Tag Archive: Masjid Kg Contoh


Tarikh : 15 Januari 2016

Lokasi : Masjid as-Salam Kg Contoh Petagas

Pengkuliah : Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi

C360_2016-01-15-19-34-29-880 C360_2016-01-15-19-35-44-260 IMG-20160124-WA0132

masjid-kg-contoh

Khatib : Ustaz Mahathir Malek

Lokasi : Masjid as-Salam Kg Contoh Petagas

Maksudnya: Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadanya; dan sampaikanlah berita gembira (Wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat –

Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar (cekal hati) terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya.” (Surah al-Hajj 34-35)

Ayat ini, menjelaskan bahawa dengan melakukan ibadah korban itu adalah sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana memperolehi nikmat seperti binatang ternak. Dan berita kegembiraan bagi umat Islam yang sentiasa tunduk taat kepada Allah SWT, kemudian dinyatakan pula sifat dan ciri orang yang taat itu, ialah mereka yang bila disebut nama Allah SWT gementarlah hati mereka, orang yang sabar cekal menempuh kesusahan, orang yang mendirikan solat dan orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepadanya.

Mulialah orang yang bertaqwa dan melakukan sebanyak-banyak amal ibadah, amal soleh dan kebaikan itu semata-mata kerana Allah Ta’ala. Sesungguhnya rasa ketaqwaan dan ikhlas dalam ibadah korban itulah yang akan dapat sampai di sisi Allah SWT, sebagaimana firmanNya (bermaksud) :

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya”. (Surah Al-Hajj, ayat 37)

Masjid Kg Contoh

Khatib : Ustaz Yusrino Yusuf

Lokasi : Masjid as-Salam Kg Contoh Petagas

Umat Islam yang berjaya dan beruntung ialah umat Islam dan keluarga yang hidup dalam suasana fitrah kemanusiaan yang selari dengan prinsip ajaran Islam. Manakala manusia yang rugi ialah apabila fitrah kemanusiaannya menjadi rosak dan mengubah tingkahlakunya menjadi keji dan merosakkan akidah mereka.

Persoalan besar timbul di sini ialah, apakah jemaah dan kita semua membuat penilaian sejauh mana kehidupan kita benar-benar selari dengan prinsip ajaran Islam?

Banyak faktor yang membawa kemusnahan dan penyelewengan fitrah manusia. Antaranya penglibatan manusia dengan perkara yang diharamkan Allah SWT. Berdasarkan dalil al-Quran, hadith dan penemuan pakar-pakar perubatan, jelas menyatakan perkara yang diharamkan oleh Islam telah merosakkan adab, tatasusila keluarga, masyarakat dan ketamadunan manusia. Apa yang nyata, perkara yang haram merosakkan kesempurnaan fitrah manusia.

Hari ini berbagai perlakuan yang dahsyat timbul akibat daripada penyalahgunaan dadah. Apa yang mendukacitakan ialah seseorang penagih itu sanggup mati, mencuri, merompak, meragut, mencedera bahkan membunuh orang. Dengan demikian, dadah bukan sekadar merosak akal fikiran dan pertimbangan  manusia, tetapi juga menjatuhkan maruah diri sendiri, keluarga dan agama. Semua ini adalah tanda-tanda manusia kehilangan fitrah taraf kemanusiaan manusia.

Masjid Kg Contoh Petagas

Khatib : Ustaz Ahmad Ukup

Lokasi : Masjid as-Salam, Kg Contoh Petagas

Solat lima waktu adalah induk segala amal ibadah dan amal soleh. Solat adalah rukun Islam. Tanpa solat akan cacatlah rukun Islam itu.  Solat juga adalah ibadah yang mampu menjana keupayaan umat Islam menjadi umat yang berjaya dan cemerlang di dunia dan akhirat.

Dalam sehari lima kali dikumandangkan azan terdapat kalimah ‘HAYYA ‘ALASSOLAH’ (marilah solat) dan ‘HAYYA ‘ALAL-FALAH’ (marilah menuju kejayaan), kedua kalimah ini diulang dua dua kali setiap kali azan dikumandangkan dan diulang lagi ketika iqamah untuk mendirikan solat fardu lima waktu. Semua ini menunjukkan solat itu satu ibadah yang besar dan penting dalam kehidupan umat Islam.

Malah ia menjadi satu ibadah yang menghubung serta mendekatkan seorang hamba dengan Khaliq, yakni hubungan kita dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Marilah kita fahami dan hayati ayat-ayat Al Quran yang menyebutkan beberapa kali kalimah solat yang dikaitkan dengan kehidupan manusia dan sifat-sifat terpuji, antaranya:

Solat penentu berjaya atau gagalnya hidup setiap umat Islam. Firman Allah SWT:  Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya”. (Surah Al-Mu’minun, ayat: 1-2).

Orang beriman yang bagaimana, Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan: Orang beriman yang tetap berjaya mencapai keselamatan hidup di dunia dan kebahagian yang kekal di akhirat kelak ialah orang yang mengerjakan suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya. Dan solat yang sempurna itu ialah solat yang dikerjakan dengan khusyuk, yakni sepenuh-penuh hormat dan ingatan meliputi anggota-anggota badan dan hati.

Khatib : Ustaz Saphie Mohammad

Lokasi : Masjid as-Salam Kg Contoh Petagas

Semakin menghampiri detik terakhir penghujung tahun ini, maka semakin meningkat pula usia kita   dan semakin berkurangan pula jangka hayat kita di dunia ini.  Situasi ini meletakkan kita kian menghampiri saat menemui ajal lantaran setiap yang hidup akan mati. Justeru itu, sementara tubuh badan masih sihat dan kuat, pemikiran masih cerdas dan mempunyai masa yang lapang, sayugianyalah kita mengimbas kembali catatan kekurangan serta kelemahan diri sepanjang tahun. Tindakan ini dikira muhasabah diri, iaitu perbuatan menghisab dan menilai semula apa yang telah kita lakukan, apakah ia memenuhi tuntutan-tuntutan yang ditentukan oleh Allah SWT atau sebaliknya.

Sebagai hamba Allah, periksa dan semak apakah kita telah dapat menunaikan segala kewajipan yang diperintahkan ke atas kita. Ini termasuklah menilai prestasi dan kesungguhan kita dalam menjunjung perintah Allah SWT seperti mendirikan solat, puasa, zakat dan sebagainya.  Pada waktu sama, simak dan periksa  sama ada kita berhasil ataupun sebaliknya dalam melaksanakan peranan serta tanggungjawab diri sebagai ibu bapa, tanggungjawab sebagai anak, tugas sebagai seorang pelajar,tugas sebagai pekerja, pemimpin dan sebagainya. Lantas, jika merasakan banyak kekurangan serta kelemahan, maka insafilah ia dengan keazaman dan kesungguhan yang kuat untuk memperbaikinya dengan penuh istiqamah.

Dalam erti kata yang lain, bermuhasabah diri bukan setakat mengingat dan menilai kelemahan serta dosa-dosa yang telah lalu, lalu menyesali dan menangisinya. Hakikat muhasabah adalah memaksakan diri untuk kembali taat melaksanakan semua perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya kerana ia merupakan pelaboran di dunia bagi memperolehi ganjaran syurga di akhirat nanti.

Saat bermuhasabah tidaklah terbatas hanya pada hujung tahun, tetapi harus dijadikan rutin kehidupan seharian  mengingat bahawa sebagai manusia biasa kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan mahupun dosa yang dipengaruhi oleh suasana persekitaran, bisikan syaitan dan kehendak nafsu. Tambahan pula, muhasabah diri selaras tuntutan Taubatan Nasuha (taubat yang murni), iaitu satu perbuatan meninggalkan seluruh perbuatan dosa dan menyesali semua perbuatan mungkar dan keji yang telah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT.  Mereka yang sentiasa bertaubat dari kesalahan dan dosa yang dilakukan dengan menyesali perbuatannya itu serta diringi dengan permohonan keampunan daripada Allah SWT termasuk golongan yang sangat dikasihi.

%d bloggers like this: