Tag Archive: Maahad Qiraat al-Azhar Shoubra


Tarikh : 15 Januari 2015

Lokasi : Semester 4 Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah

Saya yakin para alumni Maahad Qiraat al-Azhar Shoubra Kaherah mengenali baik dengan Sheikh Muhammad Abdun Nabi yang sangat rapat dengan pelajar Malaysia. Seperti ramai yang lain, saya turut bertalaqqi dengan beliau melalui riwayat Hafs ‘an ‘Asim, juga pernah talaqqi riwayat Warsyh ‘an Nafi’ walaupun tidak sempat khatam.

Masa itu tahun 2000.

Walaupun wajah guru kami ini tidak pernah dilupai kerana ilmu yang turun ke dalam diri kami, perhubungan terputus kerana mungkin kesibukan masing-masing. Hanya pernah berkirim dan berbalas salam dengan beliau melalui para pelajar kami yang menyambung pengajian ke sana pula beberapa kali selepas itu.

Kini tahun 2015. Apabila dunia media sosial semakin rancak, saya mengutus pesan kepada pelajar yang sudah menyambung pengajian di sana untuk mendapatkan nombor telefon pintar Sheikh Muhammad. Alhamdulillah, pelajar kami membantu dan ukhuwah kami kembali bertaut.

Di maahad, untuk sesi ini saya diamanahkan untuk mengajar subjek qiraat amali semester 3. Sangat menyedari kelemahan yang ada, saya memanfaatkan aplikasi whatsapp untuk bertanya kemusykilan kepada Sheikh Muhammad secara langsung dan beliau tidak menghampakan bahkan mengalu-alukan. Hanya soalan saya biasanya diajukan kepadanya ketika kelas berlangsung antara 10 pagi hingga 12 tengahari sedang di Kaherah baru jam 4-5 pagi.

Foto ini saya kirim kepada beliau lewat whatsapp, pelajar-pelajar semester 4 yang saya ajar..

Sem4 (1) Sem4 (2) Sem4 (3)

Saya ingin bercerita dengan bahasa yang mudah difahami oleh majoriti pembaca saya. Saya mahu berkongsi satu nikmat yang saya perolehi satu ketika dahulu.

Semasa hendak melanjutkan pengajian di Mesir dulu, antara perkara sasaran saya ialah bertalaqqi al-Quran semula dengan syaikh al-Quran di sana. Bersama sahabat-sahabat sepengajian di Maahad Qiraat al-Azhar Shoubra, kami menadah kitab al-Quran bertalaqqi dengan para masyaikh. Saya pula berpeluang berguru dengan Syaikh Muhammad Abdun Nabiy, yang saya kira amat akrab dengan siswa Malaysia sehingga sekarang.

Antara teman talaqqi saya ialah Ustaz Azroy dan Sheikh Adib (saya tidak tahu di mana mereka bertugas sekarang. Cuma Sheikh Adib saya ketahui sebagai seorang kolumnis di Majalah Gen-Q terbitan Telaga Biru. Saya rasa ada teman-teman lain tapi saya terlupa. Sahabat-sahabat lain ada yang bertalaqqi qiraat, tasmik al-Quran atau tasmik mutun Qiraat. Saya tahu Syaikh Muhammad menerima dengan berlapang dada.

Talaqqi saya berlangsung sehingga khatam tidak sampai 6 bulan rasanya. Ia berlangsung di Masjid al-Khazandarah (?) bersebelahan dengan maahad atau di rumah sewa kami tidak jauh dari situ. Hanya majlis khatam diadakan di apatment 8, Wisma Yayasan Sabah Kaherah (WYSK) sebelum saya balik bercuti ke Sabah beberapa minggu kemudian.

Apakah yang menarik perhatian orang seperti saya untuk bertalaqqi dengan syaikh-syaikh di sini? Sebagai orang baru yang menjejakkan kaki ke bumi Mesir ketika itu, cerita bertalaqqi dengan bersanad adalah sesuatu yang baru saya ketahui. Saya teruja kerana peluang itu terbuka di hadapan mata apatah lagi berguru dengan syaikh berbangsa arab yang pada pendapat saya tentulah sebutan mereka lebih baik dan mantap lagi.

Apakah bertalaqqi itu? Mudah cerita, bertalaqqi ini ialah kita mengaji kitab secara berhadapan dengan guru. Kita baca dan dia dengar dan tegur jika silap. Apakah pula  bersanad itu? Senang fahamnya begini, bacaan kita itu bertalian sehingga kepada Rasulullah SAW. Saya bertalaqqi dengan Syaikh Muhammad; Syaikh Muhammad bertalaqqi dengan Syaikh B, Syaikh B bertalaqqi dengan Syaikh C, dan seterusnya sehinggalah bersambung dengan Rasulullah SAW. Sementara Rasulullah SAW bertalaqqi dengan Malaikat Jibril AS dan daripada Allah Azza wa Jalla.

Sanad itu direkodkan secara hitam putih dan diijazahkan kepada mereka yang layak menerimanya. Saya bertalaqqi antara pertengahan tahun 2000 dan khatam awal tahun 2001 di hadapan sahabat-sahabat serumah. Kami berkenduri, dan saya membekali Syaikh Muhammad antaranya dengan dua ekor ayam panggang untuk beliau sekeluarga. Hanya sayang ketika itu sijil sanad itu hilang di tangan kawan saya yang diamanahkan untuk membawa pulang ke Malaysia.

Hanya baru-baru ini saya meminta bantuan adik-adik di Shoubra untuk meminta simpati Shaikh Muhammad agar memberikan satu lagi salinan sijil sanad itu sebagai kenang-kenangan saya. Untuk itu terima kasih saya rakamkan buat Mahadir Amboala, anak Sabah yang mengaji di sana ketika ini yang banyak membantu berurusan dengan Shaikh Muhammad serta Ustazah Azlinah Abdul Ghani yang membawakan pulang ke tanah air. Saya baru menerimanya beberapa hari lepas dengan rasa gembira dan syukur sekali. Ini kisah 10 tahun lalu dan saya tetap mensyukurinya.

Alhamdulillah.

%d bloggers like this: