Tag Archive: Masjid Daerah Sipitang


KRIS SIPITANG

Sekali lagi anak-anak muda di Sipitang mengundang saya. Kali ini untuk mengisi satu slot dalam Kem Remaja Islam Sabah (KRIS) peringkat Sipitang yang berlangsung hujung minggu lalu bersama 60 remaja generasi masa depan Sipitang di Masjid Daerah Haji Hashim yang berwajah baru. Alhamdulillah setakat ini saya memberi tumpuan istimewa kepada daerah ini dan rasanya hampir semua undangan dari sini saya cuba penuhi sebaiknya.

Perjalanan saya ditemani oleh dua anak muda dari Putatan – Ardy dan Shafiee – sebagai sahabat musafir dan teman sembang sepanjang perjalanan. Banyak yang kami bualkan terutama berkenaan pembabitan anak muda dalam dunia dakwah serta peranan mereka dalam menggerakkan massa. Mereka berdua cuma anak kampung biasa tetapi saya tetap mengingatkan bahawa setiap orang mestilah bergerak mengikut bakat dan kemampuan masing-masing untuk melebarkan risalah Islam.

Bersama KRIS, saya mengisi sekitar sejam setengah atas tajuk aqidah dan remaja. Syarahan saya berkisar tentang rukun iman yang enam dan dikaitkan dengan isu semasa. Contohnya nama-nama Allah yang indah seperti al-Malik – Allah yang Maha Merajai – meliputi dunia dan akhirat sedangkan kuasa yang ada pada manusia hanyalah bersifat sementara dan terbatas. Bahkan akan dipersoalkan oleh Allah pada hari kiamat. Begitu juga kewajiban mengimani adanya malaikat yang mencatat amalan baik dan buruk menjadikan kita hamba yang sedia berbuat baik walaupun sendirian serta bimbang berbuat jahat meskipun dalam suasana gelap gelita.

KELAS TAHFIZ SIPITANG

Kunjungan ke daerah Sipitang kali ini untuk program ceramah memberi maklumat baru kepada saya. Saya barangkali ‘ketinggalan keretapi’, bahawa sejak 9 tahun lalu rupanya sudah diwujudkan Kelas Pengajian Tahfiz pada hujung minggu di daerah Sipitang. Maklumat ini disampaikan oleh sahabat saya, Tuan Imam Pengiran Kamaruddin ketika bertemu dengannya di Masjid Daerah Sipitang.

Sebenarnya saya sangat tertarik dengan kelas ini memandangkan antara cita-cita saya ialah mewujudkan kelas seumpama ini walaupun hanya dalam bentuk hujung-hujung minggu, kelas malam atau musim cuti persekolahan. Kepada beberapa sahabat dan pegawai di jabatan juga pernah saya luahkan hasrat ini apatah lagi saya sendiri pernah dicadangkan dan diminta oleh sahabat-sahabat untuk mengasas dan menggerakkannya.

Kelas Pengajian Tahfiz hujung minggu di Sipitang menurut Imam Pengiran kini mempunyai hampir 90 orang pelajar dengan kemampuan lima orang pembimbing termasuk dirinya sendiri. Ia adalah cetusan idea Ybhg Datuk Haji Yusuf Kasim, Presiden Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS). Bangunan kelas terletak bersebelahan dengan masjid daerah, dengan jadual bermula pada setiap selasa, jumaat dan ahad antara jam 6.30 petang hingga 8.30 petang termasuk kewajiban solat berjamaah.

Saya melihat anak-anak berumur majoritinya antara 4-12 tahun dengan yuran hanya RM10 sahaja sebulan (tidak termasuk RM30 untuk yuran pakaian seragam) sangat bersesuaian dengan kemampuan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka. Dalam tempoh singkat (2 jam sekali pertemuan) ia diisi dengan latihan solat berjamaah maghrib dan isyak dan kelas hafazan antara waktu maghrib dan isyak dan selepas solat isyak hingga jam 8.30 malam.

Saya difahamkan pembahagian kelas sekurang-kurangnya empat atau lima kelas. Kelas pertama umur 4-6 tahun, kelas kedua umur 7-9 tahun, kelas ketiga 10-12 tahun. Mereka dibimbing menghafaz surah-surah lazim dan juzu’ 30 terlebih dahulu, dan mana-mana pelajar yang agak pantas hafazannya serta sudah menghabiskan juzu’ 30 akan memasuki kelas khas untuk hafazan juzu’ yang lain pula. Satu perkara yang membanggakan menurut Imam Pengiran, kesemua pelajar tahfiz ini yang memasuki sekolah menengah mendapat tawaran yang baik dan menyambung pelajaran menengah di luar daerah.

Masa yang terbatas kerana saya perlu hadir mengisi satu program ceramah menyebabkan tidak dapat bersembang panjang dengan Imam Pengiran untuk mendapatkan lebih maklumat. Insya Allah saya bercita-cita untuk menggerakkannya di Kota Kinabalu. Harap sahabat-sahabat boleh membantu. Kepada penganjur kelas tahfiz daerah Sipitang, tahniah saya ucapkan semoga mereka istiqamah dalam mendidik anak-anak menghafaz al-Quran.

BERSAMA KELAB REMAJA UKHUWWAH SIPITANG

Jam 4 petang, saya bersama sekumpulan empat ‘pendakwah pelapis’ siswa-siswi Sabah yang mengaji di Universiti al-Azhar bertolak dari Kota Kinabalu menuju ke daerah Sipitang. Saya menerima undangan Kelab Remaja Ukhuwwah (KRU) daerah Sipitang untuk mengisi dua slot ceramah bersama 50 pelajar terpilih SMK Pengiran Omar dan SMK Pengiran Omar 2.

Untuk slot pertama tazkirah maghrib di dewan solat Masjid Haji Hashim (masjid daerah)  yang turut dihadiri oleh jamaah maghrib dan para pelajar, saya isikan dengan beberapa peringatan berkenaan kecintaan kepada Rasulullah SAW. Seorang yang meminati dan memuja seorang artis atau seorang pemain bola sepak akan melakukan bermacam-macam perkara sebagai tanda dia meminati ikonnya itu. Namun bagaimana pula bukti kecintaan kita kepada Rasulullah SAW?

Pada slot yang kedua di dewan tertutup masjid selepas solat isyak, ceramah bertajuk ‘valentine day  menurut Islam’ diamanahkan untuk dibentangkan kepada para pelajar berkenaan. Ini berikutan terdapat di kalangan umat Islam yang suka meniru-niru amalan dan budaya orang asing tanpa mengetahui asal usul serta hukum menyambutnya. Dengan bentuk pergaulan bebas yang ada hari inilah yang menghasilkan persetubuhan haram dan anak-anak luar nikah yang kemudiannya dibuang seperti sampah. Kesedaran untuk mencintai dan mengasihi Islam perlu dipupuk kepada mereka agar mengetahui bahawa setiap perbuatan baik dan buruk itu diketahui dan dinilai oleh Allah SWT.

Terima kasih semua pendakwah masa depan – Azlinah Abdul Ghani, Maslina Rosdi, Lasafarudi Lahadi dan Masri Rosdi dari Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM) yang sudi menjadi teman musafir saya sehingga lewat tengah malam sekitar jam 1 pagi baru tiba di rumah. Terima kasih juga buat Ustazah Feriza Berahim yang  mengundang saya balik kampung. Catatan lain berkenaan musafir kami boleh dibaca di di sini.

p/s – program di sipitang berlangsung pada 19 februari lalu, sehari sebelum ulangtahun saya ke 32. Peluang ke Sipitang memberi ruang saya balik kampung kerana di daerah ini saya dilahirkan.

%d bloggers like this: