Tag Archive: Masjid Kg Lubok Temiang


Tarikh : 28 November 2014

Lokasi : Masjid al-Muzakkirullah, Kg Lubok Temiang WP Labuan

Khatib : Syahnon Othman

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia, tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.”

Mendidik isteri amatlah penting dalam melayari bahtera rumah tangga. Mempunyai isteri yang solehah adalah dambaan bagi lelaki yang inginkan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Antara langkah-langkah perlu dijana oleh suami untuk mendidik isteri seperti berikut:

Pertama: Sentiasa menunaikan solat secara berjemaah. Suami isteri yang kian sibuk bekerja haruslah meluangkan masa untuk solat fardhu secara berjemaah. Amalan ini amatlah dituntut dalam Islam, yang mana Rasullullah SAW sendiri sentiasa solat berjemaah bersama isteri-isterinya. Dengan ini maka akan lahirlah usrah sakinah gapaian redha Allah.

Kedua: Teguran mendidik dengan cara berhemah. Suami sebagai ketua keluarga harus memainkan peranan yang penting dalam rumah tangga. Amalkanlah budaya tegur menegur kepada isteri bagi mewujudkan keluarga yang harmoni. Tegurlah isteri dengan hati yang terbuka, berhemah dan berhikmah serta janganlah mudah melenting kerana isteri juga perlukan belaian dan kasih sayang seorang suami. Ingatlah suami adalah tempat bergantungnya si isteri yang sentiasa mengharapkan perhatian dan bimbingan.

Ketiga: Mengamalkan cara hidup usrah sakinah. Usrah sakinah dapat direalisasikan dengan memandu ahlinya dengan Al-Quran dan Al-Sunnah agar keluarga kita tidak tersasar dari jalan yang diredhai Allah SWT. Raikanlah dan tunaikan hak-hak kewajipan sebagai suami dan isteri dengan sebaiknya, maka akan lahirlah permata kasih penyeri hidup mereka.

Sebuah keluarga yang bahagia akan terbina daripada hasil didikan agama yang mantap daripada ibubapa. Ibubapa memainkan peranan yang penting untuk menjadikan mereka sebagai orang yang beriman serta bertakwa pada Allah SWT. Dalam hal ini, Islam telah memberikan garis panduan yang begitu baik bagi ibubapa untuk mendidik zuriat mereka.

Renungilah pesanan Rasulullah SAW ini daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah Rahimahullah daripada Anas bin Malik RA bermaksud: “Muliakanlah anak-anak kamu dan tunjukkanlah pada mereka adab yang baik”

Orang tua, enam beradik, lima menantu dan 18 orang cucu.

18 cucu (insya Allah bertambah) bersama nenek aji, nenek uban dan nenek uwa.

Keluarga asal, enam beradik (ada dua orang meninggal dunia ketika kecil)

Satu

Peristiwa dihambat dengan rotan pada awal tahun 1986 masih diingat.

Pagi-pagi saya bersekolah kebangsaan yang terletak hanya sebelah rumah. Dengan takdir Allah SWT juga mulai tahun itu diwujudkan sekolah agama pada waktu petang, menumpang bangunan sekolah kebangsaan.

Hairan juga mengingatkan, ke sekolah kebangsaan saya suka dan semangat sekali. Namun kembali pada waktu petang untuk sekolah agama saya begitu takut. Payah dipujuk dan diugut.

Sekali itu saya bersembunyi di balik pintu dapur kerana tidak mahu ke sekolah agama. Saya dirotan dan dibawa ke sekolah menangis-nangis.

Dua

Akhir 1991, saya diterima masuk belajar di Sekolah Menengah Ugama Islam Toh Puan Hajjah Rahmah Kota Kinabalu.

Tinggal jauh daripada kedua orang tua, itu pengalaman baru dan mendebarkan. 

Pada awal tahun itu ketika dalam darjah 6, saya pernah berpisah dengan keluarga buat beberapa hari kerana mewakili WP Labuan dalam Musabaqah Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sabah di SMK Bingkor Keningau.

Saya serombongan dari Labuan, antaranya bersama dengan Ust Zulkarnain Ali (blogger http://mesrarakyat.wordpress.com/. Saya darjah 6 dan dia darjah 4. Saya wakil tilawah dan dia wakil hafazan.

Masuk ke sekolah TOPUHARA diiringi oleh bapa, dia bercerita tentang zaman Malaysia yang dilihatnya semakin cerah dengan sinar Islam. Asbabnya, Anwar Ibrahim yang muncul sebagai tokoh gerakan Islam dalam kerajaan Malaysia berpotensi sebagai Perdana Menteri.

“Belajar rajin-rajin, nanti jadi peguam Islam. Masa tu Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri. Islam lebih baik di Malaysia” Begitu lebih kurang nasihatnya.

Tiga

Akhir 1994, kerajaan negeri memutuskan untuk menubuhkan Maahad Tahfiz al-Quran yang beroperasi di Masjid Negeri Sabah mulai 1995. Takdirnya juga, pelajar yang dicari ialah lepasan PMR, iaitu umur kami ketika itu.

Puas diiklan, diceritakan dan dipujuk, saya tidak terfikir untuk menyertainya.

Ust Hj Muchlish yang ketika itu masih bertugas di SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah memanggil saya :

“Bapa kamu mahu kamu masuk tahfiz”. Ust. Muchlish adalah rakan baik bapa saya ketika mereka sama-sama berkhidmat di Sipitang, daerah kelahiran saya.

Ketika itu saya buat donno saja. Akhirnya tidak lama saya masuk bersama rakan-rakan lain.

Empat

Bapa saya, Hj Othman Mahali dilahirkan pada 17 Januari 1944 di Labuan. Memulakan persekolahannya di Sekolah Rendah Kerajaan Labuan pada 1951.

Beliau pernah menjadi guru di beberapa buah sekolah seperti SMK Labuan, SMK Pengiran Omar Sipitang dan SMK Membedai Labuan dengan memegang pelbagai jawatan bermula sebagai guru biasa, guru penolong, Penolong Kanan dan Pengetua.

Tepat 11 tahun lalu beliau bersara dalam dunia pendidikan dengan jawatan terakhir sebagai Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) di Pejabat Pendidikan WP Labuan.

Kini selain dengan perniagaan HOM Enterprise di bandar Labuan, beliau dalam usia 66 tahun masih aktif dengan aktiviti sastera dan penulisan dalam Persatuan Penulis WP Labuan (PERWILA) yang beliau diantara pengasasnya.

Alhamdulillah dengan kesihatan yang Allah SWT berikan, beliau juga aktif dengan aktiviti pengimarahan sebagai pengerusi JK Masjid al-Muzakkirullah Kg Lubok Temiang dan juga dalam Pertubuhan Peladang Kawasan WP Labuan.

Sebagai anak, saya menzahirkan perasaan kasih dan sayang melalui blog ini dengan kisah-kisah suka duka dan pahit manis yang saya catatkan sebagai kenangan untuk diabadikan bersama.

Semoga Allah memberi kesihatan yang baik dan ketenangan dalam beribadah pada saat-saat usia emas sebegini bersama seluruh keluarga. Saya, isteri dan anak-anak mendoakan.

Gambar di atas dicilok daripada facebook babu Ika dalam kenduri keluarga untuk Nenek Aji dan Pacik Onn yang tarikh lahir mereka serentak pada 17 Januari. Seorang 1944, seorang lagi 1968.

Gambar Nenek Aji bersama 9 daripada 18 cucu yang berada di WP Labuan. Sembilan orang cucu lagi berada di KK.

Sepanjang berada di Labuan, saya sempat mengisi beberapa program yang telah diatur.

1. Masjid Jamek Layang-Layangan.

Setiap kali saya kembali ke Labuan, ini antara masjid yang kerap menjemput saya ke sana. Di sini, tazkirah disampaikan selepas solat Isyak pada malam jumaat selama 20 minit.

Tazkirah malam itu dimulakan dengan sebuah hadith Rasulullah yang saya petik dari buku Hadith 40 : “Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau pengembara”.

Ada dua perkara menjadi sunnah pengembara, pertama dia mempunyai bekalan; kedua, suatu hari pengembara akan pulang ke tempat asalnya.

2. Masjid al-Muzakkirullah, Kg Lubok Temiang.

Kali pertama berkhutbah di  masjid ini ketika umur 16 tahun, tentang keutamaan al-Quran. Kali ini khutbah saya berlegar tentang 3 pasangan hukum yang beriringan.

Pertama, ibadah kepada Allah beriringan dengan berbuat baik kepada ibubapa. Kedua, beriman tidak boleh dipisahkan dengan beramal soleh. Ketiga, solat beriringan dengan zakat.

Ketika di atas mimbar, saya melihat lebih 100 jamaah di hadapan saya, rasanya tidak sampai separuh yang saya kenali. Terfikir, sudah lebih 18 tahun bermastautin di KK dan hanya pulang sesekali.

Orang-orang tua sudah ramai yang tiada, yang muda dahulu kini sudah beruban, rakan sebaya sudah membawa diri masing-masing, tidak kelihatan.

3. Surau Baitul Makmur, Kg Durian Tunjung.

Surau atas bukit berusia 33 tahun, pertama kalinya saya mengisi program di sini. Pokok ceramah bermula dengan ayat 120 surah al-Baqarah.

Isu permusuhan Yahudi dan Nasrani saya fokuskan terhadap kenyataan seorang missionary bahawa kebimbangan mereka terhadap al-Quran, al-Azhar, Jumaat dan Haji.

Saya tekankan JK surau agar lebih kreatif menyusun program untuk menarik minat semua golongan ke surau @ masjid, dan menghidupkan kuliah pelbagai subjek.

4. Masjid al-Falah Kg Bukit Kalam.

Sebuah masjid lama yang dirasmikan pada 1968 oleh Tun Datu Mustapha Datu Harun.

Ceramah sejam selepas isyak pada malam minggu saya mulakan dengan hadith ‘niat dan hijrah’ sebagaimana dalam buku hadith 40, hadith pertama. Memulakan perubahan dengan niat yang tulus dan diikuti dengan tindakan.

Sebagaimana malam sebelumnya, ini penampilan sulung saya berceramah di sini. Terima kasih cikgu Abd Rahman, pengerusi masjid dan seluruh JK serta jamaah yang hadir.

5. Surau al-Hijrah Kg Sungai Miri.

Jemputan saya terima pada lewat petang ahad. Sedikit kelam kabut kerana ketika itu saya berada di luar membawa anak-anak bermain di taman permainan.

Ceramah di surau ini bermula lewat kerana saya hanya tiba pada 6.45 petang. Di sini saya mengulas secara ringkas tentang bulan Muharram, kelebihannya serta ibadah puasa Asyura yang baru dilalui.

Saya kaitkan pula dengan suasana hiburan yang berlaku dalam masyarakat secara berlebih-lebihan dan kejahilan mereka terhadap agama ini.

***

Terima kasih kepada rakan-rakan yang membantu sepanjang 4 malam berkenaan. Hj Hamir, Hj Basran, Fatihee, Cikgu Abd Rahman, dan lain-lain.

%d bloggers like this: