Tag Archive: Majlis Menghafaz al-Quran Negeri Sabah


Alhamdulillah, Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Sabah kali ke-4 di Dewan Saadah Wisma MUIS berjalan lancar pada sabtu lepas dengan penyertaan 17 orang peserta termasuk anak-anak Sabah yang menuntut di Darul Quran Kuala Kubu Baru, Maahad Tahfiz Sandakan dan Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah sendiri. Dalam penganjuran yang serba kekurangan terutama kehadiran orang ramai yang mengecewakan, saya tetap menyanjung usaha-usaha mengangkat dan memperkenalkan budaya menghafaz al-Quran di negeri Sabah ini.

Memang walaupun orang Sabah sudah ada yang menghafaz al-Quran sejak akhir tahun 1960an lagi, tetapi perkembangannya sangat perlahan. Apa yang saya ketahui ialah sehingga akhir 1980an pun jumlahnya belum mencapai 10 orang. Ia semakin baik dan berkembang pada pertengahan dan akhir 90an, apatah lagi Maahad Tahfiz Sabah mula beroperasi. Jumlah anak-anak Sabah mungkin sudah melebih 200 orang, mengambil kira lepasan Maahad Tahfiz Sabah, Darul Quran Kuala Kubu Baru, serta institusi tahfiz persendirian seperti di Kg Bingkul Beaufort, Maahad Tahfiz Sandakan, Maahad Tahfiz asy-Syatibi di Masjid Bandar Kota Kinabalu dan lain-lain.

Saya sangat optimis bahawa dengan penganjuran Majlis Menghafaz al-Quran seperti yang diadakan baru-baru ini jika terus diperbaiki kelemahan yang berlaku untuk tahun-tahun mendatang, insya Allah institusi tahfiz di Sabah akan terus meriah dengan kemasukan calon-calon penghafaz al-Quran terutama di kalangan orang-orang muda.  Walaubagaimanapun, kami angkatan akhir 90an dan awal 2000 yang bersembang hari itu berasa sangat teruja kerana kini Majlis Menghafaz sudah diangkat lokasinya ke tempat yang lebih berprestij. Maklumlah tiga tahun sebelum ini majlis berkenaan diadakan di Maahad Tahfiz al-Quran saja.

Para hakim hari itu dipimpin oleh Ybhg Datuk Haji Mokhtar Rapok, orang lama dalam dunia tahfiz di Sabah. Beliau orang ketiga menghafaz al-Quran pada awal 70an, dan kami orang-orang muda membantu dan menimba pengalaman yang sangat berharga pada hari yang bersejarah ini. Sahabat karib saya sejak 20 tahun lalu, Ustaz Rahim Yahya Abdul Rahman yang juga rakan sekelas sejak zaman sekolah dan di Maahad turut bersama-sama duduk di kerusi panel hakim bersama Ustaz Md Jumat Abdul Razak (Pejabat Mufti), Ustaz Haji Ibrahim Kisab (Imam Besar Masjid Negeri Sabah). Ustaz Zulfauzi Awang Besar dan Ustaz Md Hailmi Misbah berada di pentas sebagai hakim fatih dan munabbih.

Muhammad Khairul Razikin Abdul Razak yang mendapat 93 peratus untuk johan kategori 1-30 juzu’ sekali lagi akan mewakili Sabah bersama Muhammad Nasir Muhammad Mursal (johan 1-10) dan Astizam Adam Malik (wakil 1-20 juzu’) ke Majlis Menghafaz Kebangsaan di Perlis pada 12-15 April. Tiada wakil bahagian perempuan yang layak pada tahun ini pada ketiga-tiga kategori.

Kepada peserta yang diangkat sebagai pemenang, tahniah diucapkan dan semoga menjadi pencetus semangat, motivasi dan contoh yang baik kepada orang lain. Kepada peserta yang lain, pengalaman dapat naik pentas dan mempersembahkan hafazan di hadapan khalayak sudah tentu menjadi pengalaman yang sangat berharga dan manis yang tidak dapat dirasai oleh semua orang, semoga boleh tampil dengan lebih baik pada tahun akan datang.

Majlis Penutupan dilakukan oleh Aspah Abdullah Sani, Timbalan Pengerusi MUIS mewakili Pengerusi MUIS YB Datuk Haji Mohd Suhaili Said. Turut hadir ialah Ustaz Saifuddin Daud, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JHEAINS yang mewakili Pengarah JHEAINS Datuk Haji Amri Suratman.

Nota : Sebuah artikel panjang sempena majlis menghafaz al-Quran negeri Sabah

Sekitar seminggu daripada sekarang, Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Sabah akan diadakan. Mengikut hitungannya ini kali keempat diadakan tetapi kali pertama diadakan secara besar-besaran, diadakan di Dewan Saadah Wisma MUIS Kota Kinabalu pada sabtu 7 April 2012 akan datang.

Nampaknya ada sedikit peningkatan daripada segi penganjuran bagi memilih wakil Sabah ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan selepas ini. Saya diamanahkan untuk melatih sedikit sebanyak kepada peserta dari Maahad Tahfiz Negeri, mengadakan latih tubi soal jawab khususnya apabila berada di pentas. Insya Allah, latihan sedang berjalan sehingga sehari dua sebelum majlis berlangsung. Dalam dunia menghafaz, kami sekadar membantu dan mendorong mana yang patut, selebihnya ia bergantung kepada mutu hafazan mereka sendiri.

Kepada mereka seramai 10 orang, di peringkat awal saya ceritakan tentang sejarah penglibatan peserta Sabah ke Majlis Menghafaz Peringkat Kebangsaan berdasarkan apa yang saya ketahui melalui kisah senior-senior dan juga pengalaman peribadi yang pernah menyertai majlis ini dua kali pada 1995 dan 1997. Ia kisah yang seingat saya belum pernah saya catatkan melalui blog ini dan saya bersangka baik serta positif dengan apa yang telah berlaku berdasarkan perkembangannya sehingga kini.

PERINGKAT 1

Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah mula beroperasi pada pertengahan tahun 1995. Sebelum kewujudannya, wakil-wakil Sabah untuk menyertai Majlis Menghafaz al-Quran peringkat Kebangsaan dipilih terus dari pelajar-pelajar Sabah yang menuntut di Institut Pengajian Tahfiz al-Quran (IPTQ) yang kini dikenali sebagai Darul Quran. Antara mereka ialah Allahyarham Datuk Haji Asmali Bachi, Ustaz Adam Abdul Hai, Ustaz Pajudin Nordin, Ustaz Imran Anggun, Ustaz Azizul Ramli Saparuddin dan lain-lain.

Seringkali terdapat kelompangan dari segi jumlah perwakilan ke peringkat kebangsaan. Ketika itu setiap negeri sepatutnya menghantar 6 orang wakil, 3 lelaki dan 3 perempuan untuk mengisi setiap kategori juzu’ 1-3, 1-15 dan 1-30. Menjadi kebiasaan Sabah hanya menghantar seorang atau dua orang peserta daripada kalangan pelajar tahfiz di Kuala Lumpur. Bahkan saya pernah dimaklumkan bahawa ada ketikanya sekitar tahun awal 90an pelajar tahfiz dari negeri lain menawarkan diri bagi mewakili Sabah kerana ketiadaan atau kekurangan peserta.

PERINGKAT 2

Apabila Maahad Tahfiz Sabah diwujudkan, peserta Majlis Menghafaz al-Quran ke Peringkat Kebangsaan menjadi lebih terbuka. Pada awal-awal penubuhannya, perwakilan dipilih dari kalangan pelajar maahad sahaja mengikut prestasi dalam kuliah masing-masing. Masih belum ada sebarang pertandingan atau majlis bagi pemilihan peserta di peringkat negeri.

Sebagai orang yang pernah mewakili negeri Sabah pada 1995 dan 1997, saya memahami hakikat bahawa ketika itu objektif penyertaan kami ialah sekadar untuk memaklumkan bahawa Sabah sudah mempunyai maahadnya sendiri. Ketika itu belum timbul objektif persaingan di peringkat kebangsaan kerana maahad yang masih baru dipupuk diperingkat awal. Penyertaan dari pelajar Sabah di Darul Quran juga dibuka semula kerana wakil dari Maahad Tahfiz Sabah masih belum mencukupi.

PERINGKAT 3

Sejak 4 tahun lalu, seingat saya JAKIM mahukan Sabah mengadakan majlis menghafaz al-Quran di peringkat negeri. Ini kerana prestasi Sabah di peringkat kebangsaan masih di takuk yang lama seperti tahun-tahun 80an dan 90an. Tidak usah malu kepada sejarah, zaman awal dahulu ramai yang naik pentas dan kemudian geleng kepala terhadap soalan yang dilontarkan. Kemudian mendapat saguhati ‘hasil gelengan kepala’ tersebut.

Saya pernah utarakan kepada ramai pihak yang berautoriti dan mereka yang berada dalam bidang ini, bahawa sudah sampai masanya Sabah menghantar pesertanya untuk bersaing di peringkat kebangsaan, bukan lagi sekadar menghantar wakil seperti zaman kami dan zaman sebelumnya. Jadi apabila JAKIM mahukan Sabah mengadakan majlis menghafaz di peringkat negeri, saya antara individu yang sangat gembira.

Tidak mengapalah majlis pada kali pertama dan kedua diadakan sekadar di bilik kuliah Maahad Tahfiz – walaupun bagi memilih peserta negeri untuk ke kebangsaan dan kemudian pada kali yang ketiga ‘diangkat ke Dewan al-Azhar juga di Maahad Tahfiz. Pada tahun 2012 ini ia dinaiktarafkan lagi dengan diadakan di Dewan Saadah Wisma MUIS, satu dewan yang biasa mengadakan majlis bertaraf negeri dan kebangsaan khususnya dalam acara keagamaan.

Daripada segi perasmian majlis sebagai perbandingan, pada kali pertama dan kedua seingat saya tidak ada perasmian sangat, sementara kali ketiga dirasmikan oleh Ustaz Haji Abdul Rahman Talipuddin, selaku pegawai Bahagian Pendidikan JHEAINS yang diamanahkan menyelia perkembangan Maahad Tahfiz al-Quran. Khabarnya tahun ini majlis akan dirasmikan oleh Pengerusi MUIS YB Datuk Suhaili Said.

Saya melihat di negeri-negeri lain majlis menghafaz mereka dirasmikan oleh Sultan atau wakilnya atau Menteri Besar atau setidak-tidaknya exco yang menjaga hal ehwal agama. Apa signifikannya majlis perasmian? Sebenarnya dengan kehadiran pembesar-pembesar negeri, ia akan ‘mengheret’ lebih ramai tetamu berkepentingan untuk hadir bersama-sama.

Dalam konteks Sabah, saya percaya jika Pengerusi MUIS merasmikan, ia mungkin sekadar menarik beberapa pegawai kanan JHEAINS untuk hadir. Jika Menteri di Jabatan Ketua Menteri yang hadir, sudah tentu lebih ramai ketua jabatan dan pegawai kanan yang hadir. Jika Ketua Menteri yang hadir, ia akan menarik ramai YB dan ketua-ketua jabatan hadir bersama-sama. Jika TYT Yang DiPertua Negeri Sabah hadir, majlis ini dihadiri oleh semua jemaah menteri dan majoriti ADUN beragama Islam.

Kesannya ialah lebih ramai yang mengetahui dan mendengar kualiti peserta dan majlis menghafaz al-Quran itu sendiri. Bajetnya sudah tentu meningkat, dan ini sudah tentu sangat baik untuk perkembangan ilmu al-Quran di kalangan umat Islam di Sabah. Tidak mengapalah untuk kali ini, kerana itu mungkin sekadar cita-cita dan impian saya melihat majlis ini akan lebih meriah dan gah pada tahun mendatang.

Saya merasa bersyukur, dua tahun kebelakangan Sabah sudah menonjolkan peserta yang berbakat di peringkat kebangsaan.  Muhammad Khairul Razikin sudah pernah mendapat tempat terbaik dalam majlis menghafaz peringkat kebangsaan pada tahun 2011 dan 2010. Begitu juga Zainab Sapiuddin yang pernah mendapat tempat ketika pada tahun 2010. Ustaz Kadri Abdul Hamid selaku orang lama sebagai hakim majlis menghafaz kebangsaan pernah memaklumkan kepada saya, kualiti peserta Sabah sudah jauh berbeza berbanding dahulu.

DORONGAN

Kepada anak-anakanda peserta saya minta mereka bayangkan beberapa situasi dalam majlis berkenaan. Pertama, seorang pelajar remaja yang terpegun mendengar kualiti hafazan peserta, sehingga Allah SWT menggerakkan hatinya untuk memasuki mana-mana institusi tahfiz selepas itu. Kedua, seorang ibu mendengar hafazan seorang peserta, sehingga hatinya terbuka untuk menghantar anaknya masuk ke maahad tahfiz. Ketiga, seorang ahli korporat muslim yang menyaksikan kehebatan peserta menjawab soalan hafazan, sehingga ia tertarik dan mengeluarkan sedikit hartanya untuk menaja atau mendirikan sebuah institusi tahfiz di Sabah.

Sudah tentu peserta-peserta berkenaan akan mendapat saham yang tidak sedikit daripada situasi yang berlaku tadi. Apa yang saya maksudkan ialah Majlis Menghafaz al-Quran bukan sekadar satu acara rasmi kerajaan. Lihatlah majlis menghafaz ini dari konteks dan kacamata dakwah. Insya Allah bumi Sabah akan terus subur dengan para penghafaz al-Quran dengan kaedah dan strategi yang betul, seiring dengan petunjuk Allah SWT.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) akan menganjurkan Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Sabah pada ketetapan berikut :

Tarikh : 7 April 2012 (Sabtu)

Masa : Bermula jam 7.00 pagi

Tempat : Dewan Saadah Wisma MUIS Kota Kinabalu

Matlamat Majlis Menghafaz Al-Quran adalah untuk mencungkil bakat hafiz dan hafizah dalam bidang Menghafaz Al-Quran bagi Negeri Sabah, selain untuk memilih wakil Negeri Sabah ke Majlis Menghafaz Peringkat Kebangsaan yang akan datang.

Majlis Menghafaz Al-Quran ini terbahagi kepada tiga tahap :-

1. Tahap pertama dari Juzuk Pertama hingga Juzuk Sepuluh (1 – 10) yang melibatkan peserta yang berumur 7 hingga 25 tahun. Sebanyak 3 soalan hafazan dan 1 soalan tarannum dalam bentuk hafazan (tidak kurang 2 lagu)- (setiap soalan hafazan 2 minit dan soalan tarannum 4 minit).

2. Tahap kedua dari Juzuk Pertama hingga Juzuk Dua Puluh (1 – 20)  yang melibatkan peserta yang berumur 7 hingga 25 tahun. Sebanyak 5 soalan hafazan (setiap soalan 2 minit).

3. Tahap ketiga dari Juzuk Pertama hingga Tiga Puluh (1 – 30) yang  melibatkan peserta yang berumur 7 hingga 25 tahun. Sebanyak 6 soalan hafazan (setiap soalan 2 minit) dan 2 soalan tafsir (Juzuk 7&8) berpandukan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

Penyertaan

Terbuka kepada warganegara Malaysia (Bermastautin Di Sabah) lelaki dan wanita (Qari & Qariah)

Pertanyaan

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi urusetia pertandingan melalui :-

1. 013-5410840 (Ustaz Mohd Azlan)

2. 019-8529392 (Ustaz Sahiful Rahmat)

3. 088-317072 (Pejabat Am)

Tarikh Tutup

Tarikh tutup penyertaan 04 April 2012. Borang penyertaan boleh didapati di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Negeri Sabah.

Mereka yang berkelayakan dijemput untuk menyertai Majlis Menghafaz al-Quran 2011 di Maahad Tahfiz Sabah, Kepayan pada 15 Mac 2011 (selasa). Untuk maklumat lanjut, berhubung ke talian 088-317072.

Beberapa hari lalu saya menerima surat rasmi perlantikan sebagai hakim fatih untuk majlis menghafaz al-Quran 2011 yang bakal diadakan pada 15 mac akan datang. Seingat saya ini kali ketiga diadakan dan saya terlibat sebagai juri hakim. Walaupun diadakan secara kecil-kecilan, bagi saya ia amat signifikan kerana Sabah sebelum tahun 2009 tidak pernah mengadakan majlis seumpama ini.

Secara objektifnya ia sebenarnya diadakan untuk memilih wakil Sabah ke Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan yang diadakan saban tahun. Pada zaman kami belajar, pihak pentadbiran maahad hanya memilih terus pelajar yang terbaik untuk mewakili negeri ke peringkat kebangsaan. Khabarnya tahun ini di peringkat kebangsaan kali ke-32 akan diadakan di Kuantan Pahang pada 4-8 April akan datang.

Hanya beberapa perkara yang amat saya harapkan dan diberi perhatian oleh penganjur khususnya Maahad Tahfiz Sabah dan para pelajarnya. Pada zaman maahad tahfiz belum ada di Sabah, peserta Sabah dipilih dari pelajar yang menuntut di Semenanjung khususnya di Institut Pengajian Tahfiz al-Quran, Pusat Islam. Pada zaman awal maahad tahfiz Sabah ditubuhkan, penyertaan kami hanya dianggap sebagai pemakluman bahawa Sabah sudah mempunyai institut tahfiznya sendiri.

Sesudah Maahad Tahfiz berusia lebih 15 tahun kini, saya (dan kami alumni) amat berharap para peserta Sabah khususnya yang belajar di Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah sudah boleh bersaing dengan peserta dari negeri-negeri lain, paling tidak pun mereka mampu menjawab dengan baik kesemua soalan-soalan yang diajukan kepada mereka. Bagi saya kemampuan mereka menjawab soalan tersebut melambangkan kemampuan dan imej (bahkan maruah) para pensyarah terutama guru-guru tasmik al-Quran juga.

Pada tahun lalu, dua orang wakil Sabah ke Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan mendapat tempat ketiga dalam kategori masing-masing. Saya sangat gembira dengan pencapaian Md Khairul Razikin (kategori 1-20 juzu’) dan Zainab Sapiuddin (kategori 1-10 juzu’). Kedua-duanya belajar di Darul Quran Kuala Kubu Baru, Selangor dan kini baru saja menyelesaikan peperiksaan diploma mereka.

Tapi biar saya berterus terang di sini, juga bagi pihak kawan-kawan yang terkilan dengan peristiwa tahun lalu. Maahad Tahfiz Sabah yang menganjurkan majlis ini (hakikatnya berstatus peringkat negeri) langsung tidak menghantar seorang peserta. Mereka hanya disibukkan dengan dengan menjadi ajk dan urusetia, bahkan menjadi pengacara majlis ini pun mereka juga. Satu segi, ia sebenarnya sangat memalukan. Saya ingat lagi ulasan Ybhg Datuk Haji Mokhtar Rapok sebagai hakim yang kecewa dengan ketiadaan pelajar tuan rumah tampil sebagai peserta di hadapan.

Kalah sebelum berjuang, kata beliau.

Satu segi sebenarnya, kami sangat berharap majlis ini benar-benar diangkat sebagai program negeri kerana kita sedang mencari wakil negeri ke peringkat kebangsaan. Biarlah orang lain yang mengatur majlis, bukan para pelajar yang disibukkan menjadi pengacara, menghias dewan, ajk jamuan, menyambut tetamu dan sebagainya. KAMI MAHU ADA SISWA/SISWI MAAHAD TAHFIZ SABAH TAMPIL SEBAGAI PESERTA.

Khamis lalu, saya diundang ke Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Sabah di Kepayan.

Majlis Menghafaz al-Quran Negeri Sabah diadakan bagi memilih wakil ke peringkat kebangsaan. Seperti tahun lalu, saya diamanahkan sebagai hakim munabbih.

Ini kali kedua majlis seumpama diadakan. Pada zaman 80an dan 90an, ketika Sabah belum ada institusi maahadnya sendiri, maka pelajar Sabah yang berada di Institut Pengajian Tahfiz al-Quran Kuala Lumpur akan menjadi wakilnya.

Bahkan saya ketahui oleh kerana Sabah sering tidak menghantar peserta kerana ketiadaan calon, terdapat pelajar tahfiz dari negeri-negeri Semenanjung menawarkan diri sebagai peserta Sabah.

Biasanya mereka menulis surat kepada pihak berkuasa agama di Sabah untuk meminta izin menjadi wakil tahfiz.

Sejak Sabah mempunyai institusi tahfiznya sendiri pada 1995, wakil ke Majlis Menghafaz dipilih daripada kalangan pelajarnya. Ketika itu tiada pertandingan atau sebarang majlis diadakan.

Hanya pelajar yang mempunyai prestasi baik dalam subjek hafazan al-Quran akan dihantar. Saya sendiri pernah menjadi wakil Sabah sebanyak dua kali. Tahun 1995 di Pusat Islam Kuala Lumpur dan tahun 1997 di Kuching Sarawak.

Kini untuk memperbaiki kualiti wakil Sabah yang dihantar ke peringkat kebangsaan, diadakan pemilihan. Sebenarnya menurut pemerhatian peribadi saya, prestasi wakil Sabah semakin baik.

Menurut format baru, terdapat 3 kategori. Kategori 1-10 juzu’, 1-20 juzu’ dan 1-30 juzu’. Untuk kategori pertama (1-10 juzu’) terdapat soalan tarannum; sementara kategori ketiga (1-30 juzu’) ada soalan tafsir al-Quran.

Majlis ini mencari 6 wakil. Dua wakil terbaik bagi setiap kategori, lelaki dan perempuan. Namun penganjur menghadapi kekurangan peserta.

Dalam majlis semalam, ada beberapa peserta yang dianggap menonjol. Mohd Khairul Razikin Abd Razak yang menyertai kategori 1-20 juzu mendapat markah tertinggi dan paling menonjol. Bagi kategori 1-10, Zainab Sapiuddin diangkat sebagai pemenang perempuan.

Peserta lain dianggap tidak menepati prestasi yang dikehendaki oleh para hakim. Barangkali perlu juga ditegur kerana tuan rumah sendiri iaitu Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah tidak menghantar peserta dalam majlis kali ini. Ia sesuatu yang mengecewakan.

Lapan peserta yang hadir adalah pelajar dari Darul Quran Kuala Kubu Bharu Selangor, Maahad Tahfiz as-Syatibiyah Kota Kinabalu dan Maahad Tahfiz Tg Aru Kota Kinabalu.

Mohd Khairul Razikin.. memang sudah rezeki dia..

%d bloggers like this: