Tag Archive: Masjid Wilayah


Sejak tiba di KL mulai rabu sehingga berada di Kedah saat ini, saya telah berjumpa dengan beberapa individu yang lama tidak saya temui.

IMG_7136

1) Ust Najib Abd Ghaffar.

Ust Najib adalah rakan sepersekolahan ketika tingkatan 2 di SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah. Walaupun tempohnya di Sabah singkat saja -1992, tetapi persahabatan tetap kekal sehingga hari ini.

Selepas kami berpisah pada  kerana Najib balik ke Kedah mengikut keluarganya, kami tidak lagi bertemu sehingga pada 1999 di Darul Quran (DQ) JAKIM, Kuala Kubu Baru.

Mengingat kenakalan zaman sekolah, saya sendiri tidak menyangka Najib masuk dan menyambung pengajian di DQ (1998-2001) dan menjadi junior kami pula.

Selepas DQ, Najib sambung ke Maahad Qiraat al-Azhar di Mesir pada 2002-2005, dan di sana kami bertemu pula. Kemudian Najib kembali ke DQ pada 2006 sebagai pensyarah pula, mengajar subjek-subjek al-Quran seperti tasmik, qiraat dan lain-lain.

Kali terakhir kami bertemu ialah pada 2007 lalu, apabila kami terserempak selepas solat jumaat di Masjid India, KL.

Kami bertemu pula beberapa hari lalu dalam Seminar Pemurnian Aqidah anjuran Pejabat Mufti WP dan JAWI di Masjid Wilayah.

Najib sudah berkeluarga dan kini mempunyai 2 cahayamata. Isterinya seorang guru JQAF mengajar di sebuah sekolah berhadapan DQ.

IMG_7139

2) Ust Hj Abd Malik Salleh.

Tidak banyak cerita dan kenangan saya dengan beliau, kerana zaman itu saya masih di bangku sekolah.

Ust Malik – orang Kelantan, yang kini bertugas selaku imam besar Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta, pernah bertugas di Jabatan Agama Islam WP (JAWI) Labuan, antara 1994 hingga 1998 sebagai Ketua Penolong Pengarah (KPP).

Jawatan KPP adalah jawatan tertinggi JAWI di Labuan, yang bermakna penjawat berkenaan mengetuai operasi pentadbiran JAWI di WP Labuan.

Seingat saya, nama beliau cukup baik dan harum ketika berkhidmat di sana, lantaran hubungan beliau yang sangat mesra dengan ramai orang khususnya penduduk kampung dan ahli qaryah masjid.

Ust Malik dalam sembang singkat kami tempohari juga menyebut beberapa nama yang menjadi keluarga angkatnya di WP Labuan. Beliau juga masih mengenali dan mengingati bapa saya selaku rakannya ketika itu.

IMG_7309

3) Ust Shahrizal Ghazali.

Saya bersahabat dengan beliau sejak 2003 sehingga kini. Ketika saya dan isteri mendirikan rumahtangga pada 2002, kami kemudiannya tinggal di Mansoura sehingga pulang ke tanahair pada pertengahan 2004.

Ketika di Mansoura itulah kami bersahabat baik dengan rakan-rakan yang sudah berumahtangga.

Kami berusrah bersama – usrah bait muslim, saling ziarah menziarahi, melancong bersama dengan keluarga masing-masing, tambahan pula kami masing-masing mempunyai seorang anak yang sebaya umur dan baru lahir pada 2003.

Ust Shah mengaji di Universiti al-Azhar Cawangan Tanta dalam kuliah Syariah Islamiyyah tetapi tinggal di Mansoura sejak 2002.

Sementara kami kembali pada julai 2004, Ust Shah dan keluarganya pula kembali pada oktober tahun yang sama.

Sejak 5 tahun lalu, Ust Shah bertugas di SMA al-Islah Pendang. Pertemuan terakhir kami pula ialah pada akhir 2007, ketika saya berkunjung ke negeri ini atas urusan rasmi.

Kini Ust Shah tinggal di Taman Teratai Pendang bersama isterinya Ustazah Suzana Md Nordin @ Kak Zana yang juga menjadi rakan baik isteri saya serta 3 cahayamata mereka. Md Afifi (6 tahun) – seumur dengan Nuha, Afifah Izzati (3 tahun) dan Anis Afifah (2 tahun).

Insya Allah persahabatan dan kenangan manis di Mesir khususnya bersama rakan-rakan bait muslim Mansoura lain tidak akan dilupakan.

IMG_7125

Sepanjang khamis bermula pagi hingga petang, Pejabat  Mufti Wilayah Persekutuan dengan kerjasama JAWI menganjurkan Seminar Pemurnian Aqidah 2009 yang diadakan di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.

Seminar yang dihadiri sekitar 600 peserta itu dirasmikan oleh SS Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hj Wan Zahidi Wan Teh.

Tiga pembentang kertas kerja dijemput dalam seminar berkenaan. Mereka ialah Hj Mohammad Ariffin Ismail membentang tajuk : Cabaran Islam Liberal Di Malaysia.

Pembentang kedua ialah Dr Khalif Muammar dari UKM dengan tajuk : Wacana Kesetaraan Gender : Islamis vs Feminis Muslim.

Sementara pembentang ketiga ialah Fahaman Pluralisme Agama Merosakkan Aqidah oleh Dr Anis Malik Taha dari UIA.

Saya yang hadir mewakili JHEAINS merasakan program yang sangat baik, tambahan pula diadakan di tempat yang sangat selesa.

Hanya sedikit janggal saya merasakan secara peribadi (saya tidak mengetahui perasaan peserta lain), di mana ada pembentangan disampaikan dengan lurus sehingga ramai juga yang terlena.

Tajuk yang berat, dengan kepelbagaian latar pendidikan peserta, ada penceramah pula tampil dengan bahasa dan istilah moden dan bombastik.

Sepatutnya bahasa dan istilah dimudahkan untuk kefahaman peserta. Sementara moderator pula bagi saya bijak mengawal keadaan.

Tetapi secara keseluruhannya, saya berpuas hati dan ia adalah majlis yang patut digerakkan ke seluruh negara.

Kg Sungai Yan Kechil, Kedah.

IMG_7132

IMG_7128

IMG_7129

CORAT CORET MASJID WILAYAH

 IMG_7112

1. Masjid Wilayah Persekutuan dibina dengan kos RM260 juta dan mula digunakan pada 1999 dengan kapasiti lebih 10 ribu jamaah pada satu-satu masa.

2. Pengurusan masjid ini diketuai oleh Imam Besar dengan taraf s52. Ada dua jawatan s44 dan lima lagi jawatan s41.

3. Terdapat 6 orang imam termasuk imam besar yang kesemuanya mempunyai jadual mengimamkan solat fardhu 5 waktu, sementara bilal masjid juga sejumlah enam orang.

4. Terdapat 5 dewan di masjid ini : Dewan Serbaguna (1200 kapasiti), Bilik Seminar (120 orang), Dewan Makan Besar (500 orang), Dewan Makan Kecil (200 orang), dan Dewan Pernikahan (150 orang).

5. Terdapat asrama lelaki dan perempuan yang boleh menampung 80 orang dalam satu masa khususnya untuk keperluan kursus bermalam. Terdapat juga 4 bilik tetamu dengan sewa RM45 sehari.

6. Pengurusan maintanance masjid dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta yang bertanggungjawab soal keselamatan, lanskap, kebersihan, elektrikal dan penghawa dingin dengan kos RM50 ribu sebulan.

7. Terdapat lebih 30 warga kerja masjid, yang terbahagi kepada 3 cawangan : Pengimarahan, Khidmat Sosial & Kebajikan, dan Khidmat Pengurusan.

8. Kutipan jumaat masjid dianggarkan sekitar RM5 ribu seminggu.

9. Masjid ini dikelilingi oleh bangunan LHDN, Kompleks Kerajaan Jalan Duta, Kompleks Mahkamah KL, Hentian Bas Jalan Duta, Stadium Hoki Tun Razak, Arkib Negara dan bangunan MATRADE.

10. Masjid ini juga mempunyai sekolah agama, tadika dan pusat asuhannya sendiri yang diadakan di dalam bangunan masjid.

11. Selain itu terdapat kemudahan bilik VIP, bilik rawatan kecemasan, perpustakaan awam serta perkhidmatan wi-fi bagi pengguna internet. Web rasmi masjid boleh dilayari di sini

Sumber : Ust Hj Moghni Asrari, Imam Masjid Wilayah. Terima kasih.

Catatan dari Kg Sungai Yan Kecil, Kedah.

IMG_7153

IMG_7161

IMG_7167

IMG_7148

%d bloggers like this: