Tag Archive: Masjid al-Muhsinin


MESYUARAT PUM PUSAT

IMG_9805

Pertama kali saya hadir dalam mesyuarat Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Pusat bagi mewakili pengerusi negeri dan timbalan yang berhalangan.

Mesyuarat diadakan di Sekolah Rendah Agama Darul Ulum yang bersebelahan dengan Masjid al-Muhsinin, lokasi  majlis ramah mesra idul fitri sebelum itu.

Rasa segan dan hormat menguasai diri apabila berhadapan dengan tokoh-tokoh umat ini.

YDP PUM Pusat ketika ini – setelah mesyuarat agung yang baru lalu – kekal dipegang oleh Dato’ Sheikh Hj Abd Halim Abd Kadir, mantan Mufti Terengganu.

Beliau rasanya sudah menjangkau umur 70an tetapi masih bertenaga khususnya dalam memimpin PUM buat penggal ke-2 sejak 2007.

Tokoh-tokoh lain di dalam JK PUM juga kekal seperti sesi lalu kecuali 1-2 nama mengundur diri dan diganti tokoh yang tidak kurang hebatnya.

Ada Dato’ Hj Salleh Hj Ahmad, Dr Fauzi Deraman, Dr Abd Karim Ali sementara tokoh muda seperti Dr Roslan Md Noor dan Ust Khairuddin Aman Razali sebagai pelapis.

Saya teruja melihat kepimpinan PUM tambahan lagi saya bertemu seseorang yang pernah saya kenali 20 tahun lalu.

Ust Mohamad Abdullah, Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan disertakan dalam JK Tertinggi kali ini. Beliau  memang orang lama yang berkhidmat dalam PUM.

Pada 1989, beliau datang bertugas di WP Labuan sebagai Kadhi Kanan. Beliau juga kerap turun berceramah di kampung-kampung dan sekolah-sekolah, juga bersahabat dengan bapa saya.

Saya mengenalinya melalui pentas ceramah dan tazkirah di masjid ketika berumur 10-12 tahun, kerana menjelang tingkatan 1 saya beralih ke Kota Kinabalu.

Lima tahun di WP Labuan, beliau berpindah pula. Saya tidak menyangka akan bertemunya semula. Walaubagaimanapun beliau tetap kerap ke Labuan khususnya setelah menjadi Ketua Hakim Syarie WP.

Menjangkakan gabungan tenaga-tenaga baru dan lama kali ini serta kesungguhan yang ditunjukkan, insya Allah PUM akan terus memberi khidmatnya kepada umat Islam demi mencari keridhaan Allah.

Kepada saya, YDP ada memberi semangat : “Insya Allah, jalan melakukan kerja dakwah akan sentiasa ada”.

IMG_9791

IMG_9797

IMG_9803

Geram pun ada, letih pun ada, rasa lucu pun ada, apabila perjalanan kami dari Seremban menuju ke Taman Danau Desa di KL semalam mengambil masa selama 4 setengah jam.

Alamat sudah diberi tetapi kami ditunjuk oleh orang-orang yang salah dan penipu. Setiap kali kami berhenti di stesen-stesen minyak, semua yang ditanya dengan penuh yakin memberi petunjuk kepada kami.

Rasanya tidak kurang 7-8 stesen minyak kami berhenti dan bertanya. Siap dengan gaya tangan mereka menunjuk arah, rupanya eksyen dan auta mereka saja.

Ada pula kata masuk lebuhraya sana, ada pula jangan masuk lebuhraya sana, dah masuk satu lebuhraya, suruh keluar pula. Ramai yang kami hubungi termasuk rakan-rakan di ibu negara, hampir kesemua tidak mengetahui tempat kami tuju.

Alhamdulillah, kami tiba juga di lokasi yang dimaksudkan pada 12.30 tengahari.

Keletihan itu terubat apabila melihat ramai para ulama hadir dalam Majlis Ramah Mesra & Silaturrahim Idulfitri. Lebih memeriahkan keadaan kehadiran ramai masyarakat bukan Islam yang tinggal di sekitar tempat ini bersama-sama menjamu selera.

Ribuan masyarakat berduyun-duyun hadir berganti-ganti dengan penganjur menyediakan 10 buah khemah untuk tetamu berteduh dalam majlis ini.

Penganjur bersamanya daripada Masjid al-Muhsinin, Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM), Koperasi Muslimin Berhad, Yayasan Muslimin Berhad dan Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA).

Saya pula hadir sebagai wakil PUM Sabah menggantikan Ust Hj Muchlish Ali Kasim dan Ust Bungsu yang tidak dapat hadir kerana terlibat dengan Kursus Haji Perdana Peringkat Negeri Sabah pada masa yang sama.

Masjid al-Muhsinin terletak dalam Parlimen Seputeh yang dimenangi oleh DAP dalam PRU lalu. Khabarnya antara yang datang awal dalam majlis semalam ialah YB Puan Nurul Izzah Anwar.

Saya berterima kasih yang tidak terhingga kepada dua orang ini – Ust Ghazali Yunus dan Cikgu Jefry Mohammad yang telah menemani dan menempuh perjalanan jauh bersama-sama.

Di hujung majlis, saya turut bertemu dengan dua siswi Sabah yang berasal dari Kg Brunei Membakut dan Beaufort yang tengah mengaji di UM. Malangnya saya terlupa bertanya nama mereka.

Harapnya setelah ini mereka dapat menghubungi saya kembali.

IMG_9763

IMG_9767

IMG_9770

IMG_9773

IMG_9777

IMG_9778

IMG_9783

IMG_9785

IMG_9788

%d bloggers like this: