Tag Archive: Masjid Kg Peringatan Petagas


Masjid Kg Peringatan Petagas (1)

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid Kg Peringatan Petagas

Sabda Nabi SAW bermaksud : “Berlaku pada akhir zaman, ahli ibadah yang jahil dan ulamak yang fasik.” HR Ibnu Adiy.

Nabi SAW menerangkan pada akhir zaman akan ada dua golongan ini. Ada orang fasik yang rajin beribadah, dan ada orang alim yang fasik. Sebenarnya syaitan telah berusaha sedapat mungkin untuk menyesatkan manusia.

Oleh itu, ia menggunakan pelbagai cara kepada orang yang berlainan pula. Bagi si jahil, syaitan boleh saja menyuruhnya supaya rajin beribadah kerana ibadah seorang yang jahil tidak sah di sisi agama. Syaitan tidak mahu si jahil mengaji kerana apabila ia mengaji ia akan memperbaiki ibadahnya lalu ibadah tersebut diterima di sisi Allah SWT.

Begitu pula halnya si alim yang sudah banyak ilmunya. Syaitan akan menggodanya agar bermalas-malas beribadah dengan bermacam alasan sehingga si alim meninggalkan kefardhuannya. Akhirnya, ilmunya tidak berfaedah bahkan menjadi musuh kepadanya pada hari kiamat.

Masjid Kg Peringatan Petagas

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid Kg Peringatan Petagas

Kehidupan manusia yang bersifat sementara ini dihiasi dengan ujian hidup berupa kesenangan, kesusahan, suka dan duka. Kesenangan hidup, kekayaan dan seumpamanya bukanlah lambang ketenangan hidup yang hakiki. Ketenangan yang sebenar ialah apabila manusia melengkapi dua perkara : Pertama keimanan kepada Allah, dan kedua hati yang sentiasa mengingati Allah SWT.

Di dalam al-Quran dan hadith-hadith Nabi SAW telah menganjurkan beberapa bentuk zikir, secara umumnya terbahagi kepada empat. Pertama al-Quran, kedua zikir atau doa yang tiada ketetapan masa tertentu, ketiga, zikir yang ada masa dan tempat tertentu, dan keempat solawat keatas Rasulullah SAW.

Pertama, al-Quran adalah sehebat-hebat mukijzat. Rasulullah SAW telah menyebut di dalam banyak hadith akan kelebihan orang yang membaca dan beramal dengannya secara istiqomah. Umat Islam hendaklah menjadualkan diri dengan tilawah setiap hari.

Kedua, ada bentuk zikir atau doa yang boleh dibaca dan diamalkan pada bila-bila masa. Contohnya tasbih, tahmid, tahlil dan takbir yang boleh diwiridkan sepanjang masa tidak kira siang atau malam. Ketiga, ada zikir yang bersifat mempunyai masa dan tempat tertentu seperti doa bangun dan hendak tidur, doa masuk dan keluar tandas, doa masuk dan keluar masjid dan banyak lagi.

Keempat, ialah solawat keatas Rasulullah SAW yang mempunyai kelebihannya tersendiri serta diberi ganjaran yang besar. Solawat juga adalah antara jalan kita sebagai umat baginda SAW untuk mendapatkan syafaatnya pada hari kiamat.

Masjid Kg Peringatan

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid Nurul Islam, Kg Peringatan Petagas

Suasana Syawal tahun ini turut mencatatkan peristiwa berdarah yang menyayat hati di mana penerusan kekejaman kerajaan Syria yang terus membunuh rakyat yang tidak berdosa sehingga yang terbaru menggunakan senjata kimia yang mengorbankan lebih 1200 orang rakyat.

Kita juga mengutuk tindakan tidak bertamadun kerajaan haram  Mesir yang membunuh ribuan serta mencederakan puluhan ribu rakyatnya sendiri yang tidak bersenjata termasuk wanita dan kanak-kanak sehingga ada yang dibakar dalam masa 2 hari sahaja. Masjid dan hospital turut menjadi sasaran untuk ditembak dan dibakar.

Sebelum ini kita bercakap tentang kekejaman zionis Yahudi dalam menyembelih, membedil dan mengebom umat Islam tetapi kini orang yang mengaku manusia tetapi berhati binatang menghalakan senjata kepada saudara seagama.

Jika pada bulan Syawal tahun 5H nabi Muhammad s.a.w bersama tentera Islam terpaksa berdepan tentera Ahzab atau bersekutu Kuffar tetapi pada ini ada Negara umat Islam sendiri bersekongkol dengan zionis yahudi Israel, Amerika Syarikat seperti Arab Saudi, Kuwait dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang menjanjikan AS12 billion dolar kepada tentera yang menggulingkan kerajaan sah di Mesir.

Adakah kita boleh menghalalkan darah saudara seagama untuk dibunuh sesuka hati sedangkan mereka bangkit bukan sebagai pemberontak sebagaimana didakwa oleh musuh Islam sebaliknya untuk menuntut hak mereka yang dirampas. 

Apa yang berlaku di bumi Mesir dan sekitar tanah Arab mengingatkan kita tentang perancangan licik zionis yahudi dalam membina Israel Raya sebagaimana dicita-citakan iaitu memanjang dari Syria hingga ke Iraq dan Mesir berpusat di Palestin di mana rancangan awal ianya berjaya dibentuk pada tahun 1995 yang lalu tetapi masih tersasar hingga hari ini.

Begitu juga peperangan saudara yang diletuskan ini bertujuan untuk kapitalisme mengaut keuntungan daripada jualan senjata. Adakah kita mahu melihat lahirnya Firaun moden yang membunuh sesiapa sahaja yang ingin kembali kepada system Islam. Adakah kita rela melihat lahirnya Haman moden yang menasihat pemimpin termasuk untuk membunuh rakyat sendiri asalkan kekal berkuasa.

Adakah kita sanggup memerhati lahirnya Qarun moden yang sanggup gunakan harta kekayaan untuk memadam kebangkitan Islam. Semoga laungan laungan وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده  yang bermaksud Dan Dia (Allah) yang memulia dengan memberi kemenangan kepada tenteraNya dan mengalahkan tentera bersekutu kuffar (Ahzab) dapat kita laksanakan dalam kehidupan seharian dalam meraih kemenangan daripada Allah dengan sama-sama kembali bersatu atas landasan Islam dan menolak sebarang ideologi dan sistem ciptaan manusia.

Bangkitlah membantu saudara seagama yang ditindas termasuk di bumi Mesir, Syria, Palestin, Ronghiya dan seluruh dunia termasuk melalui harta dan doa. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat. Firman Allah dalam  ayat 153 surah al-An’am:

وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَ‌اطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّ‌قَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya : Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.

Khatib : Encik Safirin

Lokasi : Masjid Nurul Ikhlas Kg Peringatan Petagas

Firman Allah : “Katakanlah, bahawa mati yang kamu lari daripadanya, pasti akan menemui kamu juga, kemudian itu kamu akan dikembalikan kepada Tuhan yang mengetahui perkara ghaib dan nyata, lalu Dia akan khabarkan kepadamu segala apa yang sudah kamu lakukan.” (S. Al-Jumu’ah: 8).

Orang yang meninggal dunia akan berpisah dengan semua harta yang dimiliki dan orang yang dikasihi di dunia. Jasadnya yang terbujur kaku akan dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dihantar ke tanah perkuburan untuk dikebumikan. Dengan itu, berhijrahlah dia ke alam barzakh sebagai tempat perhentian sementara menunggu hari dihisab dan pembalasan hari akhirat.

Mereka yang menyedari akan hakikat tersebut Dan sentiasa mengingati mati pasti sentiasa berhati-hati dalam semua tindak-tanduknya, bersifat rendah hati, ikhlas, beramal kebajikan dan zuhud di jalan Allah SWT. Harta, pangkat kebesaran, percakapan dan perasaan cintakan dunia tidak mempengaruhi sikapnya terhadap manusia lain. Dia sedar dan faham bahawa manusia sebagai makhluk ciptaan Allah akan kembali kepada-Nya dan akan dipertanggungjawabkan ke atas segala amal perbuatannya di dunia. Manusia harus sedar bahawa hanya tingkatan takwa yang membezakan kedudukan manusia di sisi Allah SWT.

Lantas, dia tidak takut jatuh papa dan miskin untuk berinfaq di jalan Allah demi meringankan penderitaan hidup orang lain. Jawatan atau pangkat kebesaran dimanfaatkannya untuk kemasalahatan masyarakat dan ummah, dan bukannya untuk menyusahkan hidup rakyat. Segala kelebihan dan keistimewaan yang dimiliki digunakan sebaik-baiknya untuk mensejahterakan hidup masyarakat.

Mengingati mati juga memberi ketenangan dan menyuburkan keinsafan diri. Ini dijelaskan oleh Rasulullah  dalam sabdanya yang bermaksud: “Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan  kelazatan. Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang dan jika ia diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri.” (HR Al-Bazzar dan Al-Baihaqi)

Dalam pada itu, sebahagian ulama berpendapat bahawa sesiapa yang banyak mengingati mati maka dia akan mengutamakan tiga perkara. Tiga perkara yang dimaksudkan itu ialah menyegerakan taubat dan tidak mengulangi perbuatan mungkar, hatinya berasa tenang apabila menghadapi sebarang masalah, dan mudah serta rajin beribadat sepanjang masa.

Khatib : Ustaz Daroni

Lokasi : Masjid Nurul Islam Kg Peringatan Petagas

Rasulullah SAW telah diiktiraf sebagai ketua kepada sekalian para nabi dan rasul sebagaimana maksud sebuah hadith baginda SAW : “Aku adalah ketua bagi seluruh manusia anak keturunan Nabi Adam, ini bukan untuk membangga-banggakan diri”. Ia adalah suatu isyarat dan petanda bahawa Rasulullah SAW adalah yang paling utama daripada semua nabi di dunia dan akhirat.

Di dunia, Baginda SAW telah bersifat dengan akhlak yang luhur dan agung, maka di akhirat bagindalah yang paling afhal kerana balasan pahala mengikut ketinggian akhlak dan sifat yang mulia. Apabila Allah SWT melebihkan Rasulullah SAW di dunia dengan keperibadian dan sifat yang terpuji, maka Allah melebihkannya di akhirat dengan martabat dan darjat yang tinggi. Justeru keunggulan baginda di dalam soal akhlak dan perjuangan terbukti sehingga tercatat sebagai salah seorang Nabi Ulul Azmi sebagaimana firman Allah SWT :

“(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad), maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-Rasul Ulul Azmi (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) daripada kalangan Rasul-Rasul (yang terdahulu daripadamu), dan janganlah engkau meminta disegerakan azab yang dijanjikan untuk mereka (yang menentangmu itu). Sesungguhnya keadaan mereka semasa melihat azab yang dijanjikan kepada mereka, merasai seolah-olah mereka tidak tinggal (di dunia) melainkan sekadar satu saat sahaja daripada siang hari. (Penerangan yang demikian) cukuplah menjadi pelajaran (bagi orang-orang yang mahu insaf). Maka (ingatlah) tidak dibinasakan melainkan kaum yang fasik – derhaka”. (al-Ahqaf : 35).

Khatib : Imam Haji Mohd Noh Chaleh

Lokasi : Masjid Nurul Islam Kg Peringatan Petagas

Islam menganjurkan umatnya agar berkahwin. Nikah atau berkahwin adalah suatu sunnah atau ibadah yang dituntut. Di dalam Islam juga ditentukan syarat, rukun dan hukum perkahwinan. Matlamat Islam daripada perkahwinan ialah melahirkan perasaan kasih sayang secara halal dan melahirkan zuriat yang baik daripada hasil perkahwinan yang menepati hukum syarak.

Firman Allah : Dan daripada tanda-tanda kebesaran Allah SWT ialah Dia menciptakan untuk kamu daripada kalangan kamu  pasangan-pasangan supaya kamu merasa tenang bersamanya, dan Dia jadikan sesama kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan, sesungguhnya dalam perkara itu menjadi tanda-tanda  bagi mereka yang berfikir (Rum : 21)

Antara ajaran Islam dalam perkahwinan ialah menyegerakan perkahwinan (apabila bertemu calon yang baik agamanya), memilih pasangan yang kuat beragama, memilih pasangan yang amanah dan sebagainya. Keberkatan dalam perkahwinan juga dapat dimiliki apabila ia menepati syarak seperti mas kahwin yang ringan dan ibu bapa yang hendak melaksanakan perkahwinan untuk anak-anak sewajarnya menimbang sebaik-baiknya soal keberkatan dalam perkahwinan rumahtangga anak-anak.

Majlis perkahwinan juga hendaklah sederhana belanjanya, tidak bermewah dan membazir, tiada niat untuk menyombongkan diri dan berbangga-bangga. Jemputan hendaklah kepada saudara mara, jiran tetangga, orang-orang soleh dan bertaqwa kerana kita mengharap doa-doa mereka yang baik. Undang juga golongan fakir miskin dan tidak hanya membataskan orang-orang kaya sahaja. Amalan-amalan yang sia-sia juga hendaklah ditinggalkan seperti amalan tepung tawar dan sebagainya.

%d bloggers like this: