Alhamdulillah, dua kuliah saya dalam minggu ini menggunakan kitab baru, kedua-duanya dengan kitab yang sama. Pertamanya di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan yang minggu sudah kami menamatkan kitab hadith ‘Syamail Muhammadiyyah SAW‘ yang sangat menarik itu. Saya lihat beberapa minggu sebelum itu, tiga buah buku ‘Indahnya Hidup Bersyariat‘ ada diselitkan di rak buku masjid berkenaan.
Justeru apabila kami menamatkan kitab Syamail, saya langsung mencadangkan buku ini untuk dibaca bersama-sama dalam kuliah maghrib setiap isnin yang sudah berlangsung kalau tidak salah hampir empat tahun. Sebelum kitab Syamail kami sudah menamatkan kitab hadith terjemahan ‘Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah‘ yang mengandungi hampir 400 buah hadith yang disaring daripada kitab Sahih Bukhari.
Kedua, di Jabatan Hutan (Pusat Perhutanan Bersepadu Kota Kinabalu), berdekatan dengan Taman Hidupan Liar atau lebih dikenali dengan Zoo Lok Kawi juga mengadakan kuliah dwi bulanan setiap rabu menggunakan buku yang sama juga iaitu ‘Indahnya Hidup Bersyariat‘ tulisan Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus.
Sebenarnya rundingan untuk mengadakan kuliah berkenaan sudah dibuat sejak lebih setengah tahun lalu dengan Tuan Haji Ahmad Yusuf, pegawai di jabatan berkenaan yang juga jamaah Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas. Namun baru tahun ini hajat berkenaan kesampaian dan ia bermula dengan rasminya pada rabu lalu di dewan teater mereka.
Sehingga ini buku ‘Indahnya Hidup Bersyariat‘ terbitan Syarikat Telaga Biru yang khabarnya antara buku agama yang terlaris di pasaran telah saya manfaatkan untuk kuliah di tiga buah lokasi selain dua yang baru bermula minggu ini. Sejak januari 2010, buku yang sama dikuliahkan di Masjid Kg Muhibbah Petagas. Justeru saya kira, daripada sanalah Haji Ahmad mendapat idea untuk membawa ke jabatan tempat beliau bertugas.
Hanya harapan saya jamaah di semua lokasi membeli, membawa dan menadah kitab berkenaan dalam kuliah-kuliah itu nanti. Semoga dimudahkan oleh Allah SWT.