Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid Tun Ahmadshah, Kg Inanam Laut

“Tidak patut dan tidak wajar bagi orang yang jahil mendiamkan diri (yakni tidak mahu belajar dan tidak mahu keluar jadi kejahilan, khususnya berkaitan ilmu yang berkait dengan fardhu ain), dan tidak patut, tidak wajar bagi orang yang berilmu mendiamkan diri (yakni tidak mahu mengajar)”.

Hadith ini menceritakan tentang kelebihan menuntut ilmu dan sekaligus tentang tercelanya membiarkan diri dalam kejahilan. Orang yang jahil, jangan dia membiarkan dirinya terus dalam kejahilan, sementara orang yang alim, orang yang berilmu, jangan ia mendiamkan diri, tidak mahu mengajar ilmu pengetahuan dan menyembunyikan kebenaran.

Bahkan dalam hadith Nabi SAW yang lain, menurut Abu Darda’ seorang muslim hendaklah menjadi salah satu : Menjadi orang yang berilmu, menjadi orang yang belajar, atau menjadi orang mendengar ilmu pengetahuan. Maka sesiapa yang tidak tergolong dalam salah satu kategori ini, ia termasuk orang yang rosak binasa.

Justeru, Nabi SAW sangat menyukai orang yang berada dalam majlis ilmu, sama ada mengajar, belajar atau sekadar mendengar. Apabila ia mengetahui dan diberitahu tentang satu majlis ilmu terutama yang berkait dengan fardhu ain, seperti hal berkaitan pengajian fekah, aqidah, tilawah al-Quran dan seumpamanya dan ia bukan berada dalam suasana yang menghalang daripada menghadirinya, maka wajib baginya hadir dan belajar ilmu berkenaan.

Tidak kira ia berlaku di masjid, surau, di pejabat, di mana-mana dewan, maka selagi tiada keuzuran yang menghalangnya wajib baginya hadir sekiranya ia tergolong dalam kelompok yang jahil. Kerana di sana terdapat sebuah hadith Nabi SAW yang sangat terkenal :

“Menuntut ilmu itu wajib keatas setiap orang Islam baik lelaki atau perempuan”.

Maka para ulama’ menjelaskan orang yang jahil dan ia mengetahui ada majlis ilmu di tempatnya, lalu ia tidak hadir dengan sengaja tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak, sekiranya ia tidak hadir sebanyak tiga kali, maka ia termasuk orang yang fasik. Ia mengetahui ada majlis ilmu khususnya perkara fardhu ain, lalu dia hanya duduk mendiamkan diri di rumah, menonton tv, atau melepak di kedai kopi, atau bersiar-siar di pantai dan seumpamanya, maka ia dikira berdosa kerana ia seorang yang jahil mesti menuntut ilmu.