Tag Archive: Madinah


RINDU TANAH SUCI

Foto : Blog Haji Arshad bertarikh 10 September 2011.

Kisah-kisah dari Tanah Suci Makkah dan Madinah sentiasa menggamit hati dan perasaan untuk diri yang kerdil ini bermohon kepada-Nya agar diberikan lagi rezeki dan kesempatan berziarah dan beribadah ke sana. Sepanjang Ramadhan lalu, ramai sahabat dan kenalan menunaikan ibadah umrah dan ziarah bahkan ramai juga yang berhari raya ke sana.

Gembira membaca catatan facebook sahabat lama ketika di Maahad Tahfiz dahulu, Ustaz Nazri Mustakim @ Syem yang tiba di Madinah 2 hari sebelum Syawal tiba dan berada di Tanah Suci selama 12 hari. Beliau menyertai rombongan bersama keluarganya yang rata-rata saya kenali kerana mereka dahulunya menetap di Kota Kinabalu Sabah.

Dalam tempoh Ramadhan, saya turut menerima beberapa pesanan ringkas @ sms dari Makkah. Tuan Haji Mansur Mohammad dari Kelantan yang pernah menetap di Sabah juga berada di Makkah sepanjang Ramadhan dan sebahagian Syawal, yang saya difahamkan amalan ini dilakukan hampir setiap tahun. Puan Hajjah Masneh Abdullah, rakan jamaah dan kuliah di Masjid Negeri Sabah juga akitivis muallaf di Teratak Fitrah juga berada di Tanah Suci. Sempat juga saya menitipkan pesan agar mendoakan saya dan keluarga.

Saya turut menerima khabar sama daripada Ustazah Nurdahlia Abdullah pegawai JAKIM Sabah yang berhari raya di Makkah. Doa saya agar beliau ditemukan jodoh dengan lelaki yang soleh, insya Allah. Siswa Sabah di Mesir antaranya Ustaz Suhaidi Saad juga khabarnya berhari raya di Makkah. Beliau ada memaklumkan keberangkatannya dari Kaherah ke Tanah Suci sebelum pemergiannya tempoh hari.

Sahabat-sahabat dan kenalan di jabatan, jamaah masjid tertentu juga sering bertukar maklumat pergerakan mereka ke tanah suci. Alhamdulillah, Allah SWT memberi kelebihan rezeki kepada mereka, dan memanfaatkan rezeki untuk ke Tanah Suci Makkah dan Madinah. Itu jauh lebih baik dan mulia berbanding kalau melancong ke tempat lain apatah lagi lokasi yang dipenuhi dengan maksiat dan dosa.

Mengubati kerinduan terhadap Tanah Suci Makkah dan Madinah, ada beberapa blog yang sering saya layari (ada yang hampir setiap hari dan ada yang sesekali-sekala). Ia sangat menggamit perasaan membuatkan sesekali air mata mengalir kerana rindu hendak ke sana. Ia suatu perasaan yang sangat susah sekali digambarkan kecuali bagi mereka yang sudah pernah ke sana.

Blog http://manzlie-makkah.blogspot.com/ dengan tagline ‘pengalaman di Kota Makkah’. Catatan profilnya : Tuan Manzlie Makkah, Saudi Arabia. Menetap di Kota Makkah dan berkerja di HOTEL AL-JEWWAR ROYALE ORCHID yang terletak betul-betul sekali di hadapan Masjidil Haram. Kalau tidak salah ingatan, ketika berumrah tahun lepas, saya merancang dengan bantuan Tuan Haji Omar untuk berjumpa tetapi tidak kesampaian.

Blog http://hajiarshad.blogspot.com/ dengan tagline ‘kehidupan Makkah 2’. Pemilik blog ini ialah Tuan Haji Mohd Arshad berasal dari Teluk Intan Perak dan kini di Makkah. Antara catatan profilnya ‘menguruskan Hotel/Katering di Makkah dan Madinah serta urusan Jemaah Umrah dan Haji yang datang persendirian atau kumpulan’. Turut menyediakan khidmat badal haji dan umrah, korban, dam dan akikah serta apa apa urusan di Madinah dan Makkah.

Blog http://muhdkamil.org/blog/ dengan tagline ‘kehidupan ringkas tapi signifikan’ catatan indah Dr Muhd Kamil Ibrahim berasal dari Besut Terengganu. Barangkali hampir dua tahun saya mengikuti blog beliau hampir setiap hari dengan pelbagai catatan peristiwa, terutama kisah-kisah mustajab doa dan pergantungan kepada Allah SWT. Beliau penulis buku ‘travelog haji mengubah sempadan iman’. Dengan doa itulah beliau ditakdirkan oleh Allah SWT berhijrah ke Madinah bersama keluarga sejak 2 hari lepas.

Dua blogger di Makkah dan seorang di Madinah dan dilengkapkan dengan satu web tv siaran langsung dari Masjidil Haram di Makkah (http://www.justin.tv/bidayatv?utm_campaign=live_embed_click&utm_source=blog.hoeda.info#/w/1748062912/18) dan Masjid an-Nabawi di Madinah (http://www.justin.tv/anachedtv2#/w/1758671824/4). Mudah-mudahan ia sentiasa mendorong saya agar sentiasa ingin ke sana. Mari.

Foto dari blog Tuan Manzlie bertarikh 7 September 2011

Foto blog Dr Muhd Kamil bertarikh 11 September 2011 (hari ini)

 

GHAZWAH UHUD

Disalin dari blog Ustaz Yusuf Embong.

Ghazwah Uhud berlaku pada hari Sabtu, 15 Syawal, tahun ke-3 hijrah. Sebab berlaku ghazwah ini Quraisy ingin menuntut bela terhadap kekalahan dalam Ghazwah Badar. Mereka membuat persiapan sehingga mereka benar-benar bersedia untuk memerangi Rasul s.a.w. di Madinah. Mereka keluar dalam angkatan tentera seramai 3,000 pejuang, tidak termasuk bilangan tentera Ahabisy. Dalam angkatan ini terdapat 700 tentera berbaju perisai dan 200 pahlawan berkuda. Bersama mereka juga, 17 orang wanita termasuk Hindun binti ‘Utbah, isteri Abu Suffian. Bapanya telah terbunuh dalam Ghazwah Badar.

Quraisy bergerak sehingga sampai ke tengah-tengah wadi menghala ke Uhud (sebuah bukit tinggi yang terletak dua batu di utara Madinah) bertentangan dengan Madinah.  Mengikut pendapat Rasul s.a.w. dan beberapa orang sahabat, orang Islam tidak perlu keluar menghadapi mereka. Bahkan orang Islam hendaklah bertahan di dalam kota Madinah. Sekiranya orang musyrik menyerang mereka, orang Islam akan menghalang mereka.

Namun sebahagian pemuda-pemuda Islam serta sesetengah Muhajirin dan Ansor bersemangat untuk keluar dari Madinah dan meiawan orang musyrik di tempat perhimpunan mereka. Khususnya mereka yang tidak turut serta dalam Ghazwah Badar dan tidak memperolehi kemuliaan berperang dalam ghazwah tersebut. Lantaran itu, Rasulullah s.a.w. telah beralah kepada pendapat mereka. Baginda masuk ke dalam rumah, memakai baju perisai, seraya meletakkan dinding perisai di belakang tubuhnya dan memegang tombak di tangan.

Kemudian Baginda keluar menemui orang Islam dengan menggantung pedangnya di leher. Mereka yang mencadangkan kepada Baginda untuk keluar berperang di luar Madinah telah menyesal, kerana mereka menjadi sebab memaksa Baginda melakukan tindakan yang bertentangan dengan pendapat peribadi Baginda. Mereka berkata kepada Rasul s.a.w.: “Kami tidak seharusnya menyalahi pendapat kamu. Oleh itu, buatlah apa yang kamu mahu, atau kamu duduk di sini sekiranya kamu mahu.”

Maka Rasul s.a.w. menjawab kepada mereka dengan sabda Baginda : “Tidak wajar bagi seorang nabi, apabila dia memakai baju perisainya untuk dia menanggalkannya semula, sehinggalah Allah memberikan hukuman antaranya dan musuhnya.”  Kemudian Baginda bersama kira-kira 1,000 orang Islam telah berangkat keluar Madinah termasuk 100 tentera berbaju perisai dan 2 pahlawan berkuda.

Ketika orang Islam berhimpun untuk keluar, Rasul s.a.w. melihat satu kumpulan Yahudi mahu turut keluar bersama Abdullah bin Ubai bin Salul, ketua orang munafik. Rasul s.a.w. bertanya: “Adakah mereka telah Islam?” Mereka berkata: “Tidak wahai Rasulullah.” Baginda bersabda : “Suruh mereka pulang. Kita tidak meminta pertolongan orang musyrik untuk memerangi orang musyrik.”

Di pertengahan jalan, Abdullah bin Ubai bin Salul bersama 300 orang munafik Kaum yang dihubungkan kepada sebuah bukit di sebelah bawah Makkah yang dipanggil “Habisy”. Mereka merupakan sekutu Quraisy menarik diri daripada turut serta membantu orang Islam berperang. Oleh itu, bilangan orang Islam hanya tinggal 700 orang. Kemudian Rasul s.a.w. meneruskan perjalanan sehingga sampai ke medan Uhud. Baginda menjadikan tenteranya membelakangi bukit Uhud dan menghadap tentera musyrik. Baginda telah membariskan tentera Islam, melantik seorang ketua bagi setiap pasukan. Baginda juga memilih 50 orang pemanah yang diketuai oleh Abdullah bin Jubair al-Ansori, untuk melindungi bahagian belakang orang Islam daripada serangan balas tentera musyrik dari arah belakang. Baginda berpesan kepada mereka:

“Lindungi belakang kami supaya mereka tidak datang menyerang kita dari arah belakang. Hujani mereka dengan anak-anak panah. Kuda tidak dapat melawan panah. Kita akan terus menang selagimana kamu tetap tidak berganjak daripada tempat kamu. Ya Allah, aku bersaksikan Engkau dalam menghadapi mereka “.

Dalam riwayat lain, Baginda berpesan kepada mereka : “Jika kamu melihat kami dilanggar garuda (kiasan kepada kebinasaan yang cukup teruk), jangan kamu tinggalkan tempat kamu ini sehingga aku kirim utusan kepada kamu. Sekiranya kamu melihat kami mengalah-kan kaum (musyrik) itu atau kami menewaskan mereka dan mereka terbunuh, jangan kamu tinggalkan tempat kamu sehingga aku hantar utusan kepada kamu.”

Kemudian, bermulalah peperangan. Allah telah membantu orang Islam menentang musuh-musuh mereka. Orang Islam telah membunuh sebilangan mereka. Pihak musuh kemudiannya melarikan diri. Oleh itu, orang Islam sibuk memungut harta rampasan perang yang mereka dapati di kem orang musyrik. Para pemanah di belakang mereka melihat perkara tersebut. Mereka berkata: “Apa yang kita akan buat sedangkan Allah telah memenangkan Rasul-Nya?” Mereka terfikir untuk meninggalkan posisi masing-masing untuk memperolehi habuan rampasan perang. Lantas, ketua mereka, Abdullah bin Jubair memperingatkan mereka tentang pesanan Rasul s.a.w.. Namun, mereka menjawab bahawa peperangan telah tamat dan tidak perlu lagi untuk kekal di tempat mereka, Hanya Abdullah berserta 10 orang lain enggan meninggalkan posisi masing-masing.

Khalid bin al-Walid (sebagai ketua sayap kanan angkatan orang musyrik ketika itu) melihat para pemanah telah meninggalkan posisi mereka di belakang tentera Islam, lantas berpatah balik menyerang hendap dari arah belakang. Angkatan tentera Islam tidak menyedari serang hendap melainkan setelah pedang-pedang menyerang mereka di sana sini. Ikatan barisan Islam menjadi kacau bilau. Ketika itu juga, tersebar khabar angin bahawa Rasul s.a.w. telah terbunuh. Sebahagian mereka telah lari pulang ke Madinah.

Orang musyrik dapat sampai kepada Rasul s.a.w.. Batu-batu yang mereka lontar mengenai Baginda sehingga Baginda jatuh pengsan, mukanya luka, kedua lututnya bercalar, bibir bawahnya berdarah dan topi di kepalanya pecah. Dua cincin rantai topi itu telah terbenam masuk ke pelipis Baginda. Orang musyrik bertambah ramai menyerang Rasul s.a.w. untuk membunuh Baginda. Baginda s.a.w. tetap bertahan bersama-sama sekumpulan orang mukmin, antara mereka ialah: Abu Dujanah yang bertindak menjadi perisai Rasulullah s.a.w.. Dia melindungi Baginda daripada anak-anak panah orang musyrik.

Anak-anak panah itu telah menembusi belakang tubuhnya. Antara mereka lagi, Saad bin Abi Waqqas. Beliau telah memanah pada hari tersebut kira-kira 1,000 anak panah. Antaranya lagi, Nasibah Ummu ‘Umarah al-Ansoriyyah. Dia meninggalkan tugas memberi minum tentera yang cedera, untuk bertempur menggunakan pedang dan memanah demi mempertahankan Rasulullah. Dia terus bertempur sehinggalah sebatang anak panah hinggap mengenai tengkuknya, menyebabkan luka yang dalam.

Bersama-sama Nasibah juga, suami dan dua orang anaknya yang turut serta mempertahankan Rasulullah. Rasulullah s.a.w. mendoakan untuk mereka : “Semoga Allah memberkati kamu sekeluarga.” Lantas Nasibah berkata: “Doakan kepada Allah supaya kami menemanimu di syurga.” Lantas Baginda berdoa: “Ya Allah, jadikan mereka teman-temanku di syurga.” Nasibah r.ha. berkata selepas itu: “Aku tidak mempedulikan lagi bencana yang menimpaku dalam urusan dunia.” Baginda s.a.w. telah berkata berkenaan Nasibah : “Aku tidak menoleh ke kanan dan he kiri pada hari Ghazwah Uhud, melainkan aku melihatnya berperang di hadapanku”. Pada hari tersebut, Nasibah mendapat 12 luka, sama ada akibat tikaman tombak mahupun tetakan pedang.

Pada saat-saat genting itu, Ubai bin Khalaf telah cuba untuk sampai kepada Rasul s.a.w. bertujuan membunuh Baginda. Dia bersumpah tidak akan berpatah balik. Maka Nabi s.a.w. mengambil sebatang tombak daripada sahabat yang bersama Baginda, lalu merejamnya ke leher Ubai. Rejaman tersebut menyebab kematiannya. Ubai bin Khalaf juga merupakan satu-satunya orang yang dibunuh oleh Nabi s.a.w. dalam semua ghazwah Baginda.

Kemudian Baginda s.a.w. dapat berdiri dan bangun dipangku oleh Tolhah bin Ubaidillah. Baginda memandang ke arah orang musyrik dan ternampak sekumpulan daripada mereka berada di atas bukit. Lantas Baginda menghantar sahabat menghalau mereka turun seraya berkata : “Tidak sepatutnya mereka berada lebih tinggi daripada kita. Ya Allah, tiada kekuatan bagi kami melainkan dengan Kamu”.

Pertempuran telah berakhir. Abu Suffian menyatakan kelegaan hatinya dan hati orang musyrik yang lain, setelah berjaya menebus kekalahan mereka dalam Ghazwah Badar dengan kata-katanya: “Hari ini merupakan bayaran bagi hari Badar.”  Di antara mereka yang terbunuh dalam peperangan ini ialah Hamzah, bapa saudara Rasul s.a.w.. Hindun, isteri Abu Suffian telah mengkelar-kelar mayatnya, membelah jantungnya dan mengunyahnya. Dia merasa kepahitan jantung itu, lalu memuntahkannya.

Rasul s.a.w. merasa amat sedih melihat keadaan Hamzah, lantas berkata : “Sekiranya Allah memenangkan aku ke atas Quraisy di sesuatu tempat, aku akan kelar 30 orang lelaki daripada mereka.” Namun selepas itu Allah melarang daripada mengelar mayat.  Bilangan orang Islam yang terbunuh dalam pertempuran ini ialah kira-kira 70 orang, sementara jumlah orang musyrik yang terbunuh ialah 23 orang.

Sumber : Sirah Nabawiyyah oleh Mustafa Siba’ie.

IKTIBAR

Melanggar arahan pemimpin yang tegas dan jauh pandangannya akan membawa kepada kerugian dalam pertempuran. Ini terjadi dalam Ghazwah Uhud. Jika para pemanah yang ditempatkan oleh Rasulullah s.a.w. di belakang tentera Baginda tetap tidak berganjak dari tempat mereka sebagaimana yang diarahkan, nescaya tentera musyrik tidak dapat mengepung tentera Islam.Tentera musyrik juga tidak akan berjaya menukar kekalahan mereka pada permulaan pertempuran kepada kemenangan.

Demikianlah kesan melanggar perintah pemimpin. Ia boleh melenyapkan peluang dan memberi kemenangan kepada musuh.  Allah telah memberi amaran azab kepada orang-orang mukmin sekiranya mereka melanggar perintah Rasul mereka. Dia berfirman : Beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak ferperi sakitnya. (An-Nur: 63)

Tamak kepada harta rampasan perang dan Iain-lain habuan kebendaan akan membawa kepada kegagalan seterusnya kekalahan. Ini berlaku dalam pertempuran Uhud, iaitu apabila para pemanah meninggalkan pos-pos mereka lantaran tamak untuk merebut harta rampasan perang. Situasi begini juga terjadi dalam pertempuran Hunain apabila orang Islam telah menang pada permulaannya. Sebahagian mereka merasa tamak kepada harta rampasan perang, lalu berhenti daripada mengejar musuh yang berundur. Akibatnya musuh kembali menyerang orang Islam dan mereka tewas. Jika bukan kerana sokongan Allah dan keteguhan Rasul s.a.w. bersama tentera mukmin yang jujur di sekelilingnya untuk tetap bertahan, nescaya kekalahan tersebut tidak akan bertukar kepada kemenangan besar sebagaimana yang berlaku.

Demikian juga sikap tamak para pendakwah terhadap habuan dunia dan tindakan mereka menghimpun harta, rumah dan tanah. Sikap ini akan menjejaskan dakwah dan memberi kesan negatif kepada jiwa manusia. Ia menyebabkan orang ramai meragui kejujuran pendakwah terhadap apa yang diserunya. Ia juga akan mendorong manusia menuduhnya melakukan dakwah bukan kerana keredhaan Allah ‘Azza wa Jalla. Bahkan demi mengumpul puing-puing habuan dunia dengan memper-gunakan nama agama dan pengislahan. Anggapan sedemikian merupakan halangan orang ramai untuk menerima agama Allah. Anggapan ini juga memburukkan imej sesiapa sahaja yang menyeru kepada pengislahan sekalipun dia jujur dan ikhlas.

Dalam peperangan Uhud keteguhan Nasibah, Ummu ‘Ammarah bersama suami dan anak-anaknya untuk terus tetap berdiri mengelilingi Rasulullah s.a.w. ketika pertahanan tentera Islam bolos, menjadi salah satu bukti penglibatan besar wanita Islam dalam perjuangan dakwah Islam. Ia juga menjadi bukti terhadap keperluan kita pada hari ini kepada wanita Islam yang memikul bebanan dakwah kepada Allah. Wanita Islam berperanan untuk berdakwah kepada Allah di tengah kelompok pemudi, isteri dan ibu. Mereka juga berperanan mengasuh anak-anak untuk mencintai Allah dan Rasul-Nya, berpegang dengan Islam dan ajarannya, juga bekerja untuk kebaikan dan kemurnian masyarakat.

Selagi mana medan dakwah tidak disertai oleh pendakwah di kalangan pemudi Islam atau bilangan mereka tidak men-cukupi, selagi itulah dakwah akan terus melangkah pendek dan gerakan islah akan terus tempang. Situasi ini akan berterusan sehinggalah separuh umat ini (golongan wanita) mendengar dakwah kebaikan. Seterusnya, sanubari dan hati-hati mereka tersedar untuk mencintai kebajikan, tampil maju untuk agama dan segera berpegang dengan ikatannya yang kukuh.

Kecederaan Rasulullah s.a.w. dalam peperangan Uhud merupakan peransang kepada para pendakwah agar bersabar menghadapi segala cabaran yang menimpa mereka dijalan Allah. Sama ada berbentuk kesakitan tubuh badan, sekatan kebebasan dengan dipenjara mahupun ditangkap ataupun dihukum mati mahupun dibunuh. Khalid bin al-Walid (sebagai ketua sayap kanan angkatan orang musyrik ketika itu) melihat para pemanah telah meninggalkan posisi mereka di belakang tentera Islam, lantas berpatah balik menyerang hendap dari arah belakang.

Tahun 2002, bersama 18 anak Sabah dari Mesir kami menunaikan fardhu haji. Naik bas beberapa jam ke Pelabuhan Safaja sebelum belayar bersama kapal besar merentasi Laut Merah selama satu hari dua malam.

Kapal besar itu boleh memuatkan beribu orang bersama kenderaan, dan ketika itu jamaah haji dari Mesir dan benua Afrika memenuhi kapal laut dengan gelagat masing-masing.

Di kalangan kami yang 18 itu, ada yang sering kami bertemu kini. Tidak kurang juga yang lama tidak ditemui. Apa khabar Ust Rohinin, Ust Eka, Ust Hardie, Ust Aping (yang bakal menikah), Ust Berry, Ust Azmi, Ust Pojie, Ust Mustakim dan lain-lain?

Ketibaan di tanah suci begitu mendebarkan. Perasaan  bermacam-macam. Teringat lagi, apabila memasuki Masjid al-Haram, Ust Julnie berkata : “Haa.. nampak kamu ka’abah? Nampak?”

Manakan tidak, sepanjang perjalanan, ada yang bercerita tentang dosa dan kesalahan yang dilakukan, bimbang Allah menutup pandangan daripada melihat KaabahNya yang mulia itu. Juga terpengaruh dengan kisah-kisah orang yang ‘dihukum’ dengan hukuman sebegitu melalui buku dan majalah.

Sepanjang tawaf, selain berdoa untuk sendiri, tidak dilupakan doa-doa yang dikirim oleh kawan-kawan yang tinggal. Ada doa minta kawin, doa supaya lulus peperiksaan, doa supaya ibu bapanya aman daripada perceraian, dan bermacam-macam lagi.

Ada satu doa saya yang begitu mengesankan hingga ke saat ini. Saya berdoa kepada Allah SWT, minta kahwin.

Tengah tahun 2002, saya balik Sabah bercuti. Bulan 8, mengikat tali pertunangan dan pada oktober saya selamat mendirikan rumahtangga bersama isteri yang dikasihi.

SEMOGA BEROLEH HAJI MABRUR

IMG_0003

Seminggu dua kebelakangan, ramai menjemput hadir ke rumah mereka. Bukan sekadar jamuan rumah terbuka, tetapi niat kenduri doa selamat untuk keberangkatan menunaikan fardhu haji pada tahun ini.

Tidak dapat dinafi dan disembunyikan lagi, hati ini sebenarnya cemburu (yang positif) untuk turut serta dan pergi sekali lagi ke tanah haram itu.

Sesungguhnya nikmat memijak dan berada bumi Makkah dan Madinah adalah satu kesempatan yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Hanya orang yang pernah ke sana memahami perasaan itu.

Ahad lepas, saya hadir di rumah keluarga TJ&R di Kg Petagas untuk kenduri doa memohon keselamatan pergi dan kembali serta beramal dengan sesungguhnya di sana. Mereka 7 sekeluarga akan berangkat pada penerbangan pertama.

Bagi bakal haji Sabah, ada 2 penerbangan iaitu pada 26hb dan 28hb Oktober ini melibatkan khabarnya 900 jamaah haji. Kesempatan ini, saya catatkan beberapa nama yang saya ingati akan pergi ke tanah suci pada musim kali ini :

1. Datuk Ibrahim (BTN) dan Datin Norain Zakaria;

2. Cikgu Md Idzam Zakaria (SMK Majakir);

3. Hj Zawawi Tiyunin (UMS) dan ibunya Hjh Rokiah;

4. Bohari dan Saimah (Kg Peringatan Petagas);

5. Cikgu Saharuddin Sadali (SMESH) dan isteri;

6. Md Pozi Awang (SU Surau Taman Austral), ibu dan isteri;

7. Zulkifli Zakaria (SU Surau Taman Olivia) dan isteri;

8. Ust Bungsu Aziz Jaafar (UiTM Sabah / Tim Pengerusi PUM Sabah);

9. Imam Edenin Mujib (Masjid Bandaraya);

10. Ust Nu’man Abdullah (Kota Marudu) dan isteri;

11. Sharil Sharif (Arkitek) dan isteri;

12. Hj Mansur Mohammad dan isteri (Taman Lok Kawi Sabindo).

Mohon maaf jika ada nama sahabat yang tercicir.

Sepupu saya, Cikgu Idzam yang akan pergi pertama kali, ketika kenduri ahad lepas secara spontan bertanya tip semasa di tanah suci. Spontan juga saya jawab : “Jaga hati dan jaga lidah”.

IMG_0001

IMG_0002

IMG_0005

IMG_0004

%d bloggers like this: