Masjid Pekan Kunak

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid Daerah Kunak

Setiap jumaat saban minggu, khatib akan memperingatkan tentang taqwa kepada Allah SWT dengan makna melakukan segala perintah dan meninggalkan segala larangan. Perintah dan larangan agama Islam ini ada dalam perkataan, perbuatan dan iktikad hati. Ia berkait dengan amalan peribadi, kekeluargaan, kemasyarakatan dan kenegaraan. Apabila semua perkara ini tertunai, insya Allah umat Islam akan menjadi manusia yang bertaqwa.

Justeru Allah SWT telah menyatakan di dalam al-Quran agar orang beriman masuk ke dalam Islam secara keseluruhan dan tidak mengambil Islam secara sampingan. Mengambil Islam di sudut yang disukai dan meninggalkan ajaran yang tidak sesuai dengan dirinya. Mengikut Islam secara terpilih adalah termasuk dalam rangka pengikut syaitan.