun naik ke pejabat-pejabat kerajaan untuk memberi risalah dan mendekati pengundi.

Beliau ada menceritakan bagaimana beliau dihalau keluar dari pejabat tetapi tidak diendahkannya. Hak demokrasi dan kebebasan bersuara dipergunakan seterusnya. Beliau memberi tahu ada kalanya beliau terpaksa bertengkar dengan kakitangan pejabat sebelum dapat meninggalkan risalah. Selamba saja beliau memberi tahu apa yang berlaku ke atasnya.

Pada pilihan raya kecil itu beliau juga turut sama mendekati para peniaga di sebuah pasar. Beliau melalui dari lorong ke lorong menemui segenap penjual di dalam pasar berkenaan. Sambil bertanya khabar beliau menghulurkan risalah kepada para peniaga. Cara diplomasi yang tinggi dan lemah lembut menyebabkan para peniaga senang menerima kunjungannya. Ini terbukti bila mana ada peniaga yang membelanjakan beliau dan rombongan untuk minum.

Demikian juga pada siri-siri kempen pilihan raya kecil lain atau acara refomasi. Wajah dan kelibat beliau akan senatiasa sahaja ternampak. Mengingati akan kerajinan beliau dalam membantu rakan dan memastikan kemenangan, teringatlah saya kepada seorang lagi ahli Parlimen yang seingat saya tidak pernah miss menjadi host kempen pada pilihan raya kecil. Orang yang saya maksudkan itu adalah Dr Mohd Hatta Ramli. Kalau dalam lelaki Pas ada Hatta yang rajin, komited maka dalam muslimat Pas ada Dr Lo’ Lo’ yang ulit dan tidak mengenang letih dan istiqamah.

Semalam jam 10:15 minit 15 Syaaban 1432 bersamaan 17 Julai 2011 dalam usia 54 tahun permata Pas yang bergemilang memancar sinar itu sudah pun tiada lagi. Dia sudah dipanggil pulang ke pangkuan penciptaannya untuk selamanya. Pas dan kita semua hanya diberikan pinjam sekejap saja permata penuh berazimat itu. Demikian takdir Allah, kita kena pasrah.

Namun sinar yang pernah hadir dan memberi cahaya kepada kita tetap akan terlekat kejap di sanubari. Kewujudannya ia bersama kita sebagai menandakan bahawa kita pernah bersama dalam mengibarkan panji-panji kebenaran ini dan selorong menuju ke mardatillah, insyaAllah. Kalau kita semua benar sayang dan mengkagumi ratu jihad ini, ayuh.. terus kibarkan panji-panji ini yang ditinggalkan kerana ia akan meneduhkan rajuna itu di ambang Syurga. Penerusan perjuangan adalah doa kudus untuk Allahyarham. Al Fatihah. [wm.kl. 6:02 am 18/07/11]

http://msomelayu.blogspot.com/

Ismail Omar Baik Diam… Nanti Sakit Jantung Lagi

Sebelum Utusan dan media arus perdana membuat bohong besar esok mengenai himpunan Bersih hari ini, Ketua Polis Negara, Ismail Omar telah cuba menjadi burung belatuk, mengulas mengenai Bersih. Katanya himpunan Bersih hanya didua tempat saja di Puduraya dan jalan Loke Yew. Saya tidak pasti apakah beliau mendapat penjelasan dari timbalannya Khalid Abu Bakar yang kini sudah macam anti klimek dan menjadi pekak dengan tiba-tiba. Atau pun beliau mendapat penjelasan dan laporan yang palsu dari ketua polis Kuala Lumpur.

Itulah jadinya kalau ketua polis hanya memantau dari jendela Bukit Aman dan tidak berani turun ke bumi. Segala laporan dan maklumat yang diterimanya tidak betul dan melencung jauh. Saya rasa saya lebih bertanggungjawab dari beliau. Saya turun dan berputar ke segenap lokasi himpunan berkenaan. Baca laporan saya (kronologi) rasanya lebih adil dan benar daripada laporan anak buah Ismail Omar. Ada empat lokasi besar himpunan, Pasar Seni, perkarangan Masjid Jamik, di Jalan Petaling, dan perkarangan Stadium Merdeka.

Inilah kualiti polis kita bercakap selalu bohong dan menipu orang ramai. Kalau hendak gambarkan negara ini aman dan polis berjaya kawal himpunan pun jangan sembunyikan fakta. Hari ini semua roang cerdik dan bukan bodoh. Begitu juga katanya tidak ada tembakan gas pemedih mata di Jalan Puduraya? Omar boleh tengok video yang profesional tangkap dan jangan yang polis ambil. Kalau polis ambil banyak fakta yang disembunyikan seperti mana pembohong polis ada peserta himpunan yang bawa senjata dan cocktail.

Belajarlah menjadi baik dan menjadi seorang Islam. Kalau polis tunduk, akur dan cium kaki pemimpin hari ini, tetapi jangan sampai kaki sebayan (busuk) pun sanggup dicium. Saya mahu ketua polis negara saksi gambar yang dipaparkan dalam blog, mengenai himpunan yang dipukul dan diperlakukan macam anjing kurap. Rasanya sesetengah tindakan polis jauh lebih buruk dari salakan anjing.

Saya setuju kalau polis mengawal himpunan Bersih untuk tidak menular kemudian rakyat mengoncangkan pemerintahan hari ini. Tetapi lakukan secara berada dan ingatlah kepada perkataan atau kalimah yang tertera di topi berbunyi Allah – Muhammad. Kalau kalimah itu sudah tidak dihormati buang dan ganti dengan kalimah lain. [wm.kl.9:40 pm 09/07/11]

%d bloggers like this: