Tag Archive: Masjid Tun Ahmadshah Abdullah


“SABARLAH USTAZ”

Saya tiba di Masjid Tun Ahmadshah Kg Inanam Laut sekitar 12.15 tengahari. Nampak saya kereta Tun Ahmadshah sudah tiba. Memang sejak dahulu kebiasaan beliau untuk hadir ke masjid-masjid untuk solat jumaat tiba sekitar waktu itu. Sebenarnya saya tidak menjangka beliau akan jumaat di situ minggu ini.

Hingga pertemuan kali ini, barulah saya menjadi khatib dan imam ketika beliau ada bersama selepas kali terakhir berlaku tepat 3 tahun lalu. Sejurus solat tahiyyatul masjid, saya menyapa beliau yang berada di kanan saya. Beliau nampak kemas, hebat dan tawadhuk dengan jubah dan kopiah putihnya. Beliau selesa duduk di tempat biasanya – di sebelah kiri yang pertama belakang imam.

“Ustaz, di JHEAINS masih di bahagian yang sama?”

“Ya Tun”, jawab saya.

“Sabarlah ustaz”.

“Saya tidak pandai meminta, Tun”, saya merujuk kepada perangai sendiri. Entah apa namanya, mungkin tawadhuk, atau pemalu tidak bertempat. Sejujurnya, saya sepatutnya berpeluang untuk meminta sokongan beliau ketika di Istana Negeri dahulu untuk meminta jawatan itu dan ini tetapi itu tidak saya lakukan. Tidak ramai tahu jawatan saya ‘tidak padan’ dengan kelulusan yang saya ada, tapi saya biarkan saja. Tetapi lebih penting ada cerita yang menjadi kenangan kami berdua yang menyebabkan beliau menenangkan saya.

Tun kemudian bercerita kisah silamnya. “Saya pun dulu begitulah juga ustaz. Dihantar ke sana sini”. Ia barangkali merujuk nasib yang beliau alami ketika zaman pemerintahan PBS yang menguasai Sabah antara tahun 1985-1994. Sebenarnya beliau pernah bercerita kepada saya dahulu pada tahun 2007. Sembang itu terhenti sebentar untuk memberi laluan kepada azan jumaat dan khutbah yang saya sampaikan.

Selesai solat jumaat, cerita kami bersambung.

“Khutbah ustaz bagus. Ustaz mengingatkan tentang kepimpinan”, katanya. Saya menghubungkaitkan kehidupan Rasulullah SAW yang serba sederhana dan dibandingkan dengan kemewahan pemimpin hari ini yang mengambil kesempatan dengan harta rakyat. Saya tujukan kepada sesiapa saja, sama ada ia pemimpin di Malaysia atau pemimpin negara Arab yang kebetulan dalam suasana revolusi saat ini. Barangkali berkait juga dengan kisah silam Tun.

Beliau bercerita lagi tentang zaman kanak-kanaknya yang serba susah, naik satu demi satu tangga sehingga menjadi TYT Sabah. Katanya, rumahnya yang ada kini pernah dikunjungi Tan Sri Chong Kah Kiat untuk memaklumkan perlantikan sebagai TYT Sabah pada akhir november 2002. Kami tiada rumah lain, katanya. Sudah dua bulan keluar dari istana, rumah belum siap berkemas.

“Semalam saya bongkar beg, nampak jubah putih ni. Saya seterika sendiri, sebab mau pakai hari ni”, saya tersengih mendengar.

“Tun kena buat buku”, cadang saya. Rupanya niat itu sudah ada dan kini sudah memulakan proses dengan bantuan seorang pensyarah di UMS. Biografi itu katanya dia hendak tujukan kepada generasi muda yang hidup susah, bahawa untuk berjaya perlukan kepada usaha dan tawakkal kepada Allah SWT.

“Ustaz, nanti minta salinan khutbah tadi, saya mahu simpan”, mengakhiri sembang kami lebih setengah jam itu.

Selesai saya merakam foto ini, Tun bertanya : Ustaz, sejak bila pandai ambil gambar? Saya kata, sudah lama. Sebenarnya saya tidak menampakkan kecenderungan menggambar ketika bertugas di istana.

Jujurnya, seminggu dua kebelakangan saya asyik teringatkan beliau. Justeru beberapa bulan dan minggu sebelum ini saya sering berhubungan dengan kawan-kawan di Istana Negeri bertanya ura-ura pengganti TYT. Khabar dan gosip ketika itu terlalu banyak berterbangan sehinggalah Datuk Juhar Mahiruddin diumum sebagai TYT ke-10 menggantikan Tun Ahmadshah Abdullah menjelang 1 Januari lalu.

Tempoh setahun empat bulan berkhidmat bersama Tun Ahmadshah (Nov 2006-Feb 2008) sebagai pegawai agama istana tidak terlalu lama tetapi banyak memberi ilmu dan pengalaman berguna buat saya sendiri. Saya mengenali sedikit sebanyak keperibadian beliau yang peramah, merendah diri dan sering mengetepikan protokol khususnya dalam beliau merapati rakyat dan masyarakat kampung.

Di dalam blog ini saya pernah menceritakan betapa tidak senangnya beliau disediakan sejadah yang terlalu besar ketika menyertai solat jumaat, sehingga orang di kiri atau kanannya tidak mahu merapatkan saf di dekatnya. Peristiwa itu berlaku di Masjid Daerah Sandakan dan menjadi pengalaman berguna buat kami yang menyaksikannya.

Ketika menyertai solat tarawih di Masjid Kampung Bangka-Bangka Likas dan Surau Kampung Kobuni yang kecil, ramai terkejut dan tercengang melihat beliau hanya duduk bersila di lantai untuk moreh bersama-sama penduduk kampung, padahal beliau juga berasal dari kampung seperti mereka. Masyarakat bawahan sering dihadapkan bahawa orang-orang besar seperti mesti makan bermeja, bersudu, bergarfu dan seumpamanya serta terikat dengan protokol ciptaan manusia.

Pernah suatu Ramadhan, selepas Jumaat ramai kawan-kawan menghubungi saya kerana terserempak Tun Ahmadshah berjalan-jalan membeli kurma di ruang legar Wisma MUIS di tengah kesesakan orang ramai. Saya ketawa, dan mengejutkan lamunan dan hairan mereka bahawa Tun Ahmadshah itu adalah seorang manusia, bukan malaikat.

Di dalam istana sendiri, Tun Ahmadshah sedia ditemui sekiranya pegawai ada masalah dan persoalan untuk diajukan kepada beliau. Bahkan saya pada awal perkhidmatan di sana, saya diberi peluang bertemu di bilik mengadap dan meluahkan perasaan saya hampir sejam lamanya berdua bersama beliau. Saya akui beliau seorang pendengar yang baik dan memberi peluang  untuk saya melaksanakan cadangan sebagaimana yang saya pinta.

Bahkan ada ketikanya beliau sendiri yang datang ke bilik pegawai untuk berbincang dan bercerita, bukan kita yang mengadap beliau dan saya pernah mengalami peristiwa itu dalam suatu Ramadhan. Kata petugas di istana, antara bahan bacaan yang sering menjadi bacaan beliau ialah al-Quran, tafsir pimpinan ar-Rahman, ada juga kelihatan buku barzanji. Mereka mengetahuinya kerana buku-buku sedemikian berada di atas meja ruang tamu dan bukan tersimpan kemas di almari.

Pengalaman berharga ialah dalam tempoh mengiringi beliau dalam solat-solat Jumaat di merata tempat. Beliau memberi ruang dan kebebasan kepada saya untuk menulis khutbah sendiri, dan itu jelas memberi pengajaran berguna apabila saya menulis sekitar 50 teks khutbah sendiri pelbagai tajuk untuk disampaikan mengikut suasana setempat.

Oleh yang demikian, jika berada di kawasan bandar saya akan mengetengahkan isu yang lebih besar dan global, manakala jika di kampung-kampung, tajuk-tajuk ringan tetapi penting akan disampai seperti berkenaan perkahwinan, kekeluargaan, perpaduan dan seumpamanya. Beliau selalu menceritakan keinginannya untuk solat di masjid kampung-kampung bertemu rakyat jelata serta menyampaikan sumbangan peribadinya.

Kepada saya pernah dibisikkannya agar mencari masjid yang uzur dan bermasalah agar boleh dilawati dan dibantu. Bersama beliau juga kami pernah menyertai solat jumaat di sekolah-sekolah dan IPT yang tidak dilakukan sebelum ini seperti di Politeknik Sepanggar, UiTM Kota Kinabalu, SMK Kolombong, MRSM Kinarut dan SMKA Agama Inanam (kini dinamakan SMKA Tun Ahmadshah yang mula dicadangkan sejak awal 2008 selepas kunjungan jumaatnya).

Memang kadang-kadang dalam berkhutbah saya agak keras dan tegas tetapi beliau tidak pernah mengomen atau menegur khutbah saya. Tapi yang sibuk ialah orang di luar yang resah dan risau dengan sesetengah khutbah saya yang dianggap berani menegur. Saya pernah meluahkan kepada beliau tentang kebimbangan orang di luar berkenaan khutbah saya itu. Komennya kepada saya mudah, memang khutbah ini untuk menegur orang, katanya.

Jumaat 31 Disember di kampungnya sendiri, Masjid Jamek Tun Ahmadshah Kampung Inanam Laut dipenuhi jamaah. Hadir sama Pengarah JHEAINS Datuk Haji Amri Suratman, Timbalannya Haji Rumaling Epit dan Ketua Pendakwa Syarie Ustaz Sakaria Samela. Masjid ini baru dirasmikan olehnya sendiri pada 22 Oktober lalu. Masjid ini juga menjadi kenangan manis saya kerana ketika ia baru siap dan digunakan, saya menjadi khatib yang pertama merasmikannya.

Saya sebenarnya sudah merancang untuk berkata sesuatu sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kepadanya. Namun semuanya tidak menjadi dan lidah saya menjadi kelu. Saya memegang erat tangannya dua kali dan bergambar berdua kenangan. Malangnya kamera yang merakam bukan milik saya, tetapi seorang jurufoto bernama Adam dan sehingga kini saya masih menanti foto itu dikirim kepada saya.

Kepada Tun Ahmadshah Abdullah, saya mengucapkan terima kasih atas kebaikan yang dicurahkan dan insya Allah saya akan mengingati kebaikan beliau dan kenangan manis sepanjang perkhidmatan bersamanya. Selamat bersara dan semoga Allah SWT merahmati hidup Tun.

Khatib : Ustaz Haji Imran Anggun al-Hafiz

Tempat : Masjid Jamek Tun Ahmadshah Kampung Inanam Laut

Perubahan hari ke minggu, minggu ke bulan, bulan ke tahun memberi suatu petanda yang sangat besar dalam kehidupan manusia iaitu bahawa kehidupan di dunia yang berstatus sementara, menghampiri kematian yang pasti ditempuhi oleh semua makhluk yang hidup.

Mengetahui tempoh kehidupan yang amat singkat, justeru sebagai hamba Allah yang beriman dengan adanya kematian dan kebangkitan semula pada hari  kiamat  hendaklah melakukan persiapan dengan menyediakan amal kebaikan sebagai bekalan bertemu dengan Allah SWT. Kesempatan lima masa  hendaklah direbut sebaik-baiknya sebelum bertemu lima perkara.

Muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum fakir, lapang sebelum sempit, dan hidup sebelum mati.

Foto ini (di atas) ihsan facebook Hasan Ibrahim

Program sehari suntuk ini adalah anjuran Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) bersama penduduk kampung Inanam Laut di Masjid Jamek Tun Ahmadshah kampung berkenaan. Penceramah asal ialah Ustaz Zulfauzi Ag Besar dari Bahagian Dakwah JHEAINS, dan saya diminta mengganti tempat beliau yang berhalangan kerana bertembung program dakwah yang lain.

Oleh kerana program ini berkaitan dengan kekeluargaan Islam, dan tajuk yang saya pilih sendiri ini dibawa kerana ingin membawa contoh kehidupan Rasulullah SAW bersama ahli-ahli keluarga baginda seperti isteri, anak-anak, cucu-cucu bahkan kepada pembantu baginda sendiri.

Kalau kita memerhatikan sikap dan kelakuan Rasulullah SAW melalui bacaan dalam hadith dan sirah, nescaya kita akan dapati kehidupan baginda yang sangat sederhana dan berhati mulia kepada keluarganya. Baginda menolong isterinya dalam kerja-kerja rumahtangga, bergurau senda, mandi bersama bahkan ada riwayat nabi berlumba lari bersama Aisyah RA.

Nabi SAW mengingatkan kita akan hadithnya bahawa orang beriman yang paling sempurna imannya ialah mereka yang berlaku baik kepada ahli keluarganya sendiri, dan Nabi SAW sudah memberikan contoh terbaiknya dalam kehidupan berkeluarganya. Terima kasih atas kesempatan yang diberikan bersama kira-kira 70 penduduk kampung yang tekun sehingga ke akhir.

Lokasi : Masjid Tun Ahmadshah, Kg Inanam Laut.

Masa yang sentiasa berjalan sepatutnya menjadi kesempatan buat manusia dan umat Islam untuk memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat supaya mempraktikkan Islam dalam kehidupan mereka. Menjadikan Islam sebagai rujukan dan mengatur langkah untuk memperbanyakkan lagi umat Islam yang mampu menterjemah kalimah syahadah dalam bentuk praktikal.

Antara perkara yang sepatutnya menjadi iktibar kita di dalam peristiwa hijrah ialah kesungguhan Nabi SAW dan para sahabat untuk mendirikan masjid sebagai pusat pemerintahan, gerakan dan semua aktiviti umat Islam sebaik sahaja baginda tiba di Madinah.

Nabi SAW juga mempersaudarakan umat Islam atas nama aqidah Islamiyyah (bukan dengan bangsa) yang mengukuhkan kasih sayang umat Islam sesama mereka dan mampu memimpin orang bukan Islam. Dengan persaudaraan inilah umat Islam mampu memerintah dengan adil meskipun dengan jumlah yang sedikit.

Di Madinah, Nabi SAW mengadakan Piagam Madinah yang menjadi perlembagaan negara Islam Madinah. Antaranya meletakkan sumber hukum yang tertinggi ialah Allah SWT, dan mana-mana peraturan yang menyalahi al-Quran adalah terbatal dan salah.

 

%d bloggers like this: