Tag Archive: MGP Sepanggar


Tarikh : 22 Jun 2013 (Sabtu)

Lokasi : PASTI Kingfisher, Likas

Pertemuan kali ini kami membincangkan pembahagian jihad di dalam Islam. Rujukan saya ialah buku tulisan Said Hawwa ‘Jundullah’ yang sudah diterjemahkan dengan tajuk ‘Jihad Pada Jalan Allah’, terbitan Dewan Pustaka Fajar.┬áBuku ini adalah jilid keempat dan terakhir dari buku asal ‘Jundullah : Thaqafatan wa Akhlaqa.

Jihad adalah suatu kewajiban dan kita diwajibkan melaksanakan al-amr bil ma’ruf dan an-nahyu ‘anil mungkar. Kalau kita tidak melaksanakannya maka kita berdosa dan berhak dikenakan hukuman siksaan Allah SWT.

Buku ini mencatatkan lima pembahagian jihad :

1) Jihad dengan lisan;

2) Jihad ta’lim (pendidikan);

3) Jihad dengan tangan dan diri;

4) Jihad siyasi (politik);

5) Jihad al-mal (harta).

Usrah MGP Sepanggar @ Kf (1) Usrah MGP Sepanggar @ Kf (2) Usrah MGP Sepanggar @ Kf (3)

 

PASTI Likas

Tarikh : 17 Mac 2013 (Sabtu)

Lokasi : Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) al-Amal Kg Likas

Topik : Pembalasan Hari Akhirat

 

Tidak mudah mengisi topik ini kerana ia termasuk dalam perkara ghaib yang wajib diimani oleh setiap orang Islam. Dalam hal ini, tidak banyak kupasan yang saya lakukan melainkan membawakan beberapa hadith berkenaan perkara yang akan berlaku pada ketika itu.

Merujuk kepada buku ‘Beriman kepada hari akhirat’ tulisan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, hari akhirat bermula dengan tiupan sangkakala yang pertama, sehinggalah kemudiannya manusia dibangkitkan semula dari alam barzakh dalam keadaan telanjang bogel. Ketika itulah manusia pertama yang dibangkitkan ialah Rasulullah SAW.

Banyak hadith-hadith menceritakan suasana ketika itu, dan keadaan manusia bergantung dengan amalannya di dunia. Ada yang hitam atau putih wajahnya, ada yang berjalan dengan tangan, bertiarap dan sebagainya. Ada yang ditenggelami dengan air peluh sehingga takat buku lali sehinggalah ke pinggang mengikut amalan masing-masing.

Manusia yang kufur akan dihumban ke dalam api neraka, sementara manusia yang beriman kepada Allah SWT akan dihitung dan ditimbang amalannya sama ada baik atau jahat. Ada orang beriman yang tidak dihitung langsung melainkan diberikan keistimewaan terus masuk ke dalam syurga tanpa hisab. Semoga Allah SWT memudahkan urusan kita di alam akhirat.

 

 

USRAH RAYA MGP SEPANGGAR

 

Alhamdulillah, sudah beberapa bulan memimpin usrah bulanan Majlis Guru PASTI (MGP) Sepanggar, kali ini usrah kami disekalikan dengan jamuan hari raya. Walaupun notis singkat yang mereka maklumkan kepada saya, kebetulan ada sedikit masa yang lapang, saya hadir juga.

Tazkirah sekitar sejam sebagai pengisian dan kemudian soal jawab seterusnya makan-makan. Tazkirah saya berlegar tentang memberi salam, menjamu makan, mengerat persaudaraan dan sebagainya yang berkait dengan hubungan kemanusiaan dalam perkara yang mudah dan bersifat harian. Mudah-mudahan guru PASTI dan penggerak-pengerak PASTI akan terus istiqamah dalam kerja-kerja mereka.

Turut hadir ialah Sdr Azman Talib @ Bacho selaku pengerusi PASTI Sepanggar.

 

 

USRAH GURU PASTI SEPANGGAR

Di bawah rimbunan pokok-pokok dan dalam suasana angin yang bertiup, kami berkumpul santai dalam program usrah dan tazkirah santai di Tanjung Lipat Teluk Likas dalam suasana percutian sempena Hari Pekerja 1 Mei bersama guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Sepanggar.

Terima kasih buat saudara Azman Talib yang menyampaikan undangan untuk saya hadir dan membuat sedikit pengisian bersama-sama mereka. Untuk guru-guru PASTI Sepanggar, ini kali kedua saya dijemput setelah kali pertama pada awal tahun 2011. Lebih setahun yang lalu rupanya.

Suasana santai ditambah lagi lokasi tumpuan masyarakat yang berkelah dan lalu lalang di sekitar kami, saya hanya bersedia menyampaikan tazkirah secara santai juga supaya kelihatan lebih relaks tetapi berisi dan mudah diterima. Saya penuh maklum, mereka banyak diberikan taujihad khususnya tentang erti perjuangan Islam yang wajib didukung, dan saya pula setelah mereka minta saya isikan tentang ciri-ciri wanita Islam berdasarkan kisah dalam al-Quran, surah at-Tahrim.

Khulasohnya ialah, walaupun sudah menjadi guru, kerja-kerja menambah ilmu mesti diteruskan. Menerusi ilmu barulah amalan bermanfaat ditambah dengan keikhlasan. Dengan ilmu dan amalan yang ikhlas, semoga mereka menjadi wanita yang muslimat, mukminat, qanitat, taa’ibat, ‘abidat dan saa’ihaat. Semoga semuanya bermanfaat.

%d bloggers like this: