Tag Archive: Masjid Kg Pasir Putih Putatan


Masjid Kg Pasir Putih Putatan

Khatib : Ustaz Mohd Ridhuan Othman

Lokasi : Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan

Sesungguhnya umat Islam hingga ke hari ini masih ada yang tidak dapat melepaskan amalan-amalan khurafat yang jelas berlawanan dengan Sunnah dan Syariat Islam seperti meminta ramal, meminta tilik kepada bomoh, dukun, menenung nasib, membuat tangkal azimat dan sebagainya.

Perkara ini telah diingatkan oleh Rasulullah SAW sejak 1,400 tahun yang lalu, sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang datang ke tempat tukang ramal atau tukang tilik, kemudian bertanya tentang sesuatu dan membenarkan apa yang dikatakan (tukang ramal itu), maka solatnya tidak akan diterima, selama 40 hari “. (HR Imam Muslim)

Jangan datang kepada bomoh tukang tenung nasib. Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Sesiapa datang ke tempat tukang tenung nasib, kemudian mempercayai apa yang dikatakan, maka sungguh dia telah kufur terhadap wahyu yang diturunkan kepada Muhammad SAW”. (HR Al-Bazzar)

Jangan membuat tangkal azimat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa mengantungkan (tangkal azimat), maka sungguh dia telah syirik menyekutukan Allah”. (HR Imam Ahmad dan Al-Hakim).

Berdasarkan ayat Al Quran dan Hadith ini, umat Islam hendaklah meninggalkan segala macam amalan khurafat dan amalan-amalan lain yang bertentangan dengan Syariat Islam. Pendek kata, umat Islam mesti memilih Sunnah dan mesti tinggalkan segala amalan khurafat tersebut.

Masjid Kg Pasir Putih Putatan

Khatib : Haji Lamsin Anggali

Lokasi : Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan

Maksud firman Allah SWT : Katakanlah (wahai Muhammad): “Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang Maha Mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)”.

Kematian adalah sesuatu yang sangat pasti bagi seluruh makhluk yang dikurniakan nyawa oleh Allah SWT. Ia  adalah satu topik yang tidak digemari oleh manusia yang cintakan dunia dan bencikan kematian apatah lagi apabila hati terpaut kepada nikmat dunia dan langsung tiada persediaan terhadap akhirat.

Maksud firman Allah SWT : Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Ali Imran : 185)

Justeru sementara Allah SWT memberikan kelapangan kepada kita untuk hidup, lakukanlah kebaikan sebanyak-banyaknya. Jika kita merasakan diri banyak melakukan kesilapan, lakukanlah perubahan dan bertaubat kepada Allah SWT. Jangan berputus asa untuk meminta keampunanNya kerana Allah SWT adalah sebaik-baik pengampun.

Firman Allah SWT : Katakanlah (wahai Muhammad) : “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (az-Zumar : 53)

 

 

 

Masjid Kg Pasir Putih Putatan

Khatib : Ustaz Abdul Rahman Datuk Ahmad

Lokasi : Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan

Kewajipan menunaikan Zakat Fitrah terletak di atas bahu setiap orang Islam yang mempunyai lebihan makanan atau harta daripada keperluan diri dan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya. Ini termasuk juga orang yang masih hidup di kala matahari terbenam di hari akhir dalam bulan Ramadan atau meninggal dunia selepas terbenamnya matahari pada hari akhir dalam bulan Ramadan.

Begitu juga kanak-kanak yang dilahirkan sebelum matahari terbenam pada hari akhir dalam bulan Ramadan dan hidup selepas terbenamnya matahari serta orang yang memeluk agama Islam sebelum terbenam matahari pada hari akhir dalam bulan Ramadan dan berkekalan Islamnya.

Namun begitu, selain Zakat Fitrah terdapat beberapa jenis zakat yang diwajibkan ke atas umat Islam
yang memiliki harta dan kekayaan. Ini termasuklah Zakat emas dan perak, wang simpanan, barangbarang perniagaan, binatang ternakan, pertanian, Zakat pendapatan dan saham, Zakat galian, ’kunuz’ dan ’rikaz’ yang kesemuanya dikategorikan oleh para ulama sebagai Zakat Harta. Dalam hubungan ini, Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda kepada mereka yang menunaikan ibadah tersebut dan memberi amaran keras kepada golongan yang ingkar. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Dan orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah (yakni berzakat), maka khabarkanlah kepada mereka dengan balasan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Pada hari itu, emas dan perak ( harta benda yang mereka miliki ) akan dibakar di dalam api Neraka lalu diselar ke dahi mereka, rusuk mereka dan di belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka), inilah harta benda mu yang kamu himpunkan untuk diri kamu sendiri. Oleh itu, rasakanlah azab-Ku yang amat pedih akibat dari apa yang kamu himpunkan.” (S.At-Taubah: 34-35).

Imam Nawawi rahimahullah berkata: “Sesiapa yang mengingkari kefardhuan zakat pada zaman ini, maka dia telah kafir dengan ijmak para ulama Islam. Pengetahuan tentang kewajipan zakat telah tersebar secara meluas di kalangan umat Islam, sehinggakan ia diketahui oleh orang awam dan khusus, orang alim dan jahil. Oleh itu, tidak ada alasan bagi sesiapapun membuat sebarang pentakwilan untuk mengingkarinya.”

Masjid Kg Pasir Putih Putatan

Khatib : Tuan Haji Matin Datuk Pandin

Lokasi : Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu…” (al-Baqarah : 143)

Islam adalah agama rahmat kepada manusia dan seluruh alam ini. Begitu juga Allah SWT mengutus Nabi Muhammad SAW bukanlah kepada suku kaumnya – Quraisyh – semata-mata, bukan juga kepada bangsa Arab sahaja, malahan baginda menjadi rahmat kepada seluruh alam, meliputi seluruh manusia, tumbuh-tumbuhan, haiwan, jin dan lain-lain makhluk Allah. Bahkan rahmat terutusnya Rasulullah SAW berterusan bukan hanya pada zaman hayat baginda sahaja.

Antara rahmat yang dibawa oleh Rasulullah SAW ialah anjuran bersatu padu dan mentauwhidkan Allah SWT. Perpaduan terjalin melalui dua perkara, pertama kesatuan sesama anggota masyarakat tanpa mengira agama dan kedua kesatuan umat Islam.

Perpaduan juga dilihat dari dua dimensi : perpaduan luaran yang tergambar sebagai kerukunan muafakat, memperteguh suasana sosiopolitik demi kepentingan bersama. Kedua, kesatuan dalaman yang jauh lebih asasi, iaitu kesatuan dalam setiap individu, yang terzahir daripada persefahaman antara pautan kejiwaan dan keruhanian.

Masjid Kg Pasir Putih Putatan

Khatib : Ustaz Abdul Razak Hamdin

Lokasi : Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan

Kelebihan Al Quran kepada umat Islam. Perkara ini disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam beberapa hadithnya, antaranya:

1. Umat yang terbaik dan cemerlang kerana Al Quran. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarkannya”. (HR Bukhari)

2. Darjat umat Islam akan diangkat kerana Al Quran. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dengan Kitab ini (Al Quran) meninggikan darjat kaum-kaum dan menjatuhkan darjat kaum yang lain”. (HR Muslim)

3. Umat Islam tidak akan sesat dan tidak menyesatkan orang lain. Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud: “Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat sama sekali selama kamu berpegang dengan keduanya, iaitu: Kitabullah (Al Quran) dan Sunnah Rasulullah SAW”. (HR Imam Malik dan Muslim)

4. Galakkan belajar dan membaca Al Quran. Rasulullah SAW pernah berpesan kepada seorang sahabatnya bernama Abu Zar RA, sabdanya yang bermaksud: “Hendaklah kamu sentiasa membaca Al Quran kerana ia cahaya petunjuk bagi penduduk bumi dan simpanan untukmu di langit”. (HR Ibnu Hibban)

Lagi Rasulullah SAW memberi nasihat kepada Abu Zar RA, sabdanya yang bermaksud: “Pelajarilah (sekurang-kurangnya) satu ayat dari Kitabullah (Al Quran) setiap pagi”. (HR Ibnu Majah)

5. Beruntung dan berbahagialah ibu bapa yang mengajar anak-anaknya dengan Al Quran. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang mengajar anaknya membaca Al Quran, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu dan akan datang. Sesiapa yang mengajarkan Al Quran dengan hafalan, maka setiap anak yang membaca satu ayat, Allah akan mengangkat satu darjat untuk ibubapanya hingga akhir ayat Al Quran yang dihafalnya”. (HR At-Thabrani)

6. Beza orang yang belajar, membaca dan mengamalkan ajaran Al Quran dengan orang yang belajar, tidak membaca dan tidak beramal dengannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Pelajarilah Al Quran dan bacalah ia, sesungguhnya perumpamaan orang yang mempelajari Al Quran kemudian membaca dan melaksanakan isi di dalamnya, seperti botol minyak wangi yang penuh berisi kasturi dan menyemarakkan keharumannya ke semua arah. Dan perumpamaan orang yang mempelajari Al Quran, kemudian dia tidur lelap, seperti minyak wangi yang tertutup rapat sehingga tidak tercium keharumannya”. (HR At-Tirmizi)

Masjid Kg Pasir Putih Putatan

Khatib : Ustaz Haji Arifin Ali

Lokasi : Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan

Budaya menjadikan Valentine’s Day sebagai perayaan diminati untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan kita sebagai umat Islam. Ada yang mengirimkan kad ucapan dan hadiah, mengumandangkan lagu-lagu cinta dan asmara, membuat upacara tari-menari, mengadakan acara makan malam dengan disinari cahaya lilin, bertukar-tukar perasaan di taman-taman bunga sehingga berkucupan dan akhirnya sanggup menggadaikan kehormatan diri sendiri demi membuktikan kesetiaan kepada teman masing-masing.

Menurut Ken Sweiger, perkataan “Valentine” berasal dari bahasa Latin bermaksud “Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang Maha Kuasa”, digunakan pada zaman Rom Kuno  kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi. Sedar atau tidak, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi “To be my Valentine?”, maka ianya telah melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan akidah umat Islam dan dimurkai Allah SWT kerana ia telah meminta seseorang menjadi “Sang Maha Kuasa” dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali semangat budaya pemujaan berhala.

Berdasarkan kepada pandangan tokoh-tokoh agama telah menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Sambutan Hari Valentine ini adalah bertentangan dengan Syarak. Menurut Panel Kajian Akidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Begitu juga Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Pengharaman dan larangan ini bukanlah kerana ingin menghalang keseronokan yang menjadi trend baru zaman moden tetapi ianya berlandaskan kepada apa yang dinyatakan di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Umat Islam dinasihatkan tidak merayakan hari terserbut kerana ianya bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar serta boleh merosakkan akidah dan akhlak umat Islam.

Janganlah hanya dengan alasan inginkan keseronokan serta mengikut peredaran zaman, kita sanggup membelakangkan al-Quran dan as-Sunnah. Ingatlah, agama Islam tidak sesekali melarang umatnya bercinta kerana cinta adalah fitrah semulajadi manusia, namun mestilah berdasarkan hukum Islam bukannya berteraskan hawa nafsu semata-mata.

1 Ramadhan : Isyak & Tarawih di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral Kepayan. Zuhur (sabtu) di Masjid Negeri Sabah.

2 Ramadhan : Isyak & Tarawih di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral. Zuhur (ahad) di Masjid Negeri Sabah.

3 Ramadhan : Isyak & Tarawih di Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas. Zuhur (isnin) di Masjid Negeri Sabah.

4 Ramadhan : Isyak & Tarawih di Masjid Daerah Putatan. Zuhur (selasa) di Masjid Negeri Sabah.

5 Ramadhan : Isyak & Tarawih di Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan. Zuhur (rabu) di Masjid Negeri Sabah.

6 Ramadhan : Isyak & Tarawih di Masjid Negeri Sabah. Zuhur (khamis) di Masjid Negeri Sabah.

7 Ramadhan : Isyak & Tarawih di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

 

 

 

 

Khatib : Ustaz Abu Nuha

Lokasi : Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan

Firman Allah SWT maksudnya : Dan ditanya kepada orang-orang yang bertaqwa: “Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?” Mereka menjawab: “Kebaikan” orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi; dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertaqwa.

Bertaqwa itu secara mudahnya ialah apa-apa perbuatan, perkataan dan niat yang betul serta baik menurut ajaran Islam, menepati syarat yang dikehendaki oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Dalam masa yang sama meninggalkan dan menjauhkan apa juga larangan Allah dan rasulNya. Justeru para ulama ramai menasihatkan agar kita tidak memandang remeh sesuatu perbuatan atau perkataan yang baik walaupun kelihatan kecil, boleh jadi perkara itu yang menyebabkan Allah ridha dan kita dimasukkan ke dalam syurga.

Pada masa yang sama, jangan sekali-kali kita meremehkan sesuatu perbuatan yang jahat walau kecil sekalipun, bimbang-bimbang perkara itu yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT dan menyebabkan dihumbankan ke dalam api neraka.

Ada suatu kisah benar yang berlaku pada hari kiamat nanti, ada seorang hamba Allah yang sedang berbaris dalam barisan ahli neraka, dan dia melihat seseorang yang soleh yang dikenalinya semasa di dunia sedang berbaris masuk menuju ke syurga, lalu bakal penghuni neraka ini menyapa :

“Hai fulan, apakah kamu masih ingat pada suatu hari, saat aku pernah berbuat suatu kebajikan kepadamu? Aku adalah orang yang pernah memberimu minum seteguk air semasa di dunia. Maka tolonglah aku, tolonglah rekomenkan aku kepada Allah SWT.” Lalu hamba Allah yang soleh ini bermunajat kepada Allah SWT : “Wahai Tuhanku, si fulan dahulu di dunia pernah memberiku seteguk air. Berilah aku kesempatan untuk memberinya syafaat.”

Allah menjawab : “Memang, memang, aku telahpun mengizinkanmu untuk memberikan pertolongan kepadanya. Maka bawalah dia, ajaklah dia. Maka seteguk air di dunia itu dahulu telah menjadikan Allah memberi rahmat kepadanya, mengampunkan dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga.

Justeru, jangan anggap sedekah yang sedikit itu tidak bermakna apa-apa. Walaupun seteguk air, walaupun sebiji kurma. Ia tetap bermakna dan bernilai di sisi Allah SWT. Bahkan ia juga boleh menjadi penyelamat di akhirat nanti.

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda : Ada dua golongan manusia daripada kalangan ahli neraka yang tidak sempat aku melihatnya. Pertamanya ialah orang yang zalim yang melakukan kerja-kerja zalim, bertindak kepada orang ramai seperti ekor lembu yang memukul ke kiri dan ke kanan. Kedua ialah orang perempuan yang memakai pakaian tetapi bertelanjang, menghias kepala mereka seperti bonggolan unta, mereka tidak dapat masuk ke dalam syurga dan tidak dapat mencium bau syurga. Sesungguhnya bau syurga itu dapat dicium dari jarak yang terlalu jauh. (HR Muslim)

Antara perkara yang diwahyu dan diilhamkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW ialah perkara-perkara akhir zaman. Walaupun perkara seumpama itu tidak berlaku pada zaman baginda dan tidak sempat dilihat olehnya, namun ia adalah perkara yang benar-benar akan berlaku. Sebahagiannya berlaku pada zaman kita ini dan sebahagiannya berlaku kemudian hari.

Perkara-perkara yang berlaku itu adalah kemungkaran yang membuka jalan bagi Allah SWT menurunkan azab dunai kepada manusia berbentuk bala bencana sebelum azab seksa sebenar di neraka. Bala bencana itu akan berlaku sekiranya tidak ada orang Islam yang berani menyuruh kepada perkara yang baik dan mencegah kemungkaran. Dua kaum yang disebut oleh Rasulullah SAW ini benar-benar belaku dalam masyarakat kita hari ini.

Yang pertama, wujud mereka yang berkuasa yang melakukan kezaliman dengan sebab meninggalkan hukum hakam Allah SWT, maka mereka melakukan tindakan-tindakan mengikut hawa nafsu mereka seperti lembu yang mengibas-ngibas ekornya dan menggerakkan ekornya tidak henti-henti. Kezaliman kerana mengikut hawa nafsu seolah-olah tiada akal fikiran yang mampu menyekat mereka daripada menghukum manusia yang tidak bersalah, kejam terhadap harta benda manusia, rumah kediaman dan tanaman mereka.

Yang kedua, ialah golongan perempuan yang memakai pakaian yang menjolok mata, tidak menutup aurat, berpakaian dengan ketat sehingga menzahirkan bentuk tubuh badan seperti bertelanjang. Pada hari ini kita dapat melihat kegiatan mendedahkan wanita kepada kemungkaran. membuka aurat dianjurkan secara berleluasa dengan mendapat sokongan daripada pemerintah, atas nama pertunjukan kesenian, kebudayaan dan memperagakan pakaian. Di media, bermula daripada pembaca berita, pengacara program, penyanyi, pelakon sehingga sesetengah pembesar negara yang tumpang sama mendedahkan aurat.

%d bloggers like this: