Tag Archive: Masjid Kg Sipanggil


ALLAH LEBIH GEMBIRA..

Nabi SAW bercerita..

Ada seseorang yang baru kembali ke rumahnya. Setiba di rumah, dia melihat rumahnya roboh dan hancur sama sekali. Ia tidak dapat lagi masuk ke dalam rumahnya.

Justeru, ia berehat di sisi kenderaan yang di dalamnya ada bekalan makanan dan minuman. Lelaki itu tertidur.

Tidak lama ia tersedar. Malangnya, kenderaannya, makanan dan minumannya hilang entah ke mana. Ia melilau mencari ke sana ke mari. Tidak bertemu.

Letih mencari, ia kembali ke tempat mula-mula tadi. Lelaki berkenaan berehat dan tertidur lagi.

Tersedar daripada lenanya, tidak semena-mena ia mendapati kenderaan, makanan dan minumannya ada di sisi. Lelaki berkenaan ternyata sangat gembira. Terlalu gembira sekali.

Demikian kisah yang baginda SAW sampaikan.

Nabi SAW membuat tamsilan, apabila seorang hambanya bertaubat dan kembali kepadaNya, Allah SWT lebih gembira berbanding kisah lelaki yang bertemu kembali barangnya yang hilang.

Sedangkan hakikatnya, Allah SWT tidak ada kerugian sedikitpun dengan kufur dan jahatnya manusia. Tetapi Dia merasa sangat gembira dengan taubat hambaNya.

Kisah ini ada dimuatkan dalam hadith sahih al-Bukhari.

Sedutan kuliah maghrib, isnin malam selasa di Masjid as-Sobirin, Kg Sipanggil Putatan. Kitab Mukhtasor Ibnu Abi Jamrah, menghuraikan 294 hadith sahih al-Bukhari.

Selepas ceramah di LHDN sebelah pagi, sebelah tengahari saya naik mimbar pula di Masjid as-Sobirin, Kg Sipanggil Putatan. Alhamdulillah, saya memetik khutbah dalam http://ekhutbah.wordpress.com/ bertajuk ISLAM DIPERKASA, UMAT TERBELA dengan sedikit ubahsuai menurut keadaan masyarakat.

Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, firman Allah dalam ayat 45 dan 46 surah al-Anfal :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَاثْبُتُوا وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).

Dan taatlah kamu kepada Allah dan rasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantah. Jika tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan. Dan sabarlah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar”

Kekuatan umat Islam berpaksikan kekuatan aqidah, pengamalan terhadap segala kewajipan syarak, pelaksanaan terhadap seluruh sistem Islam dalam kehidupan dan juga kesatuan pemikiran dan gerak kerja dalam memperjuang serta mempertahankan Islam disamping rapatnya ikatan ukhwah tali persaudaraan antara umat Islam.

Umat Islam mesti bersatu umpama susunan batu bata yang tersusun rapi yang mampu menjadikan suatu binaan itu kukuh dan teguh.

Perpecahan di kalangan umat Islam akibat daripada segolongan taat mengikut kehendak wahyu Allah dan sebahagian lagi lebih seronok menjadi hamba nafsu telah membuka peluang kepada musuh Islam dalam melakukan keganasan dan kezaliman terhadap umat Islam.

Penyakit terlalu cintakan kehidupan dunia sehingga mengabaikan persiapan hidup akhirat ditambah lagi dengan perasaan takut untuk mati turut melahirkan umat Islam yang lebih suka berbicara tentang kemewahan dunia dan hiburan melalaikan. 

Umat Islam tidak lagi berfikir bagaimana cara untuk mewujudkan suatu masyarakat yang tunduk patuh kepada seluruh ajaran Islam bermula daripada keluarga sehingga dalam pemerintahan negara dan bagaimana cara untuk menyelamatkan mangsa korban keganasan kuffar durjana yang tidak berhati perut.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 42 :

لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَاتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنْ بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ ۚ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنْفُسَهُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ

“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka.

Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: “Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu”. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu)”.

Perjuangan dalam memperjuang dan mempertahankan kesucian Islam bukanlah melalui jalan yang mudah, kemenangan yang senang tetapi ia memerlukan pengorbanan yang tinggi serta melalui pelbagai ujian, cabaran, halangan dari segenap sudut.

Malangnya di negara kita yang dianugerahkan nikmat keamanan dan kemudahan namun terlalu ramai umat Islam yang meninggalkan solat apatah lagi datang berduyun-duyun ke masjid atau surau untuk berjemaah dalam merapatkan lagi tali perhubungan antara hamba dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia.

Sedangkan ramai saudara seagama di beberapa buah negara yang lain terpaksa berdepan dengan peluru dan bom kuffar semata-mata mahu pergi ke masjid.

Antara kekejaman yang terbaru ialah apa yang telah berlaku di Masjid al-Furqan, Kampung Air Tempayan, Narathiwat, Thailand di mana 12 jemaah ditembak mati ketika imam baca al-Fatihah pada rakaat kedua solat Isyak malam Isnin 8 Jun yang baru lalu manakala 11 lagi cedera parah.

Cara pembunuhan kejam itu dilaksanakan menunjukkan kumpulan tersebut adalah profesional dan terlatih. Sejak peristiwa pembunuhan di Masjid Kerisek dan Tak Bai tahun 2004, sudah 3500 umat Islam mati dibunuh, iaitu purata hampir dua orang setiap hari sehingga hari ini.

Sudah sampai waktunya negara umat Islam untuk menubuhkan sebuah pasukan pertahanan Islam dikalangan negara OIC untuk mempertahankan dan membela umat Islam dimana sahaja mereka berada, sebagaimana yang dilakukan oleh Khalifah-Khalifah Islam dalam era pemerintahan Khilafah Islamiyah.

Negara-negara Islam, khususnya OIC mesti segera menubuhkan Dana Pembangunan Selatan Thai untuk membantu menggiatkan pembangunan insan dan kebendaan di kawasan tersebut sesuai dengan kekayaan yang dimiliki oleh kebanyakan negara umat Islam.

Jangan biarkan saudara seagama meraung kesakitan sedangkan kita hanyut dalam hiburan. Jangan biarkan saudara seagama mati bergelimpangan sedangkan kita hanya menjadi penonton yang tiada perasaan belas kasihan. Bukan tergolong dalam golongan beriman, mereka yang tidak menghiraukan penderitaan saudara seagama yang lain.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, firman Allah dalam ayat 149 surah Ali Imran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تُطِيعُوا الَّذِينَ كَفَرُوا يَرُدُّوكُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ فَتَنْقَلِبُوا خَاسِرِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu mengikuti orang-orang kafir nescaya mereka akan mengembalikan kamu ke belakang (kekufuran) lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi”.

Kuffar durjana juga menggunakan serangan pemikiran dalam memesongkan aqidah dan cara hidup umat Islam agar mereka terus dapat menjajah dan menjahanamkan umat Islam.

Oleh itu kita mendesak kerajaan agar memperkasakan lagi pendidikan Islam di semua peringkat. Sedang kita asyik bercakap tentang kepentingan bahasa Inggeris, agama diabaikan sehingga lahirnya lebih ramai umat Islam yang tidak kenal apa itu Islam malah yang lebih parah bila benci terhadap agama mereka sendiri.

Kita bimbang dengan cadangan untuk mengurangkan mata pelajaran teras peringkat SPM di mana yang bakal menjadi mangsa ialah pendidikan Islam.

Umat Islam mesti diberi kesedaran sejak dari kecil terutama di sekolah dan pusat pengajian tinggi tentang cara hidup Islam kerana agama bukan untuk dunia sahaja malah untuk menambah bekalan akhirat. Jika ilmu dunia dikira penting dan diberi kursus dari masa ke semasa apatah lagi ilmu agama.

Betapa malangnya apabila ilmu agama semakin sedikit dipelajari apabila semakin tinggi tahap pengajian terutama di bidang yang bukan berkaitan pengajian Islam sedangkan ilmu agama begitu banyak dan luas yang tiada batas penamatnya.

Sikap memandang rendah terhadap kepentingan ilmu agama kerana merasakan ia tidak mendatangkan pendapatan lumayan menyebabkan umat Islam semakin jauh daripada agama.

Akhirnya cara hidup dan berfikir umat Islam seperti orang kafir hanya berkisar tentang dunia tanpa mempedulikan lagi tentang hari akhirat yang merupakan tempat kembalinya kita.

Rasuah dan pecah amanah menjadi budaya sehingga banyak bangunan baru runtuh termasuk stadium. Zina, arak dan dadah menjadi amalan sehingga rosaknya keturunan dan meningkatnya jenayah. Manusia menjadi binatang bahkan lebih teruk.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, firman Allah dalam surah Al ‘Imran ayat 19:

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَنْ يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

“Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya”.

Kepentingan ilmu agama juga untuk menepis ajaran sesat termasuk Islam Liberal yang dapat dikatakan bahawa pokok pemikirannya merujuk kepada 5 perkara. 

[1] Sekularisasi dan sekularisme di mana persoalan agama, ketaatan dan kemaksiatan, dianggap sebagai hak individu, hak asasi mereka. Sekiranya mereka tidak melaksanakan tuntutan agama atau melakukan pelanggaran hukum hakam agama, maka orang lain tidak berhak menegur dan menasihatinya.

[2] Plurisme Agama; menganggap semua agama adalah sama, benar, sahih yang menuju kepada tuhan yang sama. Golongan ini menghalalkan murtad dengan meletakkan agama Islam setaraf dan sama dengan lain-lain agama sedangkan Nabi saw pernah bersabda :

الإِسْلاَمُ يَعْلُوْ وَ لاَ يُعْلَى عَلَيْهِ. رواه البيهقي

“Agama Islam itu tinggi dan tiada ada yang lebih tinggi daripadanya”

[3] Al-Qur’an edisi Kritis; di mana di Indonesia, ada pihak-pihak mempertikaikan mushaf al-Quran ‘Uthmani dengan dakwaan sesat bahawa al-Quran yang ada pada tangan kita sekarang tidak serupa dengan zaman nabi Muhamamd s.a.w. Ditambah pula terdapat juga pihak-pihak yang menolak hadith.

[4] Hermeneutika; di mana terpengaruh dengan metod orientalis dengan mengguna kaedah mentafsirkan Bible kepada al-Quran. Sedangkan dalam disiplin pengajian tafsir, telah terdapat kaedah di mana seseorang yang ingin menafsirkan Quran perlu terlebih dahulu mempunyai syarat-syarat kelayakan.

Tindakan ini menyebabkan di Indonesia wujudnya puak menghalalkan hubungan sesama jenis homoseks, lesbian dengan alasan meraikan kehendak naluri dilahirkan suka sesama jenis.

[5] Feminisme di mana menuntut persamaan hak antara lelaki dan perempuan. Perbezaan hukum di antara jantina dianggap sebagai tidak adil.

Timbulnya desakan supaya poligami tidak sah, perkahwinan berbeza agama sah termasuk antara muslimah dan bukan Islam, masa ‘iddah tidak hanya untuk wanita sahaja, isteri boleh menjatuhkan talak, bahagian pesaka anak lelaki dan perempuan adalah sama.

Oleh itu kita wajib menghapuskan Islam Liberal termasuk mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan seperti Sisters In Islam yang terlibat dengan ajaran sesat Islam Liberal. Cegah sebelum parah, sekat sebelum merebak.

%d bloggers like this: