Tag Archive: Masjid IPG Gaya


Tarikh : 4 Julai 2015 (Sabtu)

Lokasi : Masjid an-Nur IPG Gaya Kota Kinabalu

20150704_164715 IMG-20150704-WA0178 IMG-20150704-WA0179 IMG-20150704-WA0180 IMG-20150704-WA0181

Masjid IPG Gaya

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid an-Nur IPG Gaya

Sabda Rasulullah SAW : “Sekiranya manusia mengetahui kelebihan azan dan saf pertama, dan ia tidak mendapatinya melainkan dengan mencabut undi, maka mereka pasti akan melakukan cabutan undi”

Dua perkara yang disebut dalam hadith Rasulullah SAW, ialah kelebihan azan – sama ada melaungkannya (muazzin) atau menjawab laungan azan tersebut, dan berada di dalam saf pertama di dalam solat berjamaah.

Malang yang berlaku dalam pelaksanaan azan dan solat berjamaah – yang mesti diperbaiki oleh masyarakat kita – ialah ada kalangan muslimin yang tidak tahu melaungkan azan sedangkan ia adalah syiar dan syariat Islam yang bukan sahaja dilaungkan ketika azan tetapi juga pada keadaan yang lain.

Begitu juga ketika hendak mendirikan solat berjamaah, ada kalangan jamaah yang suka berada di saf belakang, sedangkan Rasulullah SAW sudah menyatakan ada kelebihan berada pada saf yang lebih hadapan. Bahkan terdapat keadaan jamaah yang memberi peluang kepada orang lain untuk tampil ke saf hadapan ketika ada ruang kosong, sedangkan situasi itu dihukumkan makruh.

Saya sempat meronda masjid dan surau di mana siswa-siswa kami ditugaskan sebagai imam solat tarawih kali ini. Ada yang bertugas setiap malam dan ada yang bertugas mengikut giliran. Alhamdulillah, saya mendapat maklum langsung daripada jamaah dimaksudkan, dan berada berjamaah di belakang imam, mendengar sendiri bacaan dan pergerakan solat yang mereka pimpin.

Hampir kesemua masjid dan surau yang ditugaskan itu pula saya mempunyai kenalan dan rakan-rakan di sana. Saya boleh katakan, pihak pengurusan masjid dan surau berpuas hati kecuali ada sedikit-sedikit kesilapan dalam bacaan, yang saya anggap mereka dalam proses belajar bermasyarakat.

Bagi siswa yang kami pilih khususnya pertama kali ada perasaan gugup dan gemuruh, justeru apabila salah sekali, maka akan berulang lagi kali kedua, ketiga dan seterusnya. Ada kalangan dari semester 3 yang belum sampai kepada surah atau juzu’ yang dikehendaki berlaku kesilapan dalam bacaan.

Walaubagaimanapun, saya sendiri mengalami dan mendengar banyak yang positif berbanding negatifnya. Apa pun, terima kasih atas kepercayaan masyarakat dan tahniah kepada siswa-siswa yang terlibat. Saya kongsikan foto-foto mereka sebagai penghargaan peribadi saya kepada mereka.

Imam Tarawih dari Maahad (1)

Mohd Asnawi dan Sahleyzan Ismail di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral.

Imam Tarawih dari Maahad (2)

Khairul Anuar Doing dan Mohd Sabri di Surau Taman Sri Gaya Kepayan.

Imam Tarawih dari Maahad (3)

Mohd al-Hakim Jamil dan Mohd Sadri Md Ilmi di Masjid IPG Gaya.

Imam Tarawih dari Maahad (4)

Taufik dan Mohd Rizu di Masjid Kg Muhibbah Kepayan.

Imam Tarawih dari Maahad (5)

Hardi Haripuddin dan Hanif Jumat di Masjid al-Hilal Tanjung Dumpil.
Imam Tarawih dari Maahad (6)Mohd Khairul Abd Razak dan Mohd Subri Moksin di Masjid Politeknik Kota Kinabalu Sepanggar

Masjid an-Nur IPG Gaya

Khatib : Ustaz Hj Mohd Shahir Ismail

Lokasi : Masjid an-Nur Institut Pendidikan Guru (IPG) Gaya

Sesungguhnya keamanan dan kesenangan hidup yang dikecapi hari ini adalah tanda kasih sayang Allah SWT kepada setiap hamba dan makhluk ciptaan-Nya. Selagi ada manusia yang menyebut nama Allah SWT dan bersyukur kepada-Nya, maka selagi itulah kita akan terus dilimpahi rahmat serta nikmat yang tidak terhitung banyaknya dari Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Oleh itu, rahmat serta nikmat dianugerahkan Allah hendaklah kita syukuri dengan menjadikannya sebagai perangsang untuk lebih khusyuk dan tawaduk mengabdikan diri kepada-Nya bagi memperteguhkan tahap keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT demi memperolehi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

“Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku).” (S. Al-Baqarah: 152).

Sewaktu membuka kota Mekah, Nabi Ibrahim AS ada berdoa kepada Allah SWT memohon keamanan dan sumber penghidupan bagi penduduknya. Ia terakam di dalam al-Quran :

“…Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka…” (S. Al-Baqarah : 126).

Doa yang dipohonkan oleh Nabi Ibrahim AS ini membuktikan betapa keamanan adalah penting dan sangat diperlukan bagi mewujudkan kebahagiaan hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara. Ini kerana dengan keamanan akan tercapai segala kemaslahatan dan kebaikan yang diinginkan oleh manusia. Lantas, Allah SWT mengabulkan doa Nabi Ibrahim AS sebagaimana firman-Nya (bermaksud) :

“Dan tidakkah mereka melihat dan memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan (Mekah, negeri mereka) tanah suci yang dihormati lagi aman…” (S. Al-Ankabut: 67).

masjid an-nur ipg gaya

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid an-Nur, Institut Pendidikan Guru (IPG) Gaya Kota Kinabalu

Firman Allah SWT (bermaksud) : “Sesiapa yang berpaling daripada peringatanKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang pincang, dan Kami akan kumpulkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. Ketika itu dia bertanya, wahai Tuhanku, kenapa Engkau kumpulkan aku dalam keadaan buta sedangkan dahulu aku di dunia dapat melihat? Allah menjawab : Demikianlah, dahulu semasa kamu didatangi ayat-ayat keterangan Kami, kamu melupakannya. Maka pada hari ini, kamu pula yang dilupakan.” (Toha : 124-126)

Kepincangan yang akan diterima oleh orang-orang yang kufur kepada Allah SWT antaranya berlaku di dalam kubur, iaitu berupa azab siksa, dan azab pada hari kiamat di padang mahsyar sebelum dihumbankan ke dalam api neraka. Sebelum itu, mereka dibangkitkan dalam keadaan buta, meraba-raba kerana mereka tidak menggunakan mata yang diberi oleh Allah SWT  di dunia untuk membaca ayat-ayat Allah.

Adakah sudah cukup bagi manusia mengingati hukum hakam syariat, perintah suruhan dan larangan Allah SWT? Kenapa manusia yang sudah menerima nikmat Allah SWT semasa di dunia dahulu tetap ingkar, degil dan berpaling? Maka layaklah mereka yang berpaling itu dihukum oleh Allah SWT. Marilah kita menghitung amalan kita sebelum nyawa kita diambil oleh Allah SWT, adakah tingkah laku kita bertepatan dengan syariat Allah SWT atau menyeleweng daripadanya.

Khatib : Ustaz Haji Mohd Syahir Ismail

Lokasi : Masjid an-Nur, Institut Pendidikan Guru (IPG) Gaya

Peperangan Badar al-Kubra telah berlaku pada 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah di mana pada tahun ini juga Allah mewajibkan berpuasa sebulan Ramadhan. Peristiwa ini berlaku apabila Rasulullah s.a.w sendiri yang mengetuai pasukan tentera Islam seramai 313 orang telah menuju ke Badar bertujuan untuk menyekat qafilah perniagaan Quraisy pimpinan Abu Sufian bin Harb yang baru pulang dari Syam menuju ke Mekah.

Jumlah tentera Islam tidak begitu ramai kerana ia pada asalnya merupakan suatu operasi dalam menyekat qabilah tersebut dan Rasulullah s.a.w sendiri tidak meramalkan akan berlakunya suatu peperangan terbuka yang besar dan bersejarah. Oleh itu ramai di kalangan sahabat tidak menyertai gerakan ini. Malangnya kemaraan tentera Islam telah diketahui oleh Abu Sufian melalui pengintip yang telah ditugaskannya lalu dia memerintahkan agar wakil qafilah untuk meminta bantuan daripada Kafir Quraisy di Mekah. Disamping itu Abu Sufian telah melalui jalan lain iaitu melalui pantai sehingga mereka berjaya menyelamatkan diri daripada bertembung dengan tentera Islam.

Setelah itu dia menghantar utusan untuk bertemu Abu Jahal bagi menyatakan bahawa mereka telah selamat dan tidak memerlukan bantuan tentera lagi tetapi Abu Jahal dengan sombongnya menyatakan : “ Demi Allah! Kita tidak mahu pulang sekarang sehingga kita sampai di Badar. Kita berpesta di sana selama 3 hari, kita sembelih unta. Minum arak dan menyanyi sehingga seluruh bangsa arab mengetahui perhimpunan dan kedatangan kita. Maka kehebatan kita terus menerus dapat dilihat oleh mereka “.

Rasulullah s.a.w ini telah mengetahui tentang qafilah Abu Sufian telah berjaya menyelamatkan diri disamping bala tentera kafir Quraisy yang besar iaitu seramai 1300 orang dan lengkap bersenjata telah tiba di Badar. Oleh itu tentera Islam tidak boleh mengelak lagi daripada bertempur kerana jika mereka berundur bererti kafir Quraisy akan mendapat kemenangan moral dari segi politik dan tentera serta mendapat kedudukan yang kuat di Semenanjung Arab dan memungkinkan mereka bermaharajalela sesuka hati. Walau pun dengan jumlah yang sedikit dan kelengkapan yang tidak mencukupi namun semangat jihad demi mempertahankan Islam terus membara dalam diri tentera Islam.

Selepas itu Rasulullah s.a.w telah membentuk 2 pasukan pengintip dalam meninjau kekuatan musuh. Pada malam itu Allah menurunkan hujan sebagai pertolongan kepada tentera Islam dan bencana kepada tentera musuh. Kemudian tentera Islam telah membina markaz disebuah tempat yang terletaknya mata air paling dekat dengan musuh di mana di situ mereka telah membina kolam disamping menimbus tempat-tempat air yang lain. Dengan cara ini musuh akan keputusan bekalan air. Kemudian Sa’ad bin Mu’adz telah mencadangkan kepada Rasulullah s.a.w :

“Wahai Rasulullah! Saya cadangkan agar dibina tempat perlindungan untuk menjamin keselalamatan Rasulullah. Biar kami bertempur dengan musuh. Jika Allah mengurniakan kemenangan kepada kita dan kita dapat mengatasi musuh maka itulah yang sangat kami kehendaki. Sekiranya Allah mengkehendaki berlaku sebaliknya maka engkau tetap berada dalam keadaan selamat di tempat itu. Engkau boleh terus bersama dengan orang-orang yang masih ada dan mereka juga kasih kepadamu seperti kami juga. Jikalau engkau mahu meneruskan lagi peperangan, mereka sekali-kali tidak akan meninggalkanmu dan terus mempertahankanmu dengan sama-sama berjihad bersamamu”.

Lalu para sahabat membina tempat untuk Rasulullah s.a.w di satu tempat yang tinggi yang membolehkan baginda memerhati ke arah medan pertempuran. Pada malam Jumaat 17 Ramadhan itu tentera Islam diberikan ketenangan oleh Allah di mana mereka dapat tidur dengan nyenyak kerana keesokan harinya mereka akan bertempur dengan musuh Allah itu. Pada pagi Jumaat 17 Ramadhan, kedua-dua belah pihak bersedia untuk berperang di mana Rasulullah s.a.w sendiri telah menyusun sof tentera dengan susunan yang kemas dan rapi. Selepas itu Rasulullah s.a.w telah mengangkat tangan memohon pertolongan Allah. Antara doa baginda ialah :

اللهم أنجزني ما وعدتني , اللهم آت ما وعدتني اللهم إن تهلك هذه العصابة لا تعبد

“Ya Allah! Wahai Tuhanku, tunaikanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah! Wahai Tuhanku, kurniakanlah apa yang dijanjikan kepadaku. Ya Allah! Wahai Tuhanku, jika Engkau binasakan pasukan kecil ini maka Engkau tidak akan disembah lagi di bumi selepas ini“.

Pertempuran bermula dengan Rasulullah s.a.w meminta agar Ubaidah bin Harith, Sayyidina Hamzah dan Sayyidina Ali mara untuk menentang tiga pemimpin Quraisy yang telah mencabar tentera Islam. Ketiga-tiga pahlawan Islam telah berjaya membunuh musuh mereka di mana kemenangan ini merupakan kemenangan awal dalam menyemarakkan lagi semangat jihad. Selepas itulah berlakunya pertempuran di mana pada peringkat pertama tentera Islam mengambil tindakan bertahan di mana tentera musuh berjaya dilumpuhkan dengan kehilangan banyak jiwa.

Dalam saat yang genting ini Rasulullah terus bermunajat kepada Allah sehingga kain yang disangkut dibahunya terjatuh di mana Sayyidina Abu Bakar yang melihat perkara ini terasa begitu sedih dan berkata kepada Rasulullah : “Cukuplah wahai nabi Allah!“. Allah mengabulkan doa baginda dengan menghantar tentera malaikat. Pada peringkat kedua tentera Islam mula mengambil tindakan menyerang di mana serangan ini turut dibantu oleh tentera daripada kalangan malaikat di mana antara yang dapat disaksikan ialah bagaimana terputusnya kepala dan tangan musuh tanpa dapat dilihat sesiapa yang memancungnya.

Seorang tentera Islam yang sedang mengejar musuh tiba-tiba terdengar pukulan cemeti dari atas dan terdengar suara pahlawan berkuda. Seorang sahabat lagi dapat melihat bagaimana kepala musuh terputus sebelum pedangnya mengenai batang tengkuk musuh itu. Iblis yang menyerupai dirinya sebagai Suraqah bin Malik merasa gementar apabila melihat penyertaan malaikat. Dia terus lari dan terlanggar Al-Harith bin Hisyam sehingga rebah. Apabila ditanya mengapa dia cuba lari lalu dia menyatakan bahawa dia nampak apa tidak mampu dilihat oleh tentera kafir dan dia begitu takut kepada Allah yang amat pedih siksaanNya. Kemudian dia lari sekuat hatinya dan mencampakkan dirinya ke laut.

Abu Jahal sendiri berjaya dibunuh apabila Mu’adz bin Amru telah merempuh lapisan lembing dan tombak yang mengelilingi Abu Jahal sehingga dia berjaya menetak di tengah betisnya. Tiba-tiba Ikramah anak Abu Jahal menetak ke leher pemuda itu lalu terkena tangannya sehingga hampir putus dan hanya tergantung dikulitnya sahaja. Dia meneruskan serangan terhadap Abu Jahal dengan mengheret tangannya yang terkulai di mana ketika terasa sakit lalu dia memijak tangan itu dengan kakinya supaya putus. Kemudian Mu’adz berjaya menetak Abu Jahal sehingga hampir maut. Abdullah bin Mas’ud yang mencari-cari Abu Jahal telah menjumpainya lalu terus memancung lehernya di mana kepalanya telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. Baginda menyatakan bahawa inilah dia Firaun umat ini.

Peperangan yang bersejarah ini berakhir dengan kemenangan yang nyata kepada tentera Islam di mana 70 orang musyrikin terbunuh dan 70 orang lagi berjaya ditawan. Manakala 14 orang tentera Islam telah gugur syahid. Kemenangan ini terus diberitahu kepada penduduk Madinah melalui 2 orang utusan yang dihantar oleh Rasulullah s.a.w bagi menafikan berita bohong yang disampaikan oleh puak munafik dan yahudi yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat.

Berita kemenangan ini disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan yang menjadi lambang kepada keagungan Islam yang bakal menguasai dunia. Mereka bertakbir dan bertahlil menyambut berita ini dan ada para sahabat yang terkemuka yang tinggal di Madinah telah menuju ke Badar bagi menyampaikan ucapan tahniah kepada Rasulullah s.a.w. Kemenangan ini telah meletakkan Islam agama yang tertinggi dan umat Islam menjadi bangsa yang kuat bukan lagi sebagai mangsa penindasan para kuffar. Semoga semangat jihad Badar ini akan membakar semangat kita dalam memastikan Islam menjadi agama yang memerintah bukannya agama yang diperintah.

%d bloggers like this: