Tag Archive: Masjid Kg Tg Aru Kota Kinabalu


Tarikh : 5 Mei 2015

Lokasi : Masjid al-Kauthar Kg Tg Aru Kota Kinabalu

Masjid yang baru sahaja siap setelah bangunan lama dirobohkan untuk memberi laluan pembinaan masjid yang baharu ditapak yang sama. Pembinaan masjid yang baharu ini pula terlewat daripada jadual yang ditetapkan. Namun Alhamdulillah kini sudah siap dan boleh dimanfaatkan oleh jamaah. Semoga masjid ini terus makmur.

20150505_162802 20150505_162809 20150505_162847 20150505_163010 20150505_163022 20150505_163648 20150505_163708 20150505_163811 20150505_163827 20150505_163847 20150505_164027 20150505_164205

Khatib : Ustaz Hisham Yayah

Lokasi : Masjid al-Kauthar Kg Tanjung Aru Lama, Kota Kinabalu.

Segala amalan kita di dunia ini akan dibentangkan di akhirat, tidak terkecuali walaupun ianya sekecil zarah. Pada ketika itu kita akan melihat segala amalan semasa hidup ini dalam suratan amal, ada yang berpahala, ada juga yang berdosa. Mereka yang berdosa itu akan merasa takut dengan keadaan sedemikian.

Dan Kitab-kitab Amal dibentangkan, maka engkau akan melihat orang yang berdosa itu merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau besar, melainkan semua dihitungnya! Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu ada tertulis di dalamnya. dan ingatlah Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.

Namun persoalannya pada hari ini ada daripada kalangan kita yang kaya di dunia tetapi miskin di akhirat dengan kata lain mereka ini banyak melakukan amalan kebaikan dan kebajikan semasa di dunia tetapi ketika di akhirat mereka ini dikira sebagai golongan miskin ataupun muflis.. Kenapa jadi sebegini?

Jawapannya ialah kerana semasa hidup di dunia, mereka melakukan kebaikan dan kebajikan serta dalam masa yang sama mereka juga melakukan kejahatan dan dosa sesama manusia. Segala ganjaran pahala kebaikan di ambil oleh Allah SWT bagi membayar segala hutang kejahatan semasa hidup di dunia ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

Siapa yang muflis? Manusia yang muflis itu bukanlah mereka yang tidak berharta dan tempat tinggal.”Sesungguhnya orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak menunaikan hak-hak orang lain seperti mencaci dan merampas harta tanpa hak, memukul tanpa sebab dan sebagainya”. (Riwayat Muslim).

Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun hartabenda”. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang dengan membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi semasa di dunia mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati.

Lalu pada hari kiamat, orang yang di zalimi akan menerima pahala amal si penzalim. Jika pahala amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Alllah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan dia ke dalam neraka. ” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadith ini, dapat kita fahami bahawa golongan yang menjadi muflis di akhirat adalah berasal daripada mereka yang memiliki pahala yang banyak. Bagaimanapun, semua pahala ibadah mereka itu habis kerana digunakan sebagai bayaran ganti rugi kepada insan yang pernah disakiti, dikianati, dihina, dibunuh atau dizalimi. Bahkan mereka juga akan dibebankan dengan dosa orang yang dizalimi. Alangkah ruginya golongan muflis ini.

Ganjaran pahala yang dikumpulkan dengan mengerjakan bermacam kebaikan dan ibadah, akhirnya menjadi barang tukaran kerana denda yang perlu dibayar dengan sebab kesalahan terhadap orang lain. Kuat beribadah dan memiliki pahala yang banyak tidak menjamin terpeliharanya seseorang itu daripada azab Allah SWT jika pada masa yang sama masih lagi melakukan penganiayaan, penindasan dan kezaliman kepada insan lain.

Dalam pergaulan hidup sehari-hari sudah tentu berlaku kesilapan sama ada disengajakan atau tidak. Kesilapan itu boleh mengundang dosa terutama jika ia menyentuh pelanggaran hak yang berkaitan dengan tubuh, maruah diri dan harta benda orang lain.  Apabila kesalahan berkaitan dengan manusia, maka wajib bagi kita meminta maaf dan mengembalikan haknya.

Jika kita tidak sempat memohon kemaafan semasa hidup di dunia ini maka dosa-dosa itu akan dibayar dengan pahala-pahala di akhirat. Kerana itulah  pahala kita ini akan berkurangan sehingga kita miskin di akhirat nanti. Jika kita miskin di dunia masih ada lagi orang yang bersimpati dan dapat membantu kita. Tetapi bagaimana pula hal keadaan kita apabila miskin di akhirat? Siapakah yang akan bersimpati, siapakah yang akan menolong kita dan siapakah pula yang akan menyelamatkan kita dari azab seksaan neraka Allah SWT?

Khatib : Ustaz Awang Juri Awang Tahir

Lokasi : Masjid al-Kauthar Kg Tanjung Aru Lama, Kota Kinabalu

 

Disyariatkan ibadah zakat bertujuan untuk mendidik diri kita supaya bersifat pemurah dan prihatin terhadap kesusahan insan lain. Allah SWT. juga memfardhukan ibadah zakat kepada hamba-Nya adalah untuk menyucikan harta dan dosa-dosa orang yang kaya dan memenuhi keperluan sara hidup bagi yang miskin. Bahkan amalan berzakat itu sebenarnya dapat mengukuhkan tali silaturrahim sesama manusia. Orang-orang fakir dan miskin akan mendoakan kebaikan kepada orang kaya yang pemurah. Ini akan menghilangkan perasaan benci, cemburu, marah si miskin kepada si kaya.

Manusia yang bersikap bakhil dan mementingkan diri sendiri, Allah SWT memberi ingatan dan ancaman kepada mereka sepertimana firman-Nya yang cukup keras di dalam surah Al-Haaqqah ayat 30 – 34 :

“(Lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka): “Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia, kemudian masukkanlah dia ke dalam neraka jahim; kemudian, belitlah dia dengan rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah yang maha besar dan dia juga tidak menggalakkan (dirinya dan orang lain) memberi makan (yang berhak diterima oIeh) orang miskin”.

Dalam sebuah hadith yang lain daripada Abu Hurairah r.a. berkata: bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Tidak ada yang mempunyai simpanan harta yang tidak menunaikan zakatnya kecuali dipanaskan atasnya di neraka jahanam, lalu dijadikan kepingan-kepingan logam, lalu diseterika dengannya kedua rusuk dan keningnya, sehingga Allah SWT. memutuskan di antara hamba-hamba-Nya pada satu hari yang ukurannya lima puluh ribu tahun”. (Riwayat Muslim)

Khatib : Ustaz Mohd Hisyam Yayah

Lokasi : Masjid al-Kauthar Kg Tg Aru Lama

Bulan Syaaban adalah masa untuk kita mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk kita menghadapi bulan Ramadhan yang merupakan medan ibadah bagi umat Islam. Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Keutamaan bulan Syaaban di atas semua bulan itu, seperti keutamaan aku di atas semua Nabi dan keutamaan bulan Ramadhan itu di atas semua bulan ibarat keutamaan Allah SWT di atas semua hamba-Nya”.

Bulan Syaaban adalah bulan Rasulullah dan bagi kita sebagai umatnya berbagai ganjaran yang disediakan untuk setiap amalan bagi persediaan menghadap bulan Ramadhan. As-Syeikh Othman Ahmad Syeikh al- Khaubawi di dalam kitab Duratun Nasihin  menceritakan tentang amalan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik :

Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan laut dari sinar di bawah Arasy, lalu menciptakan satu Malaikat yang mempunyai dua sayap, satu sayapnya di timur dan sayapnya yang lain di barat, sedang kepalanya di bawah Arasy dan kedua kakinya di bawah lapis bumi ke tujuh. Apabila seseorang hambanya membaca selawat untukku di bulan Syaaban maka Allah SWT menyuruh Malaikat itu, supaya menyelam di air. Malaikat itupun menyelam, kemudian keluar dari dalam air serta mengibas-ngibaskan kedua sayapnya, sehingga bertitisanlah air dari bulu-bulu yang sangat banyak sekali. Maka Allah SWT menciptakan dari tiap-tiap titis air itu, satu Malaikat yang memohonkan ampunan bagi orang yang membaca selawat, sampai hari Kiamat.”

Banyak hadith yang menceritakan tentang kelebihan bulan Syabaan ini antaranya ialah sebagaimana hadith yang diriwayatkan Imam al-Bukhari RA melalui Aisyah RAH bermaksud:“ Maka tidaklah aku melihat baginda SAW berpuasa selama sebulan melainkan pada bulan Ramadhan, dan tidaklah aku melihat baginda SAW memperbanyakkan puasa melainkan pada bulan Syaaban. ” (Riwayat al-Bukhari)

Antara amalan yang amat digalakkan dilakukan dalam bulan ini ialah ibadah puasa. Amalan ini bolehlah dianggap sebagai satu amalan yang agak sukar kerana ia benar-benar menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang. Bagaimanapun, inilah antara amalan yang banyak ganjarannya jika dilakukan dalam bulan ini. Ini bertepatan dengan sabda Rasullullah SAW apabila ditanya apakah bulan selepas Ramadhan yang terafdhal berpuasa”. Nabi SAW menjawab bermaksud, “Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadhan” . Nabi SAW ditanya lagi, “Sedekah apakah yang terafdhal?”. Nabi SAW menjawab, “Sedekah dibulan Ramadhan.”(Riwayat at-Tirmizi)

Pada bulan Syaaban juga terdapat satu malam yang sangat dinanti-nantikan oleh umat Islam iaitu malam nisfu syaaban. Ini adalah kerana pada malam tersebut Allah SWT telah memberikan kelebihan kepada hamba-hambanya dan memberi keampunan kepada mereka kecuali yang syirik kepada-Nya. Sabda Rasulullah SAW menerusi hadithnya yang diriwayatkan oleh Ibn Majah RA daripada Abu Hurairah RA :

Bermaksud: Allah SWT melihat kepada makhluk-makhlukNya pada malam nisfu syaaban lalu mengampuni makhluk-makhlukNya kecuali orang yang musyrik dan orang yang bermusuhan.”(Riwayat Ibn Majah)

Khatib : Ustaz Jasimin Mohd Rashid

Lokasi : Masjid al-Kauthar Kg Tanjung Aru Kota Kinabalu

Dalam menghadapi kehidupan yang serba mewah dan canggih ini, ramai manusia tidak mampu membezakan garis pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Bagi mereka yang tidak mendapat nur hidayah petunjuk, mereka mengganggap kebenaran itu bagaikan ranjau-ranjau yang berduri, sebaliknya mereka merasakan bahawa kesesatan atau kekeliruan bagaikan taman indah yang dipenuhi dengan bunga yang berwarna warni.

Alangkah sesatnya mereka ini, ruginya kehidupan mereka kerana telah dipengaruhi oleh musuh Allah SWT iaitu Syaitan laknatullah. Ingatlah bahawa dalam sejarah kewujudan dunia, didapati Syaitan atau Iblis merupakan makhluk pertama yang berada dalam kesesatan dan kemungkaran serta berjanji untuk menyesatkan seluruh umat manusia di muka bumi ini.

Menurut Ulama, syaitan adalah golongan kafir daripada Jin. Bapa mereka ialah Iblis. Syaitan adalah musuh utama manusia dan syaitanlah yang mengeluarkan Adam dan Hawa daripada Syurga. Syaitan sentiasa berusaha supaya manusia tidak dapat memasuki syurga dan menjauhkan diri daripada jalan ke arahnya. Walaupun demikian sifat syaitan, namun  masih ada manusia yang menurutnya dan meninggalkan syariat Allah SWT dan petunjuk para Nabi dengan menerima pujuk rayu Syaitan.

Antara amalan syaitan ialah melakukan kezaliman dan pengkhianatan kepada umat manusia, Syaitan melakukan tipu daya supaya manusia berbuat kejahatan dan mengajak ke arah keburukan dan kekejian. Manusia yang zalim iaitu yang berhati kejam, mereka tidak merasa takut kepada Allah SWT dan perbuatan mereka melanggar hukum-hukum Allah. Syaitan akan meninggalkan dan membiarkan manusia pada saat genting apabila manusia telah terjebak mengikut telunjuk Syaitan.

Manusia yang berhati Syaitan atau saudara Syaitan adalah mereka yang mengikut hawa nafsunya dan menjadi pengikut jalan para perosak. Mereka ini tidak mendapat petunjuk dari Allah SWT sedikit pun. Di dalam hatinya terdapat sifat-sifat tercela seperti tamak, hasad dengki, iri hati, zalim, melakukan kemaksiatan malah mendorong ke arah kederhakaan kepada Allah SWT. Sayidina Ali RA berkata :

Yang paling aku takutkan menimpa kamu adalah panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu. Panjang angan-angan dapat melupakan kehidupan akhirat, sedangkan mengikuti hawa nafsu dapat menghalang-halangi kebenaran.

Mimbar ingin menegaskan bahawa mereka yang dikuasai oleh Syaitan, sebenarnya kebatilan  telah menguasai hati mereka dan menyangka bahawa Syaitan adalah teman karibnya sehingga menjadi pengikut Syaitan, maka ingatlah bahawa musuh Allah SWT ini sentiasa mengintai-intai sasarannya dan menunggu mangsanya untuk dijerumuskan ke dalam jurang yang dalam.

Khatib : Ustaz Musa Abbas

Lokasi : Masjid al-Kauthar Kg Tanjung Aru

Nabi SAW menyebutkan tentang lima golongan manusia berkaitan dengan kesungguhan dan kecintaan kepada ilmu. Satu golongan yang rugi dan binasa, manakala 4 golongan yang beruntung dalam hidupnya dan penjelasan kelebihan orang berilmu yakni para guru, orang yang  belajar (pelajar), orang yang mendengar (pendengar) dan orang yang mencintai orang alim, orang yang belajar dan mendengar. Dari Abu Bakrah RA dari Nabi SAW sabdanya yang bermaksud :

“Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu/guru) atau orang yang menuntut ilmu (belajar/pelajar) atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama ataupun orang yang mencintai (tiga golongan tersebut) dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa”. (HR Al-Bazzar).

Hadith ini menganjurkan supaya umat Islam berada dalam lingkungan 4 golongan dan tidak menjadi golongan binasa yang disebutkan oleh Nabi SAW, iaitu :

1. Menjadikan diri kita orang alim yang boleh mengajar.
2. Menjadikan diri kita orang yang sentiasa belajar.
3. Menjadikan diri kita orang yang suka mendengar syarahan/ceramah agama atau kelas-kelas agama.
4. Menjadikan diri kita orang yang suka/mencintai dan menghargai 4 golongan yang tersebut dengan mengikut jejak langkah mereka.

Amaran Nabi SAW jangan sekali-kali termasuk dalam golongan kelima, iaitu golongan yang binasa. Imam Al-Mawardi menyatakan : Bahawa orang yang menganggap ilmu Syarak itu tidak ada faedahnya dipelajari dan lebih baik ditinggalkan, sebenarnya orang itu tenggelam dalam kesesatan dan jauh dari mendapat hidayah petunjuk serta dia termasuk dalam golongan yang kelima, golongan orang yang binasa.

Contohilah Nabi SAW dan jadikanlah Nabi SAW sebagai model pendidik yang terbaik. Sebenarnya untuk menjadi seorang guru, ustaz/ustazah atau seorang pendidik yang hebat, terbaik dan terbilang hanya Nabi SAW contoh teladan yang unggul. Antara ramai anak remaja di zaman Nabi SAW yang pernah mendapat didikan dan asuhan daripada Nabi SAW ialah Abdullah bin Abbas RA.

Beliau menceritakan pada satu hari aku bersama-sama Nabi SAW, baginda menyeru ku dengan menggunakan bahasa yang amat menarik, iaitu ‘wahai ghulam’ yang bermaksud ‘wahai anak’, supaya pemikiran tertumpu sepenuhnya kepada nasihat yang akan diberikan oleh baginda Nabi SAW. Gaya bahasa yang lunak dan halus ini menjadi daya tarikan kepada pelajar supaya pemikiran anak murid atau pelajar tertumpu sepenuhnya kepada nasihat atau ilmu yang akan disampaikan oleh guru yang mengajar. Malah Nabi SAW juga suka mengulang perkataan sehingga tiga kali supaya mudah difahami dan mudah diingati oleh para sahabat yang mendengar.

Demikianlah Islam memberikan panduan kepada umat Islam khususnya ibubapa, guru, pendidik dan para ustaz/ustazah agar mendidik anak bangsa kita dengan mengadunkan ilmu aqidah, Syariah dan akhlak mulia demi mencari dan merebut sebanyak-banyak pahala, keberkatan dan keredhaan di sisi Allah SWT dalam hidup ini.

Khatib : Ustaz Mohd Hailmi Misbah

Lokasi : Masjid al-Kauthar, Kg Tanjung Aru Kota Kinabalu

Firman Allah : “…Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya daripada sekalian makhluk.” (S. Ali-Imraan: 97).

Pemfarduan   ibadah haji bukan semata-mata untuk menyempurnakan Rukun Islam yang kelima, tetapi pelaksanaannya juga merakamkan rasa syukur kepada Allah SWT atas nikmat harta, kesihatan, kelapangan, ketenangan dan sebagainya yang dikurniakan-Nya. Maka, dalam memenuhi tuntutan serta kewajipan ini, kini berjuta-juta umat Islam sedang berhimpun di Kota Suci Mekah. Mereka datang dari pelbagai pelusuk dunia  menterjemahkan keyakinan dan perpaduan bertunjangkan Al-Quran dan As-Sunnah. Matlamatnya adalah untuk memperolehi  curahan rahmat, keampunan dan keredaan Allah SWT supaya selamat sejahtera di dunia dan di akhirat.

Sementara itu, kita yang berada di tanah air atau dalam erti kata tidak berada di tanah suci menunaikan fardu haji, tidak harus membiarkan hari-hari bermanfaat di bulan Zulhijjah ini berlalu begitu sahaja.  Ini kerana terdapat beberapa amalan yang besar fadilatnya untuk kita kerjakan. Selain daripada meraikan Aidiladha atau perayaan penyembelihan korban, kita juga sangat dianjurkan supaya berpuasa dalam sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah. Amalan ini berdasarkan kepada hadis bersumber daripada Jabir ra, katanya Rasulullah SAW ada bersabda, yang bermaksud:  “Barang siapa yang berpuasa dalam sepuluh hari bulan Zulhijjah, Allah menulis untuknya bagi setiap puasa yang dilakukan ganjaran puasa setahun.”

Sehubungan itu, umat Islam dianjurkan berpuasa pada sembilan hari pertama dalam bulan Zulhijjah, terutama pada Hari Arafah.  Ini kerana ganjaran berpuasa pada hari  para jemaah haji berwukuf di padang Arafah ialah keampunan dosa setahun lalu dan setahun akan datang  sepertimana hadis dari Abu Qatadah, bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai puasa hari Arafah. Jawab Baginda : “Pengampunan dosa bagi tahun lalu dan tahun akan datang.” (HR Muslim).

%d bloggers like this: