Tag Archive: Masjid Kg Tg Dumpil


Khatib : Ustaz Dr Haji Nor Azamuddin Umar

Lokasi : Masjid al-Hilal Kg Tanjung Dumpil Putatan

Firman Allah SWT bermaksud : “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu). Dan mereka Yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Mu’minun 1-11)

Marilah kita membuat muhasabah, adakah kita yang hadir di dalam solat fardhu jumaat ini berjaya menunaikan solat fardhu dengan cukup lima waktu sehari semalam? Adakah kita dapat menunaikannya secara berjamaah? Ada di kalangan kita yang hanya menunaikan solat jumaat setiap minggu sahaja. Ada kalangan orang yang keluar pejabat jam 11.30 pagi tetapi balik ke rumah dan tidak pergi ke masjid menunaikan fardhu jumaat.

Ambillah teladan kisah Nabi Isa AS melalui firman Allah SWT bermaksud : “Kemudian baliklah ia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya mereka pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya! “Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!” Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): “Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?”

Ia menjawab : “Sesungguhnya aku ini hamba Allah; ia telah memberikan kepadaku kitab (Injil), dan ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.” (Maryam :  27-32)

Perhatikanlah akibat mereka yang mengabaikan solatnya, dengan menghayati firman Allah SWT : “”Apa yang memasukkan kamu ke (neraka) saqar?” Maka para penghuni Saqar itu menjawab : “Mereka menjawab: “kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat, dan kami tidak (pula) memberi makan orang miskin, dan adalah kami membicarakan yang bathil bersama dengan orang-orang yang membicarakannya, dan adalah kami mendustakan hari pembalasan, hingga datang kepada kami kematian”. Maka tidak berguna lagi bagi mereka syafa’at dari orang-orang yang memberikan syafa’at”. (al-Muddathir : 41-48)

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid al-Hilal, Kg Tanjung Dumpil Putatan

Firman Allah SWT bermaksud : Maha Suci Allah yang menguasai pemerintahan dunia dan akhirat dan memanglah Ia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah diantara kamu yang lebih baik amalannya, dan Ia Maha Berkuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi mereka yang bertaubat) (al-Mulk 1-2).

Allah SWT tidak menjadikan manusia dengan membiarkan mereka begitu sahaja tetapi mengutuskan para nabi dan raul dengan membawa ajaran Islam supaya manusia hidup dengan betul, melakukan perkara yang memberi manfaat kepada mereka di dunia dan akhirat. Mengapa hari ini, kita berapa di dunia yang penuh dengan bencana, sedangkan manusia berada pada tahap paling mewah dan kaya?

Begitu sombong dan angkuhnya manusia, sedangkan di sana sini masih ramai yang miskin, kebuluran, kesakitan, tiada wang membiayai kos perubatan, tiada harta menyara keluarga dan pendidikan anak-anak. Pada masa yang sama, berlakunya keruntuhan akhlak, maksiat dan kemungkaran, jenayah yang membahayakan, serta keganasan yang menjadikan manusia lebih jahat daripada binatang buas.

Marilah kita membuat muhasabah diri dan melihat punca. Puncanya ialah apabila manusia meninggalkan ajaran Allah SWT, manusia yang merosakkan iman, islam dan ihsan. Perkara yang berkait dengan keyakinan dan ketaatan kepada segala perintah Allah, Islam yang mengatur kehidupan manusia dan akhlak serta hubungan baik dengan Allah SWT serta seluruh kehidupan di dunia ini.

%d bloggers like this: