Tag Archive: Masjidil Haram


SEKITAR AL-HARAM

Sumber foto : http://hajiarshad.blogspot.com/

Foto-foto suasana terkini di Masjid al-Haram

Sumber : http://hajiarshad.blogspot.com/

 

Sumber : http://hajiarshad.blogspot.com/

tetamu menanti giliran

tetamu dah mula masuk ke dalam kaabah

dengan kawalan yang ketat

ketibaan gabenor mekah

penjaga pintu Kaabah

MENANTI PERKENAN

Kita mengakui akan kelemahan dan kekurangan diri. Tidak semua yang diusahakan dan dicita akan menjadi realiti. Kadang-kadang ada sahaja halangan dan durinya.

Namun demikianlah indahnya hidup beragama. Ada tempat kita mengadu dan bergantung harap. Berdasar rekod hadith-hadith Rasulullah SAW, ada waktu, tempat  dan orang tertentu yang mustajab doanya.

Antara waktu mustajab ialah antara azan iqamah, waktu sahur, antara dua khutbah, ketika hujan, sewaktu peperangan dan sebagainya. Antara tempat mustajab ialah di tanah suci khususnya di dalam Masjidil Haram dan di Raudhah Nabi di Masjid Nabawi. Antara hamba yang mudah diperkenan doanya ialah orang yang musafir, orang yang berpuasa, pemimpin yang adil, orang yang dizalimi dan sebagainya.

Tempoh dan cara perkenan doa itu pula terpulanglah kepada Allah SWT. Ada yang diperkenankan dengan diberi apa yang diminta. Ada yang diganti dengan sesuatu yang lain, yang menurut Allah SWT lebih baik untuk hamba-Nya itu. Ada yang diperkenan dengan cara dihapuskan dosa kesalahannya. Ada pula yang ditangguh sehingga pada hari kiamat.

Seorang pekerja yang mempunyai permohonan kepada majikannya perlu memberitahu sama ada dengan cara bercakap atau menulis permintaannya.  Namun seorang hamba Allah SWT yang meminta tidak perlu menjerit kuat-kuat, atau menulis atau seumpamanya. Bahkan bisikan hatinya dapat didengari oleh Allah SWT yang Maha Mendengar.

Saat menunaikan umrah, banyak perkara yang saya pinta kepada-Nya (dan saya teruskan sehingga kini).  Saya akui dan melihat, satu demi satu permintaan itu diperkenankan oleh-Nya. Ada permintaan secara umum dan ada pula permintaan secara khusus.  Ada satu permintaan yang saya rasa hampir saatnya untuk diperkenankan. Saya meyakini firman Allah melalui sebuah hadith qudsi :

“Aku menurut sangkaan hamba-Ku..”

Doakan saya agar permintaan ini diterima oleh-Nya.

IMAM SYAFIE – PEJUANG KEBENARAN

Buku yang baru dibaca :

Penulis : Abdul Latip bin Talib

Harga : RM 24.00 / RM 27.00

Tarikh Terbit : 20 Dec 2009

Jumlah Muka Surat : 288

Kategori : Novel Dewasa, Novel Dewasa Umum, Novel Sejarah, Novel Sejarah Islam

Penerbit : PTS Litera Sdn Bhd

Nama sebenarnya ialah Muhamad bin Idris bin Abbas bin UIthman bin Shafie bin Saib bin Abdu Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Ayahnya berasal dari keturunan Quraisy dari Bani Mutalib.

Beliau dilahirkan di kota Gaza Palestin pada bulan Rejab tahun 150 hijrah. Ayahnya telah meninggal dunia ketika Imam Syafie masih kanak-kanak. Setelah kematian Idris, Imam Syafie dibawa kembali ke Makkah bersama ibunya yang sememangnya berasal dari Kota Makkah.

Ada yang mengatakan ketika Imam Syafie dilahirkan itulah Imam Abu Hanifah (Imam Hanafi) meninggal dunia akibat diracun oleh pemerintah. Khalifah Islam pada masa itu ialah Khalifah Abu Jaafar al Mansur dari Bani Abbasiyah.

 Imam Syafie dibesarkan dalam serba kekurangan.

Sejak kecil lagi beliau sudah mempelajari al-Quran. Beliau menghafal al-Quran sejak berusia 9 tahun dan pada usia 10 tahun sudah menghafal dan memahami kitab al-Muwatta’ yang ditulis oleh Imam Malik.

Beliau mempunyai suara merdu, boleh bersyair dan bersajak. Bahkan ketika usia 10 tahun itu juga beliau telah menghafaz 10 ribu syair Arab.

Ketika berusia 15 tahun beliau sudah mengajar dan memberi fatwa kepada orang ramai di Masjid al-Haram, kerana kegigihan dan kecerdikan beliau yang luar biasa, beliau mendapat sanjungan masyarakat.

Imam Syafie seorang yang cintakan ilmu dan ulama’. Beliau mengembara menuntut ilmu ke Madinah, Baghdad, Yaman dan Mesir, berguru dengan para ulama di tempat berkenaan walaupun saat itu beliau sudahpun diiktiraf sebagai mujtahid.

Imam Malik adalah antara guru yang dikasihinya, sementara Imam Ahmad bin Hambal adalah antara sahabat dan muridnya yang terkemuka. Beliau meninggal dunia di Mesir ketika berumur 54 tahun akibat penyakit buasir berdarah.

Dapatkan buku berkenaan di :

Pustaka Aslam, Plaza Kingfisher, Likas Kota Kinabalu.

16 Mac 2010

Sekitar 8 pagi, saya keluar dari Masjidil Haram. Bukan balik ke bilik penginapan, tetapi meronda-ronda sekitar kawasan berdekatan.

Memang antara yang jelas perubahan kini ialah projek besar-besaran pemerintah Arab Saudi untuk membangunkan Kota Makkah khususnya di sekitar Masjidil Haram.

Sebelum ini, kawasan saie sudah dilebarkan sekali ganda berbanding luas sebelumnya. Bagi yang pernah datang ke sini, pasti merasai perubahan kawasan saie yang lebih lebar.

Di luar masjid, sudah banyak hotel dan bangunan kedai-kedai dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan perhotelan yang lebih moden.

Ada bangunan lama yang sudah dikosongkan untuk menanti masa perobohan, ada yang sudah diroboh dan ada yang kawasan yang sedang pesat dengan pembinaan bangunan baru. Kami dimaklumkan projek pembangunan Kota Suci Makkah ini  dijangka siap dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Bahkan bangunan Hotel Durrah tempat kami menginap kali ini juga turut termasuk dalam bangunan yang bakal diroboh dalam masa terdekat. Ada maklumat mengatakan ini adalah tempoh-tempoh akhir mereka menerima tetamu sebelum diroboh sebulan dua ini.

Kami juga dapat melihat bangunan hotel yang sudah dikosongkan yang berhadapan dengan Hotel Durrah, dirobohkan dengan disaksikan oleh ramai orang.

Saya sempat meninjau kawasan tempat kami tinggal pada musim haji 2002 lalu. Ia tidak jauh dari Maktabah Makkah al-Mukarramah, lokasi Rasulullah SAW dilahirkan. (Sebelah timur Masjidil Haram, berdekatan dengan laluan Saie).

Tempat tinggal kami dahulu seramai 18 orang jamaah haji Sabah dari Mesir berada di belakang Maktabah Makkah al-Mukarramah ini. Kami terpaksa naik beratus anak tangga kerana tempat penginapan kami terletak di kawasan bukit.

Kini bangunan-bangunan dan kawasan tersebut sudah dikosongkan dan menanti untuk dirobohkan. Saya berjalan kaki melihat kawasan kedai-kedai yang biasa dikunjungi jamaah haji dan umrah termasuk Malaysia yang menjual pakaian seperti jubah, abaya, kopiah, tasbih, minyak wangi dan kitab-kitab.

Letih berjalan, saya singgah satu restoran. Saya belum sarapan, nampak ayam panggang yang diusahakan oleh seorang pemuda Arab berasal dari Mansoura Mesir. Katanya kepada saya, dia akan menyambung pengajian di UIA Malaysia.

Makan nasi basmati + ayam, saya berselera sekali. Alhamdulillah. Sedap la pulok.

Antara Gambar Pembangunan Di Sekitar Masjidil Haram. Angka 299 di atasnya, menunjukkan baki hari untuk projek disiapkan dengan izin Allah.

16 Mac 2010 (Selasa)

Apabila balik ke hotel sekitar jam 3 pagi, kami terpisah kerana ada belum selesai, ada yang sibuk mencari selipar yang entah diletak di mana ketika masuk. Ada yang kehilangan selipar dan lucu pula ada yang hilang sebelah sahaja.

Tiada sahabat-sahabat yang tahu sebenarnya dalam perjalanan balik itu, saya tersesat kerana tersalah jalan balik. Dalam keadaan panik bercampur letih dan mengantuk, saya pulang keseorangan tercari-cari bentuk bangunan hotel kami menginap.

Sebenarnya, saya nampak hotel itu tetapi tersalah jalan. Mungkin kerana sikap teruja saya hendak menangkap gambar sambil berjalan ketika itu menyebabkan saya terlalai seketika menuju ke jalan yang lain.

Tidak lama dalam solawat dan istighfar, saya menemui kembali laluan pulang.

Subuh

Meski dalam keadaan letih kerana baru selesai umrah pertama pada jam 3 pagi, kami kuatkan juga untuk turun solat Subuh di Masjidil Haram.

Memang ada di kalangan kami yang terus iktikaf selepas umrah sehingga ke subuh, sementara saya dan beberapa sahabat balik untuk tidur sebentar.

Sesudah itu, pergerakan untuk ke Masjidil Haram dilakukan secara sendirian ataupun dalam kumpulan kecil. Ini kerana masing-masing sudah tahu jalan dan ingin melakukan aktiviti ibadah menurut rancangan sendiri.

Mungkin ada yang hendak tawaf sunat lebih, atau tilawah al-Quran, zikir, iktikaf dan seumpamanya. Hanya aktiviti lawatan keluar yang dilakukan secara berkumpulan kecil atau kesemua sekali.

Sesudah subuh, saya melepak sendirian di dataran Masjidil Haram buat beberapa jam.

Duduk menyandar menghadap Kaabah antara Rukun Yamani dan Hajarul Aswad. Sambil tilawah al-Quran, sesekali saya perhati gelagat manusia yang beribadah di Baitullah.

(Saat ini saya sudah menghabiskan dua pertiga al-Quran).

Ada yang bergerak laju, ada yang perlahan, ada suami menolak isteri yang duduk di kerusi roda, tidak kurang juga yang isteri menyorong suami yang duduk di kerusi roda. Tersenyum sendirian melihat anak-anak kecil 3-4 tahun memakai kain ihram dan bertawaf bersama keluarganya.

Kalau orang Arab, yang saya perhati jamaah dari Mesir agak ramai. Begitu juga dari Oman, Syria dan lain-lain. Saya kurang maklum dengan penduduk negara ini sendiri.

Sebab ada cakap-cakap mengatakan, pengimarahan Masjidil Haram dengan ibadah umrah dan haji majoritinya oleh umat Islam dari negara luar, bukannya orang Saudi. Wallahu a’lam.

Sementara yang bukan Arab, selain kumpulan umrah dari Malaysia, kelihatan dari Indonesia, juga sedikit dari Iran. Biasanya rombongan Malaysia dan Indonesia ini dikenali dengan lambang negara, paras rupa, serta telekung putih muslimat yang lebih panjang ke bawah berbanding orang Arab.

Namun, yang jelas dan paling menonjol ialah kumpulan-kumpulan umrah dari Turki yang mudah dikenali. Kebanyakan mereka orang-orang tua dan bergerak secara kumpulan, zikir mereka juga beramai-ramai dipimpin oleh seorang ketua.

Pakaian mereka biasanya warna krim, coklat muda atau kelabu, dengan tertera lambang dan bendera negara Turki. Saya masih mendengar ungkapan takbir mereka dengan bunyi lafaz ‘Allahu Acbar’.

Perlu kita ingati bersama, sewaktu Mustafa Kamal Atarturk memerintah Turki, beliau melarang semua unsur serta syiar Islam dan bahasa Arab berleluasa di negaranya. Azan dalam bahasa Turki, pakaian menutup aurat seperti tudung dilarang dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, unsur sekular dan mungkar diterap bersungguh-sungguh. Budaya tari menari, pergaulan bebas lelaki perempuan, minum arak secara terbuka dan seumpamanya.

Pernah rakan saya bercerita, dia menjumpai kedai-kedai di Turki yang menjual al-Quran dan buku-buku lucah di meja yang sama sekaligus.

Namun Allah SWT memastikan bahawa agama Islam tidak pernah terhapus di bumi Turki. Ini terbukti dengan bercambahnya pusat-pusat tahfiz al-Quran di sana, serta kehadiran rakyatnya menunaikan ibadah haji dan umrah di sini.

Lebih jelas, kemenangan Parti Islam Refah satu ketika dahulu dan berterusan sehingga kini dengan parti serta kumpulan Islam iaitu Parti Pembangunan & Keadilan (AKP) memegang tampuk pemerintahan di bawah pimpinan Recep Tayyip Erdogen, menunjukkan umat Islam di Turki masih sayang kepada Islam.

Ada rezeki, ingin benar pula saya berziarah ke sana, melihat kesan sejarah pemerintahan Khilafah Uthmaniah yang telah berakhir pada 1924. Mudah-mudahan Allah membantu.

Suasana Masjidil Haram sesudah solat subuh pada 16 Mac 2010

Antara kumpulan umrah dari Turki.

Anak kecil berihram bersama keluarganya (tidak kelihatan) di Masjidil Haram

Suasana Masjidil Haram setelah solat Maghrib pada 16 Mac 2010

UMRAH PERTAMA

15 Mac 2010 (Isnin)

Sekitar 9.40 malam, Ust Azam mengumumkan bas besar yang membawa kami saat ini mulai masuk ke dalam kawasan Tanah Haram. Doa dipanjatkan agar niat dan ibadah dipermudahkan oleh Allah SWT.

Dalam masa yang sama, hati masih berdebar. Antara bimbang dan pengharapan yang tidak putus.

Saat itu, sahabat-sahabat mula menyegarkan mata yang sejak tadi asyik terlelap. Mata mula  mencari-cari arah dan letak Masjidil Haram. Menghampiri jam 10 malam, barulah bangunan Masjidil Haram kelihatan bercahaya.

Hotel Durrah setinggi 10 tingkat menjadi pilihan tempat penginapan kami. Ia terletak di kawasan Syubaikah, belakang dan kiri bangunan Darul Tawhid yang tersergam menghadap Masjidil Haram.

Beg dan semua barang disimpan di bilik yang sudah ditetapkan. Saya bersama Ust Azman, Amir Fadhli, Cikgu Hamid dan Ust Zulkifli duduk sebilik di tingkat 9. Ust Azam menetapkan selesai makan, semua akan bergerak untuk tawaf dan saie tepat jam 12 malam.

Perjalanan kaki antara hotel ke pintu masjid yang berhampiran memakan masa 10 minit. Talbiah dilaungkan dengan bersemangat. Doa terus dipanjatkan.

Masuk melalui pintu Malik Fahd, perasaan berdebar semakin kencang untuk bertemu Kaabah dan seterusnya tawaf di sisinya. Seperti saat saya pertama kali dahulu melihat Ka’abah, begitulah perasaan yang dialami oleh para sahabat yang melihat dan berhadapan buat julung kalinya.

Air mata kegembiraan menitis. Seolah tidak percaya kini berada di Baitullah yang menjadi kiblat umat Islam seluruh dunia.

“Ust Mad, nampak? Ust CB, nampak?” Usik saya apabila mata masing-masing bertumpu ke binaan Kaabah itu.

Ust Azam memberi arahan agar memulakan tawaf. Saya dipinta memimpin di hadapan sementara Ust Azam memastikan ahli rombongan dapat memulakan tawaf dengan baik. Selepas tawaf kami dipinta berkumpul semula di tepi tangga dekat lampu hijau, tempat tawaf bermula.

Saya disertai oleh beberapa rakan pada pusingan awal. Apabila sudah rasa selesa, satu demi satu membawa diri untuk tawaf sendirian.

Sambil bertawaf doa dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk kebaikan diri sendiri, isteri, anak-anak, orang tua, ahli keluarga, sahabat-sahabat dan rakan taulan.

Alhamdulillah, sekitar 40 minit kemudian, tawaf selesai dikerjakan dan masing-masing meluru untuk solat sunat tawaf di belakang Maqam Ibrahim yang menjadi salah satu tempat mustajabnya doa.

Selesai solat, kami bertemu di tempat yang dijanjikan. Menanti sahabat-sahabat yang belum selesai, kami meminum air zam-zam sepuasnya.

Ibadah seterusnya ialah saie. Perjalanan antara dua bukit bersejarah – Sofa dan Marwah sejauh lebih 3km secara keseluruhan dalam 7 pusingan bermula di Bukit Sofa dan berakhir di Bukit Marwah.

Ia mengingatkan perjuangan seorang ibu bernama Hajar bagi mencari seteguk air untuk anak yang menangis kelaparan. Perjuangan itu akhirnya diabadikan dalam ibadah saie yang bererti usaha.

Hampir jam 3 pagi (lebih sejam saie), kami menamatkan ibadah umrah pertama dengan bergunting dan bercukur. Alhamdulillah, segala puji buatMu ya Allah! Rabbana Taqabbal Minna…

%d bloggers like this: