Tag Archive: Masjid Kg Muhibbah


Masjid Muhibbah

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas Putatan

Sesiapa yang bertaubat daripada maksiat dan memperbaiki amal menggantikan maksiat dengan amalan yang baik maka Allah akan menerima taubatnya, menutup kesalahannya dan mengampuni dosa-dosanya.

Bertaubat kepada Allah adalah dengan cara membaca istighfar, disertai dengan ikrar dalam hati, diiringi dengan penyesalan dan berazam tidak akan melakukan dosa lagi. Istighfar adalah permohonan keampunan atas dosa yang dilakukan dan setiap doa yang mengandungi maksud ini disebut sebagai istighfar.

Nabi SAW menyatakan (bermaksud) : Beruntunglah orang yang menjumpai catatan amalnya nanti banyak istighfar. Dalam riwayat lain : Sesiapa yang ingin digembirakan oleh catatan amalnya, maka hendaklah dia memperbanyakkan istighfar.

Rasulullah SAW sendiri beristighfar antara 70-100 hari dalam sehari semalam. Maka apatah pula kita sebagai hamba Allah yang kerdil dan lemah ini sudah tentu lebih lagi memperbanyakkan amalan tersebut.

Masjid Kg Muhibbah

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid al-Mahabbah, Kg Muhibbah Petagas

Mengapa Saidina Umar RA memilih hijrah sebagai permulaan takwim Islam dan bukannya tarikh lahir atau kewafatan Baginda SAW?

Ini tidak lain dan tidak bukan kerana hijrah merupakan suatu peristiwa yang sangat penting. Hijrah merupakan pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Penghijrahan Rasul SAW menjadi pembeza antara kebenaran dan kebatilan melalui model negara Islam yang pertama yang tertegak di bumi Madinah al-Munawwarah.

Negara Islam yang tertegak berasaskan sumber al-Qur’an dan sunnah Rasulullah SAW yang berpaksikan kepada keadilan dan menjaga kemaslahatan agama, akal, keturunan, jiwa dan harta benda melalui perlaksanaan-pelaksanaan hukum-hakam Islam yang menyeluruh dan bukannya pada hukum-hukum yang tertentu sahaja sepertimana yang berlaku di kebanyakan negara Islam hari ini.

Kalau setakat untuk solat, puasa, zakat dan haji, Nabi SAW tidak perlu berhijrah ke Madinah. Dengan hijrah, Islam dapat ditegakkan secara keseluruhannya,  daripada peraturan berumahtangga sehinggalah kepada peraturan bernegara.

Dengan peristiwa hijrah Nabi SAW dapat menunjukkan kepada kita secara praktikal bagaimana Islam dilaksanakan meliputi segala aspek kehidupan samaada aqidah, ibadat, perkahwinan, kehidupan bersosial, ekonomi, menangani masalah jenayah sehinggalah hukum-hakam berkaitan dengan orang bukan Islam dan hubungan diplomatic dengan negara luar.

Tanpa hijrah tidak akan berlaku peristiwa-peristiwa besar yang lain. Tanpa hijrah tidak akan terbinanya Masjid Nabawi, tidak berlakunya persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar, tidak terbentuknya piagam Madinah yang menjadikan rujukan dalam pembentukan perlembagaan.

Tanpa hijrah tidak akan berlakunya perang Badar, perang Uhud, perang Ahzab. Tanpa hijrah bumi Mekah tidak dimerdekakan dari belenggu penyembahan berhala. Tanpa hijrah tidak akan berlakunya perang Hunain, perang Tabuk.

Hasil daripada hijrah, negara Islam yang diasaskan oleh Rasulullah SAW yang berpusat di Madinah terus diperluaskan empayarnya padazaman Khulafa’ al-Rasyidin oleh empat khalifah Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali RA. Islam berjaya menumpaskan dua kuasa besar dunia Rom dan Parsi. Semua ini adalah hasil dari hijrah yang diperintah Allah SWT.

FOTO KULIAH MAGHRIB

Masjid Sembulan Masjid MuhibbahSurau Austral

Minggu-minggu awal kuliah maghrib selepas musim raya.

Kehadiran jamaah yang menyertai kuliah maghrib di Masjid Kg Sembulan Lama agak konsisten dalam sekitar 70-100 orang dan melonjak menjelang isyak lebih 100 orang. Sementara kehadiran di Masjid Kg Muhibbah tidak menentu, kadang-kadang hanya sekitar 20 orang, kadang-kadang melonjak sehingga 70-80 orang atau lebih.

Di Surau Taman Austral Kepayan tidak ramai seperti tempat lain. Kehadiran jika ada 20 orang sudah cukup ramai kerana mereka duduk berhalaqah mengaji al-Quran sementelahan saiz surau yang tidak begitu besar. Saya sangat mengharapkan dan selalu bercerita di masjid dan surau agar setiap selepas hari raya ada ahli jamaah baru, supaya peminat masjid dan surau sentiasa bertambah dari masa ke masa.

 

IMAM RAHMAN

Abg Rahmat Abd Rahman

Jamaah tetap Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah sangat mengetahui bahawa saya memang selalu lambat datang untuk menyampaikan kuliah maghrib setiap selasa malam rabu menggunakan kitab Indahnya Hidup Bersyariat.

Masjid ini setahu saya tidak punya imam qaryahnya sendiri mahupun imam rawatib lantikan kerajaan. Hanya sesama jamaah mereka ‘menyorong’ sesiapa yang difikirkan layak untuk menjadi imam setiap waktu solat. Jika berbetulan ada ustaz yang punya kuliah, maka dialah yang akan menjadi imam.

Salah seorang sukarelawan imam ialah abang Abd Rahman Abd Rahmat, salah seorang JK di masjid ini. Beliau tinggal di taman ini – taman jumbo – aktif mengatur ceramah dan kuliah. Setahu saya keluarga besarnya berasal dari Sandakan dan menetap di Kota Kinabalu khususnya di Kampung Likas. Keluarga mereka mempunyai restoran ‘Hajah Che Yam’ di tingkat 2 Wisma MUIS, mengambil sempena nama ibu mereka.

Tulisan ini tiada motif apa-apa melainkan menggambarkan kesukaan dan penghargaan saya kepadanya. Beliau secara peribadinya, mempunyai jasa yang tidak sedikit kepada diri saya selama bertugas di Bahagian Penyelidikan & Informasi JHEAINS antara tahun 2008-2011. Jasanya biarlah hanya diketahui oleh kami yang sudah mengetahuinya.

Semoga Allah memberkati hidup beliau sekeluarga.

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas

Firman Allah bermaksud : Wahai orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan kepada orang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa. (Surah al-Baqarah : 183)

Allah SWT memberi peluang dan rezeki kepada umat Islam untuk menikmati sekali lagi penghulu segala bulan, iaitu Ramadhan. Ramadhan yang bakal ditempuhi mestilah dilalui dengan penuh kesungguhan dan ilmu yang mendalam agar kita mengetahui tentang ibadah dan keutamaan-keutamaannya yang ada di dalam bulan Ramadhan.

Umat Islam mesti berlumba-lumba untuk menunaikan semua ibadah wajib dan bersungguh-sungguh mengerjakan yang sunat semata-mata mencari keridhaan Allah SWT. Dengan ilmu umat Islam menunaikan ibadah solat fardhu dan solat sunat, bukannya meninggalkan solat fardhu tetapi mengejar solat sunat tarawih. Dengan ilmu umat Islam bersungguh-sungguh menjaga diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa dan perkara yang membatalkan PAHALA puasa.

Ramadhan yang tiba, bukan sekadar puasa wajib sahaja lalu umat Islam meninggalkan ibadah lain yang tetap dituntut seperti solat fardhu dan sunat, zakat dan sedekah, tilawah al-Quran dan kata-kata yang baik dan seumpamanya. Anggaplah ini kesempatan Ramadhan terakhir, semoga kita bersungguh-sungguh melaluinya dan akhirnya berjaya mendapat ijazah yang bernama taqwa kepada Allah SWT.

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas

Matlamat yang penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj ini adalah pengajaran yang besar apabila Rasulullah s.a.w. dijemput oleh Allah SWT menjadi tetamu-Nya pada malam yang sangat bersejarah itu.  Berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj adalah untuk menyatakan Rasulullah s.a.w. adalah benar seorang rasul yang dipilih oleh Allah SWT, membawa satu agama dan pengajaran yang bernama Islam.

Pada malam yang bersejarah itu, Rasulullah s.a.w. dihimpun bersama dengan roh para nabi dan rasul ‘alaihimus solatu wassalam di Masjidil Aqsa, mereka solat berjemaah bersama-sama dengan Nabi Muhammad s.a.w. menjadi imam kepada mereka.

Ini menandakan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah satu daripada mata rantai ajaran Islam yang bersambung-sambung dari seorang nabi dan rasul kepada nabi dan rasul yang lain, bermula dari Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan nabi akhir zaman, tidak ada lagi nabi selepas Muhammad s.a.w. Allah SWT memilih nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan manusia. Mereka terdiri daripada manusia yang memiliki akhlak yang luhur lagi tinggi, bersifat benar, amanah, menyampaikan, cerdik dan bijaksana di kalangan kaumnya dan dipelihara daripada melakukan kesalahan dan dosa.

Pada malam yang bersejarah itu, Rasulullah s.a.w. dihimpun bersama dengan roh para nabi dan rasul ‘alaihimus solatu wassalam di Masjidil Aqsa, mereka solat berjemaah bersama-sama dengan Nabi Muhammad s.a.w. menjadi imam kepada mereka.

Ini menandakan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. adalah satu daripada mata rantai ajaran Islam yang bersambung-sambung dari seorang nabi dan rasul kepada nabi dan rasul yang lain, bermula dari Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan nabi akhir zaman, tidak ada lagi nabi selepas Muhammad s.a.w. Allah SWT memilih nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan manusia. Mereka terdiri daripada manusia yang memiliki akhlak yang luhur lagi tinggi, bersifat benar, amanah, menyampaikan, cerdik dan bijaksana di kalangan kaumnya dan dipelihara daripada melakukan kesalahan dan dosa.

 

Malam tadi (malam minggu), saya meluangkan masa untuk hadir mendengar ceramah khas bersama Ustaz Haji Nasrudin Hassan dari Pahang di Masjid al-Mahabbah Kampung Muhibbah Petagas. Ceramah di sini dihadiri sekitar 70 orang jamaah kebanyakannya penduduk sekitar kampung dan Taman Jumbo. Beliau dalam rangka menziarahi Sabah dan sebelum itu beliau mengisi beberapa slot di Tawau sebelum ke Kota Kinabalu.

Ceramah beliau berkisar tentang kewajiban menegakkan amar  ma’ruf dan mencegah kemungkaran. Beliau memulakan ceramah tentang kelebihan menghadiri majlis-majlis ilmu kerana dalam masa yang sama ramai umat Islam mula meninggalkan majlis sedemikian dan menghadiri program berunsur kemaksiatan.

Bahkan berlaku dalam negara program menegakkan mungkar dan mencegah yang ma’ruf. Beliau menceritakan sedikit pengalaman pemuda-pemuda mengedar risalah dan menasihati pengunjung-pengunjung konsert Adam Lambert di ibu negara beberapa hari lalu, sedangkan Adam Lambert itu sendiri membawa misi maksiat, homoseks dan gay yang menjadi gaya hidupnya.

Menurutnya, manusia khususnya umat Islam akan hilang maruah dan harga diri apabila maksiat dan jenayah dibiarkan tanpa pencegahan. Sekurang-sekurangnya, umat Islam wajib menjaga diri dan ahli keluarganya agar tidak terjebak dalam perkara maksiat dan kemungkaran yang berleluasa dalam masyarakat.

“Kita mampu memasang pagar-pagar mahal untuk memelihara rumah kita. Kita mampu mengupah pengawal-pengawal keselamatan menjaga keselamatan kita. Kita mampu membeli dan memasang alat-alat kawalan seperti loceng, CCTV demi kehidupan di dunia. Tapi bagaimana untuk keselamatan kita di akhirat?” Soalnya.

Katanya, wajib kita merenung bagaimana kita hendak menyelamatkan diri dan keluarga kita daripada api neraka. Kalau seorang yang bermusafir di dunia mempunyai petunjuk dengan melihat bintang, kompas dan kini GPS, maka petunjuk hidup kita sebagai seorang hamba Allah SWT adalah al-Quran dan Hadith Rasulullah SAW yang perlu dipelajari dan diamalkan.

Terima kasih ustaz atas nasihat-nasihat yang bermanfaat buat kami yang hadir.

PENGAJIAN BERSAMBUNG

Alhamdulillah, mulai minggu ini dan minggu hadapan, kuliah-kuliah maghrib dan pengajian lain akan bersambung semula. Sepanjang Ramadhan dan 2 minggu pertama bulan Syawal semua pengajian direhatkan digantikan dengan tazkirah Ramadhan dan aktiviti lain.

Kuliah maghrib isnin di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan menyambung bab hadith solat Dhuha (Kitab Syamail Muhammadiyyah SAW); selasa di Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah menyambung kisah Rasul Ulul Azmi – Nabi Musa as (Kitab Indahnya Hidup Bersyariat); rabu di Surau Austral akan talaqqi ayat tertentu mengikut isu semasa (bermula minggu hadapan); sabtu di Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi Baru menyambung bab tilawah al-Quran (kitab al-Azkar).

Kelas-kelas pengajian al-Quran bersama Abu Nuha pula akan disambung mulai minggu hadapan, baik kelas di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS) setiap isnin hingga rabu, dan di Sektor Pengurusan Akademik (SPA) Jabatan Pelajaran KUWASA setiap khamis dan sabtu. Sudah ada permintaan orang baru untuk turut serta.

Kelas pengajian di Masjid Negeri anjuran Syukbah Dakwah juga bermula minggu hadapan. Ia bermula dengan kelas tasauf pada isnin bersama Ustaz Haji Md Mursal Muchtar (8.30 malam), kelas fekah pada selasa bersama Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim (8.30 malam), kelas tauhid pada rabu bersama Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim (8.30 malam), kelas al-Quran dan tajwid  pada sabtu bersama Datuk Haji Mokhtar Rapok (6.00 pagi) dan kelas tafsir pada sabtu (8.30 malam).

Insya Allah Syukbah Dakwah dan Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Sabah juga akan bermesyuarat pada masa terdekat bagi membincangkan program dan aktiviti akan datang seperti kursus-kursus dan ceramah di masjid-masjid secara bulanan di luar Kota Kinabalu.

Bagi kelas-kelas berkenaan, semua dijemput hadir untuk mengimarahkannya.

ASMAUL HUSNA


Secara hampir kebetulan, ada dua masjid yang saya berkuliah dengan kitab yang berbeza masuk tajuk berkenaan asmaul husna beberapa bulan lalu.

Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi Baru dengan kitab al-Azkar Imam Nawawi sementara di Masjid Mahabbah Kg Muhibbah dengan kitab Indahnya Hidup Bersyariat susunan Dato Ismail Kamus.

Dalam kedua-dua buku yang berbeza disentuh berkenaan nama-nama Allah yang indah itu. Jadi saya bercerita serba sedikit berkenaannya melalui kitab ‘Asmaul Husna Dengan NamaMu Aku Hidup’ sebagai rujukan.

Beberapa minggu lalu kuliah berkenaan tajuk ini selesai di Masjid Kg Muhibbah sementara malam ini bab yang sama selesai di Masjid Kg Lok Kawi Baru.

Alhamdulillah.

TANGGUH KULIAH

Mulai malam ini, semua kuliah maghrib di masjid dan surau; kelas pengajian al-Quran di pejabat-pejabat (tengahari) ditangguhkan sementara kerana saya berangkat ke luar negara.

Tengahari ini, saya dijadualkan bertolak dari KKIA ke KLIA dan kembali semula ke Kota Kinabalu pada petang 23 Mac 2010.

Kuliah yang terlibat :

1) Surau Nur Hidayah Taman Olivia Kepayan. (Jumaat malam sabtu) – Kitab Riyadhus Solihin.

2) Masjid Nurul Kg Lok Kawi Baru, Putatan. (Sabtu malam ahad) – Kitab al-Azkar.

3) Surau an-Nur Taman Limauan, Kinarut. (Ahad malam isnin) – Tafsir al-Quran.

4) Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil, Putatan. (Isnin malam selasa) – Hadith Syamail Muhammadiyyah SAW.

5) Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah, Petagas. (Selasa malam rabu) – Kitab Indahnya Hidup Bersyariat.

6) Surau Riyadhus Solihin Taman Austral, Kepayan. (Rabu malam khamis) – Al-Quran, Tajwid & Tafsir.

7) Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah [SPAN], Wisma MUIS. (Isnin-Rabu) – Kelas Mengaji al-Quran.

8) Sektor Pengurusan Akademik [SPA] KUWASA. (Khamis & Sabtu) – Kelas Mengaji al-Quran.

9) GiatMARA, Inanam (Petang Jumaat 2 kali sebulan) – Huraian buku Maza Ya’ni.

Jika tiada aral, kuliah akan bersambung pada maghrib 23 Mac 2010 (selasa) di Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah. Doakan keselamatan kami semua.

%d bloggers like this: