Tag Archive: Maal Hijrah 1432


BERSAMA SHARIFAH KHASIF

Sepanjang majlis berlangsung, saya hanya duduk sebentar. Asyik merayau ke seluruh dewan mengambil foto kenangan sempena Ma’al Hijrah 1432 ini. Pada saat-saat akhir majlis saya berada di hadapan mengambil foto penerima anugerah.

Saat YB Timbalan Ketua Menteri berangkat keluar dewan saya berada di sudut dewan sebelah hadapan. Tidak pula menyangka rupanya Qariah Antarabangsa Hajah Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman berada tidak jauh dari kedudukan saya.

Maka ketika itu ramailah orang berebut-rebut untuk bergambar bersama-sama beliau sebagai kenangan. Saya berada di lokasi yang tepat untuk menggambar mereka bersama Hajah Sharifah Khasif. Tidak lama, kerana kemudian Hajah Sharifah ‘ditarik’ cepat keluar menuju ke bilik jamuan bersama tetamu. Ramai juga yang telah bersusun untuk bergambar terpaksa pulang hampa.

Saya pun bersama keluarga ke luar dewan menuju ke kereta. Tapi khabarnya, selepas jamuan makan, ramai sahabat-sahabat mengambil kesempatan untuk bergambar lagi. Melepaslah Abu Nuha. 🙂

PENERIMA ANUGERAH

Semoga ia menjadi pemangkin semangat dan motivasi untuk terus berkhidmat.

Hajah Faridah Datuk Abu Bakar Titingan (BERNAS Sabah)

Abdul Manap Mahmud (mantan YDP ABIM Sabah)

Tuan Haji Syed Hussin Habib Omar (Pengurus Masjid Bandaraya) mewakili Tuan Haji Jamal Tun Sakaran yang masih berada di luar negara.

Dr Md Yusuf Ibrahim, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mewakili Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (PERKIPS) untuk anugerah khas.

Pengerusi JK Masjid ar-Rahim Pekan Keningau

Pengetua SMKA Mohamad Ali Ranau

Wakil JK Taman Perkuburan Kg Benoni Papar.

Kami sekeluarga keluar rumah dengan suasana hujan mula membasahi beberapa kawasan di Putatan. Tidak terlalu awal kerana bunyi lintas langsung (sepatutnya siaran langsung) oleh Sabah fm yang kami dengari di kereta, majlis baru bermula dengan lagu negaraku, negeri sabah dan asmaul husna.

Saya mencuba untuk parkir di perkarangan Wisma MUIS dan nampaknya mudah untuk mendapatkan tempat. Adakah tetamu tidak ramai dan majlis ini tidak mendapat sambutan?

Di ruang legar Wisma MUIS ramai orang ke hulu ke hilir. Ada yang kata, dewan sesak, tambahan tiada pemancar di ruang legar seperti biasa dilakukan menyebabkan ramai bertebaran dan akhirnya pulang. Saya langsung naik ke atas dan di pintu utama susah untuk lepas masuk kerana orang ramai bersesak di laluan.

Saya cari pintu masuk yang lain dari sisi dewan. Sebenarnya tidaklah terlalu sesak, masih ada kerusi yang kosong kalau pandai cari. Ketika sampai, Hajah Sharifah Kasif baru selesai mengumandangkan tilawahnya. Perasmian dilakukan oleh Timbalan Ketua Menteri DSP Haji Yahya Hussin. TYT bercuti  di luar negara dan Ketua Menteri tidak hadir.

Di satu sudut, saya melihat duduk santai dan bersembang seketika dengan Supt Haji Abdul Latif Ibrahim, ADC TYT yang peramah dan baik hati. Cerita dan gosip tapuk pemerintahan di istana menjadi topik kami bersama. Banyak juga cerita menarik.

Ceramah Ustaz Roslan Mohammad yang bersuara garau dan mantap menarik perhatian saya. Beliau bercerita tentang watak-watak penting dalam peristiwa hijrah. Memberi teladan kepada kita bahawa kerja dakwah menuntut kerjasama semua pihak termasuk orang bukan Islam yang turut berperanan dalam peristiwa hijrah.

Penganugerahan tahun ini menyaksikan tiada penerima Anugerah Pendakwah. Mungkin tokoh yang berkelayakan ada, tetapi tiada yang mengutarakan ke pihak urusetia untuk ditapis dan dipilih.

Hajah Faridah Datuk Abu Bakar (BERNAS) menerima Anugerah Sayyidatina Khadijah, Abdul Manap Mahmud (mantan YDP ABIM Sabah) menerima Anugerah Khalid al-Walid, Haji Jamal Tun Sakaran (Pengerusi al-Mubarak Masjid Bandaraya) menerima Anugerah Abdul Rahman Auf, Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (PERKIPS) menerima Anugerah Khas.

Masjid ar-Rahim Pekan Keningau menerima Anugerah Masjid Cemerlang, Surau al-Bukhari SMKA Mohammad Ali Ranau menerima Anugerah Surau Cemerlang dan Taman Perkuburan Umat Islam Kg Benoni Papar menerima Anugerah ar-Raudhah.

 

6 Disember (Isnin)

Sekitar jam 5.30 petang, saya berada di ruang bawah Masjid Negeri bersama kawan-kawan yang lain menanti kehadiran para pembesar negeri. Jujurnya hairan juga melihat tidak ramai orang-orang besar seperti yb-yb dan menteri kabinet negeri yang hadir. Kebiasaannya waktu begini mereka sudah bersusun bagi menyambut ketibaan TYT dan Ketua Menteri.

Sahabat saya Haji Hassan seperti biasa nadanya mengatakan bahawa kalau sudah ketua menteri tiada, maka akan ramailah orang bawahannya turut sama tidak hadir. TYT sudah kami maklum bahawa beliau sedang bercuti  bersama keluarga dan berada di luar negara. Khabarnya di Australia.

Ingatan saya beralih kepada hadith pertama dalam kitab ‘hadith 40’ yang menyebut hal niat dan hijrah. Ada orang berhijrah kerana Allah dan Rasulullah. Ada orang berhijrah kerana urusan dunia. Ada orang berhijrah kerana perempuan yang ingin dinikahinya. Itu pada zaman Rasulullah SAW.

Kehadiran ke majlis seperti ini pun lebih kurang jugalah. Takkan lebih baik berbanding zaman Nabi. Ada yang hadir kerana Allah, ada yang hadir kerana arahan jabatan, ada yang hadir kerana hendak tunjuk muka dengan ketua, ada yang hadir kerana jamuan makan. Tapi apabila dimaklumi dan diketahui bahawa ketua menteri tidak dapat hadir dan hanya diwakili oleh timbalannya, maka faham-faham sajalah.

Saya teringat pula akan satu ungkapan yang disebut oleh Fudhail bin Iyadh berkenaan ikhlas. Katanya :

تركُ العمل لأجل الناس رياءٌ، والعمل لأجل الناس شِركٌ، والإِخلاصُ أن يعافيَك اللّه منهما‏

“Meninggalkan sesuatu perbuatan kerana manusia adalah riya’, sedangkan beramal kerana manusia adalah syirik. Ikhlas adalah apabila Allah memeliharamu daripada kedua-dua perkara tersebut”.

Contoh mudah begini. Tadinya hendak datang ke masjid kerana hendak minta puji dengan orang lain. Itu namanya syirik. Kemudian dia tak jadi datang kerana dapat tahu orang yang disasarkannya membatalkan kehadirannya. Itulah riya’. Datang kerana orang, tak datang pun kerana orang.

Soal yb-yb yang tidak hadir, barangkali semuanya sedang menghadiri majlis yang sama di masjid kawasan masing-masing bersama rakyat jelata.  Barangkalilah. Yang tuduh tadi Haji Hassan, bukan saya. Sementara yang hadir pula insya Allah saya doakan semuanya datang dengan niat yang baik kerana Allah SWT. Sama-sama kita membersihkan niat masing-masing.

 

PERSIAPAN MA’AL HIJRAH 1432

Pelbagai program diadakan bagi menyambut Maal Hijrah 1432 khususnya peringkat Negeri Sabah. Mesyuarat diadakan untuk persiapan Majlis Tadarrus dan Khatam al-Quran pada petang isnin, 6 Disember yang mengumpul ratusan (kalaupun tidak ribuan) umat Islam khususnya penjawat awam dan wakil-wakil NGO Islam.

Selain itu, Konvensyen Halal Negeri Sabah juga dibincangkan bagi pembentangan dua kertas kerja berkaitan unsur babi dan alkohol dalam pemakanan serta persediaan penyediaan makanan menurut Islam. Sementara JAKIM Sabah melalui Ustaz Shamsuri Ghazali memaklumkan  program Larian Hijrah pada 11 Disember 2010 (Sabtu)  di Masjid Bandaraya bermula jam 6.30 pagi.

Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar.

%d bloggers like this: