Pertama kali singgah pada sabtu malam ahad lepas ke masjid yang comel ini, saya sudah jatuh hati dengan senibinanya yang sangat menarik. Masjidnya tidak begitu besar sangat, barangkali muatnya dalam dan luar sekitar 250-300 jamaah sahaja pada satu-satu masa. Lebih menarik perhatian saya, kami dimaklumkan ia sumbangan ikhlas seorang dermawan yang tidak berhajat disebutkan namanya.

Senibinanya khabarnya diuruskan sendiri oleh dermawan berkenaan yang juga dimaklumkan selaku seorang kantraktor dari Sandakan. Kelihatannya, bangunan masjid comel ini sudah siap dan digunakan sepenuhnya, hanya bahagian pagar dan perkarangannya masih dalam kerja-kerja pembinaan. Masjid ini sangat sesuai bagi orang yang musafir, benar-benar di tepi jalan, sempadan antara daerah Beaufort dan Membakut untuk singgah solat di sini. Barangkali mungkin kawasan letak kereta sahaja perlu difikirkan supaya dapat diluaskan untuk kemudahan umat Islam terutamanya musafir.

Selain prasarana fizikal, harapnya aktiviti kuliah dan pengajian agama dapat disemarakkan bersesuaian dengan kecomelan masjid ini. Saya kira Ustaz Haji Jais Alias selaku orang lama, pendakwah yang sudah masak dengan masyarakat sangat memahami keadaan ini. Tahniah kepada penduduk di sana!