Tag Archive: Masjid Kg Sembulan Lama


Antara lokasi kuliah yang saya gemari. Masjid Kg Sembulan Lama mempunyai jamaah yang ramai, tidak kurang 100 orang yang solat berjamaah maghrib, dan kuliah dihadiri semakin ramai khususnya apabila menjelang jam 7 ke atas. Kuliah di sini menggunakan kitab Indahnya Hidup Bersyariat buah tangan Ybhg Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus.

Masjid Kg Sembulan (1) Masjid Kg Sembulan (2) Masjid Kg Sembulan (3) Masjid Kg Sembulan (4) Masjid Kg Sembulan (6)

SUMBANGAN BERAS

Tarikh : 12 Oktober 2014

Lokasi : Perkarangan Masjid Kg Sembulan Lama

Saya mengambil tanggungjawab menyampaikan amanah sahabat-sahabat yang menitipkan sejumlah kampit beras untuk disampaikan kepada golongan memerlukan di sekitar Kg Sembulan Lama. Semoga sedikit sumbangan ini turut meringankan beban mereka dan semoga juga para penyumbang diberikan ganjaran daripada Allah SWT.

Masjid Sembulan (1) Masjid Sembulan (2) Masjid Sembulan (3)

FOTO KULIAH MAGHRIB

Masjid Sembulan Masjid MuhibbahSurau Austral

Minggu-minggu awal kuliah maghrib selepas musim raya.

Kehadiran jamaah yang menyertai kuliah maghrib di Masjid Kg Sembulan Lama agak konsisten dalam sekitar 70-100 orang dan melonjak menjelang isyak lebih 100 orang. Sementara kehadiran di Masjid Kg Muhibbah tidak menentu, kadang-kadang hanya sekitar 20 orang, kadang-kadang melonjak sehingga 70-80 orang atau lebih.

Di Surau Taman Austral Kepayan tidak ramai seperti tempat lain. Kehadiran jika ada 20 orang sudah cukup ramai kerana mereka duduk berhalaqah mengaji al-Quran sementelahan saiz surau yang tidak begitu besar. Saya sangat mengharapkan dan selalu bercerita di masjid dan surau agar setiap selepas hari raya ada ahli jamaah baru, supaya peminat masjid dan surau sentiasa bertambah dari masa ke masa.

 

Tarikh : 8 Disember 2012 (Sabtu)

Masa : 8 pagi – 3 petang

Lokasi : Masjid Kg Sembulan Lama, Kota Kinabalu.

Peserta : 25 orang (8-16 tahun)

Mudim : 6 orang

Penganjur : Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA) Sabah & Masjid Kg Sembulan Lama

Khatan1 khatan2 khatan3 khatan4 khatan5 khatan6 khatan7

Ruqyah @ Masjid Sembulan

Ketika menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Kampung Sembulan Lama setiap ahad malam isnin, suatu ketika saya pernah menceritakan kepada jamaah tentang konsep dakwah dan pembahagiannya. Bahawa dakwah itu bukan sekadar berceramah semata-mata, tetapi ada dakwah secara lisan, dakwah dengan penulisan dan dakwah dengan aktiviti.

Sementelahan masjid pula menjadi pusat perkembangan dakwah dan kesatuan umat, saya mencadangkan aktiviti masjid diperkembangkan daripada sekadar lokasi solat berjamaah, kuliah dan ceramah sahaja, bahkan juga apa sahaja aktiviti yang baik merangkumi keperluan lelaki dan perempuan, tidak kira kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Antara keperluan dakwah hari ini ialah berkenaan rawatan pengubatan secara Islam, khususnya setelah melihat ramainya umat Islam – walaupun dia ahli masjid dan surau sekalipun, yang masih tergamak mendatangi bomoh dan pawang. Masalah ini hendaknya dirawat secara bijak oleh juru dakwah dengan menyediakan khidmat seumpama ini pada masa tertentu. Seringkali saya catatkan, berubat dengan dukun dan seumpamanya sangat berkait dengan  aqidah, syariat dan akhlak.

Maka sejak 3-4 bulan kebelakangan, di Masjid Kg Sembulan Lama ini diadakan rawatan secara bulanan, ahad malam isnin, selepas solat isyak, iaitu ahad terakhir setiap bulan. Setakat ini, memang akan ada yang memerlukan khidmat ini walaupun sekadar 4-5 orang sahaja. Insya Allah, selagi ada kudrat dan kemampuan, kerja dakwah seumpama ini akan diteruskan. Rawatan ini akan diketuai oleh Sdr Hamid Ismail, yang juga anak tempatan kampung ini.

Kepada masyarakat berhampiran yang memerlukan khidmat ini, dipersilakan hadir iaitu ahad terakhir setiap bulan, selepas solat isyak.

Insya Allah, kuliah akan kembali selepas cuti hari raya bermula 3 September 2012 (Isnin) menurut jadual yang telah tercatat di atas.

8 Ramadhan : Isyak & tarawih di Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang Kota Kinabalu.

9 Ramadhan : Isyak & Tarawih di Surau al-Falah Taman St Paul Semporna.

10 Ramadhan : Isyak dan Tarawih di Masjid al-Hilal Kg Tanjung Dumpil Putatan.

11 Ramadhan : Isyak dan Tarawih di Masjid as-Salam Kg Contoh Petagas.

12 Ramadhan : Isyak dan Tarawih di Masjid Kg Sembulan Lama, Kota Kinabalu.

13 Ramadhan : Isyak dan Tarawih di Surau Taman Sri Gaya Kota Kinabalu.

14 Ramadhan : Isyak dan Tarawih di Masjid Jamek Kg Ulu Putatan.

Beberapa bulan lepas ada wakil dari Masjid Sembulan bertemu dan memujuk agar saya turut berkuliah di masjid mereka. Saya senyapkan saja kerana berharap kawan-kawan yang lebih hampir tinggal di kawasan sana dapat mengisi ruang kosong berkenaan. Namun sesudah beberapa bulan, nampaknya ia terbiar kosong dan saya pula sudah mempunyai sedikit kelapangan pada waktu maghrib.

Sebelum ini jumaat malam sabtu yang lama kosong saya gantikan dengan kuliah di Surau Maahad Tahfiz al-Quran, di Kepayan. Barangkali lebih setahun kosong setelah sebelum itu saya berkuliah di Surau Taman Olivia, juga di Kepayan. Kini ahad malam isnin sudah terisi semula dengan bermulanya kuliah maghrib di Masjid Kg Sembulan Lama pada ahad lepas. Mungkin hampir 2 tahun bercuti kuliah ahad malam isnin kerana dahulunya waktu itu terisi dengan kuliah di Surau Taman Limauan Kinarut dengan kuliah tafsir.

Kini tinggal sabtu malam ahad yang masih kosong walaupun sebenarnya ada wakil-wakil masjid yang meminta saya mengisi kuliah di tempat mereka. Ada yang sudah saya tolak kerana memikirkan jarak yang jauh dan di tempat berkenaan ada sahabat-sahabat yang lebih hampir. Ada pula yang saya masih minta waktu untuk berfikir kerana beberapa sebab lain.

Masjid Kg Sembulan Lama, memang menyimpan banyak sejarah penting buat perkembangan Islam di Sabah. Saya dimaklumkan masjid ini wujud sejak tahun 1958 lagi dan mengalami proses pembaikan dan pemulihan beberapa kali di tapak yang sama yang ada sekarang. Sejak Sabah merdeka pada 1963 ia diiktiraf sebagai Masjid Negeri. Kata orang pada 60an dan 70an hanya ada 3 masjid di sekitar Kota Kinabalu iaitu di Tanjung Aru, Sembulan dan Likas, sebelum kewujudan Masjid Negeri Sabah yang ada sekarang.

Ketika Masjid Sembulan berfungsi sebagai Masjid Negeri, khabarnya ramai para alim ulama’ dan perwakilan asing dari Asia Tenggara dan Timur Tengah datang solat di sini. Saya dimaklumkan oleh orang-orang tua di sini bahawa Pak HAMKA pernah ke masjid ini. Begitu juga Pak-Pak Arab Kedutaan Asing yang menunaikan solat jumaat di sini. Fungsinya sebagai Masjid Negeri terhenti apabila bangunan Masjid Negeri Sabah yang ada sekarang mula digunakan sekitar tahun 1976.

Justeru, saya berbesar hati untuk mengisi satu kuliah di sini, ahad malam isnin, sekali lagi dengan menggunakan buku Indahnya Hidup Bersyariat tulisan Ustaz Ismail Kamus.  Harapnya jamaah masjid akan membeli dan mendapatkan buku ini demi kebaikan bersama. Saya menyertai siri kuliah di sini yang terlebih dahului diterokai oleh Ustaz Haji Mohd Mursal Muchtar dan Ustaz Mohd Jumat Abdul Razak. Insya Allah, mulai minggu hadapan, kami akan bersama-sama mengupas buku ini.

Semua dijemput hadir terutama di Surau Maritim, Surau al-Baari Taman Ketiau dan Masjid Kampung Sembulan Lama.

%d bloggers like this: