Tag Archive: Manila


MANILA (1)

Perjalanan dari Terminal 2 LTAKK bertolak jam 2 petang menuju ke Clack International Airport, sekitar 2 jam dari Kotaraya Manila. Kami bertiga, dalam misi ke Cotabato di Wilayah Mindanao untuk menyampaikan bantuan. Sebenarnya berempat, seorang lagi dari Kuala Lumpur dengan penerbangan berasingan. Untuk ke Cotabato memerlukan penerbangan lain dan kami kena bermalam di Manila untuk meneruskan musafir keesokannya.

Ini kali kedua berkunjung ke negara Filipina, tanpa langsung saya menduga seorang sahabat mengajak saya ke negara ini. Pengalaman kali pertama pada akhir 2009 dengan perisa yang bermacam-macam, manis dan pahit, suka dan duka tetapi apabila kali ini lokasi sebenarnya ke Cotabato, yang belum pernah saya kunjungi maka saya mengangguk tanda setuju untuk turut serta.

Filipina adalah negara sekutu rapat Amerika bahkan Amerika pernah menakluk Manila daripada tangan Sepanyol semasa berlakunya Revolusi Filipina menentang Sepanyol. Jauh sebelum itu sebenarnya Islam pernah datang ke sini  dengan Manila pada zaman pra-Sepanyol adalah sebuah kesultanan Melayu Islam semasa zaman keagungan dan perkembangan empayar kesultanan Brunei. Nama MANILA sendiri datangnya dari kalimah Arab iaitu Fi amanillah yang bermaksud “Dalam Lindungan Allah”.

Walau bagaimanapun Islam tidak dapat berkembang pesat di Manila kerana ancaman Sepanyol yang ketika itu sedang melakukan usaha penyebaran agama Kristian. Daripada sembang kami dengan beberapa orang Islam yang ditemui di sini menyatakan bahawa umat Islam di Manila sekitar 1 juta berbanding sekitar 12 juta penduduk Manila. Filipina mempunyai sekitar 90 juta penduduk dan hanya 6-10% sahaja yang beragama Islam.

***

Tiba di Clark jam 4 petang dan kami bertolak ke Bandar Makati, Manila dan bermalam di sana. Lokasi penginapannya ialah Hotel Berjaya yang mempunyai pemandangan indah pada waktu malam dan siang. Sekitar 5 minit dari hotel, kami menjamu makan malam di sebuah restoran arab. Ya seperti pengalaman lalu, kota Manila memang banyak restoran seumpama ini dan kelihatannya juga ramai orang arab di sini.

RONDA MANILA

Selepas solat jumaat, kami meronda beberapa kawasan di Kota Manila.

Antaranya kami menyinggah di sebuah kompleks membeli belah terkemuka di sini. Saya kurang maklum nama sebenarnya (harap pembaca yang tahu boleh maklumkan), tetapi kompleks berkenaan bersambung dengan IMAX The Theathre.

Kami juga singgah sebentar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino untuk menjemput isteri Cikgu Zakaria yang baru dinikahi beberapa minggu sebelum itu di Cotabatu, Mindanao.

Lewat petang kami terus ke Robinson Place, sebuah lagi kompleks membeli belah terkenal. Yang dibeli, hanya sebuah mainan kereta kontrol sebagai hadiah kepada anak.

Sebelum balik ke tempat penginapan kami makan malam di Restoran Juresselem, milik Khalil Darwish, seorang warganegara Palestin yang telah bermastautin di sini selama 22 tahun.

Hotel tempat kami bermalam berdekatan dengan masjid ini. Berjalan kaki tidak sampai lima minit.

Daripada luar tidak kelihatan besar dan luasnya, tetapi apabila masuk nampak besar dan cantik. Solat jumaat yang azannya pada 11.48 pagi itu pada anggaran saya dihadiri tidak kurang 5 ribu orang jamaah yang membanjiri dalam dan luar bangunan masjid.

Di atas mimbar ringkas yang hanya mempunyai 3 anak tangga, tuan khatib di samping tongkat separa pinggang hanya menggunakan nota kecil semasa khutbahnya.

Tiada yang dapat difahami daripada khutbah panjang khatib yang memakan masa 40 minit itu, kerana ia disampaikan dalam bahasa Tagalog. Hanya beberapa ayat al-Quran yang dibaca menjadi bekalan. Antaranya :

1) Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?  (Surah al-Ankabuut : 2)

2) Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. Dia berkata: Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat? Allah berfirman : Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan. (Toha 124-126)

3) Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik) (Syu’ara’ : 88-89)

4) Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayat petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayat petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi Neraka Jahanam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh). (as-Sajadah : 13)

5) Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (al-A’raf : 179)

 

Berpusing dari Carriedo Street, kami seterusnya menaiki pajag menuju ke Islamic Center, juga dalam bandar Quiapo ini. Tidak sampai 5 minit, kami tiba di kawasan ini yang penduduknya kebanyakannya umat Islam.

Kami bertemu dengan Saudara Muhammad Yasin dari Yayasan Kebudayaan Islam Filipina dan beberapa saudara seagama di sana seketika.

Tercatat di luar masjid ini, bahawa ia telah dibina sejak 1964 lagi.

JEEPNEY DAN PAJAG

 

Antara yang menjadi tarikan dan lambang kepada negara ini ialah kenderaan awamnya. Jeepney dan pajag (beca roda tiga).

Jeepney tanpa cermin tingkap dan tiada hentian tetapnya, hanya berhenti mengikut keperluan penumpang naik dan turun. Asalnya adalah jip yang kemudiannya diubahsuai menurut kehendak mereka sendiri.

Ia boleh memuatkan sehingga 15 penumpang di ruang hadapan dan belakang.

Sementara pajag pula ada dua jenis. Sama ada ia asalnya motorsikal (threesycle) ataupun basikal yang diubaisuai. Ada basikal yang dipasang enjin mesin di bawahnya. Sementara kekuatannya pula boleh membawa sehingga 5-6 orang sekaligus.

Ia juga kadang-kadang kelihatan diguna sebagai kenderaan ‘kargo’ yang membawa bermacam barangan harian masyarakat marhaen di sini. Bahkan ia juga menjadi tempat bermalam dan melelapkan mata mereka.

Warna yang bermacam dan gelagat mereka yang pelbagai menarik pemandangan untuk kita menyaksikannya.

 

Berjalan melihat negara dan tempat orang mendatangkan banyak manfaat dan faedahnya.

Di Carreido Street ini, kami melihat manusia yang sangat ramai dengan telatah dan gelagat masing-masing. Carriedo Street ini adalah satu pasar seperti Tamu Gaya di Kota Kinabalu. Hanya bezanya, jumlah manusia yang sangat ramai sekali.

Kami berjalan mulai dari deretan kedai VCD dan DVD, memasuki terowong bawah tanah, melintasi kawasan sebuah gereja Jaimi L. Cardinal Sin Building  yang sesak dengan penganutnya di luar dan dalam, sehingga ke hujung Jalan Carreido dan berpusing ke laluan lain.

Ramainya manusia terutama apabila melihat marhaen yang hanya terbaring di tepi longkang, kotor dan terbiar, tambah lagi dengan kekufuran mereka, membuatkan saya berfikir panjang.

Hakikatnya, betapa manusia ini tiada nilai di sisi Allah SWT jika tidak beriman kepadaNya. Bahkan jika semuanya menjadi hartawan dan jutawan, tiada nilai barang setitik pun tanpa iman kepadaNya.

Ramainya manusia yang terbentang di hadapan mata mengingatkan diri kepada petikan sebuah hadith qudsi :

“Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati jahat umpama hati orang yang paling jahat di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak mengurang-cacatkan apa-apapun dalam kerajaanKu” (HR Imam Muslim)

KOTA DVD

Selepas bersarapan di restoran yang sama pada pagi jumaat, kami terus saja meronda kawasan-kawasan sekitar Bandar Quiapo ini. Oleh kerana kami tiba pada sebelah malam, hari ini barulah dapat meluangkan masa menyaksikan suasana sebenar.

Di sekitar ini, kami menyaksikan deretan kedai menjual VCD dan DVD filem-filem Hollywood, Hong Kong dan lain-lain secara besar-besaran. Kami mendapat maklum bahawa di kawasan ini jugalah kilang-kilang VCD dan DVD diproses.

Saya kurang maklum adakah di sini terdapat istilah VCD atau DVD cetak rompak atau haram, kerana ia dilakukan secara terbuka tanpa gangguan sesiapa. Ataupun ia satu industri yang dibenarkan di negara ini.

Kami juga melihat di kaki-kaki lima deretan kedai itu para pekerja mereka mengemas dan menyarungkan VCD dan DVD berkenaan ke kotak atau sarungnya.

Setiap DVD atau VCD dijual dengan harga semurah RM2.00 hingga RM2.50. Bahkan dalam setiap DVD itu pula boleh memuatkan sehingga puluhan filem pula.

Tajuk-tajuk filem yang dijual pula ada yang baru, ada lama, dan ada juga berbentuk kompilasi. Misalnya filem Harry Porter daripada pertama sehingga terkini. Begitu juga koleksi filem aksi seperti Jackie Chan, Jet Li, dan ramai bintang Hollywood, filem kartun seperti Tom & Jerry, Mr Bean dan lain-lain, dijual secara kompilasi dalam satu DVD.

Jangan terkejut, VCD dan DVD lucah juga boleh didapati secara terbuka. Begitulah musuh merosakkan umat Islam yang menjadi penjual dan pelanggannya.

Tidak banyak gambar yang sempat dirakamkan, bimbang juga.

Jam 7.30 malam kami tiba di Sharief Mansion Hotel, Bandar Quiapo Manila. (Baca Kiapo).

Kami memilih untuk menginap di kawasan ini kerana di masyarakat di sini majoritinya beragama Islam. Oleh itu, masalah makan dan minum lebih mudah dan tidak diragukan lagi.

Sambil duduk menanti rakan-rakan menempah bilik, saya melihat suasana sekeliling. Tiba di kawasan masyarakat Islam di sini membuatkan hati merasa lebih selamat.

Lebih 2 jam sebelum itu diperjalanan, barulah ternampak perempuan yang memakai tudung sementara lelaki berkopiah putih, baru kembali dari masjid.

Tiba di Kota Manila yang begitu besar dan sesak ini mengenangkan saya akan nostalgia di bumi Mesir.

Ada persamaan pada beberapa hal. Kesesakannya, rekaan bangunannya, hon kenderaan yang membingitkan telinga, suasana merempat dan sebagainya.

Sudah lama tidak mengecapi rasa sesak sebegitu. Dalam perjalanan sebelum tiba di Bandar Quiapo ini, di belakang kami ada kenderaan bomba bergerak cemas. Namun tidak banyak kenderaan memberi ruang. Semuanya mengejar hal sendiri.

Hotel Sharief Mansion dikira yang terbaik di kawasan ini. Bilik beraircond dengan tandas dicas sebanyak P700 semalam atau kira-kira RM50++. Bilik berkipas dan tanpa tandas pula dengan kadar P300 semalam.

Kadar murah itu berpadananlah dengan kualiti yang diperolehi pelanggan. Kami menempah 4 buah bilik untuk 8 orang seperjalanan. Bagaimanapun, katil yang disediakan hanya sebuah. Pandai-pandailah berkongsi dan bertolak ansur.

Berehat barang 5-10 minit, kami keluar semula untuk mengisi perut yang kosong sejak 7 jam lalu. Restoran yang menjadi pilihan ialah Restoran Nihayah Halal Fastfood.

Hj Abu Aslam, Cikgu Zakaria dan Ust Ibrahim lebih beruntung kerana mereka boleh berbahasa Irranun (atau di sini dipanggil Maranau), yang menjadi salah satu bahasa perantaraan kebanyakan masyarakat Islam di sini.

Menjamu waktu ini lebih menyelerakan. Lapar dan letih antara faktornya. Menu yang tidak banyak berbeza berbanding di tempat sendiri juga lebih memudahkan. Hanya beras yang dimasak adalah jenis basmati, lebih sedap.

Kami dihidangkan nasi sekali ganda berbanding jumlah kami. Nasi tambah mereka beri lebih awal. Macam tau-tau saja.

%d bloggers like this: