Tag Archive: Maulidur Rasul SAW


Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

“Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (al-Anbiya’: 107)

Rasulullah S.A.W diutuskan oleh Allah S.W.T untuk menyempurnakan seluruh ajaran dan syariat Islam dengan membimbing dan memimpin seluruh umat manusia untuk mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia hingga akhirat.

Bersama Baginda adalah kaum yang Allah namakan sebagai Muslim, menjadi umat wasatiyah dan terbaik di kalangan manusia, menunjukkan teladan mengharmoni dan mensejahterakan kehidupan di muka bumi.

Hakikatnya, dunia akhir zaman ini tersangat berhajat kepada umat Islam yang akan mengembalikan secara teguh seluruh seruan dan akhlak Rasulullah S.A.W untuk menyelamatkan dunia yang sedang dihimpit oleh pelbagai kezaliman dan kerosakan akibat perbuatan manusia yang jauh dari hidayah Allah.

Jelas hari ini rintihan manusia dihina, diperdagang, didera, disiksa hingga dibunuh oleh mereka yang memperhambakan. Dirampas segala hak hasil usaha, harta, kediaman, perekonomian dan tanah air oleh penjajah dengan pelbagai wajah yang sangat rakus.

Juga segala amanah diwarnai kecurangan, penyelewengan, rasuah, skandal dan salah guna kuasa oleh pemimpin yang seumpama serigala. Selain pelbagai penyimpangan agama yang menyesat dan membingungkan dari tujuan ubudiyah.

Hingga membekaskan kepada dunia hari ini dengan bayangan hitam jenayah, ketakutan, penderitaan dan bida’ah yang tiada kesudahan, pembelaan serta penjernihan.

Maka, didatangkan Islam yang pernah ditegakkan Baginda Rasulullah S.A.W sebagai penyelesaian terhadap segala kebejatan ini. Menukarkan air mata derita kepada kegembiraan, kemungkinan kepada jaminan, serta sengsara kepada bahagia di dunia dan akhirat.

Justeru, umat Islam mestilah bersatu padu terlebih dahulu dengan berpegang kepada sunnah Rasulullah dan menggenggam erat syariat Allah. Seterusnya bangkit sebagai umat yang akan menebarkan rahmat ke seluruh alam ini.

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (an-Nur: 55)

Inilah salawat akbar umat ini ke atas Baginda, yang tidak hanya diterima hadirnya dengan keraian berhimpun bercerita riwayat mengenang semata-mata. Tetapi menegakkan seluruh usaha Baginda ke atas umat manusia secara istiqamah hingga tertegaknya keadilan melalui syariat Allah S.W.T.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
11 Rabiul Awwal 1438H | 11 Disember 2016 – HARAKAHDAILY 11/12/2016

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/presiden/39150-tegak-sunnah-rasulullah-saw-sepanjang-hayat

Sesungguhnya perasaan kita penuh dengan kerinduan terhadap Rasulullah SAW. Sebagai seorang yang mencintai dan mengasihi baginda, tentu sekali kita sentiasa terkenang akan sirah atau lakaran-lakaran pengorbanan Rasulullah SAW sehingga kita semua dapat menerima cahaya keislaman, hidayah dari Allah bagi mengecapi nikmat iman dan Islam yang sangat berharga.

Namun kita sebagai seorang Muslim perlu sentiasa bermuhasabah sejauh manakah kecintaan yang diungkapkan ini benar-benar tertanam dengan kukuh di lubuk hati kita? Sejauh manakah kita menunaikan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dalam lakaran perjuangannya, yang kemudiannya disambung silih berganti hingga ke hari ini?

Wajib bersama kita hayati firman Allah SWT yang termaktub di dalam Al-Quran:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا كَافَّةً لِلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ.

“Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).” [Surah Saba’: ayat 28]

Baginda Rasulullah SAW telah pergi meninggalkan kita, dengan sama sekali tidak mewariskan kepada kita harta pusaka kekayaan, tetapi yang diwariskan adalah ilmu yang menjadi panduan hakiki, akhlak yang terpuji, sebuah perjuangan suci dan sebuah cara hidup yang sempurna, melalui adanya Al-Quran serta Sunnah Rasulullah SAW.

Marilah kita sama-sama menjadikan sambutan Maulidur Rasul kali ini  dengan menguatkan iltizam. Bersama kita menegakkan sunnah baginda sepanjang tahun dan sepanjang hayat kita. Tidak cukup kita menunjukkan rasa gembira dengan bercuti, mengadakan perarakan atau perbarisan dan berslogan mencintai Rasulullah. Akan tetapi gembirakanlah Rasulullah SAW dengan mengamalkan serta menegakkan segala suruhan baginda, meninggalkan dan berusaha menghalang segala yang dibenci oleh Baginda.

Rasulullah SAW meninggalkan sebuah perjuangan suci sebagai rahmat ke seluruh alam untuk kita sambung dan teruskannya. Segala kezaliman, penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa, jenayah, yang berlaku pada hari ini hatta dari seorang yang mengaku Islam, menunjukkan jauhnya si pelakunya dari tinggalan Rasulullah SAW walaupun dia menyambut kelahiran Baginda SAW saban tahun.

Marilah sama-sama kita pasakkan keazaman untuk menyambung perjuangan Rasulullah SAW hingga ke akhir hayat kita. Sebagai seorang individu, marilah pula kita menghayati dan mengamalkan peninggalan Rasulullah SAW, seorang pemimpin meletakkan azam untuk menegakkan sunnah di dalam kepimpinannya. Sebuah kerajaan lebih-lebih lagi berkomited mengamalkan segala suruhan Allah SWT dan Rasul di dalam segala aspek pentadbirannya.

Semoga kita semua bertambah cinta kepada Rasulullah SAW dan beroleh cinta Allah dan Rasul-Nya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1437H.

BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
12 Rabiul Awwal 1437 / 24 Disember 2015 – HARAKAHDAILY 24/12/2015

Tarikh : 7 Januari 2015

Lokasi : Surau Taman Austral Kepayan

Penceramah : YB Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Alhamdulillah mendapat ilmu yang berharga daripada Ustaz Nik Abduh dalam ceramahnya sempena Maulidur Rasul SAW. Antaranya ialah kewajiban umat Islam untuk beriman, kasih dan taat kepada baginda SAW berdasarkan dalil-dalil dan sirah perjuangan baginda serta para sahabat yang telah menunjukkan teladan yang terbaik dalam perjuangan Islam.

Ust Nik Abduh @ Austral (1) Ust Nik Abduh @ Austral (2) Ust Nik Abduh @ Austral (3)

 

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/33044-nasihat-agama-dan-wasiat-iman

Maulidur Rasul; Memupuk Kesabaran Menghadapi Ujian dan Menyuburkan Keprihatinan Ummah

1. Musibah adalah perkara yang menjadi sebahagian sunnah kehidupan. Ia bertujuan menguji mereka yang sabar dalam menghadapi ujian untuk mengangkat darjat dan menghapuskan dosa mereka.

2. Masyarakat yang diuji dengan banjir sebagai contoh diuji juga dengan kemampuan berkongsi apa yang mereka ada atau apa yang mereka perolehi. Nabi saw memuji suku Asy’ariyyin yang mampu berkongsi saki-baki makanan yang ada pada mereka.

Imam Muslim meriwayatkan Hadis bahawa Nabi saw bersabda;

إِنَّ الْأَشْعَرِيِّينَ إِذَا أَرْمَلُوا فِي الْغَزْوِ أَوْ قَلَّ طَعَامُ عِيَالِهِمْ بِالْمَدِينَةِ جَمَعُوا مَا كَانَ عِنْدَهُمْ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ ثُمَّ اقْتَسَمُوهُ بَيْنَهُمْ فِي إِنَاءٍ وَاحِدٍ بِالسَّوِيَّةِ فَهُمْ مِنِّي وَأَنَا مِنْهُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang Asy’ari apabila mereka kehabisan bekalan dalam peperangan atau kekurangan makanan tanggungan mereka di Madinah, mereka menghimpunkan apa yang ada dengan mereka dalam satu kain kemudian mereka mengagihkannya di kalangan mereka dalam satu bekas secara sama rata. Maka mereka tergolong di kalangan saya dan saya tergolong di kalangan mereka.”

3. Semangat berkongsi adalah ujian besar di kalangan orang-orang yang ditimpa dengan ujian kesusahan kerana sikap manusia selalunya ialah berusaha memenuhi keperluan diri sendiri terlebih dahulu.

4. Bagi masyarakat sekitar pula, musibah yang menimpa jiran dan rakan taulan mereka menjadi ujian keprihatinan. Adakah kita bersedia membantu mereka yang kesusahan sama ada dengan tenaga, masa dan juga harta benda.

5. Antara sifat mulia Rasulullah saw ialah keprihatinan terhadap kesusahan ummat yang terbentuk sebelum baginda saw menjadi Nabi lagi. Ia disebut oleh Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid radiyallahu anha dalam peristiwa Nabi saw menerima wahyu yang pertama sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Muslim;

إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ وَتَصْدُقُ الْحَدِيثَ وَتَحْمِلُ الْكَلَّ وَتَكْسِبُ الْمَعْدُومَ وَتَقْرِي الضَّيْفَ وَتُعِينُ عَلَى نَوَائِبِ الْحَقِّ

Maksudnya; “Sesungguhnya kamu benar-benar menyambung hubungan rahim, bercakap benar, menanggung bebanan kesusahan orang, memberi harta kepada yang papa (tidak mampu bekerja), memberi makan kepada tetamu dan membantu (mangsa) musibah tragedi.”

6. Golongan Ansar yang membantu golongan Muhajirin ke Madinah dipuji oleh Allah

وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ( 9 ) )

Maksudnya: “dan mereka (iaitu Ansor) yang menempati bumi (Madinah) itu dan (menempati) keimanan sebelum kehadiran mereka (iaitu Muhajirin), mereka sayangkan orang berhijrah kepada mereka, mereka tidak merasai dalam hati mereka sebarang hajat keperluan daripada apa yang telah mereka hulurkan dan mereka mengutamakan (Muhajirin) berbanding diri mereka meskipun mereka juga ada keperluan tersendiri. Dan sesiapa yang terpelihara daripada sifat kikir dalam dirinya maka merekalah golongan yang beroleh al-Falah (kejayaan selepas kesukaran).
Surah al-Hasyr ayat 9.

7. Golongan Ansor dipuji oleh Allah kerana mempunyai 3 sifat;
1. Sayang kepada golongan Muhajirin
2. Ikhlas memberikan bantuan tanpa mengharapkan balasan.
3. Memberikan keutamaan bantuan kepada golongan Muhajrin meskipun mereka sendiri memerlukan.

8. Marilah kita membina semangat berkongsi masalah dan kesusahan serta menyuburkan keprihatinan terhadap mereka yang susah. Hari ini mereka berhadapan kesukaran kerana banjir dan sebagainya. Entah esok entah lusa kita pula dilanda kesusahan.

Di manakah kita hari ini?

Selamat menyambut Maulidur Rasul. “Maulidur Rasul; Membina Keprihatinan Ummah”

Ditulis oleh al-Faqiiru ilaLlah

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Sabtu 12 Rabiul Awal 1436 H / 3 Januari 2015 – (1.00 pm)

Khatib : Ustaz Daroni

Lokasi : Masjid Nurul Islam Kg Peringatan Petagas

Rasulullah SAW telah diiktiraf sebagai ketua kepada sekalian para nabi dan rasul sebagaimana maksud sebuah hadith baginda SAW : “Aku adalah ketua bagi seluruh manusia anak keturunan Nabi Adam, ini bukan untuk membangga-banggakan diri”. Ia adalah suatu isyarat dan petanda bahawa Rasulullah SAW adalah yang paling utama daripada semua nabi di dunia dan akhirat.

Di dunia, Baginda SAW telah bersifat dengan akhlak yang luhur dan agung, maka di akhirat bagindalah yang paling afhal kerana balasan pahala mengikut ketinggian akhlak dan sifat yang mulia. Apabila Allah SWT melebihkan Rasulullah SAW di dunia dengan keperibadian dan sifat yang terpuji, maka Allah melebihkannya di akhirat dengan martabat dan darjat yang tinggi. Justeru keunggulan baginda di dalam soal akhlak dan perjuangan terbukti sehingga tercatat sebagai salah seorang Nabi Ulul Azmi sebagaimana firman Allah SWT :

“(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad), maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-Rasul Ulul Azmi (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) daripada kalangan Rasul-Rasul (yang terdahulu daripadamu), dan janganlah engkau meminta disegerakan azab yang dijanjikan untuk mereka (yang menentangmu itu). Sesungguhnya keadaan mereka semasa melihat azab yang dijanjikan kepada mereka, merasai seolah-olah mereka tidak tinggal (di dunia) melainkan sekadar satu saat sahaja daripada siang hari. (Penerangan yang demikian) cukuplah menjadi pelajaran (bagi orang-orang yang mahu insaf). Maka (ingatlah) tidak dibinasakan melainkan kaum yang fasik – derhaka”. (al-Ahqaf : 35).

%d bloggers like this: