Tag Archive: Masjid Hilal Tg Dumpil


Khatib : Ustaz Agus Latif Hamzah

Lokasi : Masjid al-Hilal Tanjung Dumpil Putatan

“Dan Tuhanmu memerintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka jangan engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan ‘ah’ dan jangan engkau menengking mereka, tetapi katakan kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkan dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakan: Wahai Tuhanku! Kasihani mereka berdua seperti mana mereka sudah memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isra : 23-24).

Tidak dinafikan kasih sayang seorang ibu mengatasi segala-galanya, tidak dapat dinilai emas dan perak, tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Tidak hilang di hati seorang ibu perasaan rindu terhadap anak walau sesaat, kadang-kala ibu tidak dapat menyuap makanan dan melelapkan mata kerana teringatkan anak dan ada ketika air mata berlinangan merindui anak. Bilakah kali terakhir kita bertemu dengan mereka, menatap wajah dan mencium tangan mereka? Cukupkah sekadar mengirim duit sebagai pengganti diri bagi membayar setitis air mata ibu akibat rindu kepulangan si anak? Ambil kesempatan yang ada semasa hidup sebelum mereka pergi buat selama-lamanya.

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukur kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu dan kepada Aku tempat kembalimu.” (Surah Luqman : 14)

Betapa besarnya pengorbanan ibu bapa, namun persoalannya kini, bagaimana pula pengorbanan anak untuk menghargai dan membalas balik jasa serta pengorbanan ibu yang tidak terhitung itu. Ada anak yang sanggup membuang dan menyisih ibu bapanya.  Mereka ini sanggup meninggalkan ibu bapa di rumah kebajikan atas alasan tidak sanggup melayan kerenah ibu bapa yang semakin tua. Islam menganjurkan setiap anak menghormati dan berbakti kepada ibu bapa selagi suruhan itu tidak melanggar syariat Islam. Jika anak mengingkari perintah ibu bapa, maka itu adalah derhaka dan satu dosa besar.

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid Hilal, Kg Tanjung Dumpil Putatan

Satu perkara yang mendukacitakan berlaku di tengah-tengah masyarakat Islam ialah hilangnya keyakinan kepada hukum Allah. Adalah satu perkara yang tidak munasabah dan haram b erlaku di kalangan umat Islam ialah orang-orang yang mengaku beragama Islam, mengucap dua kalimah syahadah, tetapi tidak yakin dengan hukum Allah SWT. Maka apabila tidak yakin kepada hukum Allah itu bermakna juga tidak yakin kepada Allah dan kepada Rasulullah SAW, seterusnya tidak yakin kepada Islam yang mana dia telah mengakui sebagai seorang Islam.

Sebenarnya tidak boleh berkumpul di dalam hati orang yang beriman dengan keraguan dan syak wasangka kepada ajaran Islam kerana syak wasangka kepada Islam dan tidak yakin kepada hukum itu adalah perkara yang boleh membatalkan iman. Di tengah masyarakat, terkeluar kata-kata yang mencabar hukum Allah, mengatakan hukum Allah sudah lapuk, mengatakan hukum yang diamalkan oleh kabilah-kabilah Arab jahiliyyah yang diambil dan dipanjangkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Apa yang mendukacitakan, umat Islam yang begitu ramai tidak merasa apa-apa terhadap orang yang menghina agamanya dan mengejek hukum Islam di hadapan mereka. Di manakah kasih sayang umat Islam kepada Islam sehingga tidak merasa cemburu sedikit pun di dalam hati mereka untuk mempertahankan Islam. Kebiasaannya manusia akan melenting apabila hartanya diganggu gugat, isteri dan anak perempuannya diusik orang lain, tetapi tidak melenting apabila agama dihina dan diperlakukan oleh musuh-musuh Islam. Inilah jiwa umat Islam.

Di manakah letaknya kemanisan iman sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW : Ada tiga perkara, sesiapa yang ada padanya maka ia mempunyai kemanisan iman. Pertama, bahawa Allah dan Rasulullah lebih dikasihinya berbanding yang lain. Kedua, dia tidak kasih kepada orang lain kecuali kerana Allah. Ketiga, dia benci kembali kepada murtad, sebagaimana ia benci dicampakkan ke dalam api.

Saya kira dalam majlis-majlis penyerahan sumbangan beras, program yang berlangsung ahad lalu di Masjid Hilal Kg Tanjung Dumpil adalah yang paling  meriah rasanya. Majlis disekalikan dengan majlis berbuka puasa @ sungkai bersama penduduk kampung dan para penerima anjuran Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah.

Majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan beras kepada hampir 70 penerima dari tiga kampung berdekatan iaitu Kampung Sri Pandan, Kampung Linsuk dan Kampung Contoh. Sumbangan disampaikan bersama-sama oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, Ustaz Haji Nor Azamuddin Umar, Ustaz Haji Khir Abdullah dan Lahirul Latigu. Alhamdulillah, rakan-rakan dari Surau Riyadhus Solihin Taman Austral turut hadiah memberi sokongan dan menyantuni penduduk kampung khususnya para penerima.

Ustaz Nor Azamuddin Umar pula memimpin solat tarawih pada malam berkenaan yang turut dihadiri oleh para jamaah lainnya. Majlis berakhir sekitar jam 9.30 malam. Setinggi penghargaan kami ucapkan kepada semua pihak khususnya tuan rumah JK Masjid Hilal di atas kesudian menerima dan membenarkan kami mengadakan majlis berkenaan di masjid yang baru dan indah ini. Semoga masjid baru yang bernilai RM1 juta ini akan terus makmur dan mendapat rahmat Allah SWT.

%d bloggers like this: