Tag Archive: Maulidur Rasul 1431H


SMK TAMBUNAN

 

Saya tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju apabila dipelawa oleh Ustazah Norliyah Shahmin untuk menyampaikan ceramah Maulidur Rasul SAW di SMK Tambunan hari ini.

Jemputan itu disampaikan kepada saya tidak salah sebulan lalu.

Saya bertolak solo tanpa teman dari rumah jam 7.15 pagi dan tiba di perkarangan sekolah berkenaan jam 8.35 pagi. Sejujurnya saya bimbang lewat tiba, lantaran tidak mengetahui jarak perjalanan secara tepat dan jadual ceramah saya bermula.

SMK Tambunan mempunyai sejumlah 1400 pelajar, namun hanya sekitar 200 sahaja beragama Islam. Jadi sudah tentu ia menjadi perjuangan yang getir buat guru-guru agama seramai 3 orang di sana.

Program didahului dengan perarakan pelajar daripada 3 buah sekolah. SMK Nambayan, Pelajar dari Rumah Anak Yatim (RAY) dan SMK Tambunan selaku tuan rumah.

Sebagaimana yang saya suarakan kepada Ustazah Norliyah pagi itu, perarakan seumpama ini sangat perlu di lokasi seperti Tambunan ini di mana umat Islam menjadi minoriti. Amat perlu umat Islam menunjukkan syiar agama ini.

Saya teringat kisah pengislaman Hj Nicholas Sylvester. Katanya, antara asbabnya ialah apabila beliau begitu teruja melihat umat Islam berarak dan bersolawat dengan bersemangat sekali. Peristiwa itu menjadi tarikan penting buatnya sebelum memeluk Islam.

Ceramah saya di hadapan kira-kira 300 hadirin berlangsung 40 minit sahaja. Saya sendiri meringkaskannya walaupun masa diberi selama sejam. Antara isi ceramah yang saya tekankan ialah penampilan diri dan akhlak luhur selaku orang Islam tambahan pelajar muslim sekolah ini sangat minoriti.

Saya bertolak pulang jam 1 tengahari setelah selesai jamuan tengahari dan solat zuhur.

Alhamdulillah, saya mendapat ramai teman dan kenalan baru di sini. Ustazah Norliyah dan suami Ust Hairulnizam Khairon, Ust Nasir Razali, Ust Mazri Khalik, Ust Hatta Rosli dan tidak ketinggalan Ust Mohd Yassin Hj Yunus Penyelia Guru Pendidikan Islam Daerah Tambunan yang rupanya kerap melayari blog Abu Nuha Corner ini.

Tadi, saya sudah menyusun secara ringkas satu program solo ke Daerah Tambunan, merangkumi program di masjid, surau, sekolah, ziarah muallaf, pendakwah, anak yatim dan hospital.

Insya Allah, saya akan hadir lagi untuk sekurang-kurangnya 10 program padat jumaat-ahad sebagaimana telah saya buat di daerah Tenom tahun lalu. Semoga ada yang sudi membantu menaja dan menyumbang.

Saat ini saya masih teruja lagi. Terima kasih pihak sekolah, khususnya buat pengetua Tuan Hj Mohammad Mohlis Yusak, tenaga pengajar dan semua peserta dan pelajar.

Perarakan bermula dari Padang Merdeka menuju ke Wisma MUIS sejauh 3.4km diketuai oleh TYT Tun Ahmadshah dan kontinjen seramai 88 pasukan.

Dewan Saadah, Wisma MUIS Kota Kinabalu

bersambung…

Masjid Negeri Sabah, 25 Februari 2010 (Khamis)

Padang Merdeka 26 Februari 2010 (Jumaat)

Sebanyak 88 kontinjen mewakili pelbagai sekolah, institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, masjid dan surau, jabatan kerajaan dan swasta menyertai perarakan dan pertandingan sepanduk sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah.

Perarakan bermula pada jam 7 pagi dari Padang Merdeka Kota Kinabalu menuju ke Wisma MUIS Kota Kinabalu sejauh 3 km diketuai oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Tun Hj Ahmadshah Abdullah bersama menteri kabinet negeri.

Di Wisma MUIS antara pengisian penting ialah tazkirah oleh Pensyarah Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) Ust Farid Ravi Abdullah.

Di hujung majlis, TYT Tun Ahmadshah sudi menyampaikan Tokoh Maulidur Rasul kepada Dr Muhyidin Yusin yang juga Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sabah dan Datuk Maznah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.

Selain itu beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan sepanduk, perarakan dan perbarisan.

ABU NUHA DI SABAH FM

Beberapa hari lepas saya menerima undangan sebagai tetamu khas di RTM sempena Maulidur Rasul SAW 1431H.

Insya Allah, suara saya akan ke udara secara langsung pada 24 Februari 2010 jam 11.45 pagi – 12 tengahari dari konti Sabah FM. Bagi yang berada di Kota Kinabalu, siarannya melalui 89.9.

Siaran Sabah FM boleh didengar di sini www.rtmsabah.gov.my 

Program ini adalah salah satu rancangan khas sempena Maulidur Rasul SAW yang dianjurkan bersama oleh JHEAINS (dihoskan oleh Bahagian Pendakwaan) dengan kerjasama Jabatan Penyiaran Malaysia Kawasan Sabah.

Selain saya pada 24hb, rakan-rakan lain juga mengambil tempat mulai 22hb dan berakhir pada 26hb dengan tajuk masing-masing.

Tajuk yang diminta saya bercakap ialah berkenaan ajaran salah yang diperangi oleh Rasulullah SAW dan kesannya kepada umat Islam.

Khabarnya walaupun ada 15 minit peruntukan masa yang diberikan, tempoh saya bercakap hanya di bawah 10 minit kerana memberi laluan untuk kuiz yang akan diadakan di hujung program.

Walaupun 10 minit, semestinya saya bekerja keras untuk mencari bahan menurut yang semestinya.

Ini pengalaman pertama muncul secara langsung. Mudah-mudahan dimudahkan oleh Allah SWT urusannya demi kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW. Terima kasih kepada Bahagian Pendakwaan yang memberi kepercayaan.

 

%d bloggers like this: