Tag Archive: Mandur Syarif


Minggu lepas saya sempat berziarah ke Muzium Tamadun Islam Sabah. Muzium berkenaan dibuka setiap hari mulai jam 9 pagi hingga 5 petang.

Secara umumnya, mengunjungi muzium berkenaan satu pengalaman yang sangat menarik, khususnya melihat replika-replika pedang-pedang para sahabat Rasulullah SAW, al-Quran cetakan tangan, mengimbau pemerintahan khilafah Islam dan sebagainya.

Cuma ada beberapa perkara yang saya agak janggal dan menjadi persoalan.

Pertama, peraturan melarang mengambil gambar yang sepatutnya dikaji semula. Wallahu a’lam apa kewajarannya. Sebelum ini saya pernah ke Muzium Labuan dan tiada pula larangan mengambil gambar.

Kedua, dalam sudut ajaran sesat di tingkat atas, dimasukkan peristiwa Tragedi Memali sebagai kumpulan ajaran sesat yang kononnya menggunakan azimat di pinggang mereka. Benarkah mereka pernah dikategorikan sebagai kumpulan ajaran sesat?

Ketiga, dimasukkan juga ajaran Mandur Syariff sebagai sesat. Memang Mandur Syariff bukan seorang ustaz tetapi peranan dan jasanya mengislamkan ramai orang Islam di sebelah Pantai Barat Sabah khususnya di Ranau adalah satu fakta yang tidak dapat dinafikan.

Mandur Syariff yang berasal dari Jawa bekerja sebagai mandur di estet Kg Lobou Menggatal, berdakwah sehingga ke Ranau. Saya kira saudara wartawan Abd Naddin yang juga Ketua Penerangan Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Cawangan Sabah banyak maklumatnya.

Saya cadangkan takrif sesat itu dihuraikan lebih lanjut. Adakah sesat sehingga terkeluar daripada Islam ataupun hanya tersilap sahaja.

MANDUR SYARIF

IMG_2125Bagi pengkaji sejarah perkembangan Islam di Sabah, Mandur Syarif bukanlah satu nama kecil dalam dunia dakwah khususnya di sebelah pantai barat dan di Ranau.

Raden Jaya Winata – itulah nama sebenar Mandur Syarif (menurut Pakcik Saip yang kami temui). Di Kg Tebobon dan Kg Lobou Kota Kinabalu, Mandur Syarif bekerja sebagai mandur di ladang getah. Hebatnya, beliau bukanlah seorang ustaz tetapi beliau berdakwah dan menyampaikan Islam melalui perubatan.

Kemahiran mengubat secara tradisi melalui doa-doa dan seumpamanya, memberi ruang kepada beliau untuk memasukkan unsur Islam kepada pesakit yang datang. Lebih mengkagumkan, pesakit yang berkunjung bukan saja dari kampung berdekatan bahkan sehingga ke Ranau termasuk yang bukan Islam.

Peristiwa ini dirakamkan berlaku pada tahun-tahun sekitar 40an, sehingga ramai di kalangan pesakit bukan Islam memeluk Islam secara sukarela.

Demikianlah apabila kita memerhatikan nama-nama orang Islam di sebelah Ranau khususnya orang-orang tua, nama-nama mereka mempunyai pengaruh dan unsur jawa, kerana Mandur Syarif berasal dari sana.

Ternyata setelah berlalu lebih 50 tahun, agama Islam telah berkembang begitu baik, sebahagian besarnya hasil usaha Mandur Syarif sendiri.

Terima kasih kepada Pakcik Saip – bapa kepada Ust Junaidi yang sudi bercerita kepada kami serba sedikit tentang Mandur Syarif secara spontan. Pencarian kisah beliau akan diteruskan selepas ini.

Ini adalah satu contoh yang baik khusus kepada pendakwah muda dan kepada umat Islam secara umum, bahawa apa yang dilakukan oleh Allahyarham Mandur Syarif telah menyampaikan Islam menurut kemampuan beliau sungguhpun bukan seorang ustaz.

Hakikatnya setiap orang Islam adalah pendakwah. Mandur Syarif telah membuktikannya. Kita?

%d bloggers like this: