Tag Archive: Masjid IPK Kepayan


Masjid IPK Kepayan

Khatib : Ustaz Riduan Bidin

Lokasi : Masjid Nur Islam, IPK Kepayan 

“Alif Lam Miim. Kitab Al Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk hidayah bagi orang yang (hendak) bertaqwa”. (Surah Al-Baqarah, ayat: 1-2)

Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menghuraikan lebih jelas mafhum ayat ini: Taqwa , ertinya memelihara atau melindungkan diri dari sesuatu yang ditakuti dan dibimbangkan. Bertaqwa kepada Allah Ta’ala ialah memelihara diri dari sesuatu yang membawa kepada siksa dan kemurkaan Allah Ta’ala dengan menjalankan (melaksanakan) undang-undang dan peraturan-Nya serta hukum-hukum perintah-Nya.

Al Quran ini menjadi petunjuk hidayah bagi orang yang bertaqwa atau yang berusaha membentuk dirinya untuk mematuhi perintah-perintah Allah Ta’ala dan menjauhi larangan-Nya, kerana merekalah yang terutama sekali yang akan mendapat faedah dari petunjuk hidayah Al Quran, disebabkan iman dan taqwa mereka. Sedang orang yang kufur dan ingkar adalah sebaliknya.

Umat Islam umat terbaik di dunia dan di akhirat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarkannya”. (HR Imam Al-Bukhari).

Rasulullah SAW memberi jaminan bahawa umat Islam yang belajar dan mengajarkan Al Quran dalam erti kata belajar, mengajar sekaligus memahami, menghayati dan mempraktikkan seluruh ajaran dan Syariat Islam yang termaktub di dalam Al Quran akan dikurniakan oleh Allah SWT menjadi umat terbaik, berjaya dan cemerlang di dunia dan akhirat.

Masjid IPK Kepayan

Khatib : Ustaz Riduan Bidin

Lokasi : Masjid Nur Islam, IPK Kepayan Kota Kinabalu

 

Berdasarkan kepada sejarah,  negara kita telah berdepan dengan beberapa siri ancaman keselamatan bermula dengan ancaman pengganas komunis semasa darurat dan kemunculan beberapa kumpulan militan seperti kumpulan tentera sabilillah, kumpulan  Nasir  Ismail, al-Maunah dan lain lain lagi yang  kesemuanya menuntut berlakunya peperangan dan pertumpahan darah serta nyawa.

Alhamdulillah, semua ancaman keselamatan itu telah berjaya diatasi oleh pihak pemerintah dan pasukan keselamatan negara hasil perancangan yang tepat dan strategik demi mempertahankan maruah negara.

Mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa berdasarkan kepada dalil-dalil yang jelas daripada al-Quran dan hadith Rasulullah SAW, para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa mempertahankan negara adalah fardhu kepada setiap orang Islam  manakala menderhaka dan mengkhianati negara merupakan satu dosa besar.

Pengkhianatan dan penderhakaan kepada negara termasuklah cubaan menjatuhkan negara dengan bersekongkol bersama pihak musuh.

Menurut pandangan Syeikh Muhammad Abu Zuhrah bahawa: “Mempertahankan negara adalah wajib keatas setiap muslim”. Hukum ini dinyatakan dengan jelas dalam kitab-kitab fiqh bahawa ianya sama ada fardhu kifayah atau fardhu ain bergantung kepada sejauh mana ancaman yang dihadapi oleh sesebuah negara itu.

Prof Dr Abdul Muin Salim dalam kitabnya  Fiqh al-Siasah menjelaskan bahawa: Mewujudkan suasana yang tidak stabil dalam sesebuah negara yang aman damai adalah haram. Sengaja mewujudkan suasana porak peranda seterusnya mengundang kepada mudharat kepada orang awam hukumnya adalah haram.

Merujuk kepada pendirian Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam yang bersidang pada 6 Mac 2013 mengenai anggota keselamatan yang terkorban dalam isu pencerobohan di Lahad Datu Sabah, bahawa mereka adalah tergolong di dalam Syahid Akhirat kerana terkorban dalam mempertahankan keselamatan nyawa, harta, keluarga, maruah dan kedaulatan negara.

DSC00801

Khatib : Ustaz Zamirul Mat Reseh

Lokasi : Masjid IPK Kepayan

Ramai manusia yang diciptakan oleh Allah SWT dalam keadaan celik, tidak buta, mata boleh melihat dengan sempurna, boleh melihat ciptaan Allah SWT, boleh makan dan minum, berjalan dan lain-lain lagi. Tetapi di hari akhirat nanti mereka yang celik di dunia ini dibangkitkan oleh Allah SWT dalam keadaan menjadi buta. Persoalan besar timbul di sini kenapakah mereka ini dibangkitkan dalam keadaan sedemikian?

Jawapannya ialah kerana  mereka ini berpaling daripada ajaran Allah yang sebenar, tidak melakukan aturan-aturan Allah, melakukan maksiat dan membuat dosa-dosa besar serta menzalimi orang lain, matanya tidak digunakan untuk melihat kebenaran, sebaliknya digunakan untuk melihat kebatilan akibatnya hidup di dunia akan disempitkan, tidak tenang, menderita dan ditimpa musibah. Malahan di akhirat pula, mereka menjadi buta sebagai balasan keengkaran semasa di dunia. Firman Allah SWT di dalam Surah Taha ayat 124-125;

Maksudnya: “Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta. Ia berkata: Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu celik?.”  

Bayangkan betapa azabnya golongan ahli neraka yang diseksa fizikalnya dengan seksaan yang dahsyat, ditambah pula dengan mata yang dibutakan, tidak melihat kawasan sekeliling. Ini adalah satu bentuk seksaan spritual yang amat dahsyat daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang ingkar. Firman Allah SWT di dalam Surah al Hud ayat 106-107:

Maksudnya: “Adapun orang-orang yang celaka (disebabkan keingkaran dan maksiatnya), maka di dalam nerakalah tempatnya. Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu (sepaerti suara keldai). Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi, kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu. Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.”

Khatib : Ustaz Syahrul Husni

Lokasi : Masjid Nur Islam, IPK Kepayan

Islam  mengajar  umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak di alam rahim sehingga kita dilahirkan begitu besar pengorbanannya. Merekalah yang bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik kita sehingga dewasa. Mereka juga sanggup mengorbankan nyawa dan kepentingan diri demi mengharungi pelbagai cabaran untuk masa depan anak-anak.

Kepayahan dan pengorbanan ibu bapa dalam mendidik dan membesar anak-anaknya sekurang-kurangnya dalam tiga keadaan, pertama: ketika mengandung, kedua: Saat melahirkan dan ketiga: ketika kita masih kecil sehingga dewasa. Marilah kita merenung kembali wajah terindah ibu bapa  kita, mungkin ada di antara kita ini  ibu bapanya telah pergi buat selama-lamanya dan mungkin ada yang masih lagi bersama kita di dunia. Cuba kita hayati seketika mungkin pada saat dan ketika ini wajahnya telah kedut ditelan usia, telah lesu kerana keletihan, namun diwajahnya tetap tersimpul senyuman yang mengambarkan kasih sayang yang terpahat dihati  mereka kepada kita.

Ingatkah kita semasa kecil dulu apa yang telah dilakukan oleh kedua ibu bapa, merekalah yang memberi susu, menyuap makanan, memandikan, memakai pakaian, mendodoi dan menidurkan kita, membersihkan najis dan segala kotoran di badan,  menghantar kita ke sekolah demi melihat anaknya ini menjadi insan berguna di kemudian hari. Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa kasih ibu bapa kepada anak-anak berpanjangan sepanjang hayat, pengorbanan dan kudrat dicurah siang-malam, hanya tahu memberi dan tidak mengharapkan apa-apa balasan dari anak kerana menginsafi anak itu adalah lahir dari kandungannya yang dijaga selama sembilan bulan.

Ingatlah apa yang kita miliki pada hari ini, harta, pekerjaan, pangkat, kesenangan  dan keluarga kita adalah hasil dari pengorbanan mereka. Tanpa mereka kita tidak dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat dan pengorbanan mereka kita tidak akan memiliki semua ini. Sehubungan itu, kita sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap mereka. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 23-24 :

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.

%d bloggers like this: