Tag Archive: Masjid Kg Muhibbah Petagas


20130927_124802

Khatib : Habib Abd Rahim Habib Abd Rahman

Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas

Firman Allah SWT : Katakanlah wahai Muhammad, jika kamu mencintai Allah maka ikutlah aku (Rasulullah), nescaya Allah akan mengasihi kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Semua manusia suka agar dicintai oleh Allah SWT dan tidak dibenci Allah SWT. Namun agak menghairankan tidak ramai manusia suka melakukan sesuatu yang menyebabkan dia dikasihi Allah SWT, bahkan melakukan sesuatu yang menyebabkan dia dimurkai oleh Allah SWT.

Bahkan dalam kehidupan seharian, kita sendiri mahu agar disukai oleh jiran tetangga dan tidak mahu dibenci mereka. Satu segi yang lain, jika kita dibenci oleh jiran tetangga kita boleh berpindah ke tempat lain. Tetapi bagaimana pula jika kita dibenci oleh Allah SWT, hendak ke mana dibawa diri dan hidup kita yang semua alam semesta ini semuanya dijadikan oleh Allah SWT?

Untuk bersedekah contohnya, orang yang bersedekah ke masjid bimbangkan pengerusi masjid adakah akan memberikan balasan untuknya? Bersedekah ke anak yatim piatu, adakah mereka akan memberikan balasan kepadanya? Bersedekah untuk membina jalanraya, adakah penggunanya akan memberikan balasan kepadanya?

Hakikatnya, iman kita masih lemah mengharapkan balasan manusia sedangkan Allah SWT boleh dan berkuasa memberikan balasan berkali ganda kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Sedangkan sedekah adalah antara amalan yang menyebabkan seorang hamba dikasihi oleh Allah SWT. Beramallah kerana Allah SWT bukan kerana yang lain, agar Allah SWT mencintainya.

Saya sempat meronda masjid dan surau di mana siswa-siswa kami ditugaskan sebagai imam solat tarawih kali ini. Ada yang bertugas setiap malam dan ada yang bertugas mengikut giliran. Alhamdulillah, saya mendapat maklum langsung daripada jamaah dimaksudkan, dan berada berjamaah di belakang imam, mendengar sendiri bacaan dan pergerakan solat yang mereka pimpin.

Hampir kesemua masjid dan surau yang ditugaskan itu pula saya mempunyai kenalan dan rakan-rakan di sana. Saya boleh katakan, pihak pengurusan masjid dan surau berpuas hati kecuali ada sedikit-sedikit kesilapan dalam bacaan, yang saya anggap mereka dalam proses belajar bermasyarakat.

Bagi siswa yang kami pilih khususnya pertama kali ada perasaan gugup dan gemuruh, justeru apabila salah sekali, maka akan berulang lagi kali kedua, ketiga dan seterusnya. Ada kalangan dari semester 3 yang belum sampai kepada surah atau juzu’ yang dikehendaki berlaku kesilapan dalam bacaan.

Walaubagaimanapun, saya sendiri mengalami dan mendengar banyak yang positif berbanding negatifnya. Apa pun, terima kasih atas kepercayaan masyarakat dan tahniah kepada siswa-siswa yang terlibat. Saya kongsikan foto-foto mereka sebagai penghargaan peribadi saya kepada mereka.

Imam Tarawih dari Maahad (1)

Mohd Asnawi dan Sahleyzan Ismail di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral.

Imam Tarawih dari Maahad (2)

Khairul Anuar Doing dan Mohd Sabri di Surau Taman Sri Gaya Kepayan.

Imam Tarawih dari Maahad (3)

Mohd al-Hakim Jamil dan Mohd Sadri Md Ilmi di Masjid IPG Gaya.

Imam Tarawih dari Maahad (4)

Taufik dan Mohd Rizu di Masjid Kg Muhibbah Kepayan.

Imam Tarawih dari Maahad (5)

Hardi Haripuddin dan Hanif Jumat di Masjid al-Hilal Tanjung Dumpil.
Imam Tarawih dari Maahad (6)Mohd Khairul Abd Razak dan Mohd Subri Moksin di Masjid Politeknik Kota Kinabalu Sepanggar

Masjid Kg Muhibbah

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas

مَثَلُ المؤمنين في تَوَادِّهم وتراحُمهم وتعاطُفهم: مثلُ الجسد، إِذا اشتكى منه عضو: تَدَاعَى له سائرُ الجسد بالسَّهَرِ والحُمِّى

“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling kasih, saling menyayang dan saling cinta adalah seperti sebuah tubuh, jika salah satu anggotanya merasa sakit, maka anggota-anggota tubuh yang lain ikut merasakan sulit tidur dan demam.”

Persaudaraan Islam dan ukhuwah Islamiyyah tidaklah terbatas di dalam rumahtangga kita sahaja, atau di dalam kampung dan taman perumahan kita sahaja, bahkan ukhuwah Islamiyyah melampaui batas negeri dan negara, tiada sekatan passport dan visa, walaupun kedudukan seorang muslim itu jauh di antara benua, apabila mereka mengalami susah dan derita, maka kita turut sama merasa susah dan duka.

Maka pada hari ini, khatib ingin berbicara tentang suasana umat Islam yang berlaku beberapa hari kebelakangan ini di sebuah negara yang sarat dengan sejarah perjuangan Islam yang hebat iaitu negara Mesir di benua Afrika.

Mesir atau masyarakat antarabangsa memanggil dengan nama Egypt, adalah sebuah negara yang menjadi ka’abatul qasad, iaitu pusat tujuan bagi para pelajar dan mahasisiwa yang ingin mendalami ilmu-ilmu Islam dari seluruh dunia khususnya ke Univerisiti al-Azhar yang sudah berusia lebih 1000 tahun.

Mesir juga sebati dengan identiti ‘negara seribu menara’ kerana penduduknya adalah masyarakat yang utuh menjaga nilai-nilai agama. Ketaatan mereka dalam beribadah kepada Allah SWT sudah diketahui umum.

Rasulullah SAW pada hayatnya telah bercakap mengenai Mesir, bahawa negara ini merupakan tempat penegak agama dan ilmu Allah SAW yang terbaik di muka bumi. Para ulama menjelaskan bahawa bumi sebagai ardhul kinanah iaitu gudang anak panah yang disebutkan oleh Rasulullah SAW adalah ungkapan kiasan bahawa Mesir adalah laksana tabung anak panah yang tidak akan habis melepaskan anak panahnya ke seluruh penjuru dunia, melahirkan para alim ulama yang akan dan sentiasa menyebarkan Islam ke ceruk rantau dunia timur dan barat.

Mesir juga dikenali sebagai bumi para Nabi AS. Sejarah merakamkan bahawa ramai nabi yang pernah menetap, singgah atau melewati negara ini. Antaranya Nabi Ibrahim, Nabi Yaakub, Nabi Yusuf, Nabi Musa, Nabi Harun, Nabi Syuaib, Nabi Soleh, Nabi Isa, bahkan Nabi SAW dalam peristiwa al-Isra, pernah singgah mendirikan solat di gunung Sinai yang juga terletak di negara Mesir.

Negara ini telah dihuni oleh manusia sejak 3200 tahun sebelum masihi, bermula zaman Firaun sebanyak 30 dinasti, kemudian dinasti Yunani, kemudian zaman pemerintahan Alexandar The Great dari Macedonia. Diikuti oleh zaman Romawi Timur Byzantium.

Zaman Islam bermula pada tahun 642 M bermula dengan kemasukan rombongan sahabat Rasulullah SaW diketuai Amr al-Asr pada zaman pemerintahan Sayyidina Umar al-Khattab RA dan berakhir pada Khilafah Uthmaniah pada tahun 1914. Kemudian diikuti dengan Mesir Moden dengan kemerdekaan Mesir daripada Perancis pada tahun 1922.

Pada 1953 Mesir ditetapkan sebagai negara republik, dan Jeneral Muhammad Naquib sebagai presiden pertama. Mursi adalah satu-satunya Presiden Mesir yang bebas daripada pengaruh dan tekanan kuasa Barat sejak era Republik pada 1952. Muhammad Naguib yang menggulingkan Raja Farouk sebenarnya disokong oleh kuasa Barat.

Gamal Nassir yang dianggap lagenda kepimpinan Mesir, ucapannya yang berapi itu ditulis oleh CIA. Anwar Sadaat yang kelihatan bagaikan wira apabila mengejutkan Israel 1973 sebenarnya melutut kepada Amerika di saat-saat Mesir hampir kepada kemenangan. Hosni Mubarak sepanjang hampir 3 dekad memerintah tidak dapat menyembunyi dan menafikan keterlibatan kuasa Barat dalam pemerintahannya.

Kini jelas apabila Mursi tidak ada sandaran mana-mana kuasa bahkan terang-terangan menyokong Palestin, dia hanya kekal dalam masa setahun. Ramai kalangan umat Islam tidak mengenali siapakah Dr Muhammad Mursi? Beliau adalah seorang penghafaz al-Quran, pertama dalam sejarah dunia moden menjadi presiden sebuah negara.

Memenangi jawatan presiden benar-benar melalui demokrasi yang bersih setahun yang lalu. Beliau selalu solat berjemaah di masjid, hafal al Quran, selalu tahajjud dan sabar terhadap segala caci maki. Menyokong perjuangan umat Islam di Palestin, Syria dan Myanmar. Setelah itu berlaku, apabila beliau digulingkan, maka sekonyong-konyong media memanggil beliau sebagai diktator termasuk sebahagian daripada media kita di Malaysia.

Masjid Kg Muhibbah

Khatib : Tuan Haji Adam Wahid

Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas

Allah SWT telah memberi kesempatan kepada kita berada dalam satu bulan antara rajab dan ramadhan yang seringkali diabaikan orang. Ada beberapa kelebihan yang disebutkan dalam hadith berkenaan bulan ini :

Sayyidatina Aisyah RA dia berkata (bermaksud) : “Adalah Rasulullah SAW berpuasa sehingga kami mengatakan dia tidak berbuka. Baginda SAW berbuka sehingga kami mengatakan dia tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat Nabi SAW berpuasa penuh satu bulan melainkan (dalam bulan) Ramadhan. Aku tidak pernah melihat baginda SAW berpuasa lebih banyak selain dari bulan Syaaban” (HR Imam Al-Bukhari).

Selain daripada itu, sangat baik sekali agar semua orang memperingatkan diri masing-masing dan ahli keluarga meninjau puasa yang lalu, mengqadha puasa sekiranya ada yang belum dibayar agar ditunaikan segera.

Tarikh : 8 Jun 2013 (Sabtu)

Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas

Tentang dunia, Nabi SAW diperlihatkan dua tamsilan. Pertama seorang perempuan cantik yang penuh dengan perhiasan menggoda manusia. Kedua, seorang nenek tua bongkok di pinggir jalan yang memanggil Rasulullah SAW. Ia memberi maksud dunia yang menggoda walaupun sudah terlalu tua usianya.

Dalam al-Quran banyak sekali ayat yang menceritakan tentang godaan dunia. Dalam masa yang sama, dunia bukanlah ditinggalkan serta merta, tetapi dunia sekadar tempat beramal dan mengumpul saham untuk dibawa ke akhirat dan mendapat balasannya. Sekiranya beramal yang soleh mendapat ganjaran pahala dan syurga, sebaliknya beramal jahat mendapat akibat dosa dan neraka.

Israk & Mikraj @ Kg Muhibbah (1) Israk & Mikraj @ Kg Muhibbah (2) Israk & Mikraj @ Kg Muhibbah (3) Israk & Mikraj @ Kg Muhibbah (4) Israk & Mikraj @ Kg Muhibbah (5) Israk & Mikraj @ Kg Muhibbah (6) Israk & Mikraj @ Kg Muhibbah (7) Israk & Mikraj @ Kg Muhibbah (8) Israk & Mikraj @ Kg Muhibbah (9) Israk & Mikraj @ Kg Muhibbah (10)

 

 

 

Poster CeramahSemoga diberikan kekuatan dan kesihatan untuk melaksanakan amanah yang diberikan. Rabbuna yusahhil..

Masjid Kg Muhibbah

Khatib : Ustaz Jasimin Mohd Rashid

Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas

Dalam Islam kedudukan seseorang pemimpinitu terlalu mulia dan terlalu tinggi kerana merekalah paksi kepada perpaduan ummah. Percayalah bahawa sesuatu umat tidak akan terselamat daripada angkara perpecahan dan pertelagahan melainkan apabila mereka menyerahkan kepimpinan kepada seorang ketua yang dapat menyatukan mereka berdasarkan kebijaksanaannya.

Seorang ulama, Abu Abdullah menyatakan di dalam kitabnya Tahzib al-Risalah bahawa :”Teraturnya urusan agama dan dunia adalah sesuatu yang dituntut dan ia tidak akan berlaku tanpa kewujudan pemerintah. kalaulah tidak wujudnya pemerintah, nescaya keadaan manusia akan menjadi kacau- bilau dan mereka akan saling bunuh membunuh antara satu sama lain.”

Pemimpin sebagai paksi perpaduan ummah dapat dilihat  dalam  pendekatan yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW semasa pemerintahannya. Baginda telah menunjukkkan kaedah dan cara menunaikan kewajipan terhadap agama, masyarakat dan negara dengan mengukuhkan perpaduan warga negara Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama dan keturunan.

Baginda mengambil langkah mempersaudarakan umat Islam menerusi ikatan ukhuwwah sesama Islam. Kaum Aus dan Khazraj yang begitu lama bersengketa telah berjaya didamaikan. Rasulullah SAW  memperteguhkan kewajipan memelihara hubungan persaudaraan yang menjana kepada perpaduan dan kesatuan ummah.

Ini terbukti apabila Baginda ditanya oleh seorang sahabat sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Ayub al-Ansari dalam hadithnya yang bermaksud:  …Ya!, Rasulullah SAW bersabda kepadaku, amal yang akan memasukkan aku ke dalam syurga. Maka sabda Rasulullah SAW: ‘Engkau beribadah kepada Allah SWT  dan tidak menasyrikkannya dengan sesuatu, mendirikan solat, membayar zakat dan menghubungkan persaudaraan.”

Baginda  juga berupaya menukar gaya hidup masyarakat jahiliah daripada kufur kepada beriman, permusuhan kepada persaudaraan, kekejaman kepada kasih sayang, pemalas kepada bangsa yang rajin dan sebagainya.

Masjid Kg Muhibbah

 

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas

Kecintaan seorang sahabat kepada Rasulullah SAW telah menyebabkan dia rela berjalan malam sambil memangku Rasulullah SAW yang tertidur di atas kenderaannya. Dia berbuat demikian semata-mata agar baginda SAW tidak terganggu tidurnya dan dapat beristirehat dengan sempurna. Diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa Rasulullah SAW telah berpidato dalam suatu perjalanan yang panjang dan tidak terdapat air di sekitar tempat itu.

Kata baginda : “Sesungguhnya kamu akan berjalan sejak petang dan sepanjang malam. Insya Allah, esok kamu akan bertemu dengan air”. Para sahabat pun terus berjalan dengan tidak menunggu-nunggu masa lagi dan tidak menoleh antara satu sama lain. Mereka berjalan sehingga sampai jauh malam. Tiba-tiba Rasulullah SAW mengantuk sehingga duduknya kelihatan senget, padahal kenderaannya terus berjalan. Jika tidak ditegakkan, kemungkinan besar baginda akan jatuh.

Seorang sahabat bernama Abu Qatadah yang berjalan di dekatnya, segera menahan baginda SAW sehingga tegak semula di tempat duduk kenderaannya. Abu Qatadah melakukannya dengan berhati-hati tanpa membangunkan baginda SAW dari tidurnya. Tidak berapa lama kemudian, baginda senget lagi dan Abu Qatadah pun menahannya lagi dengan hati-hati sehingga tegak semula.

Demikanlah yang dilakukan Abu Qatadah sepanjang perjalanan pada malam itu. Apabila waktu sahur tiba, Rasulullah SAW senget lagi, bahkan lebih senget daripada sebelumnya, sehingga nyaris jatuh. Abu Qatadah menahan tubuh baginda SAW tanpa mengejutkannya sehingga duduknya tegak semula. Tiba-tiba Nabi SAW terbangun dan melihat ada orang di sampingnya sedang menahan badannya sambil berjalan.

“Siapa ini?”

“Saya Abu Qatadah”

“Sejak bila kamu berjalan seperti ini di sampingku?”

“Sudah sepanjang malam”

“Semoga Allah SWT sentiasa menjagamu kerana kamu telah menjaga Nabi-Nya”.

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas

Firman Allah SWT : “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebajikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

Allah SWT memberikan peraturan bagi sesebuah pemerintahan yang baik dan berteraskan ajaran Islam. Di mana ayat ini diturunkan sebagai janji Allah SWT kepada sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW yang bakal berhijrah ke Madinah, bahawa mereka akan mendapat kemenangan dan memerintah negara mengikut neraca Islam.

Pemerintah yang taatkan Allah SWT mestilah pemerintah yang mendirikan solat, dengan makna tunduk dan patuh terhadap pemerintah yang Maha Agung, tidak berlaku sombong dan angkuh dengan kehebatan diri sendiri kerana kuasa itu sendiri adalah suatu amanah yang amat berat tanggungjawabnya di sisi Allah. Begitu juga menunaikan zakat dengan makna yang lebih luas iaitu menyantuni rakyat serta memberikan yang hak kepada yang berhak mengikut Islam.

Pemerintah hendaklah memberikan tauladan yang baik dengan kerja-kerja kebajikan berupa aqidah, syariat dan akhlak  agar mendapat keridhaan Allah SWT. Dalam masa yang sama, bukanlah pemerintah yang mengikuti Islam apabila mereka membiarkan bahkan menganjurkan aktiviti berupa maksiat, hiburan yang melampau batas sehingga melibatkan pergaulan bebas, sehingga berlaku kerosakan dalam masyarakat, jenayah yang semakin bertambah dan sebagainya.

Insya Allah, kuliah akan kembali selepas cuti hari raya bermula 3 September 2012 (Isnin) menurut jadual yang telah tercatat di atas.

%d bloggers like this: