Tag Archive: Mohd Khairuddin Aman Razali


Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/41192-umpatan-di-aplikasi-media-sosial-halal-atau-haram

Imam Muslim meriwayatkan satu hadis dalam Bab *Haram Mengumpat*

“Daripada Abi Hurairah radiyallahu anhu bahawa Rasulullah SAW bertanya; “tahukah kamu apa itu mengumpat?

Para sahabat menjawab: “Allah dan RasulNya lebih mengetahui.”

Kata baginda SAW; “iaitu kamu menyebut tentang saudaramu sesuatu yang tidak disukainya.”

Hadis sahih ini secara jelas menerangkan tentang definisi *mengumpat* iaitu *menyebut tentang seseorang di belakangnya* atau di saat ketiadaannya sesuatu yang *tidak disukainya* sama ada keburukannya atau kekurangannya, sama ada ia melibatkan jasad dirinya atau agamanya atau akhlaknya.

Mungkin ada yang berkata; saya *tidak mengumpat* kerana sememangnya keburukan dan kecacatan itu ada pada dirinya.

Sebenarnya, perkara yang sama dilontarkan oleh sahabat kepada baginda SAW: “Apa pandangan kamu sekiranya pada saudaraku terdapat apa yang saya sebutkan itu?”

Baginda SAW menjawab: “sekiranya pada dirinya terdapat apa yang kamu katakan maka kamu telah mengumpat dirinya. Dan sekiranya tidak ada pada dirinya perkara itu bererti kamu telah mereka-reka cerita tentang dirinya”.

Dunia hari ini menyaksikan ruang komunikasi antara manusia yang sangat luas tanpa batasan menerusi pelbagai aplikasi internet. Ia memudahkan manusia berkomunikasi dan berbicara menerusi tulisan hanya dengan jari jemari tanpa batasan masa dan waktu.

Tanpa sedar kita telah berbicara tentang keburukan pelbagai peribadi manusia di saat ketiadaannya lalu disambut dengan penuh rancak oleh rakan-rakan yang lain.

*Mengumpat adalah HARAM*. Ia mengaib dan merosakkan maruah serta kehormatan manusia.

Apakah aplikasi whatsapp, facebook, twitter serta komen di blog berita menjadi lesen menghalalkan umpatan?

Moga Allah pelihara iman kita dan jari jemari kita daripada maksiat kepada Allah dan dosa terhadap manusia.

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Sabtu 14 Mei 2016 – HARAKAHDAILY 14/5/2016

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/40912-budaya-politik-matang-pas-ikut-quran-dan-sunnah

DATUK DR KHAIRUDIN AMAN RAZALI | 24 April 2016.

AYAT Quran mengenai Nabi Ibrahim yang diuji dengan beberapa kalimah iaitu perintah dan larangan. Nabi Ibrahim berjaya dalam ujian dari Allah itu.

(وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ قَالَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ)

“Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: ‘Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia’. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: ‘(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)’. Allah berfirman: ‘(Permohonanmu diterima, tetapi) janji-Ku ini tidak akan didapati oleh orang yang zalim.’ (Al-Baqarah: 124)

Allah beri nikmat kepada kita berada dalam jemaah dan perjuangan. Justeru, jangan lupa doa pohon supaya tidak tergelincir dari perjuangan.

Mereka yang tergelincir bukan calang-calang orang, pernah pegang jawatan penting dalam jemaah. Isunya bukan tarbiah tetapi soal hati yang duduk dalam genggaman Allah.

Sentiasalah kita berdoa:

يا مقلب القلوب ثبت قلوبنا على دينك و على طاعتك

‘Wahai tuhan yang membalikkan hati. Tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu dan taatkan-Mu’

Di awal ceramah tadi, saya sebut tentang Allah uji Nabi ibrahim beberapa kalimah iatu perintah dan larangan. Apabila Nabi Ibrahim berjaya lalui ujian itu, Allah kurniakan jadi imam iaitu pemimpin. Imam berada di hadapan, diikuti. Imam baik, ia diikuti oleh orang lain.

Bani Israel ada yang jadi pemimpin, dapat hidayah, berdasarkan petunjuk Allah.

Konsep kepimpinan berdasarkan taat Allah. Nabi Ibrahim berlepas diri daripada sembahan berhala, ia diikuti. Ini aqidah. Bahkan dalam perkara sunnah fitrah seperti potong kuku dan lain-lain.

PAS berpolitik sudah begitu lama, penuh pengalaman pahit manis, memerintah dan menjadi pembangkang. Dari segi dasar matlamat, ia sebagai teori, kemudiannya berjuang secara praktis.

PAS dijadikan bahan kajian ilmiah IPT. PAS bekalkan tenaga manusia dalam pelbagai bidang dalam semua sektor kerajaan dan swasta.

PAS yang matang ini sepatutnya menjadi imam, memimpin masyarakat dalam politik dan berpolitik dan lain-lain.

Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) merujuk kepada Quran, Hadis. Ia politik nasihat.

PAS dicop sebagai pembangkang, stigma ini kena buang. Politik nasihat bukan baru, ada dalam Quran, Hadis. Agama itu nasihat. Nasihat iaitu berlembut pada tempat lembut, bertegas pada tempat tegas.

PAS menjadi penasihat kepada penguasa, rakyat, mengajak kembali kepada Allah.

Peranan nasihat ini berlaku dalam pelbagai aspek dan ruang, dalam parlimen dan luar parlimen.

Kita beritahu tentang konsep percukaian menurut Islam. Parti lain bincang 1MDB misalnya dari sudut tertentu. Kita bincang dari sudut dasar yang salah yang melahirkan 1MDB, operasi dan sistem yang bercanggah dengan syarak, bukan sahaja tentang kebocoran dan salahlaku.

Deklarasi rakyat yang mahu turunkan Najib hanya sebahagian dari isu sebenar sedangkan dasar masih kekal. Dr M ketika jadi PM pernah berhutang dan bila Dr M tinggalkan kerusi PM, hutang Malaysia. RM188 bil dan apabila Pak Lah tinggal kerusi PM, juga tinggalkan hutang negara yang lebih banyak.

Kita bukan nak buang kepala keretapi sahaja, bahkan gerabak dan rel juga.

Tuan Guru Presiden bawa politik memimpin, matang dan bawa imej positif.

Imej umno rosak, alami krisis keyakinan teruk. Kita kena bina keyakinan dalam kalangan rakyat bahawa PAS mampu ganti Umno.

Strategi lama dan sama, harap hasil yang berbeza, ini salah. Kita kena cari strategi baharu untuk dapat hasil berbeza.

Saranan 7 perkara untuk ahli PAS:
i. ahli PAS mesti menjadi pemimpin masyarakat setempat
ii. ahli PAS masuk ke kubu Umno
iii. ahli PAS masuk masjid, surau yang dikuasai Umno
iv. pemimpin PAS dekati veteran Umno
v. hulurkan kebajikan kepada semua termasuk ahli Umno
vi. ahli PAS buat hubungan mesra dengan pegawai kerajaan
vii. Jangan serang peribadi orang Umno tetapi terang tentang rosak dan salahnya dasar Umno

Kita istiqamah dengan Islam dan perjuangan, ajak manusia ke jalan Allah, beramal soleh. Perkara baik dan jahat tak sama. Tolak perkara jahat dengan sifat sopan santun. Kejahilan dan kebodohan ditolak dengan cara baik. Inilah budaya yang diajar oleh Quran.

Kita nak perintah Terengganu. Kita perlu undi lain dari undi tegar PAS, termasuk undi orang Umno. – HARAKAHDAILY 24/4/2016

Intipati ucapan perasmian Mesyuarat Agung PAS Kemaman kali ke-56 pada Sabtu 23 April 2016 Datuk Dr Khairudin Aman Razali dicatat oleh Ustaz Nik Muhammad Nasri bin Nik Malek.

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/39603-malaysia-model-negara-umat-islam-waspada-pujian-serampang-2-mata

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | 21 Januari 2016.

1. Saya tidak menafikan ada kelebihan Malaysia sebagai negara umat Islam berbanding dengan negara-negara umat Islam yang lain dan memang sepatutnya Malaysia berusaha sehingga dapat memberikan contoh kepada negara-negara umat Islam yang lain. Pujian adalah suatu kredit kepada negara kita.

2. Pun begitu, pujian oleh blok Barat seumpama yang tersiar di portal The Telegraph dan kemudiannya diangkat dan diulas oleh beberapa portal tempatan adalah dilihat sebagai serampang dua mata yang boleh

(i) menyempitkan makna kemajuan hanya terhad kepada aspek material dan
(ii) memburukkan persepsi awam terhadap Islam dan menyuburkan lagi Islamofobia.

3. Sebagai Muslim, keyakinan kita adalah kemajuan tidak hanya terhad kepada unsur kebendaan bahkan ia mesti bermula dengan pembangunan kemanusiaan. Jika sesebuah wilayah yang sarat pembangunan fizikalnya tetapi merosot tamadun insaniahnya, ia tetap tidak maju menurut perspektif Islam. Tidak seharusnya kita mengalih parameter kemajuan ini dengan mengikut telunjuk Barat. Jika demikian, kita akan gagal menjadi contoh kepada yang lain.

4. Lebih merisaukan, artikel bertajuk “Jakarta Attacks: How to Defeat Islamic Terrorism in the Far East” yang disiarkan portal tersebut secara konsisten menggunakan istilah seperti ‘Islamist-inspired terrorism’ adalah dilihat sebagai usaha untuk mengaitkan dan memperakukan secara diam bahawa Islam adalah pelaku dan penaja keganasan di banyak tempat dalam dunia ini.

5. Kaitan seperti itu juga adalah strategi Barat untuk meletakkan semua kumpulan Islam samada yang berjuang di atas prinsip kebenaran yang bersumberkan kepada al-Quran dan as-Sunnah atau sebaliknya di dalam satu bakul yang sama. Justeru, ia akan menjauhkan umat Islam daripada kumpulan Islam khususnya yang bergiat aktif dalam arus perdana politik sesebuah negara umat Islam untuk mengembalikan kekuatan sebenar umat Islam iaitu kekuatan kesatuan. – HARAKAHDAILY 21/1/2016

Penulis adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus.

MEMBINA SIFAT PRIHATIN UMMAH

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/39439-membina-sifat-prihatin-ummah

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | 12 Januari 2016.

Sayyidatuna Khadijah radiyallahu anha berkata ketika menenangkan perasaan Nabi SAW sebaik menerima wahyu pertama menerusi Jibril alaihissalam:

فَوَالله لا يُخْزِيكَ الله أَبَدًا، وَالله إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ، وَتَصْدُقُ الْحَدِيثَ، وَتَحْمِلُ الْكَلَّ، وَتَكْسِبُ الْمَعْدُومَ، وَتَقْرِي الضَّيْفَ، وَتُعِينُ عَلَى نَوَائِبِ الْحَقِّ.

Maksudnya: “Maka demi Allah, kamu sama sekali tidak akan dikecewakan oleh Allah. Demi Allah, sesungguhnya kamu bersungguh-sungguh menyambung hubungan kerabat (silaturrahim), kamu bercakap benar, kamu menanggung orang-orang yang lemah, kamu memberi kepada yang papa, kamu memuliakan tetamu dan kamu membantu manusia dalam musibah”. (Hadis disepakati oleh Bukhari dan Muslim)

Huraian

1. Ucapan beliau ini menggariskan kepada umat beberapa sifat keperibadian Rasulullah SAW sebelum baginda menjadi Nabi lagi.

2. Kesemua sifat itu menggambarkan betapa Nabi SAW seorang yang sangat prihatin dan mengambil berat permasalahan dan kesusahan umat.

3. Antaranya:

I) Menyambung Hubungan Antara Kaum Kerabat.

Hanya mereka yang mengambil berat perihal orang lain mampu untuk sentiasa menjaga hubungan kerabat dan persaudaraan kekeluargaan khususnya apabila terputus atau diputuskan dengan pelbagai sebab.

II) Bercakap Benar

Hanya mereka yang tulus dalam berinteraksi dengan orang lain mampu sentiasa bercakap benar dengan manusia.

III) Menanggung Golongan Lemah

Golongan lemah tidak mampu memenuhi keperluan hidupnya akibat ketidakmampuan jasadnya antaranya kerana dimamah usia. Hanya seorang yang mempunyai perasaan belas kasihan dan prihatin kepada manusia lain mampu menanggung kesusahan golongan sebegini.

IV) Memberi Kepada Yang Papa

Golongan yang papa walaupun mungkin telah berusaha memerlukan bantuan dalam meneruskan kehidupan. Peribadi yang prihatin kepada masalah kemanusiaan tidak akan tergamak membiarkan mereka terus dilanda kesusahan.

V) Memuliakan Tetamu

Tetamu datang mungkin tanpa dijangka dan dijemput. Ia mengganggu jadual peribadi seseorang. Namun, sifat prihatin yang mengatasi kepentingan perbadi akan mendorong insan mulia untuk sentiasa memuliakan tetamunya sekurang-kurang 3 hari 3 malam dengan penginapan dan makanan selayaknya.

VI) Membantu Manusia Berhadapan Musibah

Musibah berlaku melibatkan kehilangan nyawa, kerosakan jasad dan kehilangan harta. Hanya insan prihatin mampu menghulurkan bantuan di situasi getir sebegini.

4. Maka demikianlah selayaknya umat Muhammad mewarisi keperibadian Nabi SAW. Di saat masyarakat berhadapan kesempitan ekonomi, tuntutan keprihatinan ummah adalah sangat mendesak. Jika berjaya dilaksanakan, lahirlah di kala itu umat dan masyarakat yang berkasih sayang.

Sekian.

Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus – HARAKAHDAILY 12/1/2016

NEKAD 9.0

Tarikh : 4 Disember 2015

Lokasi : Markaz Tarbiyah PAS Kubang Lembek, Manir Hulu Terengganu

 

 

 

 

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/39111-pendekatan-muqabalah-muzakarah-perkasa-pas-di-arena-politik

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | 21 Disember 2015.

1. PAS yang telah berjuang di arena dakwah dan politik sejak 1951 telah melalui pelbagai pengalaman dan melaksanakan pelbagai strategi dan pendekatan dalam membawa risalah perjuangannya antaranya Tahaluf Siyaasi dengan pelbagai parti politik.

2. Terkini, selain Tahaaluf Siyaasi, PAS juga mengambil pendekatan “muqabalah” dan “muzakarah” iaitu berbincang, bertemu dan bermuzakarah dengan pelbagai pihak sama ada organisasi politik mahupun pelbagai badan bukan kerajaan.

3. Untuk itu, Presiden PAS dan beberapa pimpinan turut berucap sepentas dengan Presiden UMNO dalam program anjuran Multaqa Alumni Al Azhar. Dato’ Takiyuddin Hasan selaku Setiausaha Agong bersama Dato’ Mustapa Ali, Pengarah Pilihanraya PAS pula dihantar oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat menghadiri Persidangan Agung PERKASA.

4. Sebelumnya pelbagai pihak dibawa sepentas bersama PAS bagi memperkukuhkan agenda rakyat menerusi Kongres Rakyat.

5. Pendekatan ini bertujuan memecah tembok dan penghadang yang menghalang dakwah dan politik Islam diperturunkan sehingga ke akar umbi masyarakat.

6. Juga bagi menampilkan wajah PAS sebagai wadah pembangkang politik yang konstruktif iaitu mengkritik kerajaan semasa secara membina dan menasihati secara lunak dan tegas serta berprinsip.

7. PAS pula bakal mengemukakan pandangan-pandangan alternatif bagi pelbagai kemelut negara melibatkan ekonomi termasuk alternatif percukaian GST dan konsep memampumilikkan perumahan yang baru sahaja dimuzakarahkan oleh pimpinan tertinggi PAS sabtu lalu 19hb Dis 2015.

8. Asas kepada pendekatan ini ialah firman Allah kepada Nabi Musa dan Nabi Harun alaihimassalam:

“Pergilah kamu berdua kepada Fira’aun kerana dia telah melampaui batas. Lalu sebutlah kepadanya kata-kata yang lunak mudah-mudahan dia mengambil peringatan atau takut” Surah Taha ayat 43-44

9. Al-Quran mengenengahkan konsep bertemu, bermuzakarah, berdebat dan berbincang untuk tujuan menyampaikan pandangan dan prinsip kebenaran meskipun kepada pemerintah yang sangat zalim mendakwa diri sebagai Tuhan seperti Fir’aun.

10. Menurut Imam Ibnu Kathir; ayat ini mengandungi pengajaran sangat besar iaitu Firaun berada dalam keadaan sangat zalim, sombong dan angkuh membesarkan diri sendiri sedang Nabi Musa pula manusia terpilih oleh Allah. Meskipun begitu Allah tetap mengarahkan Musa untuk berbicara dengan Firaun secara lunak dan lembut.

11. Pendekatan terkini PAS ini mungkin tidak disenangi oleh setengah pihak berkepentingan yang bimbang PAS menjadi lebih kuat, berpengaruh dan berperanan lebih besar dalam arena politik tanah air. Justeru, media baru diperalatkan untuk mengecam dan memperkecilkan pendekatan ini.

12. PAS berpandukan al-Quran dan Sunnah akan terus menjadi perintis, pemandu dan pembimbing kepada umat khususnya rakyat Malaysia dalam menggarap politik kepartian yang matang demi kemaslahatan rakyat khususnya marhaen.

Sekian.

Datuk Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
Isnin 21 Disember 2015 / 9 Rabiul Awal 1437- HARAKAHDAILY 21/12/2015

KENAPA PAS TOLAK GST

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/38107-kenapa-pas-tolak-gst

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | 27 Oktober 2015.

Antara isu yang paling hangat dibahaskan dalam sesi perbahasan bajet yang bermula semalam di Dewan Rakyat ialah isu GST.

Hal ini kerana Perdana Menteri dalam ucapa pembentangan Bajet 2016 pada Jumaat lalu menyebut nasib baik ada GST yang boleh menampung kekurangan hasil negara kerana kemerosotan harga minyak!!!

Kenapa PAS menolak GST?

Pertama, kerana system cukai GST itu sendiri. GST adalah cukai berdasarkan perbelanjaan.

Islam menegaskan konsep percukaian sebagaimana difahami menerusi konsep zakat ialah cukai mestilah berdasarkan pendapatan bukannya perbelanjaan.

Di situlah kita boleh membezakan siapakah yang mempunyai lebihan pendapatan yang boleh dicukai dan siapakah yang tidak mempunyai lebihan pendapatan atau langsung tiada pendapatan.

Pendapatan yang dikenakan cukai ialah pendapatan oleh orang-orang kaya yang melebihi daripada keperluan asas kehidupan.

Orang-orang miskin yang mempunyai pendapatan yang tidak cukup untuk menguruskan kos kehidupan seharian tidak dikenakan cukai.

Adapun perbelanjaan tidak patut dikenakan cukai.

Ada yang menyatakan baguslah jika berdasarkan perbelanjaan kerana orang kaya akan berbelanja banyak dan orang miskin berbelanja sedikit!

Isunya ialah Islam menegaskan orang yang miskin tidak patut dikenakan cukai walaupun sedikit!

Cukai GST dikenakan berdasarkan perbelanjaan yang tentunya tidak boleh membezakan antara yang berpendapatan lebih daripada keperluan harian atau tidak. Si miskin akan dizalimi apabila perbelanjaannya juga dikenakan cukai.

Dari Dewan Rakyat
Selasa 27 Oktober 2015 – HARAKAHDAILY 27/10/2015

Tarikh : 9 Oktober 2015

Lokasi : Masjid Rusila Terengganu

Pengkuliah : Ustaz Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

HAYATILAH KELEBIHAN HARI ARAFAH

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/37534-hayatilah-kelebihan-hari-arafah

Hari Arafah yang jatuh pada hari kesembilan Zulhijjah merupakan hari yang mulia yang diberikan kelebihan oleh Allah. Antaranya:

1. Ia adalah hari di mana para jemaah haji berwukuf di Arafah bagi melunaskan salah satu rukun Haji. Tanpa berwukuf haji mereka tidak sah sebagaimana Hadis Sahih riwayat Ahmad, Abu Dawud, Tirmizi dan Ibnu Majah bahawa Nabi saw bersabda bermaksud “Haji itu Arafah”.

2. Ia adalah hari terbaik untuk berdoa sebagaimana Hadis riwayat Tirmizi, Nabi saw bersabda;

Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa pada hari Arafah. Dan sebaik-baik ucapan yang diucapkan olehku dan para Nabi sebelumku ialah:
(Tiada Ilaah (Tuhan yang diberikan pengabdian) melainkan Allah satu-satunya, tiada sekutu bagi-Nya. Hanya Dia memiliki sebenar-benar kerajaan dan hanya Dia memiliki sebenar-benar pujian syukur dan Dia atas segala sesuatu Maha Berkuasa).

Kelebihan berdoa pada hari tersebut bukan hanya khusus untuk jemaah Haji yang sememangnya wajar menjadikannya sebagai amalan utama ketika sedang berwukuf tetapi juga umum kepada seluruh umat Islam.

Imam Ahmad menukilkan bahawa 2 sahabat Nabi saw iaitu Ibnu Abbas dan Amru bin Huraith antara yang memulakan majlis berhimpun dan berdoa pada hari Arafah di masjid di Basrah.

3. Hari Arafah disunatkan berpuasa bagi selain para jemaah Haji sebagaimana Hadis dengan Isnad yang Sahih riwayat Abu Dawud:

“Bahawa Rasulullah saw berpuasa pada sembilan Zulhijjah, Hari Asyura’ (10 Muharram) dan 3 hari daripada setiap bulan iaitu isnin pertama dan dua khamis”

4. Hari Arafah termasuk salah satu hari dalam 4 bulan Haram yang diberikan kehormatan oleh Allah iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab. (Rujuk surah Taubah ayat 39).

5. Hari Arafah termasuk salah satu hari dalam bulan-bulan Haji iaitu bulan Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. (Rujuk surah al-Baqarah ayat 139.)

6. Hari Arafah termasuk dalam salah satu hari-hari yang dimaklumi (ma’luumat) sepertimana disebut oleh Allah dalam surah al-Hajj ayat 28.

Ata’ melaporkan daripada Ibnu Abbas, hari-hari yang dimaklumi ialah Hari Arafah, Hari Raya Korban dan 3 hari Tasyrik.

Disediakan oleh:
Datuk Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat / AJK PAS Pusat
Rabu 9 Zulhijjah 1436 / 23 September 2015

HARAKAHDAILY 23/9/2015

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/34069-faqih-adalah-prasyarat-utama-ketua-dalam-islam

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | 27 Februari 2015.

Dasar PAS adalah Islam. Rujukannya ialah al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas. Untuk mentafsirkan dasar Islam yang dipegang oleh PAS mandat diberikan kepada Majlis Syura Ulamak yang mempunyai keanggotaan seramai 17 orang kalangan Alim Ulamak.

Apabila tafsiran dan huraian Majlis Syura Ulamak dipertikaikan berkaitan dasar dan prinsip Islam maka bermulalah kerosakan dalam perjuangan.

Ketaatan kepada Ulil Amri  yang menghuraikan Islam dapat difahami menerusi firman Allah:

 يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُوْلِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

“Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan Ulil Amri kalangan kamu. Maka apabila kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul sekiranya kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.” (Surah al-Nisa’: 59)

Ulil Amri bermaksud yang memiliki arahan dan memegang urusan. Ulil Amri ditafsirkan oleh sahabat Nabi iaitu Ibnu Abbas dan juga Tabi’in seperti Mujahid, Ata’, Hasan Basri dan Abu al-Aaliyah merujuk kepada Ahli Fiqh dan Agama.

Imam Ibnu Kathir pula mentarjihkan, Ulil Amri merujuk kepada semua yang memiliki perintah iaitu para pemerintah dan Alim Ulamak. (Tafsir Ibni Kathir, juz 1, ms 568, Dar al-Khair 1991).

Para pemerintah wajib ditaati kerana mereka memerintah dengan perintah Allah. Ulamak pula ditaati kerana mereka menjelaskan perintah Allah.

Ayat ini juga mengisyaratkan bahawa keutamaan untuk menjadi ketua ialah kombinasi 2 sifat iaitu ‘sifat kepimpinan’ dan ‘sifat faqih’ kerana di saat itu pada  dirinya terdapat 2 sebab ketaatan iaitu ‘ditaati sebagai pemerintah yang memerintah dengan perintah Allah’ dan ‘ditaati sebagai Ulamak yang menjelaskan perintah Allah’.

Apabila membincangkan tentang kuasa ketua dalam Islam, Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Mursyidul Aam kepada Majlis Syura Ulamak berhujah dengan firman Allah:

وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِين

“Dan hendaklah kamu bermesyuarat dengan mereka dalam urusan itu. Maka apabila kamu wahai Muhammad telah bertekad (membuat keputusan) maka bertawakkallah kepada Allah”.

Bertekad ertinya membuat keputusan. Menurut pandangan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz, ayat ini mengarahkan ketua bermesyuarat.

“Dan hendaklah kamu (wahai ketua) bermesyuarat dengan mereka”.

Setelah bermesyuarat dengan mereka yang layak dibawa untuk bermesyuarat, ketua akan membuat keputusan lalu Allah berfirman: “maka apabila kamu (wahai Muhammad) telah bertekad (membuat keputusan) maka bertawakkallah /berserah dirilah kepada Allah”.

Allah tidak menyatakan “apabila kamu semua (ahli mesyuarat) bertekad” tetapi Allah menyebut “apabila kamu (wahai seorang ketua) bertekad”. Maka, dalam konteks amalan Islam setelah mesyuarat dijalankan maka tanggungjawab ketua untuk membuat keputusan.

Oleh kerana ketua berperanan membuat keputusan selepas mendengar pandangan ahli mesyuarat maka ketua mestilah mempunyai ilmu dan kefahaman yang membantunya untuk membuat keputusan yang sejajar dengan kehendak Islam. Apatah lagi dalam pentadbiran sebuah negara berlandaskan Syariat Islam kedudukan seorang ketua yang memahami Islam dengan mendalam sangat diperlukan.

Kerana itulah sarjana-sarjana Fiqh Siyasah / Fiqh Tatakenegaraan menegaskan SYARAT KEUTAMAAN selain daripada syarat sah kelayakan untuk menjadi Khalifah dan ketua kerajaan dalam Islam ialah seorang yang Faqih mampu berijtihad dalam perkara-perkara semasa dengan merujuk kepada al-Quran dan Sunnah.

‘Faqih’ itu adalah satu kelebihan dan lambang keilmuan. Namun majoriti ulama daripada mazhab Syafie, Maliki dan Hambali meletakkan faqih sebagai syarat sah bukan hanya syarat keutamaan.

Imam al-Maawardi (hidup pada tahun 370-450 H) dalam karyanya al-Ahkam al-Sultaniyyah menjelaskan 7 syarat yang mesti diambilkira untuk menjadi Ketua Negara iaitu adil, ilmu yang membolehkan dirinya berijtihad dalam perkara semasa dan hukum-hakam, sempurna pancaindera, selamat anggota badan daripada kekurangan yang menghalang untuk bergerak, mempunyai kebijaksanaan yang membolehkannya mengurus rakyat dan mentadbir maslahat, keberanian dan kemampuan yang membantunya untuk berjihad menghadapi musuh dan nasab yang baik iaitu daripada kalangan Quraisy. (Al-Ahkam al-Sultaniyaah; ms 32 cetakan Dar al-Kitab al-Arabi 1990)

Kata Imam al-Haramain (meninggal 478 H); antara sifat yang diraikan pada ketua negara ialah ilmu dan kewarakan.

فأَما العلم فالشرط أَن يكون الإِمام مجتهدا بالغا مبلغ المجتهدين مستجمعا صفاة المفتين ولم يؤثر في اشتراط ذلك خلاف والدليل  عليه أَن أمور معظم الدين تتعلق بالأئمة ….
فلو لم يكن الإمام مستقلا بعلم الشريعة ، لاحتاج إلى مراجعة العلماء في تفاصيل الوقائع وذلك يشتت رأ

“Adapun ilmu, maka syaratnya ialah ketua negara itu seorang mujtahid yang mencapai tahap para mujtahidin dengan menggabungkan sifat para mufti. Dan tidak ditemui sebarang perselisihan Ulamak tentang syarat ini. Dalilnya ialah urusan sebahagian besar agama berkaitan dengan pemerintahan… Sekiranya ketua negara tidak memiliki ilmu Syariat secara bersendiri tentulah berhajat kepada merujuk kepada para Alim Ulamak dalam memperincikan setiap situasi dan ini mencelarukan pandangannya.” (Rujuk Ghiyaath al-Umam, ms 94, cetakan Dar Dakwah 1979)

Syarat Mujtahid dan Faqih sebagi syarat keutamaan ini juga dijelaskan oleh Ibnu Khaldun, al-Baghdadi, al-Jurjani, al-Nawawi, al-Aamidi, al-Ghazali, Ibnu Taimiyah dan Ibn al-Humam.

Namun, apa yang menariknya Imam Syatibi pernah menyatakan bahawa para Alim Ulamak menukilkan kata sepakat bahawa ketua negara tidak sah melainkan bagi orang yang mencapai tahap Mujtahid dan Fatwa dalam ilmu Islam.

Namun, Imam Syatibi sendiri berpandangan bahawa ilmu kefaqihan adalah satu kelebihan yang diraikan dalam menentukan perjawatan ketua negara. Perbahasan ini menunjukkan bahawa syarat Faqih keilmuan tentang Islam di samping warak untuk seorang yang menjadi ketua negara adalah sangat penting.

Hal ini kerana negara wajib ditadbir dengan prinsip dan dasar Islam. Pemimpin yang faham dan Faqih Islam diperlukan untuk memerintah dengan cara Islam.

PAS berjuang untuk mendapat kuasa memerintah negara dengan Islam. Dalam konteks hari ini, PAS diketuai oleh Presiden yang mempunyai kemampuan berijtihad dan Faqih yang telah diiktiraf dunia. Keadaan ini meletakkan PAS berada di landasan yang betul dari sudut kelayakan keutamaan sebagai pemimpin tertingi dalam Islam.

Ada segelintir pimpinan telah membuat kenyataan terbuka bahawa Presiden PAS tidak semestinya di kalangan ulamak. Apakah tujuan di sebalik kenyataan ini?

Tentu ia bermaksud membuka gelanggang kempen terbuka untuk menukar Presiden yang ada di kalangan Alim Ulamak dan Faqih kepada bukan Ulamak. Maksudnya, berkempen daripada sesuatu yang afdhal dan utama dalam Islam iaitu Ketua Utama di kalangan Alim dan Faqih kepada sesuatu yang kurang afdhal iaitu Ketua bukan daripada kalangan Alim dan Faqih.

Sekiranya dilihat dengan lebih jauh lagi, ada pemimpin yang ingin memulakan gelanggang jawatan Presiden perlu ditandingi atau ingin berkempen bahawa terdapat individu yang lebih baik lagi untuk menjadi Presiden PAS berbanding Tuan Guru Presiden.

Dengan merujuk kepada Islam yang menjadi dasar PAS, Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan bahawa KEUTAMAAN untuk menjadi Presiden mestilah daripada kalangan Fuqaha yang faqih dan mujtahid.

Disediakan oleh:

Ust Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Khamis 7 Jamadil Awal 1436 H / 26 Februari 2015

%d bloggers like this: