Tag Archive: Mohammad Mursi


Sumber : http://silverheritage.blogspot.com/2014/04/usamah-morsi-cerita-detik-pertemuan.html

Putera kepada Presiden Mesir yang sah, Dr.Mohammed Morsi, Usamah Morsi menceritakan detik-detik pertemuan beliau dengan ayahandanya Dr.Morsi yang berlangsung pada 16 April lalu. Usamah menceritakannya di laman sosial Facebook milik beliau dan berkata, ayahandanya berada dalam keadaan kesihatan yang baik dan tidak putus-putus penggantungannya dengan Allah.

Kata Usamah, “Pertemuan pada hari Rabu itu berlangsung di Akademi Polis iaitu lokasi perbicaraan mahkamah Presiden Morsi yang terletak di Tajammu’ Khomis, timur Kaherah. Saya masuk bertemu dengan Tuan Presiden dalam pertemuan khas yang berlangsung selama 10 minit.”

Jelas Usamah lagi, “Tatkala saya memasuki bilik yang menempatkan Tuan Presiden, saya melihat wajah beliau berseri-seri dan kelihatan janggutnya masih basah dengan air wudhuk. Dalam pertemuan itu turut bersama kami ialah Tuan Rifa’at Tohtowi, seorang yang berketurunan mulia dan cucu kepada ulamak (beliau merupakan Ketua Turus Pejabat Presiden Mesir ketika pemerintahan Dr.Morsi) selain 7 orang pegawai polis tetapi pandangan saya hanya memandang Tuan Presiden.”

Menurut Usamah Morsi lagi, “Saya mengucup tangan dan kepala Tuan Presiden, lantas beliau berkata kepada saya: “Sila bertenang dan jangan risau..Saya berada dalam keadaan kesihatan yang amat baik. Penggantungan saya kepada Allah, ia menguatkan saya bersama saudara saya ini, Rifa’at dan beliau merupakan sebaik-baik lelaki.”

Presiden Morsi juga turut prihatin apa yang menimpa seorang tokoh revolusi Islam Mesir, Syeikh Hazim Abu Ismail yang turut diheret ke mahkamah pada hari yang sama maka Usamah memaklumkan beliau dijatuhkan hukuman zalim lantas Presiden Morsi mendoakan agar saudaranya, Hazim itu dibebaskan.

Usamah Morsi mengakhiri tulisannya di Facebook dengan berkata, “Presiden menyampaikan salam kepada semua maka tamatlah waktu yang diberikan maka saya keluar dari bilik tersebut.”

Sumber: Halaman rasmi FJP

Pada 1 Ramadan 1434H bersamaan 10 Julai 2013, Ikatan Ulamak Muslimin Sedunia telah mengadakan satu persidangan khas yang berpusat di Istanbul. Dalam pertemuan tersebut, beberapa resolusi berkenaan peristiwa semasa yang berlaku di Mesir telah disepakati antaranya:

1. Kuasa pemerintahan yang ‘diamanahkan’ kepada Dr.Muhammad Mursi adalah sah menurut syarak, dan wajib ke atas seluruh rakyat Mesir untuk memberikan taat setia, penghormatan serta bantuan kepada beliau.

2. Mazhab Ahlu As-Sunnah wa Al-Jamaah berpendirian bahawa haram mengingkari pemerintah muslim, memberontak dan menamatkan tempoh pemerintahannya melalui rampasan kuasa.

3. Semua golongan yang terdiri daripada latar belakang dan agama yang berbeza khususnya umat Islam diwajibkan untuk menyelamatkan dan memulangkan kuasa pemerintahan tersebut.

4. Pihak tentera perlu menyedari kesilapan mereka, malah seluruh rakyat dilarang daripada menimbulkan sebarang bentuk provokasi yang boleh mendatangkan huru-hara serta fitnah.

Rentetan daripada saranan tersebut, maka persidangan Ikatan Ulamak Muslimin di Istanbul telah menetapkan DUA garis panduan syariat seperti berikut:

– Pihak tentera mesti meletakkan semua perkara kembali pada kedudukan yang selayaknya, dan menutup semua ruang kerosakan.

– Wajib ke atas Ilmuwan Islam di Mesir khususnya ulama Al-Azhar untuk tampil menerangkan tentang pengharaman mengingkari kuasa pemerintah muslim yang dipilih melalui pilihanraya. Juga wajib mengembalikan garis pandu syariat di atas landasannya serta menerangkan kepada rakyat tentang kewajipan memberikan taat setia kepada pemerintah.

Persidangan tersebut diakhiri dengan harapan agar Mesir terus menjadi sebuah negara yang aman dan berpendirian teguh membangun bersama syariat Islam.

Antara pihak yang terlibat dalam persidangan tersebut ialah:

– Ikatan Ulamak Muslimin.
– Ikatan Ulamak Syariah Negara-negara Teluk.
– Majlis Dakwah dan Motivasi Islam.
– Kesatuan Ulamak Afrika.
– Kesatuan Muslimin Eropah.
– Majlis Ulamak Indonesia.
– Ikatan Pendakwah Sedunia.
– Majlis Syura Ulamak Damascus.
– Ikatan Ulamak Sunni.
– Perbadanan Syariah Hak Asasi Manusia dan Kemanusiaan.
– Hal Ehwal Ulamak Yaman.
– Ikatan Ulamak Syria.
– Kesatuan Ulamak Sudan.
– Ikatan Ulamak Kuwait.

Sumber : http://www.facebook.com/pmram.org?hc_location=timeline

Mohammad Mursi

Sebelum kemenangan Dr Muhammad Mursi, tiada yang diistilahkan dengan “aliran Islam” atau “aliran sekular” tetapi hanya dikenali “kelompok Mubarak” dan “bersama revolusi”.

Buktinya, pada Pilihan raya parlimen akhir tahun 2011, Ikhwan Muslimin melalui partinya FJP telah membentuk gabungan kerjasama dipanggil “Tahaluf Ad-Dimoqrati Min ajli Misr” iaitu “Gabungan Kerjasama Demokrasi Untuk Mesir” yang terdiri daripada 11 buah parti termasuk parti bukan aliran Islam seperti Parti Wawasan dan Parti Kemuliaan (Karamah).

Pada pilihan raya presiden yang diadakan pada bulan April 2012, seramai 12 calon Presiden bertanding pusingan pertama. Jika dilihat latar belakang calon-calon ini, maka hanya tiga orang dari aliran Islam termasuk Dr Mursi. Adapun yang lain dari aliran sekular termasuk ketua-ketua Barisan Penyelamat, iaitu Amru Musa dan Hamdeen Sobahi.

Kesemua mereka tewas pada pusingan pertama dan diumumkan hanya dua calon yang memperolehi undi tertinggi, Mursi dan Ahmed Syafiq yang akan berentap pada pusingan terakhir.

* 27 Jun 2012, SPR telah mengumumkan Mursi menang dengan majoriti hampir 1 juta undi.
* 9 Jun 2012, Mursi mengangkat sumpah jawatan.
* 30 Jun 2012, Majlis Tentera menyerahkan tampuk kekuasaan yang dipegang mereka selepas kejatuhan Mubarak secara rasmi kepada Mursi.

Ahmed Syafiq, bekas PM zaman Mubarak (calon Presiden yang kalah) terpalit dengan terlalu banyak skandal termasuk menyeleweng wang rakyat. Dia terpaksa melarikan diri ke luar negara bagi menyelamatkan diri. Destinasi yang dipilih ialah UAE (Abu Dhabi).

Pihak berkuasa Abu Dhabi bukan sahaja mengalu-alukan Syafiq tetapi lebih dari itu, melantik beliau sebagai Penasihat kepada Raja UAE. Bermula saat itu, Abu Dhabi menjadi pengkalan baru bagi kroni Mubarak untuk meneruskan agenda menghancurkan Mesir baru di bawah Mursi.

Syafiq tidak keseorangan tetapi bersama dengan Mohammad Dahlan (bekas pimpinan Fatah Palestin) dan Ketua Tertinggi Polis Dubai, Dhohi Khalfan meneruskan agenda yang dirancang.

UAE (atau Abu Dhabi dan Dubai) dijadikan ‘perkakas’ musuh Islam apabila pihak berkuasanya melucutkan kewarganegaraan mereka yang terlibat dengan Ikhwan Muslimin, selain menghantar pulang warga Syria yang mengadakan himpunan protes terhadap kekejaman rejim Syria di hadapan kedutaan itu di Abu Dhabi.

Ketika ulama terkenal, Syeikh Yusuf Qardhawi lantang mengkritik rejim Bashar Al-Asad maka Dhohi Khalfan telah menggesa Interpol menangkap Qardhawi atas alasan mencetuskan huru-hara. Selepas kemenangan Mursi, Mesir melalui pelbagai cabaran dan rintangan. Halangan tersebut bukan sahaja dari dalam tetapi kini dari luar.

Yang paling nyata ketika perbincangan untuk menggubal perlembagaan negara itu hangat diperkatakan. Rakyat dan kerajaan bersepakat perlembagaan yang ada yang diwarisi pada zaman Mubarak dipinda.

Kerajaan telah bersetuju melantik sebuah panel penggubal perlembagaan yang diketuai oleh seorang bekas hakim, Husam Ghiryani. Panel tersebut telah mewakili semua lapisan masyarakat bagi mewakili suara seluruh rakyat untuk menyumbang kepada pindaan perlembagaan itu. Keanggotaan mereka semua seramai 100 orang termasuk wakil tentera, Al-Azhar dan gereja.

Maka yang turut dilantik ialah parti-parti aliran sekular seperti Parti Wafd dan calon-calon Presiden yang kalah iaitu Amru Musa.

* 4 November 2012, Amru Musa mengadakan lawatan ke Ramallah. Beliau mengadakan pertemuan sulit dengan bekas Menteri Pertahanan Israel, Tzipi Livni. Tidak diketahui apakah isi perbincangan tetapi beliau telah zahirkan dari sudut tindakan.

Sekembalinya dari Ramallah, Amru Musa bersama-sama wakil parti sekular telah menarik diri daripada Panel Penggubal perlembagaan tanpa dinyatakan sebab secara jelas. Mereka semua seramai 15 orang. Maka berbaki dalam panel tersebut 85 orang meneruskan perbincangan.

* 14 November 2012, Israel menembak mati Ahmed Ja’abari, orang nombor dua Briged Al-Qassam di Gaza maka bermulanya serangan Israel ke atas Gaza.

Peperangan selama hampir dua minggu itu sebenarnya membawa pukulan maut kepada Israel. Zionis terlupa jika serangan yang dibuatnya pada 2008, ketika itu Mubarak memerintah Mesir tetapi 2012 Mursi yang memerintah.

Maka, satu-satunya kekuatan bagi penduduk Gaza ialah pintu sempadan Rafah yang menghubungkan Mesir-Gaza tidak dibenar tutup oleh Mursi. Hasilnya, penduduk Gaza bebas keluar masuk dan misi bantuan dunia ke Gaza termasuk ubat-ubatan mencurah-curah tiba.

Tamparan makin hebat kepada Israel apabila Mursi membuat tindakan berikut;

* Menutup Kedutaan Mesir di Tel Aviv (sebelum itu memang Mursi sudah berhasrat menutup kedutaan, cumanya tidak kena dengan masa. Hal ini kerana sejak zaman Anwar Sadat Mesir mempunyai hubungan diplomatik dengan Zionis).

* Memanggil duta Israel ke Mesir untuk menyerahkan notis bantahan secara rasmi.

* Mencadangkan kepada Liga Arab untuk memanggil semua Menteri Luar mengadakan mesyuarat tergempar.

* Mewakilkan kepada Perdana Menteri, Dr Hisyam Qandil menziarahi Gaza sebagai tanda sokongan Mesir kepada rakyat Gaza.

UAE meneruskan provokasi kepada Mesir apabila menangkap beberapa orang rakyat Mesir yang bertugas di Abu Dhabi dan Dubai. Jumlah mereka yang ditangkap lebih 10 orang dan disembunyikan di lokasi yang tidak diketahui. Keluarga terdekat gagal menghubungi. Pihak berkuasa UAE memberikan alasan mereka terlibat dengan gerakan bagi menubuhkan tanzim Ikhwan di UAE.

Sehingga hari ini kesemua mereka belum dibebaskan bahkan akan dihadapkan ke mahkamah UAE.

Pada akhir November 2012, panel penggubal yang diketuai oleh bekas hakim Husam Ghiryani selesai membincangkan draf pindaan. Setiap draf pindaan memerlukan kepada pungutan suara rakyat (referendum) bagi mengesahkan sama ada rakyat menerima atau menolak draf cadangan tersebut.

Maka kumpulan Amru Musa telah bergabung dengan Hamdeen Sobahi dan di sini muncul watak bernama Dr Mohammed El-Baradei, bekas Ketua Agensi Atom Antarabangsa PBB. Mereka ‘tiga serangkai’ menolak draf pindaan tersebut dan menubuhkan “Barisan Penyelamat” kononnya bagi menyelamatkan negara dari di”Ikhwan”kan oleh Mursi. Maka, dakyah bahawa Ikhwan sedang meng”Ikhwan”kan negara dimomokkan kepada rakyat.

Lebih dari itu, penyokong Barisan ini telah berhimpun di Istana Ittihadiyah, pejabat Mursi. tiba-tiba, kempen untuk menolak perlembagaan itu berubah kepada slogan “Irhal Ya Mursi” iaitu mendesak Mursi berundur. Kenapa terlalu jauh mereka bertindak? Sedangkan topiknya bukan Mursi tetapi perlembagaan.

Akhirnya, berlaku pertempuran dengan pemuda Ikhwan Muslimin dan anggota Barisan yang dibantu oleh perusuh (baltoji). Seramai 11 orang pemuda Ikhwan syahid di hadapan Istana Ittihadiyah.

Pada 15 November 2012, rakyat tetap turun dalam pungutan suara. Akhirnya, lebih 60 peratus pengundi menyatakan setuju kepada perlembagaan itu dan Mursi menandatangani perlembagaan tersebut untuk dikuatkuasakan.

Di sini bermula parti-parti aliran Islam menunjukkan kesatuan mereka. Jamaah Islamiyah, Parti Wasat dan Dakwah Salafiyah telah menyatakan sokongan kepada perlembagaan ini.

Sementara itu, Mursi tidak membuat keputusan bersendirian. Bagi mengelakkkan dirinya bersikap diktator seperti Mubarak, maka antara usaha awal beliau selepas menang ialah menubuhkan “Pasukan Jabatan Presiden” yang terdiri daripada 17 orang penasihat dan empat orang pembantu.

Mereka ini bukan menteri kabinet tetapi dalam kalangan anggota pembantu beliau yang akan dijemput berbincang dan mengemukakan idea. Dalam kalangan mereka, dilantik wakil Kristian, wakil wanita, dari kalangan Salafi dan Ikhwan Muslimin.

Bagi mengelakkan pemerintahan diktator, beliau juga mencetuskan idea “dialog kebangsaan”. Semua parti-parti politik dijemput dan mereka menyertainya. Barisan Penyelamat menolak untuk menyertai dialog ini.

Mereka kemudian menubuhkan NGO yang dinamakan “Gerakan Kebangsaan” yang mengumumkan secara jelas mereka menolak menjadikan Mesir ke arah negara berasaskan mana-mana agama.

* 29 April 2013 mereka melancarkan “Kempen Pemberontakan” (atau Hamlah Tamarud).

Kempen ini antara lain bertujuan mengumpul sebanyak mungkin tandatangan daripada rakyat Mesir bagi menarik balik kepercayaan daripada Mursi dan mengadakan pilihan raya presiden lebih awal walaupun perlembagaan baru yang diluluskan tahun lalu memberikan had tempoh kepada Presiden satu penggal selama 4 tahun dan tempoh pemerintahan Mursi sepatutnya berakhir 30 Jun 2016. Mereka turun ke dataran-dataran utama di negara bagi mengedarkan borang tandatangan kepada rakyat.

Jawatankuasa kempen ini mengumumkan sehingga 12 Mei lalu mereka berjaya mengumpulkan 2 juta tandatangan rakyat bagi mendesak pilihan raya presiden diadakan lebih awal. Mereka mensasarkan menjelang 30 Jun nanti, sebanyak 15 juta tandatangan akan dikumpulkan iaitu melebihi undi yang diperolehi oleh Mursi dalam pusingan terakhir menentang Syafiq Jun 2012 iaitu 13 juta undi sahaja.

* 30 Jun 2013, Tamarrud mendakwa mereka berjaya mengumpukan 20 juta tandangan.

Kumpulan Islam yang diketuai oleh Jamaah Islamiyah pula melancarkan kempen “Tajarrud” sebagai lawan kepada kempen “Tamarrud” iaitu mengumpul tandatangan rakyat bagi mempertahankan Mursi.

* 23 Jun 2013, Menteri Pertahanan Mesir Abdul Fattah As-Sisi menyampaikan ucapan dalam satu majlis bersama pegawai-pegawai tentera mengejutkan semua pihak. Beliau sebagai Ketua Majlis Tentera telah memberi masa seminggu kepada semua pihak untuk mencari noktah persamaan bagi mengelakkan krisis dalam negara.

* 28 Jun 2013, Mursi membentangkan pencapaian beliau selama setahun selama hampir 3 jam.

* 30 Jun 2013, lebih 2 juta penentang Mursi turun ke Tahrir dan beberapa dataran lain mendesak Mursi berundur.

* 1 Julai 2013, menyaksikan kenyataan rasmi pertama dari tentera yang memberi kata dua dengan memberikan tempoh 48 jam kepada pihak berkuasa menerima tuntutan rakyat atau tentera terpaksa campurtangan menyusun pelan tindakan negara akan datang.

Petang 3 Julai, As-Sisi mengadakan pertemuan dengan Mohammed El-Baradei yang turut dihadiri oleh wakil Parti Nur, Syeikh Azhar Dr Ahmed Toyyib dan Ketua Gereja, Pope Tawadhrox. Sisi menyampaikan ucapan dengan kehadiran wakil-wakil yang disebut mengumumkan rampasan kuasa dengan melantik Ketua Hakim mahkamah Tinggi Perlembagaan, Adli Mansour sebagai Presiden sementara.

http://www.tarbawi.my

Protesters in Cairo

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/20495-mesir-detik-hitam-sedang-berulang

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, 4 Julai 2013

Saya melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap apa yang sedang berlaku di Mesir sekarang. Pada saya, inilah saat di mana detik hitam sedang berulang semula dalam sejarah Mesir.

Saya menyaksikan sidang media tentera yang mengumumkan rampasan kuasa dan diberitakan bahawa Sheikh Al-Azhar juga turut bersama-sama dengan tentera menyokong rampasan kuasa menggulingkan Dr Muhammad Mursi.

Ini tandanya tentera tidak yakin dengan kekuatan mereka sendiri lantas menjadikan ulama sebagai sandaran untuk meyakinkan rakyat. Di mana-mana sahaja, ada ulama dipergunakan untuk menentang gerakan Islam. Tebalnya kulit kitab yang dipelajari dan panjangnya ekor serban bukan jamiman seseorang ulama itu celik politik.

Sheikh al-Azhar ialah satu jawatan, jawatan tersebut buat masa sekarang dipegang oleh penjawatnya. Namun ilmu yang ada pada Sheikh al-Azhar turut dimiliki oleh orang lain. Belum tentu jawatan ini kekal dan Allah SWT berhak menggantikan orang lain ke jawatan itu pada bila-bila masa. Samalah juga dengan jawatan mufti.

Sesiapa yang menjawat jawatan ini usah sesekali menyangka ia akan kekal selama-lamanya. Sudah berlalu banyak orang yang hanya menjadi alat kepada gerakan sekular untuk melawan Islam. Tiba masanya, mereka dilontarkan ke tepi tanpa sesiapa bepaling lagi ke arah mereka.

Saya yakin rakyat Mesir tidak akan berdiam diri dengan perkembangan ini. Mursi menaiki takhta presiden dengan pilihan raya yang sah bukan dengan jalan penipuan melalui jalan raya.

Jika Hugo Chavez, Presiden Venezuela yang pernah digulingkan tentera suatu masa dahulu namun akhirnya kembali semula ke tampuk kuasa kerana tekanan rakyat, saya tidak nampak ia mustahil berulang di Mesir. Kudeta dan diktator bukannya pilihan manusia lagi di era sekarang.

Insya-Allah, sebagaimana Sungai Nil yang tidak berhenti mengalir, begitu juga nadi kebangkitan rakyat di Mesir pasti akan terus bergerak. Pada saya, fi zhilalil quran dan maalim fit toriq sedang melahirkan generasinya pada hari ini!

Doa dan solidariti untuk Mesir.

Mesir

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/mursyidul-am/20422-mesir-apabila-sekular-tergugat

 Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Mesir dicemburui oleh musuh-musuhnya bukan kerana Ahram atau Sungai Nil, tidak juga kerana kehebatan binaan Piramid atau keindahan puncak Tursina. Mesir dicemburui kerana al-Azhar. Di sinilah terasasnya tamadun ilmu yang terkenal ke seluruh dunia.

Lahirnya di situ bukan seorang dua ulama bahkan ribuan kalaupun bukan jutaan murabbi ummah yang bertebaran ke seluruh dunia. Bangunnya al-Azhar kerana sumber wakaf tanpa bantuan dari dana kerajaan cukup menggelisahkan musuh-musuh Islam. Justeru, kehebatan ini wajib dihancurkan.

Hari ini, Mesir berdepan dengan satu lagi krisis ciptaan golongan sekular yang enggan mengaku kalah di gelanggang demokrasi. Demokrasi ialah ciptaan Barat, ia bukan ciptaan Islam, tetapi nilai-nilai demokrasi diterima dan diiktiraf sebahagiannya oleh Islam.

Sayangnya, apabila tiba saat rakyat membuat pilihan menolak pemimpin yang pro-Barat, pada masa itulah demokrasi dinafikan dan sekular akan mengeluarkan pedangnya yang sebenar untuk memancung demokrasi.

Di Mesir, Mursi menang melalui pilihan raya yang bersih. Tanpa penipuan dakwat kekal, tanpa blackout dan tanpa senarai pengundi yang diragui, Mursi ditabalkan menjadi Presiden sekalipun disambut sinis oleh Israel yang bimbang pengaruhnya terhakis.

Namun, kerana sekular menjarah begitu lama di bumi anbia ini, bukan satu kerja yang senang untuk membebaskan Mesir dan belenggu sekular. Inilah masalah sebenar Mursi, iaitu membebaskan Mesir dari perhambaan sekular yang sudah berdekad-dekad memenjara rakyat Mesir.

Ini bukan sejarah baru di Mesir, bahkan ia telah berlaku ribuan tahun yang lampau pada saat Nabi Musa alaihissalam mahu membebaskan Bani Israel dari kezaliman Firaun. Mereka dibantu oleh mukjizat yang tidak kecil daripada Allah SWT.

Baca sahaja di dalam al-Quran, kita akan dapati peristiwa laut terbelah, tongkat yang menjadi ular, batu mengeluarkan air, turunnya makanan dan minuman dari langit dan banyak lagi peristiwa besar yang berlaku sepanjang dakwah Nabi Musa alaihissalam.

Namun, al-Quran merakamkan perangai Bani Israel yang seringkali enggan untuk berubah. Degil dan keras kepala ialah lambang Bani Israel yang digambarkan di dalam al-Quran.

Warisan sikap Bani Israel wujud di Mesir sekarang. Sekalipun sebahagian besar rakyat Mesir kelihatan menyokong Mursi, namun anak cucu Bani Israel yang mewarisi perangai datuk nenek mereka tetap melakukan kekacauan di bumi anbia.

Inilah natijahnya apabila sekular dijadikan kiblat, apabila demokrasi yang bersih menghadiahkan trofi kemenangan kepada musuh politik mereka, mereka tidak akan berdiam diri. Ini juga yang berlaku di Turki dan Gaza.

Di Malaysia, saudara mara sekular juga nampak berminat mengikut langkah yang sama. Kekalahan di dalam pilihan raya membawa kepada dasar penindasan dan penafian hak. Ditubuhkan kerajaan di dalam kerajaan, dinafikan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan dinafikan hak ke atas hasil mahsul bumi merupakan buah-buah yang lahir dari pohon-pohon sekular yang tidak kenal sempadan dosa dan pahala.

Untuk Mesir ini, kita sama-sama menadah tangan supaya pemimpin yang bersendikan Islam sebagai akidah perjuangan diberikan kekuatan oleh Allah SWT. Gunakanlah peluang pada bulan Ramadhan untuk merayu dan merintih kepada Allah SWT. Dialah Pemilik kepada segala kerajaan.

%d bloggers like this: