Tag Archive: Masjid Kg Bangka-Bangka


Tarikh : 25 Januari 2014

Lokasi : Masjid Nurul Hidayah, Kg Bangka-Bangka Likas

Alhamdulillah, 9 perawat Darussyifa’ Sabah turun ke lokasi sempena karnival cinta Rasul anjuran pihak masjid, maka khidmat rawatan Darussyifa’ turut diadakan. Rawatan bermula jam 2 petang dan berakhir 3 jam kemudian dengan rehat pada waktu solat.

Jumlah mereka yang mendapatkan rawatan adalah seramai 80 orang. Alhamdulillah dapat berkhidmat kepada masyarakat di sini dan sekitarnya.

Darussyifa'@Bangka2 (1) Darussyifa'@Bangka2 (2) Darussyifa'@Bangka2 (3) Darussyifa'@Bangka2 (4) Darussyifa'@Bangka2 (5)

Takziah kepada seluruh keluarga Tuan Karim Boulu, 73 tahun, ketua kampung Bangka-Bangka Likas yang kembali kerahmatullah pada khamis malam jumaat lalu di Hospital Kajang Selangor. Saya dimaklumkan lewat kiriman SMS oleh pengerusi JK Masjid kampung berkenaan akan berita tersebut. Pemergiannya di luar kampung sendiri membuktikan firman Allah SWT bahawa manusia tidak mengetahui di mana dia akan meninggal dunia satu hari nanti. Janazahnya selamat tiba di Kota Kinabalu sekitar 10.30 malam jumaat dan diziarahi oleh saudara mara dan penduduk kampung.

Saya tidaklah terlalu akrab dengan Allahyarham, namun pernah berurusan rasmi dengannya ketika beliau diamanahkan sebagai pengerusi JK Masjid Nurul Hidayah Kg Bangka-Bangka dan saya bertugas di Istana Negeri Sabah, mengatur urusan kunjungan solat jumaat dan solat tarawih oleh TYT ketika itu Tun Ahmadshah Abdullah. Saya mengingati suasana kemesraan beliau bersama kami, apabila moreh selepas tarawih kami hanya duduk di lantai bersama-sama Tun Ahmadshah. Begitu juga di bawah kepimpinannya saya pernah diundang berkhutbah dan memberikan ceramah beberapa kali.

Allahyarham seorang yang peramah bahkan kelakar orangnya, mudah dibawa berbincang dan paling penting dalam pengetahuan saya, beliau seorang yang istiqamah solat berjamaah di masjid berkenaan. Semoga keluarganya dan penduduk kampung bersabar diatas kehilangan pemimpin akar umbi yang baik hati dan peramah dan kita mengambil teladan di atas kebaikan yang telah beliau lakukan. Janazah Allahyarham dikebumikan di Kg Likas selepas solat jumaat.

Khatib : Ustaz Sofi Ibrahim al-Hafiz

Lokasi : Masjid Nurul Hidayah Kg Bangka-Bangka Likas

Bagi memperolehi ganjaran pahala yang ditawarkan dalam bulan Ramadhan maka jiwa kita hendaklah diasuh dan diasah untuk mendekati dengan Allah SWT serta bermujahadah melawan hawa nafsu. Pada bulan Ramadhan tugas untuk mengawal hawa nafsu dipermudahkan oleh Allah SWT melalui latihan-latihan dan keistimewaan yang di sediakan secara khusus antaranya ialah kewajipan ibadat puasa.

Ibadat puasa yang dilakukan dengan sempurna mampu mengawal segala kemaksiatan dunia dan dapat mendidik jiwa menjadi lebih tenang dan membentuk diri menjadi seorang hamba yang bertakwa kepada Allah SWT.

Takwa adalah buah dan hasil yang diharapkan  dari amalan puasa. Buah tersebut akan menjadi bekalan orang beriman dan menjadi perisai agar diri manusia tidak terjebak dalam jurang maksiat dan kejahatan. Bagi orang yang bertakwa kepada Allah SWT  ia akan melaksanakan ajaran Islam secara menyeluruh. Dia tidak akan melihat, mendengar, mengucapkan dan melakukan perkara yang diharamkan. Dia hanya melakukan sesuatu yang dituntut dan  diperbolehkan Allah SWT. Dia hanya berada di tempat yang mendatangkan keredhaan Allah SWT dan menjauhi tempat yang mendatangkan kemurkaan-Nya.

Ketika berpuasa kita bukan sahaja menahan diri dari keinginan makan dan minum malah seluruh anggota badan kita seperti mulut, mata, hati dan kemaluan juga hendaklah turut berpuasa. Kita juga dituntut memperbanyakkan amal ibadah yang lain dengan mengisi ruang-ruang  yang ada seperti bersolat taraweh, bertadarus, bersedekah, membaca al-Quran, beriktikaf, menuntut ilmu dan sebagainya bagi meningkatkan keimanan  dan ketakwaan kepada Allah SWT didalam usaha mencari keredhaan-Nya. Ingatlah bahawa amalan wajib dan sunat di sepanjang bulan ini merupakan latih tubi insan kepada pembersihan hati, mendisiplin anggota badan, mengukuhkan akhlak dan mencegah penyakit.

INDAHNYA HIDUP BERSYARIAT

Alhamdulillah, dua kuliah saya dalam minggu ini menggunakan kitab baru, kedua-duanya dengan kitab yang sama. Pertamanya di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan yang minggu sudah kami menamatkan kitab hadith ‘Syamail Muhammadiyyah SAW‘ yang sangat menarik itu. Saya lihat beberapa minggu sebelum itu, tiga buah buku ‘Indahnya Hidup Bersyariat‘ ada diselitkan di rak buku masjid berkenaan.

Justeru apabila kami menamatkan kitab Syamail, saya langsung mencadangkan buku ini untuk dibaca bersama-sama dalam kuliah maghrib setiap isnin yang sudah berlangsung kalau tidak salah hampir empat tahun. Sebelum kitab Syamail kami sudah menamatkan kitab hadith terjemahan ‘Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah‘ yang mengandungi hampir 400 buah hadith yang disaring daripada kitab Sahih Bukhari.

Kedua, di Jabatan Hutan (Pusat Perhutanan Bersepadu Kota Kinabalu), berdekatan dengan Taman Hidupan Liar atau lebih dikenali dengan Zoo Lok Kawi juga mengadakan kuliah dwi bulanan setiap rabu menggunakan buku yang sama juga iaitu ‘Indahnya Hidup Bersyariat‘ tulisan Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus.

Sebenarnya rundingan untuk mengadakan kuliah berkenaan sudah dibuat sejak lebih setengah tahun lalu dengan Tuan Haji Ahmad Yusuf, pegawai di jabatan berkenaan yang juga jamaah Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas. Namun baru tahun ini hajat berkenaan kesampaian dan ia bermula dengan rasminya pada rabu lalu di dewan teater mereka.

Sehingga ini buku ‘Indahnya Hidup Bersyariat‘  terbitan Syarikat Telaga Biru yang khabarnya antara buku agama yang terlaris di pasaran telah saya manfaatkan untuk kuliah di tiga buah lokasi selain dua yang baru bermula minggu ini. Sejak januari 2010, buku yang sama dikuliahkan di Masjid Kg Muhibbah Petagas. Justeru saya kira, daripada sanalah Haji Ahmad mendapat idea untuk membawa ke jabatan tempat beliau bertugas.

Hanya harapan saya jamaah di semua lokasi membeli, membawa dan menadah kitab berkenaan dalam kuliah-kuliah itu nanti. Semoga dimudahkan oleh Allah SWT.

MUSIBAH EKONOMI

masjid-bangka2Malam tadi, sempat mengisi program di Masjid Nurul Hidayah, Kg Bangka-Bangka.

Niat dan hajat penganjur adalah mengadakan solat hajat untuk seorang hamba Allah, jamaah di sana yang juga seorang ahli korporat mudah-mudahan urusan perniagaannya berjalan lancar dan diberkati oleh Allah SWT.

Jadi, dimintalah saya mengisi satu slot ringkas tentang musibah ekonomi yang melanda dunia hari ini. Rasa ralat juga kerana saya bukan ahli ekonomi. Rasa segan bertambah kerana di kalangan yang hadir ramai juga ahli korporat, ahli akademik dan sebagainya.

Cuma dapatlah sedikit sebanyak berkongsi ilmu bahawa musibah, kerosakan dan masalah yang berlaku adalah gara-gara manusia sendiri.

Sudah dilarang Allah SWT agar jangan mengamalkan riba, monopoli, rasuah, hutang yang keterlaluan dengan tidak mengukur diri dan sebagainya.  Pentadbiran ekonomi negara pula bercampur aduk antara sistem Islam dengan sistem kufur.

Apabila berlakunya bala daripada Allah SWT, ia pasti akan turun menimpa dengan secara umum, bukan secara khusus kepada orang jahat sahaja.

Kita mahu salahkan siapa? Pemimpin? Pemimpin hari ini tidak naik sendiri. Dalam sistem demokrasi, pemimpin diundi dan dipilih oleh rakyat. Pemimpin salah? Rakyat yang memilih pemimpin yang salah akan disoal Allah SWT.

Kenapa memilih pemimpin yang tidak mahu melaksanakan Islam? Masing-masing jawab di hadapan mahkamah Allah SWT.

Di hujung ceramah, pengerusi membisikkan kepada saya agar mempertimbangkan tawaran berkuliah dua kali sebulan di sini. Nampaknya kena fikir dahulu.

Majlis diakhiri dengan jamuan istimewa nasi dengan ikan keli. Alhamdulillah.

%d bloggers like this: