Tag Archive: MCA


HUDUD DAN MASYARAKAT CINA

Sumber : di sini

4 NOV — Pendedahan tinjauan pendapat yang dijalankan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, UMCEDEL mengenai pemahaman masyarakat Cina terhadap hudud baru-baru ini, nyata membuka mata ramai pihak.  Tinjauan tersebut mendapati, terdapat peningkatan sokongan masyarakat Cina terhadap pelaksanaan hukum hudud di Malaysia. Lebih signifikan, bilangan peratusan mereka yang menerima pelaksanaan hukum hudud di negara ini meningkat dari 12 peratus dalam tinjauan terdahulu kepada 24 peratus dalam tinjauan terbaru.

Ini merupakan peningkatan sebanyak 12 peratus. Manakala peratusan masyarakat Cina yang tidak pasti dengan hudud telah menurun daripada 38 peratus sebelum ini kepada hanya 25 peratus. Apa yang menarik mengenai tinjauan pendapat tersebut ialah generasi muda Cina telah mempamerkan kecenderungan untuk memahami pelaksanaan hudud berbanding golongan yang lanjut usia. Kesemua hasil tinjauan pendapat UMCEDEL itu jelas menidakkan tanggapan selama ini bahawa masyarakat Cina mempunyai persepsi serong terhadap hudud.

Pastinya, pendedahan oleh UMCEDEL ini bakal mengundang perasaan gundah-gulana kepada parti MCA yang begitu lantang membantah pelaksanaan hudud. Persoalannya, apakah pucuk pimpinan MCA di bawah kendalian Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek akan memberi perhatian kepada kajian ini atau meneruskan agenda untuk menentang hudud dan menolak bulat-bulat kajian itu? Sekalipun bilangan responden Cina yang ditemuramah oleh UMCEDEL  tidak sebanyak mana, namun bilangan kecil responden juga mewakili suara hati akar umbi.

Nyata, beberapa mesej tersirat dapat disimpulkan menerusi tinjauan pendapat itu. Antaranya, masyarakat Cina kini sudah makin celik dan berpengetahuan. Berbekalkan pengetahuan yang dimiliki dan ditambah pula dengan pendedahan terhadap ICT, maka tidak mustahil orang Cina tidak akan menerima sebarang propaganda secara membuta-tuli. Orang Cina juga menghantar mesej kepada MCA bahawa hudud bukanlah isu utama yang dibimbangi mereka. Sebaliknya, isu-isu yang bersifat seharian seperti jenayah, rasuah, kos sara hidup dan keselamatan yang mendominasi pemikiran mereka.

Dalam keadaan ekonomi global yang masih terumbang-ambing, soal kelangsungan hidup makin kuat kedengaran.  Jika kita meneliti kembali isu-isu yang mendominasi pada PRU ke-12 lalu, kebanyakan isu yang menjadi tumpuan masyarakat Cina bukannya hudud. Malah sebagai seorang pengundi, isu-isu yang bersifat seharian inilah yang  akan mempengaruhi pertimbangan parti politik yang akan disokong penulis kelak. Apabila MCA baru-baru ini beria-ia menghentam pelaksanaan hukum hudud atas dasar ia akan mengheret negara ke kancah kemunduran, ada baiknya isu berkenaan tidak dipanaskan sebegitu rupa.

Walaupun bukan beragama Islam, penulis yakin dan percaya ada manfaatnya jika segala kekeliruan dan kecelaruan pihak berkaitan terhadap hudud diperjelaskan dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, penjelasan yang diberikan oleh tokoh-tokoh agama sedikit sebanyak dapat membantu meleraikan kekeliruan yang berbangkit. Walaupun secara prinsipnya MCA tidak akan berkompromi dalam isu hudud, tetapi sekurang-kurangnya dengarlah penjelasan oleh tokoh-tokoh agama terlebih dahulu. Usahlah membuat tanggapan atau persepsi melulu bahawa hudud adalah negatif dan memudaratkan.

Isu agama bukanlah sesuatu yang boleh dibangkitkan secara sewenang-wenangnya. Apa faedahnya isu ini terus digembar-gemburkan hingga kecoh jadinya di seluruh negara? Mengapa tidak MCA mengambil pendirian yang lebih pragmatik dalam mendidik masyarakat Cina dalam isu hudud? Dimanakah kewajaran untuk terus bertegas tetapi pada masa yang sama, kefahaman masyarakat Cina terhadap isu itu semakin meningkat? Tidakkah strategi sedemikian hanya memakan diri? Bukankah ini juga bercanggah dengan realiti semasa?

Hidup dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia, menuntut kita semua untuk bertoleransi antara satu sama lain. Apa yang tidak difahami dan tidak jelas, maka diperjelaskan kepada golongan yang terbabit. Tidak rugi untuk MCA mendengar penjelasan tokoh-tokoh agama mengenai hudud. Tidak rugi juga untuk masyarakat Cina mendengar perkara yang sebenarnya. Soal untuk menerima atau membantah hukum hudud, itu soal kedua tetapi kesediaan mendengar itu adalah langkah permulaan yang baik.

Sama ada masyarakat Cina menerima pelaksanaan hudud atau tidak, masih terlalu awal untuk menentukannya. Tetapi apa yang pasti, masyarakat Cina perlu diberi kebebasan untuk menilai apa yang baik dan apa yang tidak baik. Sebarang bentuk paksaan atau amaran yang dilakukan parti tertentu mungkin memberi kesan yang sebaliknya. Tidak semestinya semua strategi yang digunapakai akan memberi kesan yang dimahukan. – Markus Lim.

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Sumber : di sini

Kenyataan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MCA yang secara terbuka  menentang Syariat Islam,  khususnya undang-undang jenayah hudud,  adalah menyerlahkan sikap Barisan Nasional yang sebenar. Perlu diingat bahawa UMNO adalah parti teras dalam BN, yang wujud bersama MCA, MIC, GERAKAN dan lain-lainnya sebagaimana yang kita ulangi sudah pun diberi amanah menerajui pemerintahan negara Malaysia ini selama lebih dari lima puluh tahun.

Hakikatnya ialah, bahawa UMNO memimpin kerajaan pusat dan kebanyakan kerajaan negeri, dengan adanya Biro Agama dalam UMNO itu sendiri, dalam kerajaannya ada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam – yang diletakkan  dibawah Jabatan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, dan ada menteri penjaganya. Di samping diwujudkan Institut Kefahaman Islam (IKIM), Fakulti Pengajian Islam dibeberapa Universiti, diperingkat negeri pula ada Jabatan Agama Islam masing-masing danada Exco Agama daripada UMNO juga.

TETAPI segala-galanya ini tidak mampu meletakkan Islam itu tinggi di tempat yang sebenarnya dalam urusan negara Malaysia ini dan di negeri yang dipimpin oleh UMNO. Adapun Majlis Fatwa Kebangsaan pula hanya bebas dalam lingkungan sangkarnya, berkokok mengikut waktu yang disesuaikan dengan keselesaan UMNO yang menjadi penunggunya.

Soalannya mengapa MCA boleh membuat kenyataan terbuka begitu rupa ?

Dalam hal ini, MCA bukanlah parti yang patut disoal atau diminta penjelasan, kerana parti ini hanya mewakili kelompok masyarakat Cina bukan Islam.Manakala hukum hududpula tidak ada dalam ajaran semua agama bukan Islam yang dianut oleh ahli MCA. Parti UMNOlah yang secara khususnya patut dipersoalkan oleh bangsa melayu yang beragama Islam bukannya MCA, kerana  banyaknya urusan Islam didalam tubuh parti UMNO serta kedudukannya yang memimpin kerajaan pusat dan negeri.

PAS tidak merasa hairan apa yang berlaku, kerana UMNO adalah Parti Kebangsaan Melayu, di mana “Islam” hanya menjadi agama yang dianut secara peribadi kalangan ahli UMNO sahaja. Perlembagaan UMNO juga tidak meletakkan Islam menjadi dasar, matlamat dan hukum tertinggi. Sifat individualistik yang menjadi konsep kepada ahli UMNO menyebabkannya tidak boleh bertindak terhadap ahlinya yang melakukan maksiat yang besar, apatah lagi yang terlalu kecil, kerana agama adalah urusan individu.

Ahli UMNO pula boleh menjadi orang yang soleh, paling kuat beribadat, banyak sembahyang, banyak mendirikan masjid, kerap umrah dan lebih banyak peluang haji, berkebajikan dalam masyarakat dengan sebanyak-banyaknya dan sebagainya. Tetapi ahli UMNO tidak mampu bercakap atas nama partinya untuk menegur atau menyanggah kenyataan Presiden MCA, kerana ini akan bercanggah dengan semangat dan konsep kebersamaan dalam BN yang didukung sama oleh undang-undang tubuh UMNO yang diselaraskan dengan semua rakan-rakannya dalam Barisan Nasional.

 UMNO lebih mengutamakan konsep pragmatik sekular yang didukung bersama MCA, MIC, GERAKAN  dan lain-lain, dalamgabungan parti-parti komponen Barisan Nasional. Maka Islam tidak berkuasa dan berdaulat, hanyalah sekadar  menjadicabang yang berteduh dibawah semangat Barisan Nasional.  Maka UMNO tidak ada kelayakan untuk menegur Presiden MCA sehingga dia boleh bercakap apasahaja  termasuk dalam perkara Islam yang dia terlalu jahil kerana bukan agamanya.

HUDUD

Undang-undang Hudud adalah salah satu daripada hukum jenayah dalam syariat Islam, bersama dengan hukuman Qisas dan Takzir. Perkataan “Hudud” bererti batas-batas sempadan Allah yang tidak boleh dipertikaikan oleh seseorang yang beriman, di mana hukumannya telah dinaskan oleh Allah secara nyata dalam Al Quran dan Hadith Rasulullah SAW seperti juga nas wajib sembahyang lima waktu, puasa, zakat , haji dan pengharaman arak, judi, riba dan lain-lain. Hudud tidak boleh dinamakan “Hudud PAS” seperti juga tidak boleh dinamakan “sembahyang PAS”. Hanya yang jahil murakkab sahaja boleh bercakap begitu. Allah berfirman yang bermaksud:

Dan tidaklah harus bagi seseorang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – mereka tidaklah mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (al-Ahzab – 36)

Perkara yang dinyatakan secara nas saperti Hudud dan Qisas tidak mungkin dicapai oleh akal manusia, maka Allah menyatakan petunjuknya secara jelas.Rasulullah SAW sendiri, para pemimpin dan ulama selepasnya wajib menerima dan pihak yang berkuasa pula wajib melaksanakannya di mana mereka tidak boleh bertelingkah atau khilaf dari segi wajibnya. Perbincangan dan berbeza pendapat hanya dalam perkara cabang dari segi mencari bukti dan proses kehakiman yang adil, bukan meninggalkannya.

Keseluruhan undang-undang jenayah Islam lebih bersifat dan berkonsepkan mendidik masyarakat, maka dikenakan syarat yang ketat sehingga sukar menjatuhkan hukuman, tetapi undang-undang dan hukumannya menakutkan sehingga Presiden MCA juga takut. Penjenayah lebih digalakkan bertaubat sebelum dibawa ke mahkamah. Hukum Hudud tidak boleh diampun setelah diputuskan oleh mahkamah, kerana Hudud menjadi hak Allah bagi memelihara rukun kehidupan bermasyarakat.

Lucunya, terdapat pula kalangan yang jahil pula cuba berhujah, bahawa penjenayah akan berkeliaran atau bertambah kerana hukuman sangat sukar untuk dijatuhkan. Hakikatnya ini tidak akan berlaku kerana sebelum sesuatu kes itu dibawa ke mahkamah, pihak yang mendakwa atau pendakwa akan menentukan samada cukup kesaksian atau tidak untuk kes hudud. Sekiranya bukti tidak cukup untuk kes hudud bukan bermakna terus dilepaskan.

Bukti-bukti jenayah ini mungkin cukup untuk di bawa kes ke perbicaraan takzir – di mana hukuman takzir adalah lebih ringan dari hukuman hudud.Dalam bahasa mudah difahami waktu ini, hukuman takzir boleh wujud dalam bentuk kanun keseksaan (penal code) yang hukuman dan beban pembuktiannya jauh lebih ringan dari hukuman hudud.

Setiap penganut Islam sebelum wujudnya PAS dan UMNO wajib beriman dengan hukum hudud. Maka penganut Islam dalam UMNO wajib bertegas dan istiqamah dengan Islamnya,seterusnya bertindak sama ada memecat MCA daripada Barisan Nasional atau UMNO di pecat atau keluar daripada Barisan Nasional atau ahli-ahli UMNO yang beragama Islam keluar UMNO beramai-ramai.

PAS DAN DAP

PAS berlainan dengan UMNO dan sangat berbeza,  kerana PAS tegas mengikut undang-undang tubuhnya, menjadikan Islam (Quran, Hadith, Ijmak dan Qiyas) hukum tertinggi, dasar dan matlamat perjuangannya Islam yang sempurna, maka termasuk urusan politik negara. Sekiranya dikaji Surah Al Maidah yang diturunkan diMadinah, terdapat didalamnya undang-undang jenayah, diantaranya Hudud.

Kebanyakan sebab nuzulnya (turun ayat) adalah berkait dengan sikap penganut bukan Islam yang dijawab secara wahyu.Perkara ini dapat dirujuk dalam kitab tafsir dan sejarah Islam. PAS berijtihad memilih demokrasi bagi mencapai kuasa pemerintahan dan melaksanakan Islam termasuk hukum hudud,  kerana pendekatan demokrasi secara damai adalah bersesuaian bagi menyelamat manusia bersama Islam tanpa paksaan, walaupun memakan masa yang panjang sehingga beberapa generasi serta pemimpin pergi dan datang.

Maka proses pelaksanaan undang –undang termasuk Hudud dibawa kedalam Dewan Undangan Negeri Kelantan dan Terengganu setelah mendapat mandat kemenangan besar dalam pilihanraya lalu. Undang – undang  jenayah Islam termasuk Hudud dipamerkan lebih dahulu kepada masyarakat umum berbagai agama, di bentang dan dibuka kepada proses soal-jawab terlebih dahulu sebagai satu proses pendidikannya.

Ingin saya pertegaskan sekali lagi bahawa pelaksanaan enakmen Islam adalah hanya untuk orang Islam sahaja, sama sekali tidak untuk bukan Islam. PAS tidak membawa perkara ini diKedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang kerana tidak mencukupi syarat secara demokrasi. DAP pula bukan parti kerajaan pusat yang berkuasa sepenuhnya seperti MCA. Ahli DAP banyak terdiri daripada masyarakat bukan Islam yang tertindas oleh kekayaan MCA, MIC dan semangat kebangsaan UMNO yang terlalu tinggi. Maka PAS lebih mudah berkira dengan DAP. Perkara hudud boleh dibincang secara ilmu dengan adil dan bebas.

Hubungan PAS dengan DAP dan PKR bukan Islam dalam Pakatan Rakyat adalah secara muafakat. Maka isu pelaksanaan Islam oleh PAS dalam negeri Pakatan Rakyat adalah berpandukan kepada hukum Tahaluf Siyasi dalam Feqah Siyasah. Ini perkara yang perlu difahami oleh penyokong PAS dan rakyat seluruhnya. PAS tetap tegas dengan perjuangan Islamnya  dan DAP pula tegas dengan perjuangannya. Dalam hal ini kerjasama berlaku dalam titik persamaan dan hak berbeza pendapat tetap dihormati dan hak penganut bukan Islam wajib diberi dengan adil.

Titik persamaan secara umum sudah disepakati, apabila DAP menerima konsep yang sudah ada dalam perlembagaan negara, termasuk kedudukan agama Islam. Bagi PAS sudah cukup menarik untuk memberi ruang perbincangan sekiranya memerintah negara. Cara ini tidak boleh dilakukan oleh UMNO dengan rakan-rakan karibnya dalam Barisan Nasional. Malangnya perbincangan yang masih awal diganggu oleh media arus perdana khususnya berbahasamelayu mengaku Islam, yang sengaja berniat jahat untuk menghalang cita-cita Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Sekiranya rakyat memberi kuasa dalam Pilihanraya Umum ke-13 kepada Pakatan Rakyat, maka PAS yakin dapat membawa mesejnya dengan sempurna tanpa gangguan syaitan yang dikenali dan tidak dikenali.

———————————————————————————-

Penulis adalah Presiden PAS yang juga anggota Parlimen Marang.

PERBEZAAN DAP DAN MCA

Sumber : http://ustazsham.com/

Soalan yang ditanyakan kepada saya:

“Kalau pembangkang menang, agak-agaknya DAP mahu bagi ke PAS memerintah?”

Jawapan:

Kalau `pembangkang’ menang, maka yang akan memerintah Negara Malaysia nanti adalah Pakatan Rakyat; di mana PAS dan yang lain-lain bersama-sama memerintah Malaysia. Kerajaan PR, bersih rasuah serta penyelewengan wang dan kekayaan Negara; yang banyaknya adalah dakwaan kosong. Satu dakwaan pun, tiada yang sangkut di mahkamah. Terbukti di empat buah negeri.

Kesempatan memerintah bersama, PAS akan ambil peluang menerangkan Islam yang sebenar kepada masyarakat Malaysia. Terbukti di Kelantan. Kaum Cina di Kelantan memahami dan menyokong Hudud kerana mendapat penerangan yang jelas dari kepimpinan Tok Guru.

Kenapa tidak pertikai MCA? Kenapa tidak melihat MCA sebagai ancaman? Parti MCA total berbangsa Cina? Sebaliknya, ada orang Melayu dalam DAP. Malah mereka (MCA) tidak bersopan di dalam menolak Hudud. Mereka berani menggertak UMNO dan ternyata parti pahlawan Melayu itu akur kepada gertakan mereka.

Chua Soi Lek (MCA) mengatakan bahawa mereka berani menentang UMNO dalam hal Hudud ini, mengugut untuk keluar BN dan menuduh ADUN UMNO yang mencadangkan Hudud di Johor sebagai hilang akal. Sedangkan Lim Guan Eng (DAP) menegaskan bahawa DAP tak boleh menghalang kepercayaan orang Islam dalam hal agama mereka dan menghargai sikap PAS yang tidak pernah menghalang dalam bab agama kaum lain.

Dalam hal Negara Islam; CSL (MCA) mengatakan, Negara Islam tidak progresif, korup, miskin dan terkebelakang, manakala LGE (DAP) menyebut: “Kita (DAP, khususnya di Pulau Pinang) ikuti jejak atau model Umar Abdul Aziz”.

Dalam hal Islam melarang berjabat tangan antara lelaki dan wanita pula; CSL (MCA) menyifatkan sebagai `suatu nilai yang hina’, tetapi LGE (DAP) menyifatkan bahawa calon PAS (Cikgu Normala yang memakai sarung tangan untuk bersalam dengan lelaki yang bukan muhrim) adalah seorang yang bertaqwa kerana patuh ajaran Islam, iaitu tidak bersalam (bersentuhan kulit) dengan lelaki.

Kerajaan BN Pulau Pinang (Gerakan) hanya memperuntukan RM25.7 juta untuk hal yang berkaitan Islam di Pulau Pinang (2008); sedangkan Kerajaan PR di Pulau Pinang (DAP) sehingga 2012 telah memperuntukan sebanyak RM181.83 juta (2009 RM33.2 juta; 2010 RM38.9 juta; 2011 RM45.7 & 2012 RM64.03 juta). Malah dari segi dasar, MCA mengamalkan dasar asobiyah (kebangsaan) yang secara terang ditolak oleh Islam. Islam di Pulau Pinang jauh lebih baik terbela di bawah DAP dari GERAKAN (BN).

Usaha menakutkan orang Melayu terhadap DAP adalah kerja UMNO/BN. Tengok sahaja empat buah negeri PR; PAS, Keadilan dan DAP terbukti dapat mentadbir negeri dengan jujur dan amanah.

%d bloggers like this: