Tag Archive: Majlis Syura Ulamak


Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/42828-sejarah-majlis-syura-ulamak-dan-perjawatan-mursyidul-am

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 14 Oktober 2016.

TRANSFORMASI kepimpinan PAS pada tahun 1982 menyaksikan Haji Yusuf Rawa memangku jawatan Presiden PAS dan antara perkara penting yang berlaku semasa era Yusuf Rawa ialah mewujudkan Majlis Syura Ulamak. Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengusulkan tentang penubuhan Majlis Syura Ulama dan diangkat ke Mesyuarat PAS Pusat. Memandangkan keberkesanan ulamak dalam membimbing dan sebagai simbol penyatuan fikrah dalam PAS, maka semasa dipimpin oleh Haji Yusof Rawa, PAS telah menubuhkan Majlis Syura Ulama.

Majlis Syura telah ditubuhkan untuk memastikan ulama benar-benar membuat keputusan dalam menentukan halatuju perjuangan dan bukan gimik untuk berubah kepada sesuatu yang baru semata-mata. Majlis Syura Ulamak adalah badan tertinggi dengan mengamalkan konsep syura. Walaupun dahulu Dewan Ulama memainkan peranannya tetapi kebanyakan keputusan hanyalah meminta Dewan Harian Pusat. Kini dengan pendekatan syura, Haji Yusof Rawa telah memperkenalkan Majlis Syura yang lebih berwibawa menentukan keputusan-keputusan parti.

Majlis Syura Ulamak telah diberikan beberapa kuasa penting di dalam parti seperti menghurai, menjelas dan mentafsir dasar PAS dan mana-mana peruntukan di dalam perlembagaan parti yang menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya dan membuat ketetapan mengenainya.

Badan ini juga bertanggungjawab mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan parti dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawal serta kehendak-kehendak dalam perlembagaan PAS dipatuhi samada di dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS. Majlis Syura Ulama juga mestilah memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib ahli PAS dan melantik ahli-ahli jawatankuasa tatatertib PAS seperti yang diperuntukkan dalam Fasal 75 Perlembagaan PAS.

Pemilihan ahli majlis begitu sekali cermat dan PAS meletakkan piawaian yang tinggi. Perlembagaan PAS telah menggariskan syarat-syarat yang perlu ada kepada semua ahli Majlis Syura.

Sepertimana yang dicatatkan dalam Perlembagaan PAS Fasal Tujuh (4) ada menyebut bahawa seseorang yang ingin dilantik sebagai Ahli Majlis Syura Ulama perlu memiliki ciri-ciri berikut.

Pertama, ia hendaklah seorang yang mengetahui masalah-masalah pokok (al-usul) dalam Syariat Islam dan hukum-hukum atau/dan dapat merujuk masalah-masalah itu kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ dan Qias dengan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar.

Kedua, ia hendaklah seorang yang adil yakni tidak melakukan dosa besar atau terus menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah terpelihara maruahnya, dan ketiganya hendaklah ia seorang ahli PAS.

Kedudukan ulama yang sebelum ini dipisahkan telah mula memainkan peranan penting dalam pembentukan perjalanan parti, segala dasar yang hendak dijalankan mesti terlebih dahulu dirujuk kepada Majlis Syura Ulamak. Tanpa persetujuan daripada Majlis Syura Ulamak sesuatu perkara tidak boleh dilakukan.

Ini merupakan asas perubahan yang begitu drastik sehingga tidak ada lagi mereka yang boleh mempermainkan dasar dan prinsip PAS. Ia dianggotai oleh ulama yang berwibawa dan struktur ini berbeza dengan orang lain.

Dalam sejarah Majlis Syura Ulama, Haji Yusuf Rawa ialah Mursyidul Am PAS yang pertama, diikuti dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dr Haron Din menjadi Mursyidul Am PAS yang ketiga dengan pelbagai ujian yang sedang dialami oleh PAS sehingga munculnya kumpulan serpihan PAS iaitu Parti Amanah Negara (PAN). Beliau telah diserang daripada pelbagai penjuru oleh musuh-musuh PAS, ini adalah kerana ketegasan beliau dalam mempertahankan prinsip perjuangan PAS.

Kini Majlis Syura Ulamak telah melantik Tuan Guru Ustaz Hashim Jasin, seorang penggerak pendidikan Islam di Perlis sebagai Mursyidul Am dengan kembalinya Dr Haron Din kerahmatullah. Mantan alumni Universiti Baghdad ini adalah kader perjuangan Islam semenjak meremaja di Maahad ‘Alawiyyah Perlis dan juga kader dakwah yang ditarbiah oleh Ikhwanul Muslimin di bumi Baghdad.

Keupayaan intelektual, kematangan pengalaman dengan paduan dokongan ahli-ahli Majlis Syura Ulama, insyaallah Musyidul Am keempat ini akan memacu jamaah dengan segenap keupayaan. Moga Allah mmberkahi harakatul ummah ini! – HARAKAHDAILY 14/10/2016

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Politik Pusat)

Tarikh : 20 November 2014

Lokasi : PASTI Taman Sempelang

Liqa Fikri bersama Ybhg Dato’ Ustaz Nik Muhammad Zawawi Nik Muhammad Salleh, Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS.

Nota :

1) Satu penghormatan yang besar untuk mereka yang berada dalam perjuangan Islam yang menjadi kewajiban walau di mana sahaja posisi mereka.

2) Ayat-ayat al-Quran menceritakan perjuangan para nabi dan rasul bermula zaman Nabi Nuh AS hingga Rasulullah SAW berhadapan dengan kaum masing-masing. Perjuangan mereka sama iaitu memperjuangkan Islam walaupun berkorban jiwa.

3) Kita wajib faham dan semat akan kewajiban perjuangan Islam seperti kita memahami rukun-rukun Islam yang lain seperti solat, puasa, zakat dan haji.

4) Ramai tidak belajar tentang perjuangan Islam seperti tentang daulah, perkara yang mencacatkan perjuangan dan sebagainya. Kefahaman masyarakat ialah ibadah hanyalah berkaitan dengan rukun Islam sahaja.

5) Sifat munafik boleh membatalkan perjuangan. Ahli mesti faham kewajiban usrah, akhlak berjamaah dan lain-lain. Mesti faham kenapa Allah SWT tegah jangan angkat suara mengatasi nabi seperti di dalam al-Quran surah al-Hujurat.

6) Duduk di dalam PAS hendaklah mencari keridhaan Allah dengan istiqamah dalam perjuangan Islam, bukan hendak mencari jawatan atau sebagainya.

7) Tidak ramai sanggup beribadah dalam perjuanga kerana ujian yang banyak dari luar dan dalam. Kadang-kadang berlaku satu kesilapan kecil lalu dijaja oleh kawan-kawan sendiri. Ini sebahagian ujian dalam perjuangan Islam Islam yang memerlukan kesabaran.

8) Rasulullah SAW juga diuji dari dalam sebagaimana kisah hadithul ifki. Isteri baginda Aisyah RA dituduh khalwat sehingga baginda demam dan menangis. Ada juga tuduhan dalaman bahawa Rasulullah SAW tidak adil dalam pembahagian harta.

9) Majlis Syura Ulamak (MSU) memberi nasihat dan beri kenyataan kepada ahli PAS agar tidak terlibat dengan PASMA yang jelas memburuk-burukan kepimpinan parti. MSU dan PAS selama ini mengalu-alukan kehadiran banyak NGO untuk membantu parti.

10) Berjuang Islam sepanjang masa bukan dekat PRU sahaja. Perbaiki organisasi parti dari cawangan hingga ke atas.

Liqa Nik Zawawi (1)Liqa Nik Zawawi (2)Liqa Nik Zawawi (3)Liqa Nik Zawawi (4)Liqa Nik Zawawi (5)Liqa Nik Zawawi (6)




KE MANA PAS HENDAK DIBAWA?

Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/30590-ke-mana-pas-mahu-dibawa

DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | 03 September 2014.

Isu 2 Adun PAS yang menyokong PKR dan DAP berkenaan isu MB Selangor sejak kebelakangan ini benar-benar menjolok kesabaran ahli-ahli PAS yang prihatin dengan adab-adab berjamaah seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Keputusan Majlis Syura Ulamak PAS yang bersidang pada 6hb Ogos 2014 yang telah mengambil ketetapan untuk mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim (TSKI) sebagai Menteri Besar Selangor selagi tidak berlaku pelanggaran amanah telah sewenang-wenangnya dilanggar secara terang-terangan oleh kedua-dua Adun tersebut.

Kesan secara teknikalnya TSKI tidak boleh lagi dikekalkan sebagai MB kerana bilangan majoriti adun tidak lagi memihak kepada beliau. PKR dan DAP yang hanya mempunyai bilangan 28 Adun menyokong telah bertambah menjadi 30 Adun. Secara teknikalnya TSKI hanya mempunyai sokongan 26 adun termasuk 13 adun PAS dan 12 Adun Umno yang menyokong tanpa syarat.

TSKI tidak boleh lagi dikekalkan sebagai MB dalam situasi dan realiti ini. Ia mentafsirkan kenapa mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat memutuskan untuk menghantar dua nama sebagai calon MB menggantikan TSKI.

Lebih menjengkelkan apabila dilihat beberapa pimpinan kanan dalam jawatankuasa kerja PAS Pusat membuat kenyataan terbuka menyokong tindakan mereka berdua. Lebih jauh lagi, ada pula di kalangan pimpinan PAS Pusat ini yang mengandaikan mereka berdua bakal dianggap sebagai  “hero” atau wira oleh orang terkemudian kerana bertindak kononnya menyelamatkan Pakatan Rakyat.

Tindakan pimpinan pusat ini menyokong kedua-dua Adun yang bersikap membelakangkan keputusan Majlis Syura Ulamak ini adalah jelas satu lagi tindakan membelakangkan keputusan Majlis Syura Ulamak PAS oleh kepimpinan tertinggi parti. Ia menjadi satu panduan dan ikutan buruk untuk ahli-ahli bawahan juga bertindak dengan cara yang sama.

Sudahlah perbincangan di aplikasi whatsApp dibocorkan. Perbezaan pandangan dalam mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat dibocorkan sewenang-wenangnya. Hatta perbezaan dan pertelingkahan dalam mesyuarat yang memang menjadi sebahagian resam mesyuarat diriwayatkan secara terperinci oleh media. Siapakah pembocor rahsia ini. Amanahkah mereka? Adakah ini kualiti pimpinan tertinggi PAS Pusat dari sudut akhlak berjamaah dan bermesyuarat?

Sehingga kini berpuluh aduan dan usul telah dikemukakan dan diluluskan oleh pelbagai pihak dalam PAS sama ada mesyuarat agung kawasan-kawasan, muktamar dewan-dewan dan mesyuarat badan perhubungan negeri mendesak PAS mengambil tindakan tegas terhadap mereka berdua. Namun, sangat jelas beberapa pimpinan ini sememangnya secara terang-terangan membela mereka berdua. Bertindak di belakang tabir? Menikam Tuan Guru Presiden dari belakang?

Lebih mengejutkan lagi ialah apabila ada  perkhabaran yang bersedia untuk dibuktikan bahawa tindakan kedua-dua Adun itu adalah dengan pengarahan dan restu pimpinan kanan dalam jawatankuasa PAS Pusat. Ini sudah tersangat serius dan di luar jangkauan akal manusia yang waras!

Dalam keadaan itu tiba-tiba ada pimpinan kanan cuba mengalih perhatian ahli dengan membangkitkan isu kononnya ada usaha ke arah kerjasama PAS dan Umno. Kononnya ada institusi tertentu telah cuba dikuasai oleh “team” Umno. Fitnah apa yang sedang dimainkan ini?

Sangat menarik apabila diperhatikan bahawa sebelum ini isu Unity Goverment selalu dibangkitkan setiap kali muktamar hampir menjelang. Isu ini dibangkitkan bagi menimbulkan kesangsian kepada pihak tertentu dalam PAS khususnya Presiden PAS.

Malangnya apabila Konsesus Nasional ala UG dibangkitkan oleh pimpinan tertinggi PKR ianya seolah direstui. Media tidak sekali melaporkan usaha-usaha Konsesus Nasional ala UG ini diusahakan oleh pimpinan tertinggi PKR dengan pelbagai percubaan pertemuan.

Menariknya ia tidak pula menggerakkan pimpinan ini untuk menimbulkan persoalan dan mempertikaikannya. Lebih jauh ada yang menulis menyokong Konsesus Nasional dengan pelbagai hujah. Adakah kerana  ia datang dari PKR maka semuanya adalah betul dan perlu dijulang dan jika datang daripada sebahagian pimpinan PAS maka ia adalah salah?

Maka tidak menghairankan apabila ada pula pimpinan tertinggi yang menyifatkan kenyataan Presiden dalam isu MB Selangor sebagai kenyataan peribadi. Walhal Presiden menegaskan keputusan PAS sebelumnya pada januari 2014 iaitu isu jawatan MB Selangor tidak berbangkit apabila PRK Kajang dipaksa berlaku oleh PKR.

Akhir-akhir ini ada usaha untuk mencemarkan nama Presiden dengan pelbagai bentuk pemberitaan negatif. Usah dikira serangan di facebook walaupun oleh mereka  yang mengaku sebagai ahli PAS. Media tertentu dipergunakan secara terancang untuk menegatifkan imej Presiden PAS. Tapi sehari dua ini pula kelihatan Presiden cuba dipuji dan dipuja. Apa strategi di sebalik semua ini?

Ke manakah PAS ini ingin dibawa? Masihkah sebahagian pimpinan PAS berkiblatkan al-Quran dan Sunnah dalam percaturan politik mereka? Tepuk dada tanya iman!

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat.

Sumber : di sini

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulamak PAS memutuskan sesiapapun boleh menggunakan kalimah Allah namun kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini. Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.

“Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata.

“Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah,” kata kenyataan rasmi Majlis Syura Ulamak yang bermesyuarat malam tadi. Kenyataan itu ditandatangani oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz dan timbalannya, Datuk Dr Haron Din. Berikut adalah kenyataan penuh Majlis Syura Ulamak.

Kenyataan Rasmi Majlis Syura Ulamak

Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Rabiul Awwal 1434 bersamaan 13/1/2013 mengambil keputusan sebulat suara bersetuju untuk menyatakan perkara-perkara berikut:

1)    Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan yang diimani oleh umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, Tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

2)    Kalimah Allah adalah alami (universal) kerana Allah Tuhan sekalian alam. Siapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang Arab Jahiliyah yang tidak Islam menyebut Allah lah yang menjadikan alam ini.

3)    Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah. Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini. Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.

Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah.

Kenyataan media ini adalah memperjelaskan maksud kenyataan Al Mursyidul Am, Presiden dan seluruh kepimpinan PAS.

Mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS ini juga telah membincangkan isu sedutan ucapan Tuan Guru Presiden yang diangkat martabatnya menjadi amanat dan memutuskan untuk mendesak kerajaan supaya membenarkan Tuan Guru Presiden memperjelaskan isu tersebut sekurang-kurangnya satu jam secara langsung menerusi TV1 dan TV3.

Tuan Guru Datuk Bentara Setia 
Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat
Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia

Tuan Guru Datuk Dr Haron Din 
Timbalan Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia

Haron_Din_2

Disedut dari blog http://msomelayu.blogspot.com/

Malam tadi Majlis Syura Ulamak mengadakan sidang khas di kediaman Menteri Besar JKR 10 Kota Bharu, ekoran timbul keraguan atau sebenarnya kekacauan dibuat oleh musuh-musuh Pas yang menjaja kononnya perjuangan Pas sudah lari daripada perjuangan asal kerana bersama DAP dan PKR. Timbalan Musyidul Am, Dr Haron Din telah membaca kenyataan khas yang dikeluarkan Majlis Syura Ulamak di mukatmar ke 58 lewat petang ini. Sepanjang kenyataan itu dibaca dewan muktamar sunyi sepi dan semua perwakilan menghayati patah-patah kenyataan berkenaan. Berikut adalah kenyataan berkenaan;

Badan tertinggi PAS Majlis Syura Ulama PAS hari ini membuat penekanan dan perakuan rasmi bahawa perjuangan dan arah tuju parti itu tidak lari daripada perjuangan asal PAS dahulu seperti yang termaktub dalam fasal 5 (1) perlembagaan parti.

Fasal tersebut berbunyi: “memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah”

“PAS hari ini adalah PAS dahulu, perjuangannya tidak lari dari perjuangan asal. Arah tuju PAS dahulu dan PAS sekarang adalah sama.

“PAS masih utuh dan masih tetap atas perjuangan asal tanpa sedikitpun menyeleweng dari apa yang tercatat di dalam perlembagaannya,” kata majlis itu dalam satu kenyataan.

Keputusan sebulat suara itu dibuat selepas bermesyuarat membahas semula apakah negara berkebajikan – yang menjadi tema muktamar parti itu – sesuatu yang “baru dan berlawanan” dengan negara Islam yang diperjuangan oleh PAS selama ini atau sama.

Bahkan, majlis itu juga memperbahaskan semula mengenai tahaluf siyasi (kerjasama politik) yang diputuskan atau dilaksanakan PAS masih relevan dan selaras dengan perjuangan parti itu dan mengambilkira komen dari dalam dan luar PAS mengenai arah tuju parti itu.

Dalam kenyataan itu juga Majlis Syura berkata dasar tahaluf siyasi yang diputuskan oleh badan itu al-Quran, Al-Sunnah, Ijmak dan Qias dengan memberi perhatian dan mengambil pengajaran daripada tahaluf siyasi Rasullullah SAW.

Katanya, semasa berlaku Perjanjian Hudaibiyah, baginda rela membuang perkataaan “Arrahmanirrahim” dalam “Bismillah” serta perkataan “Rasulullah” selepas perkataan “Muhammad” dalam perjanjian itu, selepas dibantah oleh Umar bin Suhail.

“…Menyebabkan ada di kalangan sahabat yang melahirkan dukacita dan seperti tidak mahu tahaluf. Namun demikian Rasulullah SAW menyetujuinya. “Itulah liku-liku politik yang telah ditempuhi oleh baginda Rasulullah sendiri yang patut kita beri perhatian ketika membuat keputusan-keputusan tahaluf siyasi.

“Apabila keputusan telah diambil maka ia wajib dipatuhi oleh semua ahli, demi keutuhan dan kemantapan oraganisasi,” kata kenyataan itu. Sehubungan itu, Majlis Ulama PAS menyeru seluruh ahli, pendokong dan penyokong PAS agar jangan melayan fitnah yang ditaburkan oleh musuh PAS kononnya parti itu terpesong dari perjuangan.

Badan itu juga berkata musuh PAS tahu bahawa PAS masih atas keasliannya, tetapi sengaja menaburkan fitnah itu tanpa mereka menyedari bahawa sebenarnya mereka mengiktiraf PAS adalah parti yang memperjuangkan Islam yang sebenarnya.”Di waktu yang sama, mereka seperti tidak menyedari bahawa itu adalah taktik dan strategi musuh PAS untuk menyelamatkan diri mereka daripada ditolak rakyat dengan menggunakan individu-individu tertentu untuk mencalar PAS demi menjaga kepentingan mereka yang amat tergugat, dan PAS insya-Allah akan melakar kejayaan,”

%d bloggers like this: