Lebih setahun lalu saya pernah ke daerah ini buat pertama kalinya. Masjid al-Amin Pekan Pitas ini ketika itu sudah hampir siap. Saya hanya lalu dan merakam fotonya. Petang rabu lalu, saya sekali lagi ke Pitas untuk program Ma’al Hijrah peringkat daerah. Slot pertama saya diminta mengisi ruang di masjid yang berharga hampir sejuta ringgit ini.

Tazkirah bermula selesai solat isyak dengan hadith ‘al-Wahn’ yang disebut oleh Nabi SAW – ‘hubbud dunya wa karahiyyatul maut’, sikap cintakan dunia, bencikan mati lalu mengakibatkan umat Islam menjadi¬† lemah¬† untuk berjuang menyebarkan Islam dengan apa jua wadah dan pendekatan. Walaupun umat Islam ramai tetapi hanya laksana buih di lautan diserang oleh musuh kiri dan kanan, depan dan belakang.

Kebalikan daripada situasi itu, saya kaitkan pula dengan huraian surah al-Asr yang pendek tetapi mempunyai makna dan kelebihan yang besar sekiranya umat Islam mengambil perhatian terhadap surah ini. Bak kata Imam asy-Syafie, sekiranya umat ini memahami dan mengambil iktibar daripada surah ini, maka itu sudah memadai. Allah SWT memberikan ciri-ciri manusia yang tidak rugi dalam hidupnya dengan empat perkara yang mesti dilakukan oleh manusia untuk mencapai kejayaan dan kemenangan.

Terima kasih JK Masjid dan JHEAINS Pitas yang mengundang.