Tag Archive: Masjid Negeri


IMG_1827

Bersebelahan dengan tempat letak kereta Hospital Queen Elizabeth, di jalan bypass selepas terowong terdapat sebuah perkampungan lereng bukit bernama Kg Kopungit.

Setahu saya majoriti penduduk kampung ini bukan beragama Islam khususnya kristian pelbagai mazhab. Statistik rasmi saya tidak miliki, tetapi saya pernah diberitahu bahawa penduduk Islam adalah minoriti.

Di kampung ini, terdapat beberapa gereja dan sebuah surau. Sangat mendukacitakan bahawa surau yang letaknya di lereng bukit benar-benar berhadapan bulatan QEH selalu lengang daripada kunjungan orang.

Ketika bertugas di Istana Negeri satu masa dulu, saya pernah menjemput wakil penduduk Islam di sana untuk hadir dalam program usrah istana, tujuannya untuk memujuk dan mengambil hati mereka agar mengimarahkan kembali surau mereka, tetapi tidak berhasil.

Ketika dua jiran mereka iaitu Masjid Negeri di sebelah kiri dan Surau Taman Austral di arah kanan bergerak aktif dengan pelbagai program, mereka kekal dengan keadaan kosong itu.

Bukan tidak pernah diikhtiarkan.

Beberapa sahabat pernah hadir ke surau khususnya malam jumaat beberapa kali, membaca yasin menggunakan corong pembesar suara yang dihalakan keluar, dengan harapan ada jamaah yang turun, tetapi nampaknya tiada yang berminat.

Rakan-rakan tidak pernah jemu.

Ahad lalu, rakan-rakan Unit Amal Putatan, Nisa dan Surau Austral dengan kekuatan 20 orang memujuk lagi. Kali ini dengan memberikan bantuan khususnya mencantikkan semula surau mereka dengan mengecat dan alas karpet yang baru.

Semuanya hasil sumbangan ramai pihak yang bermurah hati demi melihat agar Islam di kampung ini tidak terbiar dan merudum begitu sahaja.

Insya Allah, minggu ini mereka dijangka menyampaikan sumbangan barang dapur pula kepada 15 keluarga di sana. Mereka yang ingin terlibat sama sebagai penyumbang boleh menghubungi Ust Azman Mustafa 013-8572089.

Ada gambar-gambar menarik di sini.

PERISTIWA SUBUH

Sebuah lagi kisah saudara kita tentang punca dan asbab beliau memeluk Islam. Orang yang dimaksudkan bernama Mohammad Zawawi Lo Abdullah, 22 tahun.

Ketika saya berumur 18 tahun iaitu semasa berada di tingkatan 5, saya bersekolah di SMK Putatan dan tinggal di asrama. Rata-ratanya adalah pelajar beragama Islam di sana.

Tiap-tiap hari sebelum azan subuh berkumandang, saya bangun dan membuat persiapan diri untuk ke sekolah. Keadaan di asrama agak sunyi sepi masa itu.

Apabila waktu azan subuh bermula, saya begitu tertarik melihat pelajar-pelajar muslim bergegas ke surau untuk menunaikan solat subuh. Ketika itu saya berada di dewan belajar.

Selain itu, saya tertarik cara orang muslim bersembahyang yang begitu teratur dan bersih. Setiap langkah mereka lakukan mempunyai langkah yang teratur dan cantik.

Apabila mereka selesai menunaikan solat subuh, ada rakan saya datang ke dewan belajar dan terus membuat ulangkaji pelajaran. Saya melihat keadaannya begitu tenang dan relaks membuat ulangkaji pelajarannya, saya begitu tertarik.

Pada masa itu, saya pun berniat di dalam hati : “Bilalah saya boleh jadi seperti mereka yang tenang ini?”

Akhirnya pada 9 Februari 2006, saya diislamkan di Masjid Negeri Sabah.

Alhamdulillah, nikmat hidayah diberi oleh Allah. Saya betul-betul bersyukur dan bertekad ingin menjadi muslim yang beriman dan soleh di jalan Allah SWT.

Saya mengaku bahawa tiada Tuhan selain Allah, Nabi Muhamma adalah pesuruh Allah.

Kejadian subuh banyak manfaat untuk diri saya dan selamanya. Setelah masuk Islam, saya banyak mempelajari agama Islam dan keadaan saya begitu tenang dan yakin berbanding sebelumnya. 🙂

Saya mengucapkan tahniah kepada sahabat-sahabat Zawawi yang telah memberi contoh sebagai muslim yang baik sehingga Zawawi tergerak memeluk Islam. Syukur alhamdulillah yang memberikan hidayah kepadanya.

KOPIAH PUTIH

dato1Sepatutnya, kisah yang saya catatkan ini tidak lagi berlaku pada zaman begini. Ia sepatutnya bukan isu atau sesuatu yang perlu dibawa ke tengah perbincangan. Tetapi inilah namanya kedangkalan.

Beberapa sahabat saya ditegur oleh beberapa pegawai kanan, hanya kerana semata-mata memakai kopiah putih ketika waktu bekerja. Apabila cerita berkenaan sampai ke telinga saya, saya mengucap panjang.

Menutup kepala bagi perempuan adalah satu kewajiban kerana kepala termasuk aurat. Sementara menutup kepala bagi lelaki adalah satu sunnah yang baik, kerana ia adalah amalan dan anjuran Nabi SAW.

Masih ramai wanita Islam belum menutup aurat, sementara lelaki tidak ramai yang menutup kepala sama ada dengan kopiah atau songkok. Jadi, apa masalahnya?

Masalahnya ialah sepatutnya tumpuan diberikan kepada orang yang belum menutup aurat, atau membetulkan staf wanita yang belum sempurna penutupan auratnya, begitu juga galakan kepada lelaki agar menutup kepala. Bukannya sibuk menyiasat kenapa pakai kopiah putih.

Saya telah membuktikan ketika belajar di Maahad Tahfiz, bertugas di Masjid Negeri, di Maahad Tahfiz, di Istana Negeri dan kini di BPI tidak ada sebarang masalah pun dengan memakai kopiah. Tidak pernah pun ditegur apa-apa. Tak taulah kalau ada yang sinis dan berbulu dengan kopiah putih itu.

Di Istana Negeri dahulu, hanya acara rasmi saja saya memakai songkok hitam, terutama melibatkan acara di bilik kunjungan dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran. 

Manakala acara lain melibatkan TYT, atau ketika di pejabat saya konsisten memakai kopiah putih, dan TYT Tun tidak pernah sekali pun bising atau mempertikaikan kopiah itu. Bahkan SU Sulit beliau pun pakai kopiah yang sama. Apa mau kecoh. Sebab itu saya kata ia bukan isu.

5Kita fahamlah ini zaman kebangkitan PR khususnya Parti Islam yang sinonim dengan kopiah putih itu. Sebenarnya, tak ada masalah dengan kopiah putih dengan songkok hitam.

Tetapi apalah salahnya dengan kopiah putih dan PAS itu, PAS bukan ajaran sesat, bukannya pertubuhan yang haram, ia pertubuhan yang sah dan berdaftar di dalam negara demokrasi ini.

Bahkan ia adalah parti yang memperjuangkan Islam di dalam negara ini. Teringat seloroh seorang sahabat, juga pegawai kerajaan apabila dia selalu dijolok sebagai orang PAS, dia pun menjawab : “Saya tak mau fail. Saya mau PAS!”

munajat_perdanaSebenarnya, jika dilarang pun memakai kopiah putih, itu hanyalah sekadar menyedapkan mata mereka yang membenci dan fobiakan PAS sahaja.

Sahabat saya yang ditegur itu, longlai dan langsung memakai songkok hitam. Tetapi memakai songkok hitam tidaklah dapat mengubah minda seseorang PAS untuk tidak PAS lagi. Sebab ramai juga orang PAS pakai songkok hitam. Yang tidak pakai pun ada.

Jangan pula nanti sesudah sibuk dengan soal jawab hal kopiah putih, sibuk pula dengan lambang bulan.

Bayar gaji ikut bulan, bukan ikut dacing. Mau puasa tengok bulan, bukan tengok dacing. Mau raya, tengok bulan, bukan tengok dacing. Perempuan yang baligh datang bulan, bukan datang dacing.

Bini kita mengandung pun orang tanya : “Berapa bulan?” Entahlah kalau ada yang tanya : “Berapa dacing?”

%d bloggers like this: