Tag Archive: MANHAL PMRAM


Sumber : http://www.eperjuangan.com/

Kebebasan : Antara Tuntutan Islam dan Doktrin Ideologi Barat

Topik “kebebasan” antara satu topik hangat yang dipermainkan dalam media massa di mana negara dunia sekalipun kerana ia merupakan isu sejagat.

Hari ini, di Malaysia, isu ‘kebebasan’ yang dibawa oleh Irshad Manji juga wajib dibantah oleh umat Islam. Hal ini demikian kerana beliau yang jelas mempamerkan ketokohan liberalnya dengan terang mengakui seorang lesbian bahkan seringkali menaikkan isu kebebasan yang mutlak.

Justeru, dalam isu ini pihak MANHAL PMRAM satu pendedahan berkenaan kebebasan bagi memahami konteks kebebasan menurut perspektif Islam.

KEBEBASAN MENGIKUT PERLEMBAGAAN NEGARA DAN PEMBOLOSANNYA

Terdapat tiga dokumen penting berkenaan Hak Asasi Manusia iaitu Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, Kovenan Antarabangsa Hak-hak Sivil and Politik 1966 dan Kovenan Antarabangsa Hak-hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan 1966.

Dalam kedua-dua kovenan antarabangsa tersebut, hak asasi manusia tidak terbatas kepada hak-hak berikut :

1. Hak kebebasan bercakap, kebebasan beragama, kebebasan berkumpul dan menubuhkan persatuan, kebebasan daripada penderaan dan kesaksamaan di bawah undang-undang adalah hak sivil dan berpolitik

2. Hak kepada pendidikan, pekerjaan dan rekreasi, hak menikmati perkhidmatan yang minimum berkenaan kesihatan, tempat tinggal serta persekitaran yang selamat adalah Hak sosial, kebudayaan dan ekonomi.

Konsep kontrak sosial menggariskan hubungan antara ahli-ahli masyarakat di mana setiap ahli melepaskan hak individu tertentu untuk mendapatkan keselamatan sosial yang bersifat kepentingan ramai.

Hak individu ini seperti hak hidup, makan, minum, pakai, milik, belajar, bersuara, rawatan, bekerja, warganegara dan sebagainya. Tetapi apabila bertembung antara hak individu dengan hak masyarakat, maka hak masyarakat mestilah didahulukan selagi tidak melanggar hak individu yang lebih besar.

Di Eropah dan Barat, mereka mengutamakan hak individu. Bagi mereka, setiap individu berhak melakukan sesuatu perkara yang diinginkannya, selagi perkara itu tidak mengganggu privasi orang lain.

Lantaran itu, atas “tiket” hak individu, muncul pelbagai kontroversi yang mencabar nilai sosial masyarakat di sana. Antara hak individu yang mencetuskan kontroversi adalah membenarkan perkahwinan sejenis dalam kelompok gay dan lesbian, begitu juga hak mereka untuk mempunyai anak dengan pasangan masing-masing walaupun tidak berkahwin.

Jadi, bukan suatu yang memeranjatkan apabila ada artis Barat mengisytiharkan diri mereka gay atau lesbian. Misalnya, penyanyi legenda Britain, Sir Elton John secara terbuka mengaku dirinya seorang gay, manakala pelakon wanita Hollywood, Angelina Jolie pula mengaku mengadakan hubungan sejenis dengan “teman wanitanya.”

Selebriti Barat dan Eropah juga tidak segan-silu mengumumkan bahawa mereka dikurniakan cahaya mata hasil hubungan seks luar nikah dengan pasangan masing-masing. Bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo pada awal Julai lalu dengan bangganya mengumumkan beliau sudah bergelar ayah hasil hubungan seks luar nikahnya dengan pasangannya yang dirahsiakan namanya.

Merekalah masyarakat yang mendakwa sentiasa mempertahankan hak individu walaupun sering kali hak tersebut mencabar nilai sosial dan kemanusiaan mereka sendiri.

Hal ini tidak pelik sekiranya berlaku dalam masyarakat Malaysia dan negara Timur sekiranya kontrak sosial seperti hak kebebasan individu dan hak kebebasan ramai dibolosi akan hak-haknya dengan mengikut beberapa ideology dan doktrin-doktrin Barat yang dicipta untuk merosakkan ketamadunan umat manusia sejagat.

KEWAJIPAN MENGETAHUI HAKIKAT IDEOLOGI SESAT DAN PEMIKIRANNYA

Islam bukan membawa kebebasan secara mutlak (100%) disisi manusia sebagaimana yang difahami maksud “kebebasan” disisi masyarakat Barat sehingga melebihkan hak kebebasan individu dalam kontrak sosial mereka untuk mendapatkan kepentingan material yang dihajatkan.

Dr. Muhammad al-Bahhi dalam kitabnya menyatakan : “Apa yang kita fahami sekarang bahawa berpegang dengan perkara material (kebendaan) dapat membawa kita kepada kebebasan manakala berpegang dengan perkara yang kerohanian (keagamaan) hanya akan membawa kepada kekangan dan statik”.

“Ini adalah kefahaman salah yang kita fahami daripada maksud sebenar kebebasan”[1]

Semenjak Zaman Revolusi Eropah iaitu Zaman Renaissance pada krun ke-16 lalu, yang akhirnya membawa kepada pelbagai istilah dan ideologi, semua ini akan menggadaikan fitrah, naluri keinsanan dalam diri manusia, menghancurkan system kehidupan bermasyarakat, saling bermusuhan, tindas-menindas dan kezaliman akan berleluasa.

Firman Allah : “Mesti ada satu golongan daripada kalangan kamu yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegak daripada mungkar maka mereka itulah golongan yang berjaya”. (Surah Ali-Imran : 104)

Saidina Umar al-Khattab juga pernah bersabda : “Seseorang tidak akan mengenali Islam (secara mendalam) sekiranya mereka tidak mengenali apa itu Jahiliah”.

Antara doktrin-doktrin tersebut [2]:

1. Sekularisma : Perjuangan memisahkan nilai-nilai keagamaan daripada sosial-kemanusiaan, politik, pendidikan, ekonomi, kekeluargaan, sosial, hiburan dan lain-lain

2. Kapitalisma : Memperjuangkan kebebasan mutlak kepada rakyat (swasta) dalam memaju-biak ekonomi, pemilikan harta benda, industry dan perniagaan dalam system ekonomi dan politik

3. Komunisma : Memperjuangkan politik berkerajaan yang mempunyai pemilikan bersama atas faktor pengeluaran dan pemilikan harta serta aset rakyat serta bebas untuk menggunakannya

4. Sosialisma : Memberi kebebasan mutlak kepada rakyat dalam sosio-kemasyarakatan untuk memenuhi keperluan individu mereka dengan perkongsian sama-rata melalui pemilikan harta negara

5. Existentialisma : Memperjuangkan konsep keakuan (individualisma) dalam bermasyarakat tanpa menghiraukan mereka disekeliling dengan mengambil seberapa bayak peluang untuk kepentingan diri sendiri

6. Liberalisma : Memperjuangkan kebebasan dalam kehidupan tanpa keterikatan dengan konsep keagamaan dan menuntut hak sama-rata

7. Pluralisma : Memperjuangkan kebebasan beragama dan menyama-ratakan semuanya dengan beranggapan semuanya adalah daripada Tuhan yang satu

8. Zionisma : Memperjuangkan pembentukan negara haram Israel melalui konsep “tujuan menghalalkan cara”

9. Freemasonisma : Gerakan underground yang berusaha melebar-luaskan pengaruh dikalangan pemimpin utama dunia untuk mewujudkan satu dunia pemerintahan baru “New World Order”

10. Demokrasisma : Memperjuangkan kebebasan majority suara dan bertindak secara total kepada rakyat untuk memilih halatuju sesebuah corak pemerintahan dan pemerintah yang dikehendaki

11. Nasionalisma : Memperjuangkan konsep kebebasan cintakan keturunan, bangsa dan tanah air sendiri dengan mengenepikan hak bermasyarakat bangsa-bangsa lain tanpa apa-apa kepentingan

Sebenarnye, asas ideologi-ideologi itu semua terdiri daripada 4 jenis kebebasan yang dituntut oleh individu-individu yang hidup dalam sesebuah negara sebagaimana yang diterangkan oleh Syeikh Ghounoushi[3] :

1. Kebebasan beragama

2. Kebebasan berpolitik

3. Kebebasan bersosial

4. Kebebasan non-muslim dalam negara Islam

Golongan barat yang memperjuangkan agenda kebebasan tidak lain adalah untuk memenuhi 3 jenis tuntutan individualisma mereka yang boleh menghancurkan umat seluruhnya [4]:

1. Konsep tidak mempercayai pencipta dan memerangi konsep keimanan pada Tuhan, membenamkan manusia daripada akidah-akidah keagamaan mereka dengan tidak mempercayai alam ghaib, syurga neraka, kiamat dan hari pembalasan. Mereka hanya menanamkan keyakinan hanya kepada perkara-perkara yang berunsur maddiah (material) semata-mata.

2. Peninggian terhadap kemahuan manusia secara total yang merupakan asas naluri dan hajat manusia yang tertinggi tanpa ada sekatan dan halangan untuk dipenuhi. Mereka menganggap agama adalah satu perkara yang ilusi dalam benak manusia kerana tidak mampu memperjuangkan kemahuan manusia secara total.

3. Penekanan kepada individualistik dan melunaskan segenap kebebasan yang diperlukan tanpa meletakkan sesuatu disiplin dan piawaian sebagai panduan untuk menyekatnya. Ketika ini kebebasan telah disalah-gunakan apabila tidak mengiktiraf orang lain dalam mendapatkan hak kebabasan. Maka tinda-menindas dan saling jatuh-menjatuh akan berlaku diakalangan masyarakat.

Apabila kite berbicara tentang Ideologi Barat sememangnye inilah inti patinya…. KEBEBASAN.

Dr. Ali Jarishah dalam kitabnya[5] menyimpulkan bahawa semua jenis ideology ciptaan tersebut akan kembali kepada dua asas yang utama :

1. Kepentingan individualistik

2. Kepentingan sosialistik

Kedua-dua kepentingan tersebut berdiri diatas perkara-perkara material (kebendaan) sebagai asas dan topic penyelesaian tanpa memandang langsung kepada unsure-unsur metafizik (perkara yang disebalik alam zahir) yang bersangkut-paut dengan alam ghaib ketuhanan.

Antara tokoh-tokoh ahli falsafah dan pemikir Eropah yang membawa konsep kebebasan dalam ideologi mereka seperti Emmanuel Kant, Spinoza, dan Rousseau.

Para ulama berpendapat bahawa Yahudi merupakan tulang belakang kepada semua ideologi yang diciptanya dan tokoh-tokoh yang diperkenalkan kepada dunia. [6]

MAKSUD KEBEBASAN DISISI ISLAM DAN HAKIKATNYA

Bebas disisi pandangan Imam al-Jurjani dalam Kamus al-Ta’rifat ialah :

“Bebaskan diri daripada tunduk kepada makhluk dan putuskan segala bentuk hubungan serta kaitan dengan perkara-perkara yang lain “.[7]

Mengikut pandangan beliau lagi, kebebasan terbahagi kepada tiga ketegori :

1. Bebas daripada mengikut kehendak nafsu syahwat

2. Bebas daripada mengikuti kehendak diri kerana fokus kehendak mereka kepada kehendak (ketaatan) kepada yang Esa

3. Bebas daripada mengikuti resam (adat) dan kesan (pengaruh luar) terhadap perkara-perkara yang akan memusnahkan diri mereka daripada mendapat tajalli (jelmaan cahaya hikmah) daripada Tuhan.

Inilah “hakikat kebebasan” yang perlu ada di sisi manusia. Apabila mereka bebas daripada ketiga-tiga unsur tersebut maka itulah hakikat manusia sebenar iaitu dengan menjadi hamba kepada Allah taala yang Esa.

Ianya boleh dilihat dalam diri para sahabat-sahabat Nabi s.a.w. hasil tarbiah dalam Madrasah Nubuwwah sehingga mengenali hakikat diri mereka yang sebenarnya.

Lihatlah pada ucapan seorang sahabat Nabi s.a.w. Rab’ie ibn ‘Amier ketika diutuskan Amirul Mukminin Saidina Umar al-Khattab kepada Rustum (penguasa kerajaan Parsi) :

“Allah yang telah mengutuskan kami (umat Muhammad), demi Allah kami telah datang untuk mengeluarkan (membebaskan) sesiapa sahaja (yang ingin) daripada menjadi hamba makhluk kepada menjadi hamba semata-mata kepada Allah, dan mengeluarkan sesiapa sahaja daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, dan mengeluarkan sesiapa sahaja daripada kezaliman agama-agama (yang direka) kepada keadilan Islam”.[8]

ANTARA KEBEBASAN DAN PAKSAAN DALAM ISLAM

Firman Allah taala : “dan tidaklah Aku (Allah) menciptakan manusia dan jin melainkan untuk menghambakan diri mereka pada-Ku”. (Surah al-Dzariyat : 56)

Tugas hamba untuk mengabdikan diri kepada Allah dalam segenap sudut. Oleh kerana itu Allah menganugerahkan kita beberapa nikmatnya, anataranya akl nurani.

Walaupun Allah taala menciptakan akal kepada manusia untuk memilih jalan kebaikan ataupun keburukan melalui logical dan rasional akal namun Allah mengutuskan Rasul sebagai pembimbing kepada manusia. Ini kerana akal yang Allah kurniakan kepada manusia mempunyai had dan sakatan yang tertentu.

Pengutusan Rasul merupakan hikmah yang amat besar kepada manusia untuk menunjukkan jalan yang lurus agar dapat mengawal keterbatasan akal mereka dalam bertindak dan mengarah agar kebebasan yang difikirkan akal mampu dikawal oleh panduan rasul-rasul Allah melalui pengajaran agama.

Firman Allah : “Sebagaimana telah Kami utuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu yang membacakan ayat-ayat Kami, manyucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Kitab (al-Quran) dan hikmah (Sunnah) serta mengajarkan apa yang belum kamu ketahui”. (Surah al-Baqarah : 151)

Tetapi, para pemikir dan ahli falsafah sejak sekian lama melampaui dalam menjadikan akal sebagai “tuhan” mereka untuk menentukan apa yang baik dan buruk. Mereka menjadikan akal sebagai penghukum kepada sesuatu persoalan yang timbul dalam benak fikiran mereka. Mereka menjadikan akal sebagai penggubal syariat dan perlembagaan untuk diikut dalam kehidupan.

Sebenarnya, akal bukanlah satu piawaian yang sempurna untuk dijadikan ukuran apa yang baik dan buruk kerana ianya berbeza-beza antara satu dengan yang lain. Bahkan akal disisi manusia tidak mampu untuk mencapai segenap pengetahuan dan ilmu yang ada.

Apabila akal tidak mendapat petunjuk daripada langit (wahyu Allah dan pengutusan rasul), maka akal manusia akan cenderung kepada syahwat dan hawa. Ianya akan terkesan dengan mana sahaja individu-indivdu, unsur-unsur setempat, dan akan mengikut pegangan dan adat-adat yang diwarisi oleh nenek moyang yang karut-marut.[9]

Konsep kebebasan akal inilah yang menjadi perbahasan sejak sekian lama bahkan terkesan kepada umat Islam selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.

Dr. Muhammad Ahmad Abdul Kadir dalam kitabnya[10] menyatakan terdapat perbezaan tentang konsep kebebasan pada awal Islam (selepas kewafatan Rasulullah) dan pada masa sekarang.

Kebebasan pada awalnya dikalangan ulama Ilmu Kalam dalam skop “ikhtiar dan paksaan” serta “perbuatan hamba” sehingga muncul beberapa mazhab akidah dalam Islam seperti Jabariah, Jahmiah, Qadariah, Muktazilah dan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Secara ringkasnya, Syeikh Ibrahim al-Baijuri dalam kitabnya[11] menyimpulkan kefahaman mereka tentang persoalan kebebasan dikalangan para ulama ketika itu kepada tiga pandangan utama :

1. Jabariah dan Jahmiah (Fatalisma) : Berpendapat bahawa manusia dicipta tanpa dianugerahkan kebebasan untuk memilih dan melakukan sesuatu perkara yang dikehendaki secara mutlak.

2. Qadariah dan Muktazilah (Rasionalisma) : Berpendapat bahawa manusia mempunyai kebebasan mutlak yang tersendiri untuk melakukan sesuatu perkara yang dikehendaki melalui usahanya.

3. Ahli Sunnah wal Jamaah : Berpendapat bahawa setiap manusia diberikan Allah kebebasan berbentuk usaha untuk melakukan sesuatu perkara, tidak dipaksa sebagaimana Jabariah dan tidak pula kebebasan secara mutlak sebagaimana Muktazilah.

Namun konsep kebebasan selepas Zaman Renaissance (kurun ke-16) kebebasan ditafsirkan dengan maksud yang lain sebagaimana yang diterangkan dalam tajuk yang telah lepas.

ASPEK DAN TUJUAN KONSEP KEBEBASAN DALAM ISLAM

Apabila membincangkan topik kebebasan, pasti akan tergambar dalam pemikiran betapa luasnya bentuk dan aspeknya seperti kebebasan berfikir, beragama, berhujjah, berpolitik, bersosial, pendidikan, ekonomi, kesenian, hiburan dan lain-lain.[12]

Namun apa yang dikehendaki dalam konsep kebebasan disisi Islam adalah :

“Kebebasan yang memberi faedah kepada (maslahat ammah) keperluan umum dikalangan manusia sejagat dan menjaga hak-hak mereka serta menolak segenap kerosakan dan maha-bahaya disisi mereka “.[13]

Ini menunjukkan keseimbangan yang dibawa Islam dalam syariatnya iaitu antara menjaga kebebasan individu dan keperluan masyarakat umum. Hak kebebasan individu berkait sangat rapat dengan keperluan dan hak-hak kebebasan umum yang lain dalam pelbagai skop kebebasan.

Antara prinsip kebebasan yang dibawa Islam adalah “Kebebasanku akan berakhir dengan bermulanya kebebasan manusia lain”[14]. Itulah kebebasan yang diajarkan Islam untuk saling menghormati antara hak-hak kebebasan individu lain.

Mengikut kefahaman Ustaz Sayyid Qutb dalam kitab tafsirnya Fi Zilalil Quran, terdapat dua jenis kebebasan yang ada pada individu manusia itu sendiri.

Pertama : (Kebebasan yang bersifat kemanusiaan) iaitu kebebasan yang dimuliakan oleh Allah taala.

Kedua : (Kebebasan yang bersifat kebinatangan) iaitu kebebasan yang dihina Allah.

“Disana, ada kebebasan yang bersifat kemanusiaan, maka Allah taala memuliakan manusia itu sendiri, iaitu kebebasan manusia dengan mendapat kemenangan keatas hawa nafsu mereka dan menahan akan syahwatnya, serta dipindahkannya untuk menyeimbangkan antara pilihan dan kehendak mereka. Disana ada juga kebebasan yang bersifat kebinatangan, iaitu kekalahan manusia dihadapan nafsu sendiri, menjadi hamba kepada syahwat mereka, keterlepasan daripada mengekang kehendak mereka, inilah kebebasan yang digelar kepada mereka, seorang makhluk yang ditewaskan kemanusiaan mereka serta diperhambakan perhambaan mereka dengan pakaian yang dusta daripada kebebasan sebenar”.[15]

KEBEBASAN ADALAH ASAS DAN TUJUAN PENSYARIATAN ISLAM

Sesuatu hukum dalam pensyariatan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai tujuan dan hikmah tertentu. Disisi ulama’ Usul Fiqh, ianya dikenali dengan “Maqasid Syari’yyah”.

Dr. Ahmad Raisuni[16] ada menyatakan bahawa Imam al-Ghazali dalam kitabnya al-Mustasfa menyatakan lima Maqasid Syari’yyah dalam Islam mengikut tertib :

1. Menjaga agama : Larangan supaya tidak syirik dan murtad kepada Allah

2. Menjaga nyawa : Larangan agar tidak membunuh dan mencederakan manusia lain

3. Menjagga akal : Larangan daripada meminum arak dan seumpamanya

4. Menjaga keturunan : Larangan supaya tidak berzina dan gejala sosial

5. Menjaga harta : Larangan daripada merompak, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain

Imam al-Qurafi dalam kitabnya, Syarh Tanqih al-Fusul menambah satu lagi daripada Maqasid Syar’iyyah menjadi enam iaitu menjaga maruah. Antara larangan Allah kepada manusia untukmenjaga maruah seperti menutup aurat, menjaga aib manusia lain, menjaga kehormatan dalam bermasyarakat dan lain-lain.

Apabila diperhatikan daripada Maqasid Syar’iyyah diatas, ia menunjukkan pensyariatan Islam merupakan agama yang menganjurkan hakikat konsep kebebasan yang sebenar.

Firman Allah : “dan tidaklah Kami (Allah) mengutuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk mebawa rahmat kepada seluruh alam sejagat”. (Surah al-Anbia’ : 107)

Firman Allah lagi : “Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran (syariat Islam) dari Tuhanmu sebagai penyembuh bagi penyakit yang ada dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman”. (surah Yunus : 57)

Imam ibn Qayyim dalam kitabnya menyatakan : “Syariat Islam semuanya adalah keadilan, rahmat, keperluan dan kebijaksanaan. Setiap perkara yang muncul hasil daripada keadilan kepada kezaliman, daripada rahmat (kasih sayang) kepada dendam permusuhan, daripada keperluan kepada kerosakan, dan kebijaksanaan kepada perkara sia-sia, semuanya itu bukan daripada syriat Islam [17]”.

Inilah rahmat kebebasan daripada Allah taala melalui agama Islam kepada semua manusia kerana mereka keadaan bermasyarakat mendapat hak kebebasan masing-masing apabila hak-hak mereka dijaga daripada dicabuli, keperluan mereka dipenuhi dan kehidupan dunia serta akhirat mereka dijamin disisi syariat Islam.

Ibn Khaldun ada menyebutkan : “Manusia itu mempunyai kecnderungan bertamadun dari sudut tabiat asalnya”[18] Iaitu manusia berhajat antara satu sama lain dalam bermasyarakat dan bertamadun untuk saling menolong pada memperoleh kebaikan dan menolak keburukan.

KESIMPULAN

Dr. Abdullah Nasih Ulwan dalam kitabnya[19] menyatakan beberapa sebab untuk mendapatkan petunjuk Allah dan kebebasan sebenar dalam Islam. Antaranya :

1. Anugerah fitrah : iaitu kejadian manusia mempunyai naluri semulajadi berkehendakkan kepada pencipta dan meyakini tentang keEsaan Tuhan

2.Anugerah akal : iaitu manusia pada tahap kematangannya mampu membezakan antara kebaikan dan keburukan serta hak dan batil

3. Anugerah kebebasan memilih : iaitu Allah memberi peluang kepada manusia untuk melakukan apa yang dikehendakinya sesuai dengan kehendak syara’

4. Anugerah kesempurnaan pancaindera : iaitu diciptakan manusia alat untuk mencapai kefahaman melalui mata, telinga, hidung, mulut dan deria rasa

5. Anugerah beragama : iaitu sebagai manual dan panduan yang mengikut kemampuan manusia untuk mencapai kebebasan sebenar disisi Tuhan

Wallahu a’lam
“Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar”
“Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”
Disediakan oleh :
Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin
Ketua Badan Pengetahuan Dan Penyelidikan PMRAM 2012

[1] Kitab Islam fil Waqie’ al-Ideolojil M’uasarah karangan Dr.Muhammad al-Bahhi : m/s 17
[2] Lihat kitab al-Ittijahat al-Fikriah al-Mu’asarah karangan Dr. Ali Jarishah
[3] Kitab Muqarabat fi Ilmaniah wa Mujtama’ al-Madani karangan Dr. al-Ghannoushi
[4] Kitab Qadaya Islamiah Mu’asarah haula al-Islam wal Fikrul ‘Alami karangan Dr. Taha Dusuki al-Hubaisyi : m/s 12
[5] Kitab Ittijahat al-Fikriah Mu’asarah karangan Dr. Ali Jarishah : m/s 47
[6] Op. Cit : m/s 46
[7] Kitab al-Ta’rifat karangan Imam Ali bin Muhammad al-Jurjani : m/s 76
[8] Kitab Tarikh al-Umam wal Muluk karangan Imam al-Tabhari : jilid 2 m/s 104
[9] Lihat kitab al-Nubuwwah wal Sam’iyyat min Mabahis Ilmu Kalam karangan Dr. Muhyiddin al-Safi : m/s 16
[10] Kitab Qadaya al-Fikrul Islami al-Hadith bainal Asalah wal Mu’asarah karangan Dr. Muhammad Ahmad Abdul Kadir : m/s 201
[11] Kitab Tuhfatul Murid ‘ala Jauharah al-Tauhid karangan Syeikh Ibrahim bin Muhammad al-Baijuri : m/s 247
[12] Lihat kitab Usulul Nizham dl-Ijtima’ie fil Islam karangan Dr. Muhammad Tahir ibn ‘Asyur : m/s 160
[13] Kitab al-Hurriyyah al-Diniah wa Maqasiduha fil Islam karangan Dr. Wasfi ‘Asyur : m/s 20
[14] Ibid : m/s 22
[15] Tafsir Fi Zilalil Quran karangan Ustaz Sayyid Qutb : jilid 6, m/s 3819
[16] Kitab Muhadarah fi Maqasid al-Syar’iyyah karangan Dr. Ahmad Raisuni : m/s 165
[17] Kitab I’lam al-Muwaqqi’ien karangan ibn Qayyim : jilid 3, m/s 1
[18] Kitab Muqaddimah karangan ibn Khaldun
[19] Kitab Af’alul Insan bainal Jabar wal Ikhtiar karangan Dr. Abdullah Nasih Ulwan : m/s 45

Tajuk Asal : MENYANGKAL TULISAN SAUDARA MOHD SHAUKI ABDUL MAJID PENGURUS PENYELIDIKAN YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA (YADIEM) BERKAITAN ISU LESEN PERJUDIAN.

Oleh Khairul Anuar bin Ismail

“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani”

Akhbar Utusan Malaysia pada hari Isnin bertarikh 24.5.2010 telah menyiarkan satu rencana yang telah dikarang oleh saudara Mohd Shauki Abdul Majid, pengurus penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIEM) yang bertajuk ‘Kerajaan Tidak Menghalalkan Judi dan Arak’. Rencana itu dikarang dengan tujuan menjawab isu lesen perjudian bola sepak yang diberikan oleh kerajaan Malaysia. Di dalam rencana tersebut pengarang mendakwa bahawa pemberian lesen perjudian tersebut tidak bercanggah dengan kaedah siasah syariyyah sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w dan Saidina Umar al-Khattab.

Namun setelah diteliti dengan mendalam mengikut nas-nas al-Quran dan hadis serta kaedah syarak, rencana tersebut secara jelas tidak dapat memberikan hujjah yang benar dan didapati banyak kesilapan yang telah dilakukan oleh pengarang dalam usaha membenarkan dakwaan beliau. Secara ringkas, pengarang mahu menyamakan hukum berkaitan arak dengan hukum perjudian yang mana membenarkan sebuah negara membuka ruang aktiviti perjudian sebagaimana arak dibenarkan kepada bukan Islam berdasarkan maslahah. Di sini pihak saya akan menyatakan kesilapan-kesilapan tersebut berdasar beberapa perkara dibawah:

Kesilapan Pertama:

Pengharaman judi disamakan dengan pengharaman arak

Dalam muqaddimah rencana tersebut, pengarang telah menyebut perihal pengharaman arak secara beransur-ansur (tadarruj) sebagaimana yang tersebut di dalam Al-Quran pada surah Al-Baqarah (ayat 219), surah Al-Nisaa’(ayat 43) dan surah Al-maidah (ayat 90). Tujuan pengharaman arak secara beransur-ansur adalah untuk meraikan keadaan dan suasana umat Islam pada ketika itu yang masih lagi dalam peringkat pembinaan iman. Pengarang walaubagaimana pun telah menyamakan pengharaman judi dengan arak semasa mengulas ayat 43 surah al-Nisaa’ dengan kata beliau:

“Pada peringkat kedua, Allah SWT menurunkan ayat selanjutnya, iaitu ayat 43, surah al-Nisa. Antara kandungannya ialah Allah melarang orang Islam menunaikan solat ketika mereka mabuk, sehinggalah mereka benar-benar mengetahui apa yang mereka bacakan. Pada tahap itu, arak dan judi masih belum diharamkan secara tegas.”

“Akhirnya, Allah menurunkan firman-Nya dalam surah al-Maidah, ayat 90 yang dengan tegas mengatakan bahawa arak, judi, menyembelih korban untuk berhala dan nujum adalah lebih keji dan lahir daripada perbuatan syaitan.”

Pada hakikatnya pengharaman judi tidak boleh disamakan dengan pengharaman arak dari sudut tadarruj (bertahap). Pengharaman judi sebenarnya adalah sama dengan pengharaman zina, bunuh, mencuri, merompak dan lain-lain yang mana pengharamannya datang secara terus tanpa disebut secara bertahap sebagaimana pengharaman arak kerana mudarat aktiviti perjudian amat besar kepada masyarakat berbanding arak yang mana ia digunakan juga untuk aktiviti lain seumpama tujuan perubatan oleh masyarakat pada ketika itu selain daripada minuman.

Oleh itu pengharaman sekaligus telah diwahyukan oleh Allah dalam surah Al-Maidah ayat 90. Maka jelaslah di sini pengharaman secara bertahap adalah dikhususkan untuk arak tidak termasuk judi dengan hikmah tertentu. Walaupun pengharaman judi tidak disebut di dalam al-Quran sebagaimana arak tetapi ia tidak bermakna judi dihalalkan oleh Islam sebelum dinyatakan secara jelas di dalamnya. Kalaulah kaedahnya begitu, maka perbuatan lain seperti membunuh, merompak dan berzina dikira halal sebelum diharamkan oleh al-Quran.

Kesilapan Kedua:

Mendakwa dalil orang bukan Islam boleh meminum arak berdasarkan perbuatan Rasulullah s.a.w menyuruh para sahabat membayar ganti rugi(dhoman) terhadap bekas arak yang dipecahkan.

Pengarang berkata:

“Pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW, beberapa sahabat memecahkan tempat menyimpan arak milik bukan Islam. Rasulullah telah meminta supaya para sahabat berkenaan membayar diat (ganti rugi) yang jumlahnya setimpal dengan nilai barangan yang telah dirosakkan. Ini boleh dijadikan asas bahawa orang bukan Islam boleh meminum minuman yang memabukkan atau memprosesnya selagi tidak memudaratkan orang lain”

Pertama, pengarang mengistilahkan ganti rugi dengan perkataan diat. Istilah tepat yang sepatutnya digunakan mengikut ilmu feqh adalah dhoman. Kedua, hadis tersebut langsung tidak menyebutkan orang bukan Islam harus minum arak secara jelas (sorih) atau melalui mafhumnya (samada mafhum muwafaqah, mafhum mukhalafah dan lain-lain yang digunakan untuk memahami nas).

Ketiga, Rasulullah menyuruh para sahabat membayar ganti rugi adalah kerana merosakkan harta iaitu bekas-bekas yang masih boleh digunakan sedangkan yang diharamkan adalah arak bukan bekas-bekas tersebut. Bekas-bekas tersebut tiada kaitan dengan pengharaman arak.

Keempat, hukum bukan Islam meminum arak di dalam syariat Islam juga adalah berdosa dan dihisab pada hari akhirat. Ini kerana mengikut pendapat yang paling kuat di sisi para ulama, bukan Islam juga ditaklifkan dengan perkara furu’ (seperti solat, zakat dan lain) sebagaimana mereka ditaklifkan dengan perkara usul (iaitu beriman dengan Allah). Maka tiada dalil yang membenarkan atau mengharuskan perbuatan tersebut mengikut nas Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.

Cuma perkara yang membenarkan mereka meminum arak adalah berdasarkan dasar toleransi Islam itu sendiri yang membenarkan penganut agama lain yang berada dalam negara Islam melakukan aktiviti yang dibenarkan oleh agama mereka seperti meminum arak dan memakan daging khinzir. Sesebuah negara Islam itu tidak boleh menghalang mereka dalam soal tersebut. Ianya berlainan dengan judi yang tidak dibenarkan atau dihalalkan oleh mana-mana agama utama di dunia. Oleh itu Khilafah Islamiah sejak dahulu tidak membenarkan judi kerana diharamkan oleh seluruh agama di dunia. (Rujuk Ghairul Muslimin Fi Mujtama’ Islami, Dr. Yusuf Al-Qaradawi, ms 47-48, cetakan Maktabah Wahbah, Kaherah)

Seterusnya pengarang berkata:

“Namun, mereka perlu sedar bahawa perbuatan tersebut bercanggah dengan ajaran umat Islam. Jika mereka hendak meneruskan juga perbuatan itu, maka hendaklah dilakukan secara yang tidak mengganggu umat Islam seperti di tempat-tempat khusus dan tersembunyi.

Pengajaran dan pembinaan hukum Islam seperti dalam kes pengharaman arak ini amat sesuai dengan situasi yang wujud di Malaysia, iaitu umat Islam dan bukan Islam hidup bersama dalam sebuah entiti negara.”

Kemudian pengarang berkata lagi:

“Prinsip itu terkandung dalam siasah syariah. Imam Syafie r.a. dalam kitabnya Asybah Wa al-Nazair ada membincangkan satu kaedah yang bermaksud: Pemimpin seharusnya bertindak ke atas rakyatnya berdasarkan kesesuaian maslahah (kebajikan dan kepentingan umum).”

Memang diakui sekiranya bukan Islam ingin melakukan aktiviti yang dibenarkan oleh agama mereka tetapi diharam oleh Islam (seperti kes minum arak), maka hendaklah dilakukan ditempat khusus dan tersembunyi supaya tidak menyinggung perasaan umat Islam. Tetapi persoalannya, adakah perkara ini betul-betul diangkat menjadi undang-undang Malaysia atau diamalkan secara baik?

Apa yang terjadi adalah berlawanan sebagaimana yang dakwaan-dakwaan yang terdapat di dalam rencana tersebut yang berkaitan dengan arak. Kita boleh lihat sendiri arak dijual secara berleluasa tanpa kawalan, dihidangkan di dalam hotel-hotel, dijual oleh peramugari beragama Islam di dalam kapal terbang, kilang yang terbesar di Asia Tenggara dan diminum serta dijual secara terbuka oleh orang Islam sendiri. Adakah wujud satu kaedah khusus dalam Islam yang membenarkan sebuah negara menjalankan aktiviti perniagaan arak sampai ke tahap itu? Di mana maslahah yang didakwa?

Keadah yang disebutkan oleh pengarang sedikit pun tidak tepat dengan realiti yang berlaku ataupun boleh dianggap telah menyeleweng daripada maksud yang tujuan asal. Apa yang berlaku sekarang adalah satu mafsadah dan bukan maslahah. Adakah tepat sekiranya semata-mata ingin menjaga satu kepentingan kita mengundang satu kecelakaan kepada umat? Adakah sama perbuatan Saidina Umar mengutip cukai import arak dengan keadaan sekarang? Itu adalah persoalan kepada pengarang kerana saya tidak mahu membahaskan persoalan maslahah di dalam Islam secara panjang lebar kerana isu yang diulas adalah berkaitan judi.

Kesilapan Ketiga:

Pengarang silap menyebut kaedah syara’

Samada secara sedar atau tidak, pengarang sebenarnya telah melakukan kesilapan dalam menyebut satu kaedah penting iaitu katanya:

“Malah dalam usul fikah juga terdapat perkara yang menekankan menangani bahaya yang khusus adalah lebih diutamakan daripada bahaya yang umum (yang boleh melibatkan kemudaratan yang lebih besar).”

Kaedah yang sebenarnya adalah berbunyi, “menangani bahaya yang umum (melibatkan masyarakat umum atau lebih besar) lebih diutamakan daripada bahaya khusus (yang bersifat peribadi dan kecil).

Bagi sesiapa yang mempelajari Fiqhul Muwazanah (rujuk Siasah Syariyyah, Dr. Yusuf al-Qaradawi, m.s 300-301, Maktabah Wahbah, Kaherah) akan memahami dengan mudah kaedah tersebut. Kaedah yang sama dalam bahasa arab berbunyi:

“دفع المفسدة العامة يقدم على المفسدة الخاصة”

Mengelak kemudaratan umum lebih utama daripada yang khusus

“ضحى بالمصلحة الخاصة من أجل المصلحة العامة”

Dikorbankan maslahah khusus kerana menjaga kepentingan umum

“يتحمل الضرر الأدنى لدفع الضرر الأعلى”

Ditanggung mudarat yang lebih kecil kerana mengelakkan mudarat yang lebih besar

“يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام”

Ditanggung mudarat yang khusus untuk mengelak mudarat yang umum

Semua kaedah di atas mempunyai maksud yang hampir sama iaitu menjaga kepentingan umum diutamakan dengan menggadaikan kepentingan khusus atau mengelakkan bahaya yang lebih besar dan yang melibatkan masyarakat secara amnya perlu diutamakan dengan hanya menanggung bahaya yang lebih kecil atau khusus.(Qawaid Fiqhiyyah, Dr. Abdul Aziz Muhammad Azzam, m.s 144, Darul Hadith, Kaherah)

Pengarang berkata:

“Pada masa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, beliau pernah mengenakan cukai import ke atas minuman keras yang dibawa masuk dari luar negara. Hasil kutipan tersebut dimasukkan ke dalam sumber am negara dan dibelanjakan untuk pengurusan infrastruktur seperti jalan raya.

Ini menggambarkan suatu pemerintahan yang bijaksana apabila pengimportan najis tersebut dibenarkan dan dikawal. Maksudnya, pemerintah telah mengambil langkah memilih bahaya (kemudaratan) yang sedikit daripada bahaya yang lebih besar.”

Untuk pengetahuan pembaca, kaedah yang digariskan adalah kaedah “menanggung bahaya yang lebih ringan daripada dua bahaya atau Irtikab Akhaffu dharurain”. Maksudnya lebih kurang kaedah di atas. Selain itu, soal yang dilaksanakan oleh Saidina Umar adalah berkaitan arak dengan berdasarkan toleransi Islam dengan bukan Islam seperti yang telah saya nyatakan tadi dalam perbahasan kedua. Kerajaan Islam yang dipimpin oleh sahabat Nabi Muhammad yang agung ini tiada kena mengena sedikit pun dengan urusan perjudian.

Selain itu juga, kaedah ini juga tidak terpakai dalam isu judi kerana memberikan lesen perjudian pada hakikatnya akan menimbulkan darurat yang lebih besar kepada negara bahkan menggalakkan aktiviti perjudian di kalangan rakyat kerana mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan. Mereka juga tidak menanggung risiko penanggkapan polis.

Oleh itu, sekiranya kaedah ini ingin digunakan maka yang sepatutnya yang dilaksanakan ialah kerajaan seharusnya mengharamkan aktiviti perjudian dan menangkap mereka yang berjudi sekalipun terpaksa mengorban harta, masa dan tenaga kerana risiko pengorbanan itu lebih ringan berbanding membiarkan rakyat terjebak dengan aktiviti yang keji lagi mempunyai mudarat yang besar. Dengan itu, barulah kaedah yang tersebut di atas tepat pada perlaksanaannya sebagaimana yang disebut oleh para fuqaha’ serta kerajaan juga dapat mendidik masyarakat agar tidak terjebak dengan arak dan judi.

Kesilapan Keempat:

Menqiyaskan hukum arak dengan hukum judi

Kesilapan yang paling utama dan juga tujuan utama rencana ini dikarang adalah untuk membenarkan tindakan kerajaan mengeluarkan lesen judi dengan membawa dalil-dalil yang mengharuskan perniagaan arak dalam negara Islam.

Maaf, saya ingin katakan bahawa pengarang belum memahami selok belok ilmu siasah syariyyah dengan baik atau memahami ilmu qawaid fiqhiyyah secara sempurna sehinggakan dalil yang dibawa untuk mengharuskan arak dijual dalam negara Islam pun banyak menyeleweng dan salah. Apatah lagi ingin menggunakan hujjah tersebut untuk menghalalkan aktiviti perjudian. Pengarang telah menyebut dalam rencana tersebut:

“Inilah persepsi yang sepatutnya difahami apabila kerajaan mengizinkan pengimportan ke atas arak, atau mengeluarkan lesen judi. Kerajaan juga tidak menghalalkan arak dan judi atau mendorong dan menggalakkan rakyatnya berjudi dan meminum arak.”

“Tegasnya arak dan judi adalah untuk mereka yang bukan beragama Islam, yang menjadikan judi dan arak itu sebagai lumrah dalam kehidupan mereka. Lagi pun undang-undang dalam enakmen syariah di setiap negeri ada memperuntukkan fasal-fasal yang menjatuhkan hukuman ke atas kegiatan dan penglibatan umat Islam dalam kes judi dan arak.”

Sekali lagi ingin saya nyatakan bahawa Islam tidak membenarkan langsung aktiviti perjudian kerana semua agama di dunia tidak menghalalkannya. Ini berlainan dengan isu arak yang mana ia merupakan hak bukan Islam untuk meminumnya dalam negara Islam kerana ia dibenarkan oleh sebahagian agama mereka walaupun Islam meletakkan piawaian tertentu untuk mengelakkan berlaku kemudaratan. Hak ini samalah dengan hak mereka untuk beribadat di kuil-kuil, merayakan hari kebesaran agama mereka dan lain-lain.

Kesimpulan hujjah yang didakwa pengarang ialah judi diharamkan bersama arak yang mana pengharamannya secara bertahap. Judi juga adalah amalan dan budaya jahiliyyah seperti arak maka hukumnya adalah seperti arak. Memberikan lesen judi pula adalah daripada satu perinsip pemimpin negara untuk menjaga maslahah umum dan menanggung mudarat yang ringan.

Setelah dijawab satu persatu maka jelaslah dalil-dalil tersebut adalah dalil rekaan yang tidak berdasarkan keilmuan yang jitu dan tidak menepati realiti. Mereka yang benar-benar mengkaji hukum dan tarikh tasyri’ sangat mudah untuk mematahkan hujjah yang dangkal tersebut.

Tegasnya, mengqiyaskan soal arak dengan soal judi dalam persoalan ini adalah qiyas maal fariq. Sejarah Islam belum pernah mencatatkan mana-mana kerajaan di bawah mana-mana Khalifah membenarkan aktiviti judi kerana judi itu seolah-olah telah membunuh aktiviti ekonomi rakyat.

Akhir sekali, saya menyeru dan mencadangkan kepada kerajaan Malaysia supaya mengharamkan aktiviti perjudian dan menasihati kepada golongan agamawan dalam sektor-sektor kerajaan supaya berani menegur kesilapan dan bukannya mengeluarkan fatwa yang menyeleweng. Saya memohon ampun sekiranya jawapan ringkas ini mengandungi kelemahan. Wallahu A’lam.

Oleh:

Khairul Anuar Bin Ismail

Pengerusi Felow Manhal PMRAM 2010

http://ibnubarqi.blogspot.com/

MENYANGKAL TULISAN SAUDARA MOHD SHAUKI ABDUL MAJID PENGURUS PENYELIDIKAN YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA (YADIEM) BERKAITAN ISU LESEN PERJUDIAN.

%d bloggers like this: