Tag Archive: Makkah


KEHORMATAN KOTA MAKKAH

mecca-construction-drawing

Sumber : http://bahrusshofa.blogspot.com/

Musim haji tiba lagi.

Jutaan umat akan berhimpun di Kota Makkah untuk menunaikan rukun Islam yang kelima. Hadiah istimewa Allah SWT sediakan buat para tetamuNya, di mana segala amal ibadah yang dilaksanakan dalam kawasan Tanah Haram Makkah diberi ganjaran yang berlipat kali ganda.

Imam al-Hakim, Imam al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah telah meriwayatkan bahawa Sayyidina Ibnu `Abbas RA berkata :- 

“Aku mendengar Junjungan Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menunaikan haji dari Makkah sambil berjalan kaki (yakni menuju ke Mina, Muzdalifah dan `Arafah) sehingga dia kembali ke Makkah, maka Allah SWT menulis baginya untuk setiap langkahnya 700 kebajikan dan setiap kebajikan itu adalah seumpama kebajikan-kebajikan (yang dilakukan) dalam Tanah Haram. Lalu baginda ditanyai oleh sahabat: ” Apakah kebajikan Tanah Haram itu (yakni apakah keistimewaannya kebajikan Tanah Haram) ?” Baginda menjawabnya dengan bersabda: ” Bagi setiap kebajikan itu diganda dengan 100,000 kebajikan.”

Itulah antara kemuliaan yang diberikan Allah kepada Kota Makkah al-Mukarramah. Maka sewajarnya kesucian dan kemuliaan Kota Makkah ini hendaklah sentiasa kita pelihara dengan menjauhkannya daripada segala perlakuan yang menyimpang daripada ajaran agama Islam. Melakukan perbuatan – perbuatan tersebut, bererti kita mencarik kesucian Tanah Haram yang mulia ini.

Ingatlah bahawa dosa maksiat yang dilakukan dalam kawasan Tanah Haram juga akan diberi balasan yang berlipat kali ganda. Oleh itu, janganlah dicemari kota suci ini dengan perbuatan-perbuatan maksiat yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Saking suci dan mulianya Tanah Haram Makkah sehingga dinyatakan bahawa seseorang yang hanya sekadar berazam atau berniat atau bercita-cita untuk melakukan maksiat atau kemungkaran dalam Kota Suci ini pun dicatat sebagai melakukan satu dosa yang akan diazab oleh Allah SWT dengan azab yang pedih. Ini amat berbeza dengan tempat-tempat lain atas muka bumi ini.

Di lain – lain tempat, sekadar berniat atau bercita-cita untuk melakukan maksiat belumlah dikira sebagai melakukan maksiat tersebut, hanya ketika ianya dilakukan maka barulah dicatat dosanya. Menjaga kesucian Kota Makkah daripada dicemari niat jahat atau cita-cita bermaksiat dalamnya juga tidak berhenti kepada orang yang berada kota tersebut sahaja.

Bahkan seseorang yang berada di tempat lain dan dia berazam atau berniat atau bercita-cita untuk melakukan dosa jika berada di Kota Makkah al-Mukarramah, pun akan dicatat baginya dosa yang diniatkannya itu.

Inilah sebahagian keistimewaan Kota Makkah sebagaimana dinyatakan oleh para ulama dan mufassir antaranya oleh Imam Abu Muhammad `Abdul Rahman bin Abi Hatim Muhammad bin Idris al-Razi al-Hanzali asy-Syafie (240H – 327H) yang terkenal dengan gelaran Imam Ibnu Abi Hatim rahimahullah dalam tafsirnya bagi ayat yang ke-25 surah al-Hajj, yang berbunyi:-

” Dan sesiapa yang berazam melakukan di situ (yakni Kota Makkah) sebarang perbuatan yang dilarang dengan cara yang zalim (yakni dengan sengaja dan kesungguhan), Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.”

Allahu … Allah, hanya dengan berazam sahaja sudah diazab dengan azab yang pedih, maka apatah lagi jika azam bermaksiat itu dilaksanakan, entah berapa besar dosanya. Imam Ahmad RA dalam musnadnya meriwayatkan dengan sanad hasan (baik) bahawa Sayyidina Ibnu Mas`ud RA ketika membicarakan ayat di atas menyatakan bahawa jika seseorang bercita-cita untuk melakukan dosa di Kota Makkah sedangkan ketika itu dia berada di Aden Abyan (tempat di Yaman pada hujung Jazirah Arab untuk menunjukkan jauhnya) nescaya Allah `azza wa jalla akan membalasnya dengan azab yang pedih.

Allahu …. Allah, hanya dengan cita-cita atau kehendak atau azam sahaja seseorang akan diberikan azab yang pedih, begitulah ghirah atau “cemburu” Allah terhadap sesiapa yang hendak merobek kesucian, kemuliaan dan kehormatan Kota Makkah al-Mukarramah.

Oleh itu, jagalah kemuliaan dan kesucian Kota Makkah tempat kelahiran Junjungan Nabi SAW dan tempat berdirinya Baitullah yang menjadi qiblat kita. Janganlah dicemari Kota Makkah dengan perlakuan dosa dan maksiat bahkan jangan ada terlintas dalam hati sanubari kita untuk bermaksiat padanya. Mudah-mudahan Allah menerima segala amal para hujjaj dan zuwwar sekaliannya dan memberikan kita rezeki untuk hadir bersama ketika yang dikehendakiNya.

Sumber : http://hajiarshad.blogspot.com/

tetamu menanti giliran

tetamu dah mula masuk ke dalam kaabah

dengan kawalan yang ketat

ketibaan gabenor mekah

penjaga pintu Kaabah

RINDU TANAH SUCI

Foto : Blog Haji Arshad bertarikh 10 September 2011.

Kisah-kisah dari Tanah Suci Makkah dan Madinah sentiasa menggamit hati dan perasaan untuk diri yang kerdil ini bermohon kepada-Nya agar diberikan lagi rezeki dan kesempatan berziarah dan beribadah ke sana. Sepanjang Ramadhan lalu, ramai sahabat dan kenalan menunaikan ibadah umrah dan ziarah bahkan ramai juga yang berhari raya ke sana.

Gembira membaca catatan facebook sahabat lama ketika di Maahad Tahfiz dahulu, Ustaz Nazri Mustakim @ Syem yang tiba di Madinah 2 hari sebelum Syawal tiba dan berada di Tanah Suci selama 12 hari. Beliau menyertai rombongan bersama keluarganya yang rata-rata saya kenali kerana mereka dahulunya menetap di Kota Kinabalu Sabah.

Dalam tempoh Ramadhan, saya turut menerima beberapa pesanan ringkas @ sms dari Makkah. Tuan Haji Mansur Mohammad dari Kelantan yang pernah menetap di Sabah juga berada di Makkah sepanjang Ramadhan dan sebahagian Syawal, yang saya difahamkan amalan ini dilakukan hampir setiap tahun. Puan Hajjah Masneh Abdullah, rakan jamaah dan kuliah di Masjid Negeri Sabah juga akitivis muallaf di Teratak Fitrah juga berada di Tanah Suci. Sempat juga saya menitipkan pesan agar mendoakan saya dan keluarga.

Saya turut menerima khabar sama daripada Ustazah Nurdahlia Abdullah pegawai JAKIM Sabah yang berhari raya di Makkah. Doa saya agar beliau ditemukan jodoh dengan lelaki yang soleh, insya Allah. Siswa Sabah di Mesir antaranya Ustaz Suhaidi Saad juga khabarnya berhari raya di Makkah. Beliau ada memaklumkan keberangkatannya dari Kaherah ke Tanah Suci sebelum pemergiannya tempoh hari.

Sahabat-sahabat dan kenalan di jabatan, jamaah masjid tertentu juga sering bertukar maklumat pergerakan mereka ke tanah suci. Alhamdulillah, Allah SWT memberi kelebihan rezeki kepada mereka, dan memanfaatkan rezeki untuk ke Tanah Suci Makkah dan Madinah. Itu jauh lebih baik dan mulia berbanding kalau melancong ke tempat lain apatah lagi lokasi yang dipenuhi dengan maksiat dan dosa.

Mengubati kerinduan terhadap Tanah Suci Makkah dan Madinah, ada beberapa blog yang sering saya layari (ada yang hampir setiap hari dan ada yang sesekali-sekala). Ia sangat menggamit perasaan membuatkan sesekali air mata mengalir kerana rindu hendak ke sana. Ia suatu perasaan yang sangat susah sekali digambarkan kecuali bagi mereka yang sudah pernah ke sana.

Blog http://manzlie-makkah.blogspot.com/ dengan tagline ‘pengalaman di Kota Makkah’. Catatan profilnya : Tuan Manzlie Makkah, Saudi Arabia. Menetap di Kota Makkah dan berkerja di HOTEL AL-JEWWAR ROYALE ORCHID yang terletak betul-betul sekali di hadapan Masjidil Haram. Kalau tidak salah ingatan, ketika berumrah tahun lepas, saya merancang dengan bantuan Tuan Haji Omar untuk berjumpa tetapi tidak kesampaian.

Blog http://hajiarshad.blogspot.com/ dengan tagline ‘kehidupan Makkah 2’. Pemilik blog ini ialah Tuan Haji Mohd Arshad berasal dari Teluk Intan Perak dan kini di Makkah. Antara catatan profilnya ‘menguruskan Hotel/Katering di Makkah dan Madinah serta urusan Jemaah Umrah dan Haji yang datang persendirian atau kumpulan’. Turut menyediakan khidmat badal haji dan umrah, korban, dam dan akikah serta apa apa urusan di Madinah dan Makkah.

Blog http://muhdkamil.org/blog/ dengan tagline ‘kehidupan ringkas tapi signifikan’ catatan indah Dr Muhd Kamil Ibrahim berasal dari Besut Terengganu. Barangkali hampir dua tahun saya mengikuti blog beliau hampir setiap hari dengan pelbagai catatan peristiwa, terutama kisah-kisah mustajab doa dan pergantungan kepada Allah SWT. Beliau penulis buku ‘travelog haji mengubah sempadan iman’. Dengan doa itulah beliau ditakdirkan oleh Allah SWT berhijrah ke Madinah bersama keluarga sejak 2 hari lepas.

Dua blogger di Makkah dan seorang di Madinah dan dilengkapkan dengan satu web tv siaran langsung dari Masjidil Haram di Makkah (http://www.justin.tv/bidayatv?utm_campaign=live_embed_click&utm_source=blog.hoeda.info#/w/1748062912/18) dan Masjid an-Nabawi di Madinah (http://www.justin.tv/anachedtv2#/w/1758671824/4). Mudah-mudahan ia sentiasa mendorong saya agar sentiasa ingin ke sana. Mari.

Foto dari blog Tuan Manzlie bertarikh 7 September 2011

Foto blog Dr Muhd Kamil bertarikh 11 September 2011 (hari ini)

 

IMAM SYAFIE – PEJUANG KEBENARAN

Buku yang baru dibaca :

Penulis : Abdul Latip bin Talib

Harga : RM 24.00 / RM 27.00

Tarikh Terbit : 20 Dec 2009

Jumlah Muka Surat : 288

Kategori : Novel Dewasa, Novel Dewasa Umum, Novel Sejarah, Novel Sejarah Islam

Penerbit : PTS Litera Sdn Bhd

Nama sebenarnya ialah Muhamad bin Idris bin Abbas bin UIthman bin Shafie bin Saib bin Abdu Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Ayahnya berasal dari keturunan Quraisy dari Bani Mutalib.

Beliau dilahirkan di kota Gaza Palestin pada bulan Rejab tahun 150 hijrah. Ayahnya telah meninggal dunia ketika Imam Syafie masih kanak-kanak. Setelah kematian Idris, Imam Syafie dibawa kembali ke Makkah bersama ibunya yang sememangnya berasal dari Kota Makkah.

Ada yang mengatakan ketika Imam Syafie dilahirkan itulah Imam Abu Hanifah (Imam Hanafi) meninggal dunia akibat diracun oleh pemerintah. Khalifah Islam pada masa itu ialah Khalifah Abu Jaafar al Mansur dari Bani Abbasiyah.

 Imam Syafie dibesarkan dalam serba kekurangan.

Sejak kecil lagi beliau sudah mempelajari al-Quran. Beliau menghafal al-Quran sejak berusia 9 tahun dan pada usia 10 tahun sudah menghafal dan memahami kitab al-Muwatta’ yang ditulis oleh Imam Malik.

Beliau mempunyai suara merdu, boleh bersyair dan bersajak. Bahkan ketika usia 10 tahun itu juga beliau telah menghafaz 10 ribu syair Arab.

Ketika berusia 15 tahun beliau sudah mengajar dan memberi fatwa kepada orang ramai di Masjid al-Haram, kerana kegigihan dan kecerdikan beliau yang luar biasa, beliau mendapat sanjungan masyarakat.

Imam Syafie seorang yang cintakan ilmu dan ulama’. Beliau mengembara menuntut ilmu ke Madinah, Baghdad, Yaman dan Mesir, berguru dengan para ulama di tempat berkenaan walaupun saat itu beliau sudahpun diiktiraf sebagai mujtahid.

Imam Malik adalah antara guru yang dikasihinya, sementara Imam Ahmad bin Hambal adalah antara sahabat dan muridnya yang terkemuka. Beliau meninggal dunia di Mesir ketika berumur 54 tahun akibat penyakit buasir berdarah.

Dapatkan buku berkenaan di :

Pustaka Aslam, Plaza Kingfisher, Likas Kota Kinabalu.

DARI MADINAH KE MAKKAH

15 Mac 2010 (Isnin)

Selesai zuhur terakhir di Masjid Nabawi, kami kembali ke Hotel Andalus tempat penginapan untuk persiapan keluar. Barangan dikemas dan saya memilih untuk mandi sunat dan terus mengenakan pakaian ihram.

Sungguh, perasaan meninggalkan bumi Rasulullah ini begitu menyayat hati sekali. Entah bila pula dapat berkunjung dan berziarah ke mari lagi. Rasanya kenangan 2 malam di sini begitu manis sekali.

Keselesaan beribadah, solat di awal waktu, berdoa sepuasnya di Raudhah, melintasi maqam Rasulullah dan sahabatnya hampir setiap waktu, menziarahi Baqi, mengunjungi masjid-masjid bersejarah, ketenangan tilawah al-Quran…..

Sekitar jam 3 petang, kami bertolak keluar menuju ke Bi’r Ali atau dipanggil Masjid Miqat Dzul Hulaifah, tempat miqat bagi penduduk Madinah dan sesiapa sahaja yang melewati arahnya.

Dari Masjid Nabawi ke sini, hanya sekitar 10km dan perjalanan ke Makkah selepas itu mengambil jarak 410km pula.

Di masjid ini, semua keluar untuk mengenakan ihram (bagi yang belum tukar pakaian ihram) dan solat sunnat ihram selepasnya. Paling penting niat ihram di sini.

Khusus buat rakan-rakan yang berihram pertama kali, kadang-kadang lucu pula melihat aksi mereka berpakaian ihram. Ada saja yang tidak kena dan tidak selesa pada mulanya.

Namun kebanyakannya seperti saya mengakui bahawa setelah berpakaian ihram ini, perasaan begitu lain dan berdebar sekali. Yalah, ini pakaian ibadah umrah yang tidak dikecapi selalu.

Sepanjang perjalanan, talbiah dikumandangkan dan berselang dengan tazkirah yang dipimpin bergilir-gilir oleh para sahabat diketuai oleh Ust Azam dan Ust Nizam.

Labbaikallahumma Labbaik. Labbaika Laa Syarika Laka Labbaik. Innal Hamda, Wan Ni’mata, Laka Wal Mulk, Laa Syarikalak.

Tazkirah yang paling menyentuh bagi saya ialah sebagaimana yang disampaikan oleh Cikgu Abdul Hamid yang begitu bersemangat sekali.

Sambil bas bergerak laju melalui padang pasir dan bukit berbatuan, beliau menyebutkan tentang betapa perjuangan Islam itu sunnahnya melalui kesusahan dan cabaran. Oleh itu tidak wajar kita bersikap malas dan tidak mahu bersusah payah dalam perjuangan.

Memang duduk saja dalam bas yang berhawa dingin, bertalbiah, baca al-Quran, zikir, tidur, termenung ke luar tingkap – itu semua pun meletihkan. Kalaulah perjalanan 5-6 jam itu pun sudah merasa letih, apatah lagi perjalanan hijrah Rasulullah SAW dari Makkah mengambil masa 7-8 hari sebelum baginda tiba di Quba’.

Kami singgah untuk solat maghrib + isyak di sebuah masjid yang berhampiran dengan kawasan Wadi Ummu Ma’bad. Solat kami turut disertai oleh jamaah umrah dari Oman yang kebetulan juga singgah untuk solat di sini.

Ada sebuah kisah yang masyhur berlaku ketika Rasulullah SAW dan rombongan dalam perjalanan hijrah ke Madinah, baginda singgah di sebuah rumah di kawasan padang pasir. Tempat itu dikenali dengan nama Qudaid.

Di rumah itu tinggal seorang perempuan bernama Ummu Ma’bad. Rombongan Rasulullah SAW berhasrat mendapatkan bekalan makanan dan minuman untuk perjalanan yang masih jauh itu.

Ummu Ma’bad seorang yang pemurah. Biasanya tetamu yang datang akan dihidangkan dengan makanan dan minuman tanpa meminta apa-apa bayaran. Namun ketika itu keluarganya kekurangan bekalan makanan.

Ketika itu Rasulullah SAW ternampak seekor kambing yang kurus. Baginda meminta izin untuk memerah susu kambing yang kurus itu. Setelah diizinkan, baginda berdoa kepada Allah SWT dan mula memerah susu kambing tersebut. 

Dengan izin Allah SWT, kantung susu kambing itu penuh. Semua ahli rombongan dapat meminum air susunya dan Rasulullah SAW sendiri meninggalkan sebekas penuh susu kambing untuk Ummu Ma’bad sekeluarga. 

Ada riwayat menyebutkan bahawa sebelum Rasulullah SAW beredar, Ummu Ma’bad sempat memeluk Islam. Tidak lama sesudah pemergian Rasulullah SAW, sekumpulan pemuda Quraisyh datang bertanya kepadanya tentang rombongan Rasulullah SAW.

Namun sebagai seorang yang telah memeluk Islam, Ummu Ma’bad merahsiakan kedatangan dan perjalanan Rasulullah SAW. Riwayat menyebut, Ummu Ma’bad hidup sehingga zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab RA.  

Alhamdulillah, sekitar jam 10 malam, kami selamat tiba di tempat penginapan Hotel Durrah sebelum meneruskan tawaf dan saie pada jam 12 malam.

Bersambung…

Tahun 2002, bersama 18 anak Sabah dari Mesir kami menunaikan fardhu haji. Naik bas beberapa jam ke Pelabuhan Safaja sebelum belayar bersama kapal besar merentasi Laut Merah selama satu hari dua malam.

Kapal besar itu boleh memuatkan beribu orang bersama kenderaan, dan ketika itu jamaah haji dari Mesir dan benua Afrika memenuhi kapal laut dengan gelagat masing-masing.

Di kalangan kami yang 18 itu, ada yang sering kami bertemu kini. Tidak kurang juga yang lama tidak ditemui. Apa khabar Ust Rohinin, Ust Eka, Ust Hardie, Ust Aping (yang bakal menikah), Ust Berry, Ust Azmi, Ust Pojie, Ust Mustakim dan lain-lain?

Ketibaan di tanah suci begitu mendebarkan. Perasaan  bermacam-macam. Teringat lagi, apabila memasuki Masjid al-Haram, Ust Julnie berkata : “Haa.. nampak kamu ka’abah? Nampak?”

Manakan tidak, sepanjang perjalanan, ada yang bercerita tentang dosa dan kesalahan yang dilakukan, bimbang Allah menutup pandangan daripada melihat KaabahNya yang mulia itu. Juga terpengaruh dengan kisah-kisah orang yang ‘dihukum’ dengan hukuman sebegitu melalui buku dan majalah.

Sepanjang tawaf, selain berdoa untuk sendiri, tidak dilupakan doa-doa yang dikirim oleh kawan-kawan yang tinggal. Ada doa minta kawin, doa supaya lulus peperiksaan, doa supaya ibu bapanya aman daripada perceraian, dan bermacam-macam lagi.

Ada satu doa saya yang begitu mengesankan hingga ke saat ini. Saya berdoa kepada Allah SWT, minta kahwin.

Tengah tahun 2002, saya balik Sabah bercuti. Bulan 8, mengikat tali pertunangan dan pada oktober saya selamat mendirikan rumahtangga bersama isteri yang dikasihi.

TETAMU ALLAH

Kesempatan menunaikan fardhu haji adalah satu nikmat kurnia Allah SWT. Bakal haji dipanggil dhuyuf ar-Rahman iaitu tetamu Allah SWT.

Kalau kita memahami makna dan falsafah ‘tetamu Allah’, hakikatnya mereka yang hadir ke tanah suci adalah atas jemputan dan undangan Allah SWT. Mereka termasuk dalam senarai yang tercatat di sisiNya.

Ada orang yang begitu marah sekali apabila bertahun-tahun menanti giliran. Membuat tuduhan bermacam-macam dan seumpamanya. Mereka terlupa ini tetamu Allah.

Ust Muchlish bercerita, pada 2002 mereka menunaikan haji suami isteri. Padahal mereka hanya mendaftar pada september sebelumnya.

Cikgu Ben yang pernah saya ceritakan sebelum ini, namanya pada awal tidak tersenarai dalam bakal haji tahun ini. Surat sudah diterima. Dia hanya berserah dan tidak merayu kerana memahami giliran hanya tiba beberapa tahun lagi.

Tiba-tiba saja dia dihubungi bahawa namanya tersenarai. Alhamdulillah, Cikgu Ben sudah di tanah suci pada saat ini.

Abang Jef, 56 tahun di pejabat kami bergelut, sama ada boleh menunaikan haji pada tahun ini atau tidak. Giliran asal pada 2024. Melalui muassasah, namanya sudah ditolak. Menerusi pakej, dia merayu. Rayuannya ditolak. 

Bagaimanapun, dia masih merayu dan merayu. Dua hari lepas, tabung haji meminta beliau menghantar pasport. Namanya sudah dalam senarai.

Teringat pesanan Dr Kamil ketika mereka bertemu di Masjid Negeri Sabah beberapa bulan lalu : “Berdoa”.

SEMOGA BEROLEH HAJI MABRUR

IMG_0003

Seminggu dua kebelakangan, ramai menjemput hadir ke rumah mereka. Bukan sekadar jamuan rumah terbuka, tetapi niat kenduri doa selamat untuk keberangkatan menunaikan fardhu haji pada tahun ini.

Tidak dapat dinafi dan disembunyikan lagi, hati ini sebenarnya cemburu (yang positif) untuk turut serta dan pergi sekali lagi ke tanah haram itu.

Sesungguhnya nikmat memijak dan berada bumi Makkah dan Madinah adalah satu kesempatan yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Hanya orang yang pernah ke sana memahami perasaan itu.

Ahad lepas, saya hadir di rumah keluarga TJ&R di Kg Petagas untuk kenduri doa memohon keselamatan pergi dan kembali serta beramal dengan sesungguhnya di sana. Mereka 7 sekeluarga akan berangkat pada penerbangan pertama.

Bagi bakal haji Sabah, ada 2 penerbangan iaitu pada 26hb dan 28hb Oktober ini melibatkan khabarnya 900 jamaah haji. Kesempatan ini, saya catatkan beberapa nama yang saya ingati akan pergi ke tanah suci pada musim kali ini :

1. Datuk Ibrahim (BTN) dan Datin Norain Zakaria;

2. Cikgu Md Idzam Zakaria (SMK Majakir);

3. Hj Zawawi Tiyunin (UMS) dan ibunya Hjh Rokiah;

4. Bohari dan Saimah (Kg Peringatan Petagas);

5. Cikgu Saharuddin Sadali (SMESH) dan isteri;

6. Md Pozi Awang (SU Surau Taman Austral), ibu dan isteri;

7. Zulkifli Zakaria (SU Surau Taman Olivia) dan isteri;

8. Ust Bungsu Aziz Jaafar (UiTM Sabah / Tim Pengerusi PUM Sabah);

9. Imam Edenin Mujib (Masjid Bandaraya);

10. Ust Nu’man Abdullah (Kota Marudu) dan isteri;

11. Sharil Sharif (Arkitek) dan isteri;

12. Hj Mansur Mohammad dan isteri (Taman Lok Kawi Sabindo).

Mohon maaf jika ada nama sahabat yang tercicir.

Sepupu saya, Cikgu Idzam yang akan pergi pertama kali, ketika kenduri ahad lepas secara spontan bertanya tip semasa di tanah suci. Spontan juga saya jawab : “Jaga hati dan jaga lidah”.

IMG_0001

IMG_0002

IMG_0005

IMG_0004

%d bloggers like this: